Aku baru beredar dari Kolej ke-13 UPM setelah menghantar sedikit buah-buahan kepada adik. Ketika ingin keluar ke Plaza Tol Sungai Besi, kebetulan aku berada di hadapan sekali. Lampu hijau. Tiba-tiba enjin menderum kuat. Aku cuba menukar semula gear. Masih tidak berhasil. Sedangkan kenderaan di belakang sudah membunyikan hon bertubi-tubi. ‘Maaflah. Masalah. Bukan sengaja.’ Bentak hatiku.
Aku tekan butang isyarat kecemasan. Kemudian berhenti di tepi lorong tidak jauh dari pondok jurutol. Di situ aku cuba berkali-kali untuk memastikan kotak gear tidak rosak. Lima minit aku mencuba jaya. Dengan kelajuan minimum aku beranikan diri bergerak ke Perhentian Serdang. Lama aku berfikir. Apa sebabnya masalah ini berlaku? Aku esemes pada adikku, bertanyakan masalah ini. Dia jawab berserta perkataan ‘haha..’ di akhir mesejnya. “Ish….geram! Orang bermasalah sempat lagi dia gelak-gelak.”
Dia cadangkan beberapa perkara; minyak gear kering atau mungkin hendak rosak dan sila pusing-pusing perhentian Serdang dua tiga kali. Cadangan ketiga itu buat aku menggeleng. Mungkin adikku fikir perhentian Serdang sebesar R&R Temerloh. Aku berhenti terus sahaja berfikir untuk tidur di situ. Tika itu jam 11.00 malam. Aku renung semula perjalanan sepanjang hari, bermula dari rumah, terus ke SMK Padang Merdeka, Kuala Terengganu. Kemudian ke Kompleks Seri Iman. Seterusnya ke Tok Jembal. Berhenti rehat di rumah kawanku selama satu jam setengah. Jam 12.30 bergerak dari Tok Jembal, Kuala Terengganu ke SMK Padang Merdeka semula. Jam 1.05 petang terus memecut ke Kuala Lumpur menyusur Jalan Pantai sebelum ke persimpangan Bukit Kor. Jam 2.30 petang berhenti solat di Masjid Kg. Landas, Hulu Terengganu.
Jam 2.45 petang bergerak lagi dan berhenti di stesen Petronas Muktafi Billah Shah, Dungun. Petrol di stesen ini habis. Maka terpaksa tukar rancangan mengisi petrol di Shell Bandar Cheneh Baharu. Jam 4.00 petang baru melepasi Plaza Tol Jabor. Jam 7.15 tiba di Plaza Karak. Agak lambat kerana hujan lebat dan ada kerja selenggara jalan. Ketika di kawasan selenggara jalan sahaja terpaksa menunggu hampir setengah jam bersiput-siput; dua lorong disatukan - (20 km/j pun tidak lepas). Jam 8 berhenti solat dan makan di UIAM. Jam 9.10 tiba di Sentul. Rakan yang menumpang turun mengambil keretanya di masjid. Dia hantar adiknya ke UiTM Shah Alam pula. Aku teruskan perjalanan ke UPM. Jam 10.05 malam aku tiba di UPM.
Ketika dalam kawasan UPM itulah masalah gear bermula. Jadi susah pula. Dalam pada berehat di Hentian Serdang aku fikirkan, “Kalau betul gear rosak, maknanya tersarlah bajet bulananku. Dan pastilah suatu yang mendukacitakan.” Kemudian aku dapat ilham bahawa sebesar-besar masalah pada manusia kecil pada-NYA. Aku lihat lampu surau bercahaya. Lantas aku berwuduk dan solat hajat. Aku percaya keajaiban doa. Keajaiban doa sudah banyak diceritakan kepadaku. Terakhir aku dengar keajaiban doa daripada Puteri Andalas dan Ramlee Awang Murshid. ‘Ya, mengapa dalam keadaan kita gelisah – kita lupa pada Tuhan yang Maha Kuasa?’
Dalam munajatku, aku beristighfar. Memohon agar DIA permudahkan perjalananku. Aku mohon DIA selamatkan perjalananku. “Ya Allah. Hamba-MU yang kerdil lagi hina ini memohon ampunan-MU. Engkau Maha Tahu aku tidak punya wang (tiada bajet) jika terpaksa membaiki kenderaanku. Kumohon Engkau kembalikan fungsi asal kenderaanku, Ya Rabb.” Hampir empat puluh minit saya berehat di situ. Dengan harapan apabila kenderaan tersebut ‘rehat’ dan enjinnya pun sejuk sedikit – dibantu dengan keajaiban yang dikurnia-NYA, mudah-mudahan fungsinya kembali normal.
“Bismillahirrahmanirrahim.”
Masalah mekanikal tadi sudah tiada. Subhanallah! Aku menangis mengenangkan pertolongan-NYA ini. Jam 12.30 pagi aku tiba di rumah sewaku.
5 ulasan:
wah... bagus.
mari same2 amik iktibar!!
kadang-kadangkita terlupa...
Pertolongan hanya dari Allah.
Alhamdulillah budget bulan ni tak lari.. :)
Salam...Naim orang terengganu kan? ahaa...
saya pun kalau balik tganu,dan kalau member yang duk dungun tu tak tumpang, memang lalu ikut jabor, dan petronas bandar al-muktafi tu jadi destinasi wajib utk berhenti..
Alhamdulillah..Allah memakbulkan doa Naim..sebak juga saat membaca part akhir tu. Apa pun, syukur semua selamat,budget pun tak lari.
Sdr Hanafi Isa: Entri Sdr yang ini menjadi cermin buat saya sendiri yang sering terlupa akana pertolongan Nya.
Saya berada tidak jauh dari laluan ke kotak kutipan tol Jabor. Nampaknya Sdr selalu tergesa, ya?
Zul (MZKE) ... ambil iktibar mana yang boleh. :)
MimiAmilia ::syukur.
Afida :: Betapa itulah saat2 kita rasa bertuah dan merasai halawah (manis) iman.
Abang MARSLI N.O - 1. nampaknya begitu. Darah muda. Memang biasanya begitu. :D
2. dari arah mana? Kuantan @ Trg?
Catat Ulasan