Sabtu, Februari 28, 2009

Menagislah

Semalam lepas waktu pejabat, kami mengikuti majlis taklimat isu Palestin. Wakil Aman Malaysia membentangkan slaid multimedia yang sungguh menyentuh hati. Setelah sekian lama saya menangis buat Palestin, tiba-tiba semalam itu tanpa disedari saya telah menangis. Sedih dan hiba melihatkan kerosakan yang berlaku, dan air mata mengalir disayat pilu kasihankan seorang ibu buat anak kecil berusia 14 tahun. Faris 'Audah namanya. Syuhada kecil yang berjuang dengan batu bagi menghalang kemaraan tentera Zionis. Pada hari keempat puluh dia berada di kawasan 'permainannya' sebutir peluru hinggap di badannya. Dia meninggalkan rakan-rakan sebaya yang lain. Tetapi saya kagum, dalam klip video itu, ibu bapa yang kehilangan anak beryukur kepada ALLAH kerana mematikan anak-anak mereka. Itulah kemuliaan bagi mereka. Menjadi ibu bapa kepada syuhada.

Pagi tadi, saya mengikuti kuliah Subuh Ustaz Thirmizi. Saya kagum dengan al-fadhil ustaz, berkorban untuk menyampaikan ilmu buat kami. Jarak rumah beliau 48 kilometer dari masjid Al-Hidayah. Pengorbanan beliau tidak jauh hebatnya dengan Ustaz Ali di Ketereh. Dulu Ustaz Ali mengajar di Dabong, rumahnya di Ketereh. Beliau turun dari rumah seawal jam 4.00 pagi. Begitu juga bekas Pengetua Maktab Perguruan Batu Rakit, Tuan Hj. Abd. Hamid. Rumahnya di Kota Bharu, setiap pagi beliau bangun seawal jam 3.30 pagi dan turun bekerja tepat jam 4.00 pagi. Saya rasa memperihalkan kesungguhan mereka yang saya pernah jumpa (bersua muka) cukup untuk menyatakan betapa sangat ramai di kalangan kita melakukan pengorbanan untuk kebaikan sejagat. Semoga Allah merahmati kehidupan mereka. Memberkati kehidupan mereka sekeluarga.


Pagi tadi Ustaz Thirmizi menyambung bicara tentang hadis yang dibicarakan minggu lepas. Beliau menyambung empat perkara yang aneh di akhir zaman. Iaitu pembahasan yang dibuat oleh Prof. Dr. Yusof al-Qardhawi.


  • Ramai orang apabila matinya seorang muslim meraikannya dengan mengadakan jamuan malam pertama, ketiga, ketujuh, ke-40 dan ke-100. Walhal perkara ini tidak wajar dibuat memandangkan si mati mungkin meninggalkan anak-anak yang kecil. Apakah hukumnya jika jamuan itu dibuat dengan wang anak yatim? Jika mahu dibuat jamuan (tahlil), dana untuk jamuan hendaklah disumbangkan oleh jiran-jiran terdekat atau saudara-mara si mati.

  • Ramai orang pada bulan Ramadhan berlumba-lumba memuaskan nafsu, sedangkan kita dianjurkan untuk mengawal nafsu. Lihatlah sahaja gelagat sebahagian daripada kita apabila mengunjungi bazar Ramadhan. Membeli makanan untuk berbuka melebihi keperluan perut. Bahkan ada makanan yang berlebihan kemudian dibuang begitu sahaja.

  • Ramai orang suka mengunjungi pasar, tetapi sedikit yang suka ke majlis ilmu. Barang yang menyukakan nafsu mudah sahaja orang pergi walau pun terpaksa mengeluarkan duit. Orang lebih suka berhabis duit asalkan gembira. Tetapi majlis ilmu di masjid-masjid tidak pernah pun menetapkan bayaran daripada jemaahnya.

  • Ramai orang menangis kerana tidak dapat mencapai cita-cita. Tetapi sedikit sekali yang menangis kerana menyesal akan dosa-dosanya. Contohlah, saya dulu ketika nak berkawan dengan seorang perempuan.
    Saya maklumkan pada emak. Emak tanya, "Orang mana?" "Orang Kelantan." Jawabku. Tapi emak saya tidak setuju. Samalah juga di sebelah perempuan. Masa nak tetapkan hati dengan kehendak ibu, aku pun menangis juga. Nah, tapi aku pun sedar, jarang sangat aku dapat menangisi dosa-dosa yang dilakukan sepanjang hidup ini.


Tiada ulasan: