Jumaat, April 10, 2009

Berkisah pasal karya 'Cinta dan Penyatuan' dan slogan baru Malaysia

Ini kisah lama.


Saya adaptasikan daripada suasana benar di kampus. Sebahagian daripada insiden di kampus (baca: hostel) saya masukkan di dalamnya. Memanglah, saya dahulu lain dari yang lain. Saya hanya dapat menikmati alam dan suasana di desasiswa (nama lain bagi hostel, di USM) tidak sampai tiga semester. Pada semester kedua, kebetulan saya kurang selesa dengan karenah senior yang sebilik kerana suka merokok di meja belajar dan memperdengar lagu-lagu kegemaran beliau. Lalu saya mengadu kepada seorang senior lain yang kini menjadi pensyarah di Politeknik. Melalui senior itu, saya mendapat tahu bahawa Pusat Islam memerlukan seorang pembantu. Ketika itu Pusat Islam masih belum mantap dan belum lengkap carta organisasinya seperti sekarang. Lalu saya diterima sebagai salah seorang yang akan meringankan kerja-kerja pegawai. Bermakna di samping dua orang pegawai hal ehwal agama, saya mengambil tugas selaku bilal/imam ketika-ketika pegawai berjawatan tidak berada di pejabat. Bilik penginapan saya di sebelah pejabat utama, sekarang bilik itu sudah ditukar menjadi bilik tetamu. Bermakna itulah tugas saya mula-mulanya sehinggalah akhirnya apabila Pegawai Hal Ehwal Agama (Ketua Jabatan) bertukar, tugas saya lebih besar. Saya juga diberi peluang menyediakan teks khutbah Jumaat atau menyediakan makalah pengajaran dari al-Quran untuk Mimbar Pusat Islam. Ya, ideanya daripada tuan Penolong Pengarah sendiri (ketika tulisan ini dicoret, beliau (Tn. Hj. Md Yusof Abd. Rahim) berjawatan Pegawai Kanan Hal Ehwal Islam). Saya amat kagum dengan strategi kepimpinan yang ditunjukkan oleh beliau. Yang jelas, dia juga mewarisi gaya kepimpinan cikgu Shahnon (gelar yang beliau berikan kepada SN Shahnon). Saya dapati cara beliau mengurus permasalah, mengurus emosi kerja dan meladeni setiap orang yang berurusan dengannya seperti yang pernah dilakukan oleh SN Shahnon sendiri.


Berbalik kepada cerita saya 'Cinta dan Penyatuan' – sebenarnya sudah terlalu lama. Saya tidak pasti malahan ragu-ragu apakah cerpen itu bagus, atau sekadar boleh di'bungkus' kemudian dilempar ke bangkul sampah. Bukan apa, dua tiga kali selepas membaca karya itu, saya semacam tidak berpuas hati dengan jalan cerita dan isinya. Lalu dek kerana terlalu lama tidak mendapat maklum balas setelah menghantar hanya ke meja editor Siasah, saya fikir tentulah karya itu betul-betul tidak bagus. Kepercayaan itu menyebabkan saya membuangnya sama sekali daripada simpanan peribadi. Alhamdulillah, hari ini sahabat baik saya, yang banyak memberi galakan kepada saya untuk berkarya memaklumkan berita gembira itu. Karya itu disiarkan juga. Akhirnya, -:) Satu hal yang ingin disampaikan dalam cerita tersebut ialah betapa sukarnya untuk melakukan integrasi kaum di peringkat kampus, khususnya formula menempatkan pelajar-pelajar berbilang kaum di dalam satu bilik. Rata-rata pelajar akan bertahan hanya dua bulan dan selebihnya mereka akan membuat pertukaran sesama sendiri atau jika didenda, mereka lebih suka menyewa rumah di kawasan perumahan sekitar kampus. Ada satu tembok budaya yang tidak dapat disilangkan atau diadun kepada budaya kaum lain justeru perbezaan cara hidup, kepercayaan agama dan cara belajar. Ya, rata-rata pelajar muslim tidak selesa bersolat di bilik kalau-kalau ada rakan berlainan agama berada di bilik. Anehnya, mereka tidak pula rajin melangkah ke surau atau masjid. Tetapi lebih mengejutkan, mereka sama sekali tidak menjaga solat. Ini suatu yang mesti diakui bahawa tidak semua intelek muslim dalam waktu yang sama menjadi mukmin yang taat. Inilah senario yang berlaku, tidak sepatutnya terjadi. Manakala kaum lain, apa pun anutan mereka, tidaklah ada ritual yang mereka amalkan di hostel, malah kebanyakan mereka juga sebenarnya athies.


Namun begitu, terasa janggal juga apabila saya lakarkan satu insiden yang mustahil berlaku di dunia nyata. Saya garapkan akhirnya mereka berbaik-baik malah dapat sama-sama berkongsi rasa dan suasana belajar berkumpulan seperti itu. Walhal itu jarang-jarang berlaku kerana sikap prejudis masih menebal. Barangkali ini hanya berlaku di kampus saya, bahawa terdapat jurang yang memisah di antara kaum-kaum yang berbeza dengan sikap ananiyyah yang tersendiri. Malahan lebih menjengkelkan ialah apabila peperiksaan atau ujian penting, mereka tidak malu-malu meniru. Mungkin anda pernah dengar cerita, sebuah buku penting yang dipinjam tidak akan berada di rak buku malahan beredar di kalangan mereka sahaja. Orang lain tidak ada peluang meminjam buku tersebut. Itulah. Kadang-kadang semangat kekitaan dalam dunia ilmu ini perlu disemarakkan, tambah-tambah lagi sekarang sudah ada slogan baharu, “Satu Malaysia”.

Selamat berjumaat.
Coretan detik 12.30 pm, Jumaat, 10 April 2009.


Cerpen 'Cinta dan Penyatuan' disiar dalam Siasah, 12-18 April 2009.

Tiada ulasan: