Selasa, April 21, 2009

Keberkatan hidup

Ibnu Umar (Abdullah bin Umar) ditanya darihal perkara yang membawa kepada keberkatan hidup.
Beliau menjawab, ada enam perkara.



  1. Hati yang bersyukur

  2. Harta yang halal

  3. Umur yang berkat

  4. Tafaqquh fi ad-Diin

  5. Bi’ah sholehah

  6. Isteri sholehah



Hati yang bersyukur. Orang yang bersyukur akan sentiasa rasa cukup (qana’ah) dengan nikmat Allah. Berapa banyak orang yang kaya, tetapi sentiasa resah gelisah untuk menjaga hartanya? Bukanlah bermakna kita tidak perlu jadi kaya, tetapi apabila harta terlalu banyak, dibimbangi harta pula yang menjaga kita, bukan kita yang menjaga harta.


Dalam bab harta, apakah hukumnya jika memakan hasil keuntungan pelaburan ASB? Majlis Fatwa pada tahun 1995 menyatakan bahawa harus memakan hasil pelaburan ASB. Harta yang kita cari, apakah dari sumber yang halal? Kemudian ke mana kita belanjakannya?


Umur yang berkat. Sekiranya sampai umur 40 tahun seseorang itu amalnya baik, maka kekallah ia baik. Tetapi jika masih jahat, jahatlah dia sampai ke akhirnya. Manakala setelah sampai umur 70 tahun, Allah akan kurangkan musibah tetapi ditambah iman seseorang. Umur kita yang relatifnya pendek, maka kajilah berapa banyak yang dimanfaatkan untuk ibadah?


Mari kita fikir. Kes seorang yang hanya solat fardhu sahaja. Tiada solat sunat, tidak baca al-Quran, tidak pergi kuliah agama.
Katalah setiap kali menunaikan solat dia memerlukan masa lima minit, maka sehari 25 minit untuk ibadah khusus. Bermakna sepanjang hidup dia hanya mengkhususkan 17% daripada hidupnya untuk bersolat fardhu. Jika hidup 70 tahun, lebih kurang 12 tahun adalah waktu solat fardhu.


Tafaqquh ialah semangat untuk memahami agama. Berapa ramai di antara kita yang peduli agama? Setiap hari dia berusaha menambah ilmu agamanya. Dalam dunia yang dinamik, setiap hari akan timbul hal-hal yang baharu. Hal itu memerlukan kepada soal penetapan hukum. Misalnya hari ini kes anak luar nikah. Sehingga November 2008, seramai 257144 bayi luar nikah didaftarkan. Apakah hukum kepada mereka apabila mereka besar dan mahu berkahwin nanti (terutama walinya)? Hari ini, apabila orang bukan Islam membaca ayat al-Quran, kenapa kita bising? Walhal kadang-kadang kita pun jarang membaca al-Quran. Apa pula halnya dengan kita (orang Islam) yang masih tidak mahir membaca al-Quran? Terasa pula saya sangat sedikit ilmu al-Quran.


Bi’ah sholehah bermaksud persekitaran. Kawan-kawan dan suasana sekeliling tempat tinggalnya. Apakah seseorang itu mempunyai kawan-kawan yang baik atau sebaliknya? Kawan-kawan yang baik perlu terutama apabila kita mati. Merekalah yang akan mendoakan kita. Ketahuilah saudaraku, tangisan orang hidup untuk si mati adalah bebanan untuk orang mati. Setitis air mata yang menitis di kuburan, gantinya satu sebatan malaikat kepada mayat.


Isteri sholehah (atau suami yang sholeh). Pasangan hidup memang menjadi perkara penting. Punca atau asbab seseorang lelaki masuk ke syurga adalah isterinya. Apakah seseorang lelaki akan tenang jika mendapat isteri yang tholehah? Bagaimana dia akan menghadapi Allah di sana?


----------## ---------------##

Kuliah Subuh, Ustaz Thirmidzi, 18 April 2009, Masjid Al-Hidayah Sentul.


Tiada ulasan: