Sabtu, Mac 07, 2009

Biarlah kami melakar sejarah bangsa ini

Hari ini hujan. Memanglah hujan, apa hendak dihairankan? Ya. Tahukah. Sebelum ini kalau ada trak merah bitu dengan tulisan putih dan ada lambang serigala….. kerja orang-orang di dalamnya tidak lain kalau bukan menyembur air ke jalan raya.


Patutlah kalau disembur air waktu jalan berdebu sakan. Tapi hari ini, memang mereka tak perlu menyembur jalan raya. Hujan renyai-renyai sudah memadai. Syukur juga hujan tidak selebat minggu lepas sehingga menyebabkan banjir kilat di beberapa kawasan sekitar ibu kota ini.

Tadi pun sewaktu dalam perjalanan pulang, kami terserempak trak merah biru putih itu. Semua yang di dalamnya pun diam. Agaknya lega kerana tidak terlalu letih membersihkan jalan raya patang tadi. Begitulah ketentuan DIA. Saya pun hairan. Kami pun lagi hairan. Ramai orang hanya berjalan-jalan. Santai sahaja. Tiada pula kelihatan seperti mahu membuat sesuatu yang aneh. Apa salahnya berjalan-jalan? Bukannya mereka membuat hal yang menyebabkan kenderaan lalu lalang rosak. Kalau nak dikata, jalan sesak kerana manusia ramai, di laluan pasar minggu atau pasar malam atau pasar pagi di Sentul ini pun sentiasa sesak. Jadi apa hendak dihairankan? Biasalah kalau orang ramai, memanglah sesak.

Tapi kata orang yang menghantar trak merah itu, kononnya akan berlaku kekacauan. Kita pun hairan. Siapa nak buat kacau jika tiada provokasi. Macam kita melihat sarang tebuan, apakah tebuan akan menyerang kita jika hanya melihat-lihat? Lainlah kalau sarang itu dijolok. Memanglah tebuan akan menyerbu kita dengan sengatnya sebagai langkah mempertahan diri. Tapi kami bersyukur. Kami selamat pulang. Dan tentulah kami harapkan kami jadi sebahagian daripada sejarah. Biar suatu hari kami jadi manusia yang bermaruah. Maruah kami pada bahasa kami. Kerna pepatah ahli bahasa mengatakan “Bahasa jiwa bangsa.”


Tetapi terima kasihlah. Mungkin juga saudara-saudara dari trak mereh itu terlebih pandai untuk kononnya menghalau nyamuk. Semacam aktivti forging pula. Apa, kami ini nyamukkah? Hari ini memanglah mata kami yang pedih-pedih. Besok lusa, siapa tahu tangan brother pula yang sakit-sakit sebab didoakan sebahagian daripada kami. Masa itu mungkin saudara-saudara di atas trak merah akan menyesal tak sudah-sudah. Jika tidak pun, apakah saudara kira akan selamat menghadapi pengadilan DIA di akhirat sana?



Kami pun tidak tahu. Jika tiada perubahan, tunggulah giliran kami untuk melantik mereka yang akan melayan kami. Kami pun ada kuasa. Kuasa itu di hujung mata pensil, buat kami lorekkan tanda pangkah nanti. Jika dalam masa terdekat, Pi Em kami yang baharu mengambil tindakan yang selari dengan desakan kami, kami pun tahu itu tindakan politik. Atas kepentingan politik untuk mendapat sokongan. Tapi kami tetap tahu hal itu.



Naimisa, Sentul, KL. 07032009, Jam 1845.

Tiada ulasan: