FELCRA Bukit Kapah, suatu nama penempatan tanah rancangan yang jauhnya kira-kira 18 kilometer dari pekan Kuala Berang, Terengganu. Suatu ketika dahulu telefon menjadi sebahagian daripada agenda pancing undi untuk beberapa tahun. Sebelum pilihanraya bermula, dicacak tiang telefon tanpa pendawaian yang lengkap. Seingat saya selepas berlalu tiga tahun pilihanraya umum, baharulah penduduk kampung menikmati kemudahan telefon. Semua bermula pada tahun 1999. Ketika itu saya di tingkatan lima, di sebuah sekolah di Kelantan. Betapa waktu sebelum itu, suratlah yang menjadi perhubungan antara saya dengan ayah. Saya masih ingat sepucuk surat tulisan jawi yang saya poskan kepada ayah mengadu kehilangan RM50. Wang itu saya sorok di celah-celah baju dalam loker, tetapi entah bagaimana pencuri berjaya memecahkan loker tersebut. Itulah antara kisah manis saya menulis dengan linangan air mata.
Kemudahan telefon setelah dinikmati beberapa waktu menjadi hal yang merisaukan. Akhir-akhir ini berlaku insiden kecurian kabel. Sudah dua kali kabel dicuri sehingga seluruh perkhidmatan telefon rumah penduduk FELCRA Bukit Kapah lumpuh. Anak-anak yang tinggal di asrama atau yang bekerja jauh tidak lagi dapat menghubungi ibu bapa atau ahli keluarga dengan mudah. Kes-kes kecemasan pastinya menjadi begitu berkos, kecuali jikalah ketua keluarga menggunakan telefon bimbit. Tetapi apalah ertinya telefon bimbit kepada seorang peneroka? Hendak dibawa masuk ke ladang sawit? Kerana tiada keperluan, maka elok sahaja mereka menggunakan telefon rumah.
Sedar tidak sedar, kabel juga menjadi mata pencarian orang-orang yang tidak mempunyai pekerjaan. Mereka mencuri untuk mendapatkan besi. Dan tentulah ada jaringan perniagaan gelap yang memungkinkan pencuri ini boleh melakukan operasinya. Dan yang pasti, kecurian dilakukan pada dinihari. Semoga jika pencuri itu mencuba buat kali ketiga, dia dipanah petir! Biar sahaja dia mati ketika sedang mencuri.
2 ulasan:
perkara yang sama berlaku di kg saya. Sangat la menyusahkan org2 kampung. AKhirnya sekrang majoriti pakai telefon bimbit.
Naim..berdoa la moga pencuri-pencuri itu insaf..doa dia mati dipanah petir agak tragis..huhu.
SPM 99!
Catat Ulasan