Isnin, Februari 16, 2009

Meter nafsunya tinggi, bagaimana hendak merendahkannya?

Suatu ketika, seorang kenalan datang kepada saya. Dia nyatakan kegusarannya tidak dapat menahan gelojak jiwa. Seringkali dia terganggu dengan alamiah kedewasaan, iaitu mudah dirangsang oleh penampilan yang aneh-aneh daripada manusia yang berlawanan jantina dengannya. Bagaimana mahu dibuat? Apakah ada amalan yang dianjurkan kepada kita?


Maka saya jawab, "Jagalah pandangan mata. Dalam ayat 30 surah An-Nur Allah khususkan kepada mukmin (lelaki beriman) agar menundukkan pandangan." Ketahuilah saudaraku, merenung wanita itu panahan syaitan. Barangsiapa yang dapat meninggalkan amalan itu, dia telah merasai halawah (kemanisan) iman. Ini hadis popular yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas. Dan saya ingat kerana pada suatu hari ketika berusia tiga belas tahun, saya semacam terpaku melihat seorang wanita yang wajahnya mirip kakak saya. Kerana mata saya agak lama merenungnya, dan kebetulan dia pula perasan keadaan itu, maka dilayangkan kepada saya hadis tersebut. Saya tabik dan malu alah kepada beliau sampai bila-bila. Selepas peperiksaan PMR, saya tidak tahu lagi apakah cerita muslimah itu.


Tetapi anjuran saya itu, menurut kenalan saya amat sukar. Saya kata, "Berpuasalah." Ya, hendak mendidik nafsu perlu puasa. Itulah yang dianjurkan nabi kepada lelaki yang tidak mampu berkahwin. Berpuasalah. Tetapi dia berkata, adakah sebarang doa?


Ya, ampun! Saya tidak tahu. Sehinggalah setelah berlalu waktu sembilan tahun, baharulah saya mendapat ilmu tentang doa. Inilah doa yang diturunkan oleh Al-Fadhil Ustaz Hanafi Abdul Rahman di Masjid Al-Hidayah, Sentul tanggal 13 Feb 2009. Doa buat mengendurkan kebuasan nafsu syahwat.


Bacalah surah At-Thaariq dari ayat satu hingga ayat 10. Bacalah ayat ini berulang-ulang sehingga 'meter' nafsu anda kembali normal.
Kemudian amalkan juga doa
Allahumma inni a'uudzubika min syarri nafsi, wa min zulumaati al-Jahli, allahumaa inni a'uudzubika min syuruuri anfusina wa min sayyiaati a'maalina. (Ya Allah, aku berlindung darpada keburukan diriku, dan daripada kegelapan sifat jahilku, dan daripada keburukan diri-diri kami, dan daripada kejahatan amalan-amalan kami).


Kadang-kadang manusia apabila suka melakukan kemaksiatan, dia menjadi ketagih. Kemudian kerana manfaat kejahatan itu dirasainya dia terus-menerus melakukannya walhal itulah bisikan syaitan yang telah berjaya memprogramkan minda manusia. Sememangnya syaitan menghiasi kejahatan supaya nampak dalam pandangan manusia yang lalai sebagai suatu yang baik. Awas. Sungguh licik tipudaya syaitan laknatullah ini! Awaslah juga kepada sesiapa yang melakukan kejahatan, kemudian menceritakan kejahatan itu kepada orang lain, seolah-olah diaberbangga dengan maksiat yang dilakukannya. Manusia seperti ini sebenarnya menyerlahkan diri kepada kehinaan dunia. Bertaubatlah.





Yang menulis,


Naimisa
15 Feb 2009.
Sentul, KL.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Suka dengan doa ni. Mohon untuk lampirkan doa ini dalam blog saya. TQ. Salam.

Naim berkata...

Tanpa nama....

Silakan.