Ahad, Mei 03, 2009

Kais pagi makan tengah hari, kais petang makan malam


Apa halnya jika anda terpaksa hidup dalam keadaan 'Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang'? Dan saya fikir, rata-rata penghuni di kota Metropolis macam Kuala Lumpur dengan gaji paling standard untuk pemegang Ijazah Sarjana Muda yang paling minimum (RM1500), tentulah kehidupan mereka tidak lebih daripada 'Kais pagi makan tengah hari, kais petang makan malam'. Tinggal di ibu kota yang mencabar, dengan sedikit pergerakan mengambil kira wang ringgit, maka tidak boleh tidak terpaksalah mencatu wang sebaiknya. Ada kalanya terpaksa juga dipotong wang biaya makan minum harian sehinga satu pertiga. Misalnya kalau waktu-waktu biasa, bajet makan minum harian RM15, ada waktu terpaksalah dikurangkan belanja ini sehingga sekadar RM8.50 sahaja. Semuanya gara-gara wang diperlukan untuk memenuhi keperluan lain seperti belanja wajib untuk keluarga atau bayaran tahunan berkala seperti lesen memandu, cukai jalan, dan lain-lain. Bayangkanlah saat getir jika seseorang biasanya belanja besar untuk makan, tiba-tiba dalam bulan-bulan terntentu dia terpaksa menahan sedikit kehendak perutnya untuk memberi laluan duitnya ke tempat lain. Tapi, syukurlah. Dia bisa makan dan terus hidup. Tidak lagi keputusan makan untuk hidup. Hal ini segera menginsafkan saya kerana masih ada orang yang lebih teruk hidupnya berbanding cerita yang digambar di sini. Syukurlah dia yang saya ceritakan dalam artikel ini masih mampu senyum dan dapat memenuhi nafsu makannya walau terpaksa menghadapi keadaan yang lapar untuk seketika.


Dia gambarkan bahawa kehidupannya bak cukup-cukup untuk hidup. Bayaran sewa rumah yang dikongsi dengan rakan-rakannya cuma RM100 termasuk bil air dan letrik. Kemudian dia juga sediakan sedikit wang untuk ibunya di kampung. Menurut dia, tidak banyak. Cuma RM300. Kemudian dia lunaskan hutang PTPTN RM200, yang terpaksa dia potong RM50 apabila berlaku krisis kewangan beberapa bulan kebelakangan ini. Dan dia pula terpaksa sediakan juga sedikit wang tidak kurang RM30 sahaja untuk beli akhbar dan majalah. Kata dia, “Aku tidak senang hidup kalau tidak menatap berita di akhbar atau tertinggal mengikuti isu yang dibincang dalam majalah.” Nah, dia tetap mahu sediakan barang sedikit wang pendapatannya untuk zakat pendapatan. Tidak banyak, 1/40 daripada gajinya cuma sekitar RM36, lebih kurang begitulah congak mudahnya. Meski kalau dibuat semakan di pejabat zakat, tidak wajib baginya keluarkan zakat pendapatan, tapi dia kata, "Aku hendak sedapkan hati sahaja. Biar puas dan bersih harta pendapatanku." Bayar itu ini, dan akhirnya dia tidak ada lagi baki wang untuk dilaburkan buat masa depannya. Dalam satu analisis dalam talian tentang tabiat menabung rakyat Malaysia, seramai 500 orang telah mengambil bahagian. 47% mengatakan mereka hanya menabung kurang RM200 sebulan. Wah! Dia pun termasuk dalam senarai yang ramai itu.


Aku tidak mahu komen apa-apa tentang dia. Sebab sememangnya nasib aku pun lebih kurang dia sahaja. Keadaanku untuk bulan ini pun lebih kurang nasib dia. Maka bersediakah aku dengan bajet makan minum bulan ini dengan hanya RM7.50 sehari? Aku harap, aku mampu. Aku dan dia bukan kes kecil malahan beratus ribu lagi orang senasib dengan kami. Malah kami juga tidak selamat kerana kami pekerja sektor swasta. Tahukah anda? Daripada 27000 pekerja sektor swasta yang dibuang kerja baru-baru ini, hanya 3000 orang yang berjaya mendapat semula pekerjaan.

2 ulasan:

Azlan berkata...

Hamba rasa cerita si dia itu semacam tuan hamba....
hehehe.. jgn marah...

Naim berkata...

ya, saya tidak marah.

dan mataku sudah 'hilang' satu. Mahu jd lanun sekejap hingga dpt dibaiki cermin mata itu.

pagi tadi (Subuh) dipijak secara tidak sengaja oleh seorang hamba Allah dlm saf sembahyang....aduh! habis pecah...