23 Mac 2009. Saya tidak mahu bercerita darihal nasi lemak rasa sayangnya. Saya juga tidak mahu ceritakan darihal kelab golfnya, yang kebanyakan pengunjung kelab lebih suka ke Restoran Rasa Sayang. Tetapi saya mahu ulas insiden kekerasan pihak keselamatan, yang saban waktu semakin berleluasa tanpa belas.
Dahulu saya pernah menumpang teduh di salah sebuah rumah di taman perumahan ini. Taman Ria Jaya sememangnya terkenal sebagai kawasan tumpuan orang Melayu, dengan sedikit komposisi kaum Cina, India dan rakyat asing (Bangladesh, Indonesia, Myammar,Vietnam). Saya masih ingat, saudara Rosli yang menerajui Pemuda PAS pernah berseloroh kepada saya agar menyertai beliau dalam pergerakan pemuda. Saya kata, “Maaflah, saya hanya tiga bulan di sini.” Ya, tempoh praktikal saya singkat, di sebuah kilang yang tidak jauh dari kawasan perumahan. Dan saya amat berterima kasih kepada beliau dan rakan-rakan kerana sudi memberi ruang kepada saya bersama-sama dalam program mereka.
Peristiwa orang awam digempur dengan gas pemedih mata dan air kimia bukanlah yang pertama kali dalam siri ceramah pembangkang. Tetapi itulah yang kerap diulang-ulang oleh pihak berkuasa. Kebenaran yang cuba ditenggelamkan pastilah akan menambah rasa benci dan meluat rakyat kepada pemerintah. Jika tidak, masakan sampai begitu sekali halangan yang dibuat oleh mereka. 23 Mac juga nampaknya detik hitam buat pencinta ilmu dan kebenaran. Saya dahulukan ilmu kerana maklumat yang dimuatkan dalam akhbar Harakah itu sebenarnya lebih autentik dan rinci. Cubalah dibandingkan nilai ilmiah dalam artikel-artikel akhbar ini. Pasti nampak jauh bezanya dengan akhbar-akhbar lain. Dan saya letakkan kebenaran kemudiannya, kerana memanglah menjadi fungsi akhbar selaku lidah rasmi parti untuk menyatakan kebenaran. Jika terdapat isu yang memerlukan kepada penerangan, mereka tidak boleh tidak terpaksa melibatkan pihak yang bertentangan dengan mereka. Dan tentulah hal itu dilakukan dengan penuh dedikasi mengikut etika kewartawanan.
Nampaknya penggantungan yang panjang ini semacam satu usaha awal untuk memenangi siri-siri pilihanraya yang bakal berlaku. Pihak pemerintah sudah tidak berupaya menyekat kehendak rakyat untuk melihat perubahan dalam kerajaan. Kita sama-sama tunggu dan lihat sahaja apakah keputusan yang diputuskan oleh majoriti rakyat di kawasan-kawasan pilihan raya itu nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan