Isnin, September 28, 2009

Istiqamah


Kata ustaz saya, menjelang Ramadhan umpama kita memasuki sebuah madrasah (persekolahan) takwa. Nantinya kita akan belajar untuk mendidik jiwa sebagai hamba. Kita yang barangkali tidak serumit orang lain menghadapi kehidupan akan merasainya. Ramadan menjadi medan orang kaya merasai laparnya si miskin. Orang yang kurang sabar, dididik dirinya menjadi seorang penyabar. Orang yang banyak bercakap dan memperihalkan yang tidak elok, setidak-tidaknya menjadi kurang aktif memperkatakan hal itu kerana nafsu dipasung. Kerana itu, lemahlah kekuatan nafsu ammarah yang senantiasa mendorong dirinya ke arah kejahatan. Orang yang selama di luar bulan Ramadan, tidak pernah bertudung, akan bertudung juga walau masih kelihatan jambul di depan atau terbit sedikit di belakang. Orang yang tidak pernah solat, rajin pula mengerjakan solat taraweh walau pun masih liat mengerjakan solat lima waktu. Demikianlah halnya dengan Ramadan. Masjid akan dikunjungi dengan kerap dan seramai mungkin manusia yang mengejar kelebihan beramal. Kemudian masjid akan lengang semula setelah Stawal menjelma. Demikianlah kandungan khutbah yang saya dengar beberapa hari lalu dalam suasana kita menyambut lebaran.

Bagi yang berjaya memulakan kehidupan baharu setelah Ramadan, tahniah diucapkan. Bagi yang masih gagal, semoga terus berharap agar masih dipanjang umur bertemu semula dengan Ramadan 1431 H. Berjaya mendapat matlamat Ramadan bererti kita menjana dan meningkatkan nilai ketaqwaan dalam diri. Semaksimum mungkin kita cuba meninggalkan hal-hal yang menjerumus diri ke lembah dosa. Maka jadilah kita umpama sang lebah. Lebah dalam hayatnya singgah di atas bunga. Selain menjadi agen pendebungaan, lebah mempunyai tugas khusus mengumpul madu. Dikerjakan dengan tekun sehingga madu yang diproses dalam badannya, dikeluar semula ke dalam sarang. Kemudian manusia mengambil manfaat khasiat perubatan yang terkandung di dalam madu itu. Lebah tidak sekali-kali walau sedetik singgah ke tempat yang kotor. Manusia yang hidupnya sekejap berubah ke aras kebaikan, tetapi kembali dengan tabiat buruk samalah seperti langau. Langau atau lalat hijau, boleh sahaja singgah di atas najis atau kuih yang manis. Bermakna dia suka yang baik dan buruk. Dan sejenis makhluk lagi tidak pernah sukakan yang baik. Sepanjang hayatnya, najis bagaikan minyak wangi. Dia tekun mengurai najis sehingga tidak lagi berupa najis yang menjijikkan. Itulah kumbang najis.



Mengapa Allah jadikan tiga jenis makhluk ini? Adakah ia suatu yang sia-sia? Tidakkah kita berfikir, sikap dan sifat makhluk ini ada pada manusia? Yang manakah akan dipilih oleh kita? Tentunya orang banyak berkata, “Saya mahu menjadi sang lebah.” Ayuh, untuk menjadi sang lebah bermaksud kita harus terus istiqamah melaksanakan ketaatan yang dilatih sepanjang Ramadan. Bermakna harus berterusan melakukan amal kebajikan seperti ketika berada dalam bulan Ramadan. Solat sunat, bacaan al-Quran, solat berjemaah, bersedekah, memberi makan kepada anak-anak yatim, menjaga lidah, mata, dan fikiran yang sihat wajar diteruskan. Jika yang cuba-cuba berpakaian sopan kerana menghormati bulan Ramadan, kemudian kembali tidak menghiraukan etika berpakaian menutur syariat, nyata sekali anda sudah gagal. Jika ada yang cuba mengkahatamkan al-Quran, kemudian tidak menyentuhnya di bulan-bulan berikutnya, anda juga gagal! Jika kerana tidak mahu pahala puasa berkurang, maka mata, hati dan lidah anda dijaga; kemudian menjadi jalang, liar dan lancang semula – anda juga gagal. Justeru hanya satu perkataan yang perlu dipegang – istiqamah. Istiqamahlah dengan kebaikan sepanjang Ramadan, bukan hanya dilaksana semata-mata kerana menghormati kemuliaan bulan itu, tetapi sebagai tanpa tahap ketaqwaan kita sudah meningkat.


Tiada ulasan: