Saya sedang membaca Kuras-kuras Kreatif nukilan Hj. Azizi Abdullah. Dan di dalamnya diceritakan pengalaman hidup yang kemudiannya menjadi ilham kepada penulisan beliau. Banyak yang ditulis diolah daripada hal-hal yang berlaku di sekitar kehidupan beliau. Begitu saya difahamkan dan faham melalui coretan beliau dalam proses kematangannya menjadi seorang penulis. Itulah kemudian akhir-akhir ini dinamakan sebagai andalan peristiwa.
Jika saya mahu ceritakan zaman kanak-kanak yang masih saya ingat, hal itu akan menulis begini. Sewaktu cuti sekolah, sesekali bapa membawa saya ke ladang. Lebih-lebih lagi kalau musim kelkatu keluar dari busutnya. Bolehlah sementara bapa melakukan kerja, saya duduk memancing ikan di sungai buatan dalam sistem pengairan ladang. Kadang-kadang apabila umpan mengena, saya tidak dapat mencabut mata kail. Terpaksalah diminta bapa mencabutnya. Ikan yang 'suka' menelan umpan sampai ke perut adalah haruan. Manakala keli pula memang liat dan sukar diurus kerana sengatnya. Dan sesekali puyu pula, disebabkan pekasamnya yang berduri. Tiga jenis ikan ini saya serahkan kepada bapa jika tidak dapat selesaikannya.
Satu hari, ketika rehat bapa merebahkan galah sabitnya di tanah. Dari awal dia meminta saya berhati-hati kalau-kalau melangkah ke arah mata sabit. Saya memang endah tidak endah pesanan itu. Melangkah juga dalam keadaan saya tidak sedar sama sekali mata sabit telah menyambar kaki. Hanya setelah kaki terbelah dan darah mengalir, terasa nyilu kaki itu. Padan muka. Tetapi bapa tidak bising lagi. “Orang dah pesan. Degil juga.” Khali. Bapa ambil kain tuala yang dililit di kepalanya lalu mengesat darah yang mengalir. Lalu dicapainya pucuk senduduk dan mengupur tempat luka. Terus sahaja pada hari tersebut bapa tidak menyambung kerja selepas waktu rehatnya. Barangkali itulah yang menjadikan saya liat untuk ke ladang setelah menginjak remaja. Sehingga selepas sepuluh tahun selepas itu, baharulah saya menjejak kaki ke ladang membantu meringankan kerja beliau.
Apa sebenarnya yang diperoleh daripada didikan ini? Secara tidak langsung, bapa gunakan hujah keadaan kerjanya sebagai memotivasikan kami. “Jika hari ini bapa sebagai peladang, anak-anak bapa paling tidak menjadi pegawai ladang.” (Ya. Saya abadikan satu cerita tentangnya dalam cerpen kanak-kanak: Antologi Cerpen Mangkuk Tempurung Nenek). Tetapi ternyata, sehingga kini saya lari jauh dari semua itu kerana keadaan tidak mengizinkan saya malahan adik-adik yang lain untuk berada dalam jalur pekerjaan bapa. Maknanya kami tidak menyambung pelajaran dalam bidang perladangan. Kami menjurus kepada bidang sains sahaja. Sesekali saya rasa menyesal kerana sewaktu bapa mahu saya masuk aliran agama, saya tidak menyahutnya. Kata saya, “Agama bukan untuk golongan agamawan sahaja. Sesiapa sahaja boleh menyumbang kepada pembangunan agamanya.” Kekesalan ini saya nyatakan dalam sepucuk surat. Saya mohon maaf, kemudian berharap agar ada di antara adik-adik yang diserap masuk ke aliran agama. Dan hanya selepas 15 tahun, baharulah ada seorang daripada kami yang diserap ke aliran agama. Yang lain-lain setelah melepas takah darjah enam, semuanya dihalakan ke aliran sains.
1 ulasan:
Salam'alaik...
Adakah sisa2 kekesalan itu masih menebal??...
Ana juga antara golongan yang sesal ... kini... selepas terlihat bodoh-bodoh alang... baru terhengeh-hengeh mencari ilmu agama...
Ah masih tetap sesal... kalaulah dahulu mendengar kata ibu!!
Pasti amarah selalu dapat dikawal... kalaulah...
Catat Ulasan