Isnin, April 27, 2009

Kelebihan Ibnu Abbas


Semalam, 26 April 2009, (9.00 pagi - 12.30 tengahari) saya mengikuti program Tafaqquh fii ad-Din; Sejenak di Taman Ilmu 2, bersama Al-Fadhil Ustaz Nuruddin al-Makki al-Banjari. Kali ini beliau membicarakan tentang hadis-hadis pilihan yang diriwayatkan oleh Ibnu 'Abbas r.a. Antara kelebihan Ibnu Abbas ialah beliau mendapat doa khusus nabi agar mendapat kelebihan hikmah dan keupayaan mentakwil ayat al-Quran. Sebab itu ketika turunnya ayat An-Nash (surah ke-110 dalam susunan al-Quran), beliau berbeza pendapat dengan saidina Umar Al-Khattab. Kata Umar, turunnya ayat itu menunjukkan umat Islam telah berjaya membuka wilayah yang banyak. Penaklukan semula Makkah menunjukkan kaum muslimin mendapat kejayaan dan semakin kuat. Tetapi Ibnu Abbas berkata, "Itu petanda perpisahan kita dengan Rasulullah semakin hampir." Pendapat Ibnu Abbas ini disahkan oleh baginda.

Selain cekap mentakwil ayat al-Quran, Ibnu Abbas diberi ketajaman mata. Ada hadis nabi yang berbunyi, "Sesiapa yang melihatku dalam mimpi, maka dia dapat melihatku di waktu jaga." Apabila perkara ini dihadapkan kepada beliau, suatu hari Saidatina Maimunah radiallahu 'anha (isteri nabi) membawa cermin. Lalu dicerminkan Ibnu Abbas. Kata Ibnu Abbas, "Aku nampak Rasulullah!" Ya, kalau orang lain, tentulah yang terpantul dalam cermin itu dirinya sendiri. Tetapi bagi Ibnu Abbas, yang terpantul dalam cermin itu adalah nabi setelah dia bermimpi bertemu baginda sewaktu tidurnya.

Selain Ibnu Abbas, terdapat tujuh orang perawi hadis yang utama. Mereka ialah


  1. Abu Hurairah r.a

  2. Anas bin Malik r.a

  3. Abdullah Ibnu Umar r.a

  4. Aisyah r.a

  5. Ibnu Abbas r.a

  6. Jabir bin Abdullah r.a

  7. Abu Sa’id al-Khudri r.a


Penerangan lanjut tentang bilangan hadis boleh dirujuk di sini


Kitab yang disyarahkan kali ini berjudul "Al-Istibaaq", mengumpulkan sejumlah hadis pilihan Ibnu 'Abbas. Dan untuk sesi semalam, hanya sempat sehingga hadis ke-15. Dan akan bersambung dalam siri ketiga pada 21 Jun 2009. InsyaAllah.


Tiada ulasan: