Ahad, September 13, 2009

Tadarus sampai ke penghujung

Semalam, masuk 23 hb. Malam ganjil. Imam Nawawi ditunjukkan Allah tanda lailatul Qadar ketika berusia tujuh tahun. Tanda malam seribu bulan itu dijelmakan dengan cahaya sepenuh rumah. Itulah kelebihan yang Allah kurniakan kepada ulama besar itu. Menurut perkiraan yang digariskan dalam kitab lama, jika satu Ramadhan jatuh pada hari Sabtu, kemungkinan lailatul Qadar adalah pada 21 atau 23 Ramadan. Wallahu’alam.

Semalam saya ikuti tadarus al-Quran di masjid. Kami perlu selesaikan sebelum malam Selasa. Kami sampai ke juzuk 27, bermakna sama ada malam ini atau esok kami perlu habiskan dua juzuk dalam satu malam. Seorang yang saya hormati dalam kumpulan tadarus itu berusia dalam lingkungan 70 tahun. Dia mengikuti pengajian secara talaqqi dengan Tn. Hj. Hassan Azhari. Dan inilah pertama kali dalam hidup saya mendapat pedoman yang lebih mantap bagi memahirkan lagi bacaan. Dengan kata lain, jika saya baca di hadapan orang biasa, tidak nampak sebutan itu tidak betul. Tetapi apabila dibaca ayat yang sama di hadapannya, terdapat sedikit kesalahan. Syukur. Itulah rahmat yang tidak ternilai harganya buat diri yang kerdil ini. Alhamdulillah.
Seorang ahli membaca ayat 31 surah an-Najmi.




Maksudnya;


Dan Allah jualah yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi; (diciptakan semuanya itu) untuk membalas orang-orang yang berbuat jahat menurut apa yang mereka lakukan dan membalas orang-orang yang berbuat baik dengan balasan yang sebaik-baiknya.
(31)


Dan dibetulkan bacaannya oleh pakcik itu dengan berkata, kalimah asaa-uu, dibaca dengan kadar satu harakat. Walhal tanda hazaf terletak pada huruf alif, bukan wau. Saya betulkan semula, tetapi pandangan beliau lebih diutamakan. Jadi sebagai menghormatinya, saya beralah. Sepanjang pengetahuan saya, kalimah tadi dibaca dengan dua harakat. Mari kita semak bacaan ayat ini di sini. Saya coretkan hal ini kerana percaya yang betul. Bukan untuk menafikan ketinggian ilmu seseorang yang lebih baik daripada saya. Pernah sekali seorang anak murid (cerita zaman dahulu), perasan kesilapan tuan gurunya. Dia menegur dengan hasrat agar dia dilihat sebagai memiliki kefahaman yang lebih baik daripada tuan gurunya. Disebabkan itu, dia bermimpi bahawa kesilapan tuan guru itu umpama seekor anjng dalam lautan nan luas. Apakah seekor anjing dalam laut yang luas berupaya menukarkan air laut keseluruhannya menjadi air najis? Atau kitabuat bandingan yang lebih dekat dengan kita, apakah tahi cicak yang kecil berupaya menukar air kolah (21 kaki padu) di masjid menjadi najis?


Itulah. Barangkali kerana sifat manusia itu lemah, mungkin disebabkan kesilapan mata yang melihat; maka pakcik itu lihat tanda hazaf di atas huruf ‘wau’. Semoga Allah mengampuninya. Jom kita semak bacaan ayat 31 surah An-Najmi di sini.

Tiada ulasan: