Sabtu, Mac 21, 2009

Lif


Apa pentingnya lif? Memang mesin seketul ini sangat diperlukan terutama jika kita mahu menaiki bangunan tinggi. Piawai untuk bangunan di Malaysia (dan dunia) ialah empat tingkat. Maknanya jika bangunan itu lebih daripada empat tingkat, perlu disediakan lif. Kawasan rumah kediaman saya kini merupakan flat 16 tingkat. Lifnya berhenti pada tingkat dalam gandaan empat. Hanya ada empat hentian (pit stop). Jika saya misalannya berada di tingkat 10, perlulah memilih sama ada untuk berhenti di tingkat lapan atau 12. Biasanya kami akan turun di tingkat 12 tetapi apabila mahu ke bawah, kami menapak ke tingkat lapan pula.

Apabila ke pejabat, bangunan yang menempatkan ruang pejabat syarikat majikan saya bernombor 11, tetapi buat masa ini saya 'singgah' sebentar di tingkat 13. Begitulah hari-hari saya akan beraktiviti (menyiapkan tugas) di tingkat 13. Blok ini setinggi 18 tingkat. Dan berbeza rekabentuknya kerana setiap aras ada hentian. Tidak seperti sistem lif di bangunan rumah flat saya. Satu tabiat yang menarik apabila saya mahu turun ke aras sifar ialah saya akan menekan butang ke atas. Orang bertanya, “Apa hal tekan ke atas?” Saya kata, “Jika lif sedang rehat di aras sifar ia akan lebih cepat respon jika butang naik ditekan.” Dan selalunya saya betul dalam hal ini.

Lif tercantik? Setakat ini saya fikir lif paling cantik yang pernah saya gunakan ialah di Suria KLCC. Kemudian barulah di Low Yat. Cumanya kalau hendak dilihat dari segi nilai, lif Low Yat lebih tinggi kerana ada coretan iklan di pintunya. Bahkan di ruang dalamnya juga begitu. Tetapi kadang-kadang ada waktu lif yang cantik akan menjadi hodoh dan jelek jika ada asap rokok atau sampah di dalamnya. Saya fikir, minda sesetengah orang daripada kita perlu diperbetul cara fikirnya. Apakah ada lagi cara terbaik untuk mencegah orang merokok atau melarang mereka menyampah (buang sampah) selain tanda amaran DILARANG MEROKOK atau DILARANG MEMBUANG SAMPAH?

Satu lagi tabiat menggunakan lif yang saya suka praktikkan ialah tidak akan memasukinya jika ada seorang perempuan. Maknanya jika katalah ada seorang perempuan sahaja, kemudian yang kedua itu adalah saya, maka saya biarkan dia masuk dahulu. Saya lebih gemar menunggu giliran lain untuk menggunakan lif itu atau mengguna lif lain pula. Ya. Sekarang ini zaman yang penuh dengan berantakan. Saya bimbang kalau-kalau berlaku hal-hal yang tidak enak lalu saya dijadikan kambing hitam (dituduh melakukannya). Tuan-tuan bukan tidak baca, ada lawak bodoh yang mempersenda agamawan dalam lif yang tiba-tiba terpadam lampunya. Carilah sendiri dan walau pun ia lawak bodoh, sebenarnya itu adalah cubaan menghina agamawan yang tidak sepatutnya berlaku.

Tiada ulasan: