Selasa, April 28, 2009

Nikmat adalah ujian

Beberapa hari lalu, saya membaca surah Az-Zumar. Tiba pada ayat 29, iaitu ayat yang membuat perbandingan di antara seorang hamba yang dimiliki oleh beberapa orang yang bersyarikat dan saling bertelagah dengan seorang hamba yang hanya dikuasai oleh seorang tuan; maka siapakah yang lebih baik? Pertanyaan yang ditanya dalam ayat itu ialah “Hal yastawiaani matsalaa” (Apakah sama di antara kedua-dua hamba itu?). Ayat itu menceritakan beza di antara seorang yang mempunyai hanya Tuhan (Alllah) dengan seseorang yang memiliki banyak tuhan. Tentulah yang hanya mempercayai hanya Tuhan (Allah) lebih baik halnya.


Sambungan daripada pertanyaan itu ialah “Alhamdulillah” (Segala pujian bagi Allah). Dalam ayat ini, mengikut kaedah bahasa, lebih elok dibaca dengan wakaf (berhenti) di antara pertanyaan dengan kalimah hamdalah; dan di dalam mushaf Uthmani memang diletakkan tanda waqaf lazim di antara keduanya. Namun jika dibaca secara washal, di antara soalan dengan kalimah hamdalah itu, maka bagaimana bacaannya? Bagi orang yang tidak mahir akan dibaca sahaja, “matsalalhamdulillah..”, walhal di sini wujud keadaan huruf bertanda tanwin (fathatain) dengan kalimah alif lam yang disebut iltiqaa-u as-saakinain, dan semestinya kalimah matsalan itu akan menanggung kalimah al-hamdulillah. Oleh sebab sifatnya menanggung kalimah berikutnya, maka satu barisnya diganti dengan huruf nun bertanda katsrah (bawah), dan bacaannya menjadi matsalanilhamdulillah.


Selain daripada ayat 29, saya juga tertarik untuk mengajak kita berfikir darihal watak manusia seperti yang disebut dalam ayat 49 surah Az-Zumar. Dalam ayat itu disebut bahawa ada seorng lelaki apabila ditimpa kesusahan, dia akan meminta doa (dengan ikhlas) kepada Allah, tetapi apabila dilimpahi nikmat, dia berkata; “Kesengangan (nikmat) yang aku peroleh ini adalah disebabkan kepintaranku.” Nak betapa inilah penegasan yang menunjukkan bahawa nikmat itu adalah ujian. Nikmat bukan semuanya baik, bahkan nikmat menjadikan manusia lalai daripada mengingati Tuhan. Ya, semaklah sendiri diri kita. Ketika kita sihat apakah kita 'mengeluh' – Aku sihat, syukur. Tetapi sebaliknya apabila kita sakit, barulah kita teringat, “Oh! Aku tidak sihat.” Keluhan seperti itu lumrah bagi kita.



Catatan lewat. 6.15 petang, Sentul, KL.


Tiada ulasan: