Jumaat, April 03, 2009

Catatan Jumaat

Puji dan syukur buat DIA.


Detik tengah malam tadi, ketika sesi penggambaran berlangsung sempat juga saya berbicara dengan SETPOL MB Kelantan, pemilik Anbakri Publika. Beliau katakan kepada saya, “Satu buku berjudul Bidadari ….. akan dilancar oleh Tuan Guru sempena Pesta Buku KL, pertengahan April nanti.” Saya kira ini suatu yang menarik untuk diperkatakan. Bagi mereka yang biasa membaca buku Unplugged dan Unplugged 2, Belajar dari Dua Umar, atau Surat-surat Tak Terhantar pasti akan mengingati gaya penulisan yang dititikberatkan oleh saudara Anbakri ini. Iya, gayanya bersahaja dengan tataran sastera tetapi mudah dihadam oleh pembaca (orang awam). Tulisannya tidak terlalu bersifat elitis seperti karya sastera besar kerana memang tujuan kita menulis untuk memahamkan dan menyampaikan mesej kepada pembaca. Saya kira, sesiapa pun bersetuju dengan saya dalam hal ini. Dalam senarai buku yang saya sebutkan di atas, Belajar dari Dua Umar bukanlah sentuhan langsung beliau. Namun begitu, apabila beliau menjadi penerbit karya tersebut, fahamlah kita bahawa dasar editorial yang ditetapkannya telah dipenuhi. Nah, anda boleh sahaja dan harus membaca karya-karya yang saya sebutkan itu kerana sememangnya kita tahu, selaku SETPOL Tuan Guru, beliau mempunyai sentuhan atau bayangan pemikiran tuan guru di dalam karya-karyanya.

Bulan April sudah masuk hari ketiga. Awal-awal bulan begini saya pasti dahulukan bayaran-bayaran yang perlu diberesi. Syukurlah. Hutang biaya pendidikan PTPTN sudah dilunasi. Wang simpanan bulanan yang tidak seberapa sudah dipindah ke akaun berkaitan. Wang bayaran rumah sewa sudah diserahkan kepada bendahari rumah sewa. Dan perancangan kewangan bulanan juga sedang dirangka dan perlu diperhalusi sedikit, agar dapat saya optimumkan perbelanjaan. Formula saya mudah, jika terdapat baki di akhir bulan, wang itu secara automaik akan disimpan dalam akaun lain. Dan rata-ratanya tidak selalu hal itu terjadi kerana kadang-kadang berlaku hal di luar jangka seperti biaya kesihatan. Pun begitu, bulan April 2009 ini dapatlah saya menarik nafas lega. Mengapa? Pertama saya baru sahaja dikhabarkan satu karya akan disiar dalam Tunas Karya keluaran Mei 2009. Terima kasih buat Bonda Noraini Abdul Hamid kerana menghadiahkan majalah kelolaan beliau (edisi Februari 2009) kepada saya. Jarang-jarang dapat saya jumpa seorang editor seperti beliau. Bayangkan, pertama kali berjumpa beliau terus menghulur majalah itu tanpa banyak soal. Malu alah juga untuk saya terima.


Jika tuan-tuan sedang mencari maklumat berkaitan perkembangan bioteknologi Malaysia, bolehlah berbuat demikian dengan merujuk makalah saya berjudul Pascapelancaran dasar Bioteknologi di majalah Dewan Ekonomi, April 2009. Ini tulisan saya yang berkesinambungan daripada tulisan terdahulu pada tahun 2005. Menulis karya yang tidak seberapa ini sangat bererti bagi saya. Ketika Malaysia mengadakan Persidangan BIO Malaysia sekitar Ogos 2008, saya sudah mula mencari bahan dan maklumat untuk dimuatkan dalam makalah ini. Saya ikuti wawancara khas di Bernama TV bersama CEO BiotechCorp. Kemudian saya teliti juga fakta-fakta berkaitan daripada laporan akhbar sama ada berbahasa Malaysia atau Inggeris. Sehingga saya sanggup membeli sebuah majalah bisnes berbahasa Inggeris kerana terdapat input yang membantu di dalamnya. Saya emelkan makalah itu pada pertengahan Mac 2009. Memanglah durasi enam bulan untuk menyiapkan sebuah makalah seperti itu sangat lambat dan tidak 'berbaloi' bagi sesetengah pihak. Tetapi bagi saya, ada kepuasan tersendiri kerana hal yang ingin disampaikan bukan semata-mata mahu melepaskan batuk di tangga. Menjadi tabiat saya, menulis dengan mendapat fakta yang meyakinkan kerana saya bimbang sekiranya terdapat cacat cela di dalamnya dari segi fakta, hal itu sedikit sebanyak akan menyusahkan pihak-pihak yang berkaitan. Saya sedar, menulis makalah dalam majalah seperti Dewan Ekonomi adalah suatu yang berat kerana perlu 'bermain' dengan fakta. Ketelitian 'bermain' dengan figurasi dan fakta itulah membuktikan kesungguhan seseorang dalam penulisannya.


'ala kullihaal, selamat membaca.

Tiada ulasan: