Selasa, Februari 24, 2009

Warkah buat nenda Rafeeda

Saya ada terima surat yang menarik dari luar Negara. (Pengirimnya dirahsiakan!)

Buat Nenda Rafeeda,

Salam buat nenda setelah sekian lama kita berpisah di tanah suci. Nenda Rafeeda, khabarnya nenda baru sahaja mendapat isyarat untuk tidak lagi mengetuai sayap kumpulan SARKIS di negara nenda. Dahulu kita bertemu dalam suasana umrah, nenda dan saya bertudung litup, berjilbab putih sesuai dengan cara pemakaian orang-orang beriman. Khabarnya nenda bergambar dalam sebuah akhbar tanpa bertudung. Terkejut saya dibuatnya. Semacam tidak percaya. Walhal dahulu kita pernah bertadarrus, dan nenda Rafeeda pernah bertanya kepada saya tentang ayat 59 surah al-Ahzab. Saya katakan, inilah perintah khusus dari Tuhan kepada wanita supaya bertudung.

Amatlah saya dukacita dengan hal itu. Tidak bertudung sedangkan al-Quran berada di hadapan semacam sengaja mempersendakan al-Quran. Nenda Rafeeda…. Barangkali kalau nenda boleh mendengar suara al-Quran atau rehal itu, nescaya nenda akan pengsan. Terkejut ketakutan. Al-Quran akan melaknat manusia yang mempersendakannya. Ia, barngkali kalau boleh didengar suara ghaib itu, akan runtuhlah bumbung-bumbung dan kerusi serta meja yang berdekatan. Tetapi hal itu hanya berlaku di alam lain, di luar batasan dan kemampuan telinga manusia biasa menangkapnya.

Buat nenda Rafeeda yang dihormati,

Maaflah saya menjadi terlalu biadap melontarkan ini warkah buat nenda. Kita sebenarnya tidak sempat bertukar-tukar alamat rumah untuk saya poskan terus ke sana. Tetapi tidak salah jika saya lontarkan ini warkah secara terbuka sebagaimana nenda Rafeeda relakan diri dirakam pemberita, kemudian dimuatkan pula berita itu di muka depan. Oh, nenda Rafeeda. Bilakah mahu berubah? Memanglah betul, perjuangan bangsa perlu seiring dan serapat mungkin dengan perjuagan agama. Kata Umar al-Khattab, “Kita bangsa yang dimuliakan kerana Islam.” Tetapi bukanlah caranya memperguna al-Quran sewenang-wenang untuk menampakkan kita berpegang kepadanya. Sungguh amat tidak cocok dengan adab Islam untuk memperlakukan al-Quran seperti itu.

Nenda Rafeeda,

Sekali lagi mohon maaf. Saya tahu ini lontaran peluru yang berbisa. Tetapi sebelum kita mati, eloklah bertaubat. Brtaubatlah selagi nenda mengaku diri sebagai wanita beriman. Tidaklah perlu kita meminta orang yang bukan Islam bertaubat kerana nilainya nihil di sisi Allah. Salam mesra, salam rindu buat nenda. Jika berkesempatan, kita jumpa lagi di Bakkah.


Sekian, terima kasih.



Dariku yang kerdil, buat memperingati mereka yang menzalimi dirinya sendiri.
(22022009, Sentul, KL.)

Tiada ulasan: