Ahad, Januari 04, 2009

Keunikan cinta dalam Surat-surat yang Tak Terhantar


Judul : Surat-surat yang tak terhantar
Penulis : Anbakri
Penerbit : kAPAS Publication
ISBN : 98328580504
Pengulas : Naimisa Yusof



Antologi surat dan puisi. Jarang-jarang kita disajikan dengan sekumpulan surat yang biasanya menjadi hal privasi bagi sesetangah orang. Surat-surat tak terhantar mengajak kita menilai erti cinta dan kehidupan. Anbakri memperkenalkan antologi beliau sebagai yang berikut: Surat-surat yang tak terhantar adalah tempias-tempias rindu yang lembut membasahi sebuah berenda. Ia merakamkan keresahan seorang aku yang cuba berindah di dalam pilu. Dari sejak memahami pengertian rasa, aku telah disentuhi cinta tanpa disengaja.
Uniknya cinta. Cinta serampang dua mata – suka dan duka. Jikalau ia secantik nilam, ia juga menyembunyikan sembilu yang amat tajam. Anbakri merakamkan bentuk dan wajah cinta yang pelbagai. Cinta kepada Rabb. Cinta sesama insan – kekasih kepada kekasih, anak kepada ayah/ibu, ayah kepada anak, kawan kepada kawan. Juga tidak dilupakan rakaman keakraban beliau dengan seni. Sebanyak 39 puisi dan sembilan surat cinta disajikan kepada pembaca. Membaca surat-surat menjadikan kita diulit keasyikan kerana kepuitisan bahasanya. Selain itu, secara tidak langsung Anbakri sedaya mungkin berlaku jujur melakarkan realiti kehidupan mereka yang benar-benar memaknakan cinta. Hal ini menjadikan seolah-olah pengalaman zaman muda Anbakri pernah dilalui oleh kebanyakan daripada kita. Misalnya titipan dalam Nota Terakhir Buat Ayahanda.
Nota Terakhir Buat Ayahanda mendedahkan kekesalan seorang aku kerana lambat berkhidmat kepada ayahnya. Ya. Setiap orang pun, apabila sudah bekerja tambah-tambah lagi yang berasal dari keluarga yang susah/sederhana mahu membantu meringankan bebanan keluarga. Ada waktu tertentu kita diuji kesempitan, maka ditulisnya: Di situlah ayah, aku hidup dalam masa yang tidak pernah mengenal sempat. Hantaran ke kampung yang biasanya berjadual telah leka bertukar dari kadang-kadang kepada jarang-jarang. Pembaca perlu tabah dan kuat untuk menghabiskan pembacaan surat ini lantaran isinya yang benar-benar menusuk kalbu. Surat ini dikategorikan sebagai surat tidak terhantar lantaran penyesalan itu dilakar ketika sang ayah sudah tidak mampu lagi membacanya. Demikian penulis menyelitkan serba sedikit punca penulisan satu-satu surat yang dikarang.
Selain surat yang disebut di atas, Anbakri juga menitipkan surat-surat lain, antaranya:


  1. Di sinikah? (Zahari)

  2. Dan... perpalinglah seorang salmah (Hadi Mustafa)

  3. Warkah Buat Pemfitnah (Anbakri)

  4. Cinta yang terbiar (Anbakri)

  5. Memori Luka dari Roni (Roni)

  6. Nota Hassan yang Tertinggal (Sulong Abd Latif)

  7. Nota Terakhir Buat Ayahanda (Anbakri)

  8. Idi Menulis Buat Bonda (Idi)

  9. Warkah dari Ayahanda (Ayahanda)

  10. Catatan Diari BuatMu Tuhan (Anbakri)

  11. Seni dan Aku (Anbakri)


Sementara itu, puisi yang dimuatkan semuanya berkisar seputar cinta. Cinta memang unik! Buku ini boleh dibeli di Kedai esastera.com (http://www.esastera.com/kedai)


(Naimisa, 04012009, Jam 0500, Sentul, KL)

2 ulasan:

numumono berkata...

Assalamualaikum.

Saya sangat 'amazed' dengan sajak-sajak Anual Bakri dalam buku ini, walaupun saya pun tak pandai tulis sajak. Dear Writer, kalau ada sajak Anual Bakri yang boleh dikongsi di sini, itu sangat bagus.

Regards.

Naim berkata...

wa'alaikumussalam..
sdr numumono, jika mahu daftarlah di www.esastera.com/penyair

dan anda boleh baca mana-mana sajak/puisi tuan Annual Bakri (anbakri) dengan santai.

Terima kasih. -:)
@Naimisa