Isnin, Mac 29, 2010

Gambar di Gunung Chenuang




Laporan di bawah.

Ahad, Mac 28, 2010

Al-Fatihah


Imam Bukhari meriwayatkan satu hadis dari Said Bin Mu’allaq seperti berikut. “Dari Said Bin Mu’allaq radhiallaahu ‘anhu katanya; suatu hari aku sedang solat dan Rasulullah S.A.W menyeruku. Setelah selesai solat, aku bertemu nabi dan memaklumkan kepada baginda aku tidak menyahut seruannya kerana solat. Kemudian nabi bersabda, “Tidakkah kamu tahu bahawa apabila Allah dan rasul menyerumu, kamu wajib menjawabnya? Aku mahu ajarkan suatu surah sebelum engkau keluar dari masjid ini.” Kemudian aku bertanya semula, “Tidakkah engkau mahu ajarkan suatu surah sebelum aku keluar?” Nabi menjawab, “Ia tujuh ayat yang diulang-ulang (al-sab’ul mathaani) dan ia al-Quran yang agung.”


Al-Fatihah diberi dengan nama yang pelbagai antaranya ar-Ruqyah, as-solah, al-Hamd, as-Syifaa, Ummu al-Kitaab, Ummu al-Quran, as-sab’ul mathaani, dan al-Quran al-‘Aziim. Al-Fatihah dinamakan ayat yang diulang-ulang kerana dibacakan sekurang-kurangnya 17 kali dalam solat fardhu. Dalam satu hadis Qudsi, dinyatakan bahawa al-Fatihah dibahagikan antara Allah dan hambanya. Empat ayat pertama adalah bahagian Allah. Manakala tiga ayat terakhir pula bahagian hamba-hamba-NYA. Al-Fatihah dinamakan al-Quran al-‘Aziim kerana di dalamnya terdapat intipati al-Quran iaitu konsep ibadah, hari Kiamat dan sejarah umat terdahulu.


Suatu hari sekumpulan sahabat melalui sebuah perkampungan Badwi. Namun begitu mereka tidak dimuliakan sebagai tetamu. Ditakdirkan ketua kampung tersebut dipatuk ular. Maka mereka bertanya, “Siapakah di kalangan kamu boleh berjampi?” Seorang sahabat menjawab, “Aku.” Lalu sahabat tersebut mensyaratkan agar diberi hadiah. Penduduk kampung bersetuju memberikan sekumpulan kambing jika sakit itu sembuh. Lalu sahabat tersebut membaca al-Fatihah dan meniup pada air. AKhirnya sembuhlah ketua kampung tersebut dan mereka diberi kambing. Pun begitu, mereka (sahabat) tidak berani memakan kambing tersebut dan merujuk kepada nabi. Nabi mengatakan bahawa mereka boleh mengambil hadiah tersebut. Dalam perubatan nabi (ath-Thibb Nabawi), menjampi air dengan surah al-Fatihah adalah dibolehkan. Namun, mencapur aduk bacaan al-Fatihah dengan seruan kepada jin dan makhluk lain seperti yang dibuat oleh bomoh-bomoh adalah suatu hal yang salah sama sekali.

*********

Nota kuliah Subuh, 27 Mac 2010. Masjid al-Hidayah, Sentul, Ust. Wan Nasir.

Ekspidisi Mendaki Puncak Gunung Chenuang










Catatan peristiwa: 27 Mac 2010.

Gunung Chenuang terletak dalam daerah Hulu Langat, Selangor. Ketinggian puncak gunung ini 853 meter dari aras laut. Projek Unit RSA, CSR dan HRA kali ini melibatkan 12 orang peserta; 7 lelaki dan lima perempuan. Seorang peserta merupakan bekas staf syarikat yang kini bertugas di Balai Polis Bukit Aman. Perjalanan bermula jam 8.00 pagi dari pejabat menaiki van syarikat. Setelah melepasi Balai Seni Lukis Negara, tiba-tiba pengarah program bertanya tentang begnya. Duit yang diperuntukkan untuk program sejumlah RM1000.00 berada di dalamnya. Beg tersebut tertinggal di atas kerusi di hadapan tempat letak kereta bangunan Plaza Sentul. Kami hanya mampu berdoa mudah-mudahan tiada orang yang panjang tangan menyambar begi tersebut. Syukurlah, beg itu masih ada apabila kami berpatah balik. Terima kasih kepada penjaga tempat letak kereta, seorang pemuda India.

Kami tiba di Chongkak Park & Resort (CPR) pada jam 9.45 pagi. Kami disambut oleh pengurus resort dan diperkenalkan dengan jurupandu ekspidisi iaitu En. Halim dan En. Ramli. Kumpulan kami turut disertai dua orang rakan En. Ramli dan seorang pendaki gunung En. Elvin. Menurut jurupadu arah, laluan yang dilalui sudah tidak digunakan sejak lima tahun. Perjalanan bermula di tapak perkhemahan CPR pada jam 10.15 pagi. Denai masih wujud tetapi untuk beberapa ketika En. Halim dan En. Ramli terpaksa membersihkan laluan yang sudah dihalangi buluh dan semak. Perjalanan mengambil masa kira-kira empat jam lima belas minit. Kami tiba di puncak Gunung Chenuang pada jam 2.30 petang. Sebuah mercu tanda dipasang dan ‘tandatangan’ terakhir daripada pendaki sebelumnya bertarikh 2005. Dari puncak ini, kami dapat melihat Empangan Hulu Langat, Batu Berkembar dan Bukit Tebuk. Bahagian Barat dan Timur Bukit Tebuk dipisahkan oleh empangan. Kami berehat di puncak kira-kira setengah jam sebelum turun semula ke CPR.

Perjalanan pulang penuh debaran kerana insiden terjatuh akibat batu licin. Syukurlah tiada kecederaaan serius dihadapi peserta berkenaan. Pemandu van syarikat juga bimbang sehingga menyatakan kebimbangannya, “Kalau jam 9 malam kamu belum turun, saya akan buat laporan polis.” Maklum sahaja, segala kemungkinan boleh berlaku kerana trek ekspidisi sudah lama tidak digunakan. Boleh jadi kami akan tersesat. Pun begitu, dengan kepakaran jurupandu arah, kami selamat pergi dan balik. Kami juga berpeluang merasa air dari akar Kelain. Akar kayu ini apabila ditebang akan mengeluarkan air. Rasanya seperti air mineral yang ditambah sedikit garam. Warnanya jernih seperti air mineral juga. Pada jam 8.00 malam, kami tiba di tapak perkhemahan CPR. Asalnya pengarah projek mahu menyewa chalet tetapi terpaksa membatalkannya kerana chalet penuh. Dalam perjalanan pulang, kami dibawa ke kolam air panas. Hilang lenguh-lenguh sendi setelah merendam kaki selama 15 minit secara percuma. Kolam air panas terletak di belakang Institus Kemahiran Belia Negara (IKBN) Hulu Langat.


Dan akhirnya, kami singgah di Bistro Hulu Langat menikmati makan malam. Inilah waktu untuk ‘membalas dendam’ kehilangan tenaga sepanjang pendakian. Semua peserta memanfaatkan peluang makan sepuas-puasnya. Memang puas! RM182.00 untuk tiga belas orang (termasuk pemandu van). Kami tiba di Sentul pada jam 11.00 malam.

Ahad, Mac 21, 2010

Sembang Ahad

Mahu membeli novel ini?


Globalisasi yang biasa kita dengar, dari sudut pandang ahli antropologi adalah langit terbuka, dunia tanpa sempadan, dasar ekonomi terbuka dan liberalisasi ekonomi. Menurut Dr. Fathi Yakan, globalisasi adalah proses mencetak orang Barat dalam dunia Islam. Barat menganggap mereka sebagai negara pengeluar, dan negara membangun dan mundur (majoritinya negara umat Islam) sebagai negara pengguna. Maka apa sahaja yang dihasilkan akan dieksport ke negara pengguna.

------------

Trip ke Hadnyai terpaksa ditolak walaupun pakejnya amat menarik. RM160 untuk pasport antarabangsa dan makan dalam keretapi. Bayaran tambang dan hotel ditanggung penganjur (PENA). Saya tidak mahu keluhkesahkan hal ini. Trip tersebut pada 26 Mac (Malam) hingga 28. Ada satu komitmen lain bersama kompeni pada 27 Mac.

------------

Jumaat, Mac 19, 2010

Dekatkah kita dengan al-Quran?

Imam Nawawi menyebut perkara pertama dalam kitab Thibyan berkaitan kelebihan membaca al-Quran. Sepotong ayat al-Quran menceritakan bahawa orang yang membaca al-Quran akan diberi kelebihan oleh Allah. Antara kelebihan pembaca al-Quran ialah cahaya di wajahnya. Cahaya ini hanya akan dapat dilihat oleh orang-orang yang baik dan dekat dengan Allah.


Dalam mensyarahkan kelebihan tersebut, Imam Nawawi menukilkan hadis dari Usman Bin Affan radhiallaahu ‘anhu yang bermaksud, "Sebaik-baik kamu adalah orang yang belajar al-Quran dan mengajarkannya (al-Quran) kepada orang lain." Kemudian dinukilkan satu lagi hadis dari saidatina ‘Aisyah radhiallaahu ‘anha yang bermaksud, "Orang yang mahir membaca al-Quran ditempatkan bersama malaikat yang mulia. Orang yang membaca al-Quran dalam keadaan tergagap-gagap (yarta’ ta’) akan diberi dua pahala."


Dari ayat al-Quran yang dibawa pada awal perbincangan kemudian disusuli dua hadis dapatlah kita ketahui bahawa amat banyak kelebihan yang diberi kepada pembaca al-Quran. Orang yang malas membaca al-Quran memberi alasan tidak mempunyai waktu, keras lidah, rabun mata, tidak pandai dan sebagainya. Apakah orang yang dapat membaca al-Quran setiap hari diberi masa oleh Allah sejam atau dua jam lebih daripada orang yang tidak memiliki masa? Apakah DIA Tuhan yang sama yang mengeraskan lidah, dan tidakkah DIA juga Tuhan yang berkuasa melembutkan lidah orang yang membaca al-Quran? Tidakkah DIA Tuhan yang memberikan mata, DIA jugalah yang berkuasa mencerahkan semula mata orang yang membaca al-Quran? Orang yang matanya melihat al-Quran akan dijaga oleh Allah dan tidak akan dibutakan. Kelebihan melihat ayat al-Quran ialah diberikan pahala. Kelebihan membaca al-Quran adalah ganjaran 10 pahala bagi setiap huruf. Betapa permurahnya DIA menjanjikan kebaikan buat hamba-hamba-NYA.


Bagaimana orang yang tergagap-gagap membaca al-Quran diberi dua pahala? Golongan ini akan mendapat pahala jika dia berusaha belajar memperelok bacaannya. Orang yang kurang mahir membaca al-Quran tidak perlu malu mencari guru al-Quran. Manakah lebih dahsyat rasa malu itu berbanding malu di hadapan Allah di akhirat? Orang yang malu di akhirat akan luruh daging mukanya. Kalau malu di dunia, masih ada perkara yang boleh dibuat seperti menutup muka atau kalau berani menyaman semula orang yang mengaibkan kita. Apakah yang akan kita jawab jika Allah bertanya, "Kenapa di dunia dahulu kamu tidak pernah membaca al-Quran?" Sebelum sempat pun soalan itu ditanya, apakah pula jawapan kita untuk soalan malaikat di barzakh? Sebelum kita berhadapan dengan soalan di barzakh atau akhirat, marilah kita jawab sekarang. "Kita malas atau liat membaca al-Quran kerana kita EGO dengan al-Quran."



Jumaat, Mac 12, 2010

Khamis, Mac 11, 2010

Kebebasan dalam karya

 Apakah hakikat kebebasan? Dalam kertas kerja Arah dan Cabaran Penulis Muda: Antara Ubermensch dan Khudi Pembentukan Peribadi Unggul (SM Zakir, Perhimpunan Penulis Muda Nasional 2009), ada ditulis begini; Friedrich Nietzsche memulakan perbahasan dengan menolak persamaan manusia untuk mewujudkan konsep individualistik manusia yang seterusnya mewujudkan manusia unggul iaitu Ubermensch. Bagi Nietzsche, nilai baik dan buruk bergantung kepada individu yang bebas, dan bukan kepada adat atau agama. Nietzsche akhirnya berkata, “tuhan sudah mati.” Bertitik tolak dari sini, dunia Barat mencipta watak super hero seperti Superman, Spiderman, Batman, Wolveman dan sebagainya. Lebih parah lagi hal ini turut berjangkit dalam alam Melayu di Malaysia dengan Kluang Man, Cicak Man, Dr. Kit dan seumpamanya.

 
Bagaimana manusia yang asalnya taat beragama (dalam konteks Nietzsche agama Kristian) akhirnya menjadi manusia yang tidak percaya kewujudan tuhan? Apakah agama menjadi kongkongan sehingga kita perlu memisahkan diri daripadanya? Sebagai muslim, kita sebenarnya memiliki kebebasan mutlak dengan syarat kebebasan itu di landasan yang benar. Hanya kebenaran yang diperjuangkan menjadikan seseorang berasa bebas. Bebas daripada rasa takut. Bebas daripada rasa gelisah. Manusia diberi akal untuk berfikir dan memilih mana-mana jalan yang dikehendaki. Firman Allah yang bermaksud, “Telah Kami tunjukkan kepada manusia dua jalan.” Ayat ini bermaksud jalan kebaikan untuk dilalui dan jalan kejahatan untuk dijauhi. Selain itu kebebasan haruslah disertai tanggungjawab. Ke arah mana kita mahu melorongkan manusia?

 
Belakangan ini dunia seni kreatif bergolak dengan soal kebebasan berkarya. Namrom (terima kasih pada sahabatku Teratakerapung) yang kontroversi dengan pengarahan teater TANDA dan pengarah Erma Fatima dengan ANTARA. Memang menjadi falsafah seni kreatif Barat bahawa hasil karya perlu bersifat reaktif. Kerana itulah kesan ghairah digambarkan dengan terperinci untuk memaksimumkan kesan terhadap penonton. Teater TANDA cuba mengambarkan kejelekan wabak sosial dengan pelakon-pelakonnya melakukan adegan yang mendatangkan ghairah. Manakala dalam ANTARA digambarkan keadaan di dalam syurga dan pembawaan watak nabi. Hal ini sangat bertentangan dengan kebebasan berkarya dalam Islam. Lihatlah bagaimana dalam al-Quran Allah menyatakan secara kasar (surficial) tanpa memperincikannya. Sebagai contoh apabila Zulaikha menggoda Nabi Yusuf, tidak dinyatakan bagaimana dia melakukannya. Manakala perkara ghaib seperti syurga dan neraka termasuk dalam perkara yang tidak dapat dicapai oleh akal.

 
Uslub dakwah sendiri menekankan uruf makan (iaitu situasi dan budaya setempat) perlu diperhatikan sebelum seseorang pendakwah cuba menggagaskan suatu perkara dalam ibadah. Sebab itu masalah fiqh dalam Islam mempunyai pengasas yang dikenal sebagai mazhab. Perkara yang berlaku melibatkan teater TANDA amat bertentangan dengan norma Timur (malah kebanyakan drama dan filem Malaysia juga). Memang tidak dinafikan bahawa adegan berahi membawa kesan (reaksi) penonton tetapi dari segi agama ia dilarang sama sekali. Apakah piawai yang diguna pakai oleh pihak penapis filem dan drama di Malaysia? Kenapa saban tahun kita melihat aksi ranjang walaupun dikelaskan sebagai ringan diluluskan?

Rabu, Mac 10, 2010

Selasa, Mac 09, 2010

Cerita tentang sijil

Bidang pengurusan adalah suatu perkara wajib. Setiap pekerja perlu melalui proses dan kitaran pengurusan sama ada suka atau tidak. Dalam bidang profesional, terdapat sebuah institut yang menawarkan sijil profesional dalam pengurusan projek. Sijil Pengurusan Projek Profesional (PMP). Setiap pemegang sijil PMP akan disenaraikan dalam direktori PMI yang membolehkannya bekerja dengan syarikat multinasional gergasi dunia. Bagaimana untuk mendapat sijil ini? Seseorang pekerja profesional mestilah terlibat dengan pengurusan projek selama 4500 jam (bagi pemegang ijazah), manakala 7500 jam bagi pemegang sijil sekolah tinggi atau diploma.


Calon PMP perlu menduduki peperiksaan khas. Soalan yang disediakan sebanyak 200. Calon perlu menjawab dengan betul sekurang-kurangnya 106 soalan daripada 175 soalan. Manakala 25 soalan tidak perlu dijawab, kerana soalan tersebut dikelas sebagai soalan ‘sampah’ (non-score evaluation questions). Hal ini bermakna calon perlu skor 61 peratus minimum. Jangka waktu peperiksaan selama empat jam. Jika mengikut sistem negara maju, gaji asas pemegang sijil PMP adalah USD20000.

Isnin, Mac 08, 2010

Apalah nasib bahasa kita 50 tahun lagi?

(Sempena Hari Pejuang Bahasa)


Mohon tidak dicuplik karya ini. Telah disiar di Berita Minggu, 07 Mac 2010.

Isnin, Mac 01, 2010

Debaran semakin terasa....


Ini gambar rasmi di laman web Kemilau


Sila tinggalkan komen anda jika mahu mendapatkannya terus daripada saya. Emel saya hanafi.mohamad@gmail.com
Buku ini masih dalam 'oven', belum dapat dipegang olehku.

Alhamdulillah...