Jumaat, September 04, 2009

Perihal keinginan

Kemahuan dan kemampuan. Dua hal yang saling bertentangan dalam diri. Kemahuan lebih menjurus kepada anjuran nafsu manakala kemampuan melibatkan soal-soal tanggungjawab dan material termasuk upaya diri. Dari segi adat, orang muda memang mampu mengerjakan solat sunat Taraweh sebanyak 20 rakaat, tetapi kebanyakan mereka mahu setakat lapan rakaat sahaja. Seorang pekerja dengan gaji sekitar RM2000.00, tetapi dia mahu mengguna kereta berjenama antarabangsa seperti Toyota atau Honda atau BMW. Seorang lelaki punya isteri yang baik, tetapi masih mahukan lebih daripada itu; dia terjebak dalam kancah skandal di luar.

Maka benarlah kemahuan itu isi dengan kuku nafsu. Jika manusia diberi sebukit emas, maka dia akan mencari satu bukit emas lagi. Kemahuan dapat dikekang dengan sifat qana'ah iaitu rasa cukup dengan yang sedikit di samping tidak terlalu bakhil menterjemahkan nikmat-nikmat yang diberi. Seringkali disalahertikan bahawa zuhud itu mestilah seseorang berterampil dalam keadaan yang selekeh. Jika memakai pakaian, tidak dirapikan dengan baik. Jika berkenderaan, memakai kenderaan yang biasa-biasa sahaja. Sebab itu hari ini kita lihat orang biasa mempertikai seorang ustaz atau pendakwah apabila memakai kereta yang hebat. Apakah bagi mereka tidak layak memakai kereta seperti ahli korporat sedangkan mereka mampu memilikinya? Mereka tidak pernah pun meminta kita membayar ansuran kereta itu! Saya kesal kerana ada sesetengah orang tidak mahu mengikut kuliah agama penceramah tertentu hanya kerana ustaz itu dikatakan tidak zuhud. Kononnya ustaz itu sudah menjadi orang yang mengejar keduniaan dengan mempamer kemewahan. Saya katakan, mereka mendapat semua nikmat ini hasil daripada royalti yang dibayar atas harta intelek yang mereka miliki.

Apakah sebenarnya yang dibekalkan sejak azali ke dalam jiwa manusia? Kemahuan boleh dikelaskan sebagai keinginan. Keinginan yang lebih dalam dan membuak-buak dikenal sebagai syahwat. Kamus Dewan hanya mendefinasikan syahwat sebagai “keinginan (untuk melakukan persetubuhan), nafsu bersetubuh, keberahian.” Bermakna itu puncak tertinggi dalam segala keinginan manusia? Manakala al-Quran menyatakan terdapat hal-hal lain yang menyukakan syahwat manusia iaitu dalam konteks syahwat itu sebagai nafsu yang cenderung kepada sesuatu yang menyukakan, menggembirakan, membahagiakan dan dipandang lebih baik apabila dibanding dengan orang lain yang kurang bernasib baik. Ayat 14 surah Aali-'Imran menceritakan secara jelas perkara-perkara tersebut; mafhum ayat ini adalah seperti berikut - "..Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: Kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman.." Pun begitu, semua ini dingatkan kepada kita adalah ujian Allah buat hamba-hamba-Nya di dunia.

Tidaklah salah memenuhi keinginan ini tetapi menjadi kesalahan apabila melebihi keutamaan terhadap Allah dan rasul-Nya. Firman Allah yang bermaksud, "Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu dan anak-anak kamu dan saudara-saudara kamu dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu dan kaum keluarga kamu dan harta benda yang kamu usahakan dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka)."
(At-Taubah: ayat 24)


Memang tidak dinafikan bahawa dalam dunia ini, terdapat juga golongan agamawan yang terpesona dengan dunia. Mereka menjadikan jawatan sebagai tujuan sehingga membelakangkan amanah ilmu yang mereka miliki. Merekalah golongan ulama yang berdamping dengan umara (pemerintah) dan tunduk mengikut telunjuk pemerintah. Merekalah ulama jahat yang menjadikan kita orang-orang awam sebagai mangsa keadaan.

Sepanjang hidup, saya sudah bertemu golongan ini. Dahulu sebelum dia menjadi seorang yang rapat dengan ahli politik, memang pun pandangannya tulus ikhlas. Tetapi apabila dia mendapat jawatan , kedengaran pula yang aneh-aneh semacam mahu mempertahan kesalahan pemimpin walau pun nyata hal itu bertentangan ilmu agama yang dimilikinya. Saya pasti, anda juga seorang pengamat seperti saya. Anda juga mungkin mendapati si fulan si fulan dalam kategori yang saya maksudkan ini. Tidaklah perlulah disebut secara spesifik demi kebaikan semua pihak. Semoga suatu hari mereka insaf dengan kesalahan yang sedang dilalui dan mengubah haluan, insya-Allah.



Tiada ulasan: