Selasa, Januari 06, 2009

Resensi buku Berkarya di Alam Siber


Judul : Berkarya di Alam Siber.

Penulis : Irwan Abu Bakar dan Hasimah Harun

Penerbit : eSastera Enterprise

ISBN : 9789675043079

Harga : RM25.00

Pengulas : Naimisa Yusof




JIKA anda mendalami ilmu kejuruteraan yang bersifat fundamental, pengaturcaraan dan kemahiran atau membaca manual pengguna, anda akan mendapati kandungan buku tersebut boleh diaplikasi ke dunia nyata. Banyak sekali buku panduan berbentuk biasanya buku motivasi yang tidak berjejak. E-sastera Enterprise tampil dengan sebuah buku dalam kategori ini melalui buku terbaharu berjudul Berkarya di Alam Siber (BdAS). Sebelum buku panduan ini ditulis, e-Sastera Enterprise telah mengasaskan komuniti sastera maya khusus buat pencinta sastera siber. Kecanggihan teknologi dimanfaatkan sepenuhnya apabila komuniti sastera siber www.esastera.com (selepas ini diringkaskan sebagai esastera.com) menyediakan hampir keseluruhan genre sastera termasuk Komsas PMR dan SPM serta Haiku, Tanka dan Senyu. Sehingga kini terdapat 22 komuniti sastera di dalam majalah elektronik e-Sastera Enterprise yang diasaskan pada Februari 2002.


Buku panduan BdAS ini mengajak para pembaca menilai semula sejarah kewujudan sastera siber, kemudian sejarah penubuhan komuniti sastera di Malaysia khususnya esastera dom com. Selain itu, pembaca juga akan didedahkan dengan manual pelayaran (surfing guideline) yang memerlukan pengguna menjadi pengguna berdaftar. Hal ini kerana esastera.com merupakan majalah sastera elektronik yang serius. Pengguna perlu menjadi ahli yang berdaftar dan bertanggungjawab penuh terhadap setiap tulisannya. Setiap ahli yang berdaftar layak menyiarkan apa-apa karya yang berkaitan mengikut komuniti yang diminati, memberi komen, kritikan, dorongan atau menyuarakan pendapat terhadap karya ahli-ahli lain. Konsep yang dipraktikkan di majalah esastera.com telah berjaya melahirkan penulis yang mantap. Siapa tidak kenal dengan Nimoiz TY? Penulis buku MENJADI PENULIS JUTAWAN yang aktif menulis di esastera.com. Namun tidak dinafikan, pengasas majalah esastera.com dan isteri beliau cikgu Hasimah Harun juga banyak menghasilkan buku sastera seperti Kursus Kepenyairan esastera, Sajen dan Semelar.


Kelebihan buku ini adalah dari segi kandungannya iaitu meletakkan grafik semacam antaramuka pengguna (user interface) yang menjadikan BdAS mesra pengguna. Paparan grafik itu adalah imej pegun laman web sebenar dalam majalah esastera.com. Hal ini memudahkan setiap pengguna meski tidak pernah memiliki pengalaman menggunakan internet. Tentunya menjadi kelebihan berkarya di alam siber apabila penulis boleh menambah elemen grafik pegun (statik) atau bergerak (animasi), bunyi, jenis, saiz dan warna huruf, latar belakang dan bentuk pemerengganan yang disukai. Terdapat juga alat bantu seperti penggunaan tag bahasa pengaturcaraan HTML yang mudah dimasukkan dalam buku ini. Kod HTML ini sedikit sebanyak dapat menambah keelokan karya siber. Selain itu, pembaca buku ini didedahkan juga dengan aspek luaran seperti aktiviti luar komuniti esastera dot com seperti bengkel penulisan dan majlis anugerah Hadiah e-Sastera dot com (HESCOM).

Selaras dengan perkembangan dunia di hujung jari, adalah tidak rugi jika setiap pencinta sastera bergiat dalam medium maya. Di samping dapat 'bertemu' dengan peminat sastera seluruh dunia, anda juga mampu mempererat jaringan rakan-rakan yang meminati sastera. Sayugia dimasukkan tagline “eSastera – Masa Depan Sastera Anda”. Selamat berkarya!

Tiada ulasan: