Isnin, Mac 30, 2009

Bercakap tentang wang


Suatu hari saya makan bersama-sama staf senior, sempena meraikan kami sebagai junior-junior dalam syarikat. Saya sangat kagum dengan prinsipnya. Kata beliau, saya tiga perkara yang tidak boleh. Jika anda mahu cakap atau kongsi apa-apa, silakan. Tetapi jangan cakap atau kacau tiga hal ini. Pertama, karaoke. Kedua, soal cinta. Ketiga waktu hujung minggu. Dia juga berpesan kepada saya dan rakan-rakan dengan berkata, “Jika wang dijadikan alasan untuk tidak berkahwin, anda sebenarnya silap. Sesiapa pun, sama ada kahwin atau hidup membujang punya masalah kewangan. Setiap orang ada keperluan dan kehendak dalam hidup yang mahu dipenuhi. Keperluan dan kehendak itu semuanya perlu kepada wang.”


Benar juga telahan beliau. Jika wang bukan masalah, maka tiadalah orang yang berbelanja dengan berhutang. Jika keinginan manusia kecil, maka tiadalah manusia yang semakin kaya semakin membukit pula hutangnya. Kata ibu saya, orang kaya bukan disebabkan harta mereka, bahkan mereka sebenarnya mampu membeli semua aset dengan berhutang, dan bank memberi hutang berdasar kemampuan mereka (potensi) mereka bukan kemampuan sebenar mereka membayar hutang tersebut. Sebagai contoh, pemegang kad kredit diberi peluang oleh pihak bank berbelanja lapan kali ganda gaji bulanannya. Sebab itu ramai pemegang kad kredit akhirnya diisytiharkan muflis. Saya pernah berpengalaman melihat kepayahan seorang yang bankrap ketika berurusan di bank. Bayangkan, untuk menunaikan cek biasa pun, dia terpaksa mendapatkan perakuan daripada pegawai ARB, kemudian baharulah cek itu dapat diproses oleh pegawai bank. Bagi kita yang tidak muflis, cek dapat ditunaikan dengan mudah bergantung kepada jenis cek dan bank pembayar. Malahan kebanyakan bank yang mengaplikasi sistem perbankan Islam, sudah pun mengecualikan caj RM0.50 untuk cek luar.

Dalam al-Quran disebut bahawa kekayaan adalah suatu amanah dan ujian kepada pengendalinya. Bahkan ditekankan bahawa sebagai penguasa ke atas perbendaharaan negara, mereka dilarang sama sekali mengitarkan wang itu di kalangan puak-puak mereka sahaja. Jika kita rujuk dalam surah al-Hasy, ada difirmankan “..kailaa yakuuna dulatan baina al-aghniyaa-i min kum..” yang bermaksud, “...agar tidak berlegar harta kekayaan (perbendaharaan negara) di kalangan kamu sahaja..” Tentulah ayat ini mengajar kepada kita betapa agihan kekayaan negara mestilah dibuat dengan adil supaya orang yang miskin tidak jauh ditinggalkan di belakang oleh orang-orang kaya. Kebanyakan negara bangsa yang wujud hari ini adalah sebaliknya. Sudah wujud terma proksi iaitu jutawan segera yang disebabkan oleh tongkat, pertolongan, naungan dan sumbangan daripada tokoh politik. Kebanyakan orang yang menjadi ahli perniagaan kemudian menjadi jutawan adalah mereka yang bangun di atas dasar kurniaan bukan kepada bakat atau kepandaian perniagaan semata-mata. Saya tidak berkata, semua ahli perniagaan yang berjaya begitu, tetapi kebanyakannya begitulah. Jika ada pun ahli perniagaan tulen, nama-nama mereka boleh dibilang dengan jari. Amat sedikit yang bermula dari bawah dan naik secara perlahan-lahan dengan susah payahnya berbanding dengan mereka yang naik secara tiba-tiba kerana naungan dan payung politik.

Apa pun, dalam dunia kapitalis yang sedang merudum ini kita telah sama-sama menyaksikan zaman keruntuhannya sekali lagi. Dan raja kapitalis yang jatuh pada hari ini pun, tiga peratus daripada nilai mata wangnya dalam bentuk fizikal. Selebihnya (97%) hanya angka-angka dalam komputer yang dimanipulasi menerusi sistem riba. Sebab itu, kebelakangan ini umat muslim sedang rancak menjalankan kempen agar kita mengguna pakai sistem wang dinar (emas) kerana nilainya lebih stabil dan tidak mudah susut disebabkan mainan spekultor atau percaturan kapitalis. Selagi sistem kapitalis dikekanlan, selama itulah negera umat Islam akan terus ke belakang dan terus mundur. Selama itu, umat Islam tidak mempunyai kekuatan untuk melawan kuasa besar dunia (barat/Yahudi) terutama melalui proses boikot produk-produk mereka.

2 ulasan:

ILHAM HAMDANI berkata...

Salam Tuan Naimisa yang dihormati,

Tahniah atas karya tuan yang keluar dalam Tunas Cipta. Harapnya yang tunas hijau itu sedikit hari lagi akan menjadi daun lebat dan berbuah ranum,:)

Senang sekali membaca tulisan Tuan, apatah lagi dengan gaya Bahasa Melayu Tinggi (meminjam istilah Sifu Puan Ainon Mohd). Betapalah bahasa ibunda kita ini indah seni, sebetulnya!

IlhamHamdani,
Canberra, Australia

Naim berkata...

Ilham Hamdani,

salam kembali.
terima kasih.
-:)
dan harapnya bahasa ibunda itu tetap didaulatkan.