Ahad, April 19, 2009

Pelancaran Novel Bidadari dari Timur




Memang jarang-jarang sekali saya dapat berada dalam majlis bersama TG Nik Abdul Aziz setelah meninggalkan alma mater di Pengkalan Chepa lebih 10 tahun dahulu. Dulu-dulu saya ingat, setiap Jumaat pelajar dari Sabah dan Sarawak beragama Kristian diberi kelebihan untuk mendalami ilmu anutan mereka di gereja. Tetapi pelajar muslim tidak diberi peluang untuk outing pada hari Jumaat. Kami hanya dapat outing setiap dua minggu selang-seli dengan pelajar perempuan. Maka sebagai alternatif, saya manfaatkan cuti pendek misalnya cuti tiga hari sempena cuti peristiwa atau cuti sekolah yang panjang untuk menghadiri majlis ilmu di Dewan Zulkifli, Kota Bharu. Ketika itu saya pergi ke rumah kawan-kawan sekitar KB dahulu sebelum saya pulang bercuti. Selepas meninggalkan negeri Kelantan sebagai tempat kelana ilmu, saya hanya mengikuti ilmu daripada TG Nik Abdul Aziz daripada buku-buku. Kemudian dapatlah juga sekali dua mendengar ceramah beliau dalam majlis sastera anjuran esastera.com.

Pagi tadi, Alhamdulillah saya diberi kesempatan mengikuti majlis pelancaran novel karya asal isteri beliau di Dewan Kedah. Sebelum tiba ke majlis, saya pergi ke ATM untuk mengeluarkan wang. Setelah lama beratur panjang, tiba-tiba ketika saya memasukkan kad ATM, keluar mesej ‘Device Failure’. Alamak! Kad ATM saya rosakkah? Saya masukkan dua kali kad ATM tetapi mesej yang sama keluar. Saya berlalu dengan hampa sambil menyalahkan diri sendiri tidak keluarkan awal-awal duit di Sentul Boulvard. Saya keluar dengan kesebalan. Hati merintih, “Ya Allah, jika tiada duit bagaimana hendak membeli buku-buku Tuan Guru?” Saya perhati tengok orang yang bertur di belakang saya dapat keluarkan wang macam biasa. Sahlah mesin ATM tidak rosak. Sahihlah wang dalam mesin masih banyak. Saya pun setelah merintih kesal itu, saya melangkah semula dengan “Bismillah. Semoga dapat keluar duit.” Tidak mungkin kad ATM saya rosak, fikir saya kerana mesin ATM berfungsi seperti biasa. Saya beratur semula dengan satu harapan, moga-moga dapat keluarkan wang. Dalam poket hanya ada sekitar RM15.00. Tak berbaloi langsung ke Pesta Buku Antarabangsa kalau hanya beli satu buku!


Dengan izin-NYA, apabila saya mencuba semula kali ketiga ini tiada lagi mesej seperti tadi. “Subhanallah!” Saya juga tidak faham keanehan di sebalik hal ini. Ini betul-betul pelik untuk difikirkan oleh saya, tetapi tidak aneh pada DIA. Alhamdulillah. Saya melangkah masuk ke Dewan Kedah sepuluh minit sebelum majlis bermula. Majlis lancar dan mengikut jadual. Kerana saya awal, maka dapatlah kerusi. Masa berjalan dan tetamu menjadi semakin dan dewan menjadi sesak. Hadirin yang masuk kemudian terpaksa berdiri malahan ada yang sanggup duduk bersila di hadapan pentas. Memang ini semacam saya bernostalgia duduk bersila dalam Dewan Zulkifli suatu ketika dahulu. Hal yang disentuh oleh TG Nik Abdul Aziz perkara biasa tentang kejadian manusia dan manusia contoh ikutan yang perlu kita jejak. Beliau mengingatkan hadirin betapa pentingnya kita kembali kepada al-Quran. Dan ada satu tip untuk panjang umur diberikan dalam ucapannya. Jika kita membaca sebuah karya yang ditulis (yang memakan masa sepuluh tahun misalnya), maka umur kita akan panjang selama sepuluh tahun. Itu bermakna barakah umur yang diperoleh apabila membaca sesebuah buku yang baik. Sebab itu TG Nik Abdul Aziz tekankan, “Hendak baca buku, pilih-pilihlah juga siapa penulisnya. Siapa penerbitnya.”


Dan selepas pelancaran buku dibuat, kami dapat bersama-sama mengambil autograf daripada dua orang penulis novel Bidadari dari Timur, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak dan Puan Ili Sarah Annual Bakri.


 # -- # -- #

2 ulasan:

EVA SALSABILA berkata...

anugerah Allah kurniakan kepada keluarga tuan guru dapat memberi manfaat kepada masyarakat...

saya bersahabat dengan anak saudaranya sudah lama dan begitu tertarik dengan tarbiah adik tuan guru itu kepada anak-anaknya...

Naim berkata...

ustazah Salsabila,

kawan saya (orang Kupang, Baling) ada kahwin dgn anak saudara TG tu....

sekarang dia mengajar di Sarawak.