Tadi aku bersama seorang sahabat ke masjid UIAM. Bertaraweh di sana. Kampus UIAM jaraknya 10 minit perjalanan dari flat perumahan awam kami.
Imam Arab membaca juz Rubama (surah Hud) dan sebahagian surah Yusuf; menghabiskan satu juzuk untuk 20 rakaat. Bezanya solat ditunaikan tidak seperti adat Melayu Malaysia. Solat didirikan dua rakaat dua rakaat tanpa disusuli tasbih dan selawat. Dan doa hanya dibaca selepas iktidal solat witir. Panjang doanya.
Ketika Imam membaca ayat tentang nabi Allah Nuh memohon Allah menyelamatkan anaknya, maka Allah menjawab, “Dia bukan dari kalangan kamu (yang beriman)…” Ketika ayat ini menyusup masuk ke dalam diri, ada genangan air mata. Semacam merasai bebanan seorang ayah yang sayang akan anaknya, tetapi tidak dapat menyelamatkannya dari azab Allah. Tidakkah itu suatu yang menyedihkan? Dalam kisah nabi Nuh, isteri baginda juga tidak beriman. Hal ini diceritakan Allah dalam surah at-Tahrim ayat 10.
Demikianlah kehidupan kita hari ini. Kadang-kadang kita pun meminta suatu yang bukan-bukan. Walhal pada hakikatnya dalam ilmu Allah, DIA lebih tahu kebaikan atau keburukan sesuatu perkara jika DIA menerima atau menangguhkan permintaan kita. Apabila Allah mengatakan kepada nabi anaknya tidak beriman tentulah hal itu mustahil. Allah tidak akan membiarkan orang yang tidak beriman selamat dari bencana banjir besar yang sedang melanda. Lalu Nabi Nuh segera memohon keampunan dari Allah. “Aku berlindung daripada-MU daripada meminta sesuatu aku tidak tahu (hakikatnya), Jika ENGKAU tidak mengampuniku, dan tidak memberi belas kasihan kepadaku, nescaya aku termasuk dalam kalangan yang rugi.” [ayat 47: Hud](kemas kini pada jam 12:14 PM, 22 Ogos 2010)
Ya, demikian hidup kita. Diberi Allah betis, kita mohon paha. Kadang-kadang Allah memberi dengan rezeki itu kita dapat menggunakan kereta perodua, kita mahu (berangan-angan) memandu BMW! Allah sudah berikan kita sebuah rumah kecil, kita mohon untuk tinggal di singgahsana nan besar bak istana, Allah berikan seorang isteri, kita mohon diberikan kesempurnaan mutlak. Walhal itu semua mustahil. Jika si dia sudah sempurna, dia tidak perlu suami.
“Ya Allah! Ampunilah kami. Kami tidak mahu meminta yang bukan-bukan daripada-MU.”
4 ulasan:
tersentuh dengan entry ni... mudah mudahan aku tidak termasuk dalam golongan yang meminta berlebih-lebih sekadar yang mampu sahaja.... apa yang ku fikir sekadar mampu belum ditunaikanNya kerana itu pun mungkin berlebih2... kerana kita merancang dan Allah lah sebaik2 perancang...
UJ, mudah-mudahan.
Lama dah tak solat terawih kat masjid UIA..rindu..
thanks naim atas peringatan. Allah Maha Mengetahui segalanya. Sama ada Allah menangguhkan untuk memakbulkan doa kita, atau tidak memakbulkan tapi diganti dengan yang lain, Allah lagi Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita. WaAllahualam..
Afida,
1. bernostalgia memang indah. ADA seni tersendiri.
kiranya ada orang yang boleh absahkan cerita ini kerana ada pengalaman bertaraweh di tempat yang sama.
2. sama-sama.
Catat Ulasan