Selasa, September 01, 2009

Sesekali bercuti

Saya pulang menumpang seorang sahabat. Malam itu saya dan dia bergilir-gilir memandu. Dia memandu terlebih dahulu selama tiga jam. Apabila melepasi plaza tol Kuantan, saya mengambil alih pemanduan. Jam menunjukkan 2.30 pagi. Saya belum tidur sedari tadi, jam 10.00 malam ketika kami bertolak dari masjid al-Hidayah, Sentul.


Saya seperti biasa mengambil alih tempat sahabat itu atas dasar percayanya. Dia yakin saya boleh memandu dalam keadaan baik. Memanglah ia suatu yang sukar lebih-lebih lagi jika saya tidak biasa menjadi manusia kelawar. Dalam rekod, saya memang tidak pernah berjaga sehingga larut malam kecuali akan tidur terlebih dahulu dua hingga tiga jam. Entah mengapa pada malam itu saya mendapat satu kekuatan luar biasa. Saya tidak tidur sepanjang malam. Kami tiba di kawasan hutan yang sunyi dengan kabus tebal. Ini menjadikan perjalanan amat perlahan, sekitar 60 kilometer sejam. Kadang-kadang terpaksa pula mengelap cermin hadapan dan menggunakan lampu rendah. Jika menggunakan lampu tinggi, cahayanya diserap kabus dan menjadi lebih kabur. Sesekali kenderaan terpaksa diperlahankan kerana binatang ternakan tidur di atas jalan raya.


Jam 4.00 pagi, kami tiba di Kuala Berang. Syukurlah terdapat satu stesen minyak yang masih dibuka. Setelah mengisi petrol, kami meneruskan perjalanan ke rumah saya. Rumah saya 18 km jauhnya dari pekan Kuala Berang. Tiba di suatu kawasan kebun, seekor babi melintas. Kelam kabut juga babi itu melarikan diri, terpaksa pula saya membunyikan hon. Memang babi betul! Hendak melintas tidak cermat. Hentam keromo sahaja. Kalau lembu atau kerbau, haiwan speasis ini melintas dengan tertib dan perlahan-lahan. Tidak kalut-kalut macam babi. Dan disebabkan sifat babi yang kalut itu, kadang-kadang mengundang rasa terkejut pemandu, sehingga menjadi panik dan tidak fokus pada pemanduan. Dan itu juga menjadikan momentum pelanggaran (sama ada pemandu merempuhnya) atau babi itu yang merempuh kenderaan – sangat besar. Biasanya kesan remuk pertembungan antara babi dengan kenderaan sangat dahsyat. Kecualilah jika anda memandu sebuah lori.

Saya tiba di rumah tepat jam 5.00 pagi. Oo...memang perlahan sungguh saya memandu. Maklum sahaja, kawasan gelap dan penuh dengan haiwan ternak di kiri kanan jalan. Saya tidak berani memandu laju seperti di lebuhraya yang membenarkan pemandu memecut 110 km/j. Itu pun kadang-kadang terlebih pecut – 120 – 140 km/j. Semua orang belum jaga kecuali bonda. Bonda sangat tidak menyangka saya sampai seawal itu dan bersama-sama dua orang sahabat. Mereka dijemput bersahur bersama-sama. Bubur jagung, roti, cempedak goreng dan nasi. “Menu seperti berbuka puasa pula.” Kata sahabat saya. Setelah makan, kami ke masjid bersubuh secara berjamaah. Kemudian setelah itu mereka berdua pulang ke rumah masing-masing.


Saya hanya tidur pada jam 7.30 sehingga 8.30 pagi. Jam 9.00 pagi saya mengikut keluarga ke Mydin, Kuala Terengganu. Semua kami, 12 orang (sembilan orang adik-adik saya, ayah dan bonda) menaiki dua buah kenderaan milik adik-adik yang telah bekerja. Kami membeli keperluan menyambut hari raya tidak lama lagi. Ini kali pertama saya menyertai acara seperti ini. Bil sahaja sepanjang satu hasta (ukuran tangan saya lah), dan mencecah hampir RM650.00. Hah! Memang membeli-belah betul. Betul-betul membeli-belah. Masing-masing yang sudah bekerja menghulur sedikit seorang, bonda tidak diberi peluang menyumbang banyak; sekadar dua keping not lima puluh ringgit. Selebihnya ditaja oleh kami. Disebabkan ini, saya pun memilih sepasang baju Melayu, sehelai baju kemeja dan kain sepasang untuk dibuat baju kurung. Baju kurung? Ya. Kain baju untuk bonda jahitkan kepada seseorang yang bakal menjadi sebahagian daripada keluarga kami. Sebelum ini pun, bonda sudah siap menjahit untuk salah seorang daripada mereka – seorang ustazah lulusan Jordan. Malahan, memang setiap tahun bonda akan menjahit sendiri baju raya anak-anak dan cucunya.


Saya kembali semula ke Kuala Lumpur pada 31 Ogos 2009. Memang sambutan kemderdekaan pada tahun ini tidak semeriah tahun lepas. Tidak banyak kenderaan yang dipasang bendera kecil seperti tahun-tahun sebelum ini. Baguslah, itu dapat menjimat duit. Sambutan kemerdekaan bukan pada kibaran bendera semata-mata. Yang lebih penting, kita menghargai nilai kemerdekaan dalam jiwa dan nubari kita masing-masing. Bersyukurlah dengan nikmat kemerdekaan ini.

Tiada ulasan: