Alhamdulillah.
Saya semacam mendapat kekuatan untuk terus menulis. Semalam dapatlah dikirim satu karya untuk dipertimbangkan editor akhbar. Jika bermutu, karya akan disiar. Jika tidak, eloklah disimpan dalam koleksi peribadi sahaja. Seorang rakan saya yang prolifik menulis menasihatkan saya agar membiar karya yang dihantar ke meja editor selama enam bulan. Jika tidak disiarkan, baharulah boleh dibuat pertimbangan untuk dihantar kepada editor lain pula. Dalam dunia serba canggih ini, sesebuah karya jika telah disiar di media elektronik tidaklah sukar untuk dijejaki. Justeru, menyiarkan karya di blog atau mana-mana media eletronik adalah praktik yang tidak bagus untuk penulis. Maknanya jika mahu karya itu disiar di media cetak, perlulah dipastikan hanya media itu yang memiliki hak ekslusif penyiarannya.
Syukur juga, rakan penulis yang ada hari ini menjadi semacam tulang belakang yang senantiasa memberi galakan kepada saya untuk menulis. Mereka sering bertanya apakah saya ada karya terbaharu, di samping mengiklankan karya-karya mereka yang disiar. Ini suatu yang bagus, sekurang-kurang perkara itu menjadi sumber inspirasi, pembakar semangat kepada saya untuk tidak menggantung pen (berhenti mengetik papan kekunci komputer). Dan salah seorang daripada mereka jugalah yang bertanggungjawab untuk membawa saya menjadi semacam orang yang penuh dengan aktiviti penulisan untuk bulan April nanti. Ya, bulan April 2009, bermula dengan aktiviti di DBP pada 31 Mac – 2 April 2009. Tetapi syukurlah bos kami yang amat perihatin terhadap kesibukan kerja kami memberi alternatif. Kami boleh hadir untuk hanya satu hari dan hari itu dikhususkan untuk komuniti sastera kami sahaja. Maknanya akan digabungkan juga dengan peserta seminar yang terdahulu. Bagusnya seminar kali ini adalah sifat antarabangsanya. Penulis dari negara jiran turut serta. Tetapi malanglah bagi saya, kerana tidak dapat mengikuti program sepenuhnya tiga hari lantaran kekangan kerja. Apa pun, daripada tidak dapat langsung, lebih baik dapat yang sedikit. Cuti kalau dipohon sehari itu rasanya tidaklah menyukarkan ketua jabatan untuk meluluskannya.
Kemudian saya juga akan menyertai perhimpunan penulis muda di Ayer Keroh, Melaka pada 17 – 19 April 2009. Saya memang kaki jalan, ya walaupun hari ini saya tetap menaip dari pejabat. Saya suka berjalan kalau ada tujuan khusus. Jika tidak, hujung minggu hanya dihabiskan di rumah bersama-sama akhbar. Atau jika bosan, menatap satu dua bab dalam novel kemudian masuk pejabat. Bercakap soal buku, saya ingat sekarang ini beberapa buku dan novel saya sedang dipinjam oleh rakan-rakan. Sekadar catatan untuk tidak melupakan saya, berikut senarai buku/novel yang masih dalam pinjaman:
- Travelog Dakwah: Menanti Hari Esok
- Cinta Berbalas di Meja 17
- Ketika Cinta Bertasbih (Episod 1 dan 2)
- Ahli Alkimia
- Salju Sakinah
- Cerita Gelisah
Sekadar ingatan buat diriku
Tiada ulasan:
Catat Ulasan