Ahad, Disember 28, 2008

Sejarah Penentuan Asas Pengiraan tahun dalam Kalender Hijrah



Al-Hikmatu dhollatu mukmin aina wajada fahuwa ahaqqun biha


Maksudnya: Hikmah (kebijaksaan) orang-orang kafir adalah mutiara yang tercicir. Maka di mana sahaja kamu temui mutiara tersebut, kamu berhak ke atasnya (memanfaatkannya)



    Ketika zaman Nabi S.A.W sistem kalender yang digunakan adalah mengikut sistem jahiliyyah. Sistem ini hanya menggunakan tarikh (hari bulan) dan nama bulan tetapi tahunnya dinamakan. Masih belum ada sistem penomboran pada tahun untuk mengetahui bilangannya. Sebab itu kita baca sejarah bahawa nabi dilahirkan pada 12 Rabiul Awwal tahun Gajah. Begitu juga kita pernah dengar apabila kematian dua orang yang paling rapat dengan nabi iaitu Abhu Tholib dan Khadijah berlaku, tahun itu dinamakan sebagai 'aamu al-Huzni (baca: 'aamulhuzni) atau Tahun Kesedihan. Selain itu, sistem yang dimanfaatkan daripada sistem jahiliyah ialah suaka politik (bahasa Arabnya Haq al-Jar / Haq al-Juwar). Memandangkan nabi berada dalam kalangan Bani Hasyim, maka suaka politik yang berada di tangan Abu Tholib telah menyelamatkan baginda (dengan perancangan dan izin Allah) daripada gangguan musyrikin Mekah. Selain Abu Tholib, hartawan Abu Bakr Ash-Shiddiq juga mempunyai kuasa memberi suaka/perlindungan kepada orang Islam terutama dari kalangan hamba. Dalam sirah dicatatkan bahawa Abu Bakr Ash-Shiddiq memerdekakan beberapa orang hambar seperti Zinnirah dan Bilal bin Rabah.


    Selain itu, nabi sallahu'alaihi wasallam juga memanfaatkan sistem yang berasal di luar Islam dalam peperangan. Perang Uhud misalnya, baginda menggunakan teknik al-Quddus iaitu sistem batalion yang berasal dari Rom. Sistem batalion ini menjadikan umat Islam menang pada pusingan pertama, tetapi dek kerana tamakkan harta ghanimah (harta rampasan perang), walau pun nabi sudah memberi jaminan akan dibahagi kepada lima bahagian, kaum muslimin yang menyangka telah menang secara mutlak berebut-rebut mengerumuni ghanimah. Ahli sejarah merumuskan bahawa kelajuan kuda adalah bersamaan 60 km/j. Ketika kelekaan itu, Khalid al-Walid yang mengetuai pasukan berkuda musyrikin berpatah balik dan menyerang dari kubu pemanah di atas bukit (Jabal 'Ainain). Maka gugurlah 70 orang syuhadaa di medan Uhud. Kekalahan ini tidak memberi kesan kepada pemerintahan negera Islam di Madinah, kerana nabi berperang di medan perang di luar kota Madinah.


   Kemudian daripada itu, berlaku pula perang khandaq. Ketika ini kaum musyrikin ingin meniru sistem al-Quddus tetapi nabi sallahu'alaihi wasallam menerima cadangan Salman al-Farisi supaya kaum muslimin menggunakan kaedah parit. Maka mereka menggali parit yang luas sehingga tidak mampu dilompati kuda-kuda perang kaum musyrikin. Demikian strategi peperangan di zaman nabi yang senantiasa berubah, tidak statik. Melalui contoh-contoh pemurnian kaedah atau teknologi yang dicipta oleh orang kafir, maka dalam keadaan umat Islam hari adalah tidak salah jika kita memanfaatkan teknologi orang kafir selagi tidak bercanggah dengan kehendak dan syariat Islam. Sebab itu kita menerima sistem pemilihan (pelantikan) pemimpin melalui proses pengundian. Kita menggunakan sistem demokrasi berparlimen dalam pemerintahan negara. Dan setiap daripada kita tidak perlu skeptikal untuk mengatakan bahawa mengundi itu haram! Orang yang berpandangan (mengatakan berpilihanraya) sebagai haram adalah mereka yang jahil dan buta sejarah.


   Pada zaman Umar al-Khattab menjadi khalifah berlaku pelbagai perubahan dalam pentadbiran umat Islam. Ketika ini empayar Islam sangat luas sehingga ke Laut Sin, India dan China. Jika kita mahu mengkaji pentadbiran negara Islam, wajarlah kita mengkaji sistem pentadbiran yang dilakukan oleh Umar al-Khattab. Pada zaman beliau, diwujudkan tentera bergaji. Sebahagian yang lain tetap memilih untuk berjuang di medan perang sebagai mujahiddin (tanpa gaji). Suatu hari apabila berutus surat, Umar mendapati adalah sukar untuk mengekalkan sistem yang pernah diguna ketika hayat Ar-rasul Sallallahu 'alaihi wasallam. Maka Umar berjtihad bahawa tahun Islam mestilah menggunakan nombor. Sahabat-sahabat berbincang untuk mencari tanda aras sebagai titik mula pengiraan. Terdapat tiga cadangan yang dikemukakan:

  1. asas milaad an-nabiyyi

  2. merujuk kepada perang yang paling hebat

  3. merujuk kepada peristiwa hijrah




    Pertama: menggunakan asas kelahiran nabi bermakna meniru sistem kalender Nasrani. Orang Nasrani meggunakan tarikh kelahiran al-Masih Isa 'alaihissalam sebagai rujukan. Maka hal ini tidak baik untuk Islam dan ditolak. Cadangan kedua, menggunakan perang yang paling hebat juga tidak diterima. Hal ini kerana ia menggambarkan seolah-olah kehebatan Islam muncul hasil daripada kemenangan di medan perang. Kemudian yang terakhir, cadangan Ali KarramaLLAHU wajhah (K.W) iaitu menggunakan peristiwa hijrah ke Madinah. Hujah Ali K.W ialah selama 13 tahun nabi berdakwah di Makkah, hanya 200 orang yang memeluk Islam. Tetapi selepas hijrah, kaum muslimin berjumlah 400 000 (empat ratus ribu) orang! Ketika haji wada' seramai kira-kira 112 000 orang yang menyertai nabi sallallahu 'alaihi wasallam. Pertambahan yang begitu ramai (purata 3332 orang[1] sebulan yang menganut Islam) selepas hijrah menunjukkan bahawa peristiwa hijrah memberi kesan yang signifikan kepada perkembangan dakwah Islamiah. Maka Umar dan sahabat-sahabat yang lain bersetuju dengan cadangan Ali K.W.
    Demikianlah asal-usul penetapan kalender hijrah yang diguna pakai sehingga kini. Jika kita dengar dendangan nasyid ma'al hijrah, disebut

Awal Muharaam detik permulaan,

Perkiraan tahun Islam hijrah

Perpindahan nabi ke Kota Madinah




Sempena menyambut tahun baru 1430H, saya mengucapkan 'Kullu 'aam wa antum bikhair'. Semoga kita semua meletakkan azam untuk memperbaiki diri dan menjadi orang yang lebih baik daripada tahun sebelumnya. Selamat menyambut Ma'al Hijrah 1430H.


Nota kaki: [1] Formula: (400 000 - 200) / (10 x 12) bulan = 3332 (dibundarkan kepada sa yang terdekat).


Nota:

  • Isi kandungan artikel ini diambil daripada kuliah Maghrib, 21 Disember 2008,
    Masjid al-Hidayah, Sentul, KL.


  • Kuliah ini disampaikan oleh al-Fadhil Ustaz Azhar Bin Yahya.


  • Catatan mutiara ilmu koleksi Naimisa pada 22 Disember 2008, 7.15 pagi, Sentul, KL.


-----------------------------#--------------------------------------------#


Karya terbaharu.


Judul: "Manisnya Madu"

Genre:Cerpen

Majalah: Nur, Karangkraf Sdn. Bhd.

Edisi: Januari 2009.



Selamat membaca.


Terima kasih kepada editor Nur, novelis
Salina Ibrahim kerana sudi mempertimbangkan karya ini.


Selasa, Disember 23, 2008

Kepada pengguna Streamyx: Tip melajukan kadar perayauan (surfing)

Tip Untuk Melajukan Surfing Menggunakan Firefox.




kepada pengguna Streamyx... kelajuan boleh mencecah 5 kali bila surfing dan telah terbukti...


1. Buka firefox anda, dantaip kat address tu ----> about:config

2. Right click kat mana2 pastu

select New -> Integer ......

dan paste skrip berikut -----------> nglayout.initialpai nt.delay
............ .. pastu set 300

kalau tidak berpuas hati dgn 300.. boleh disetkan kepada -----> 0


kalau masih tidak suka dgn kelajuannya. .. cuba yg ini pula, taip skali lagi ----> about:config


1. tengok config tu dan scroll down sampai jumpa skrip tersebut

network.http. pipelining

network.http. proxy.pipelining

network.http. pipelining. maxrequests



2. double click kat situ utk tukar false tu kepada true, contohnya -




network.http. pipelining - true

network.http. proxy.pipelining - true

network.http. pipelining. maxrequests - 30 (sekali request 30 mai)




3. pastu type skali lg -----> about:config dan select New ->
Integer dan paste skrip tersebut --->

nglayout.initialpai nt.delay

set kepada 0




dan kita restart firefox (tutup dan buka semula)


kita boleh test... sepatutnya akan melajukan 2 hingga 3 kali lebih laju daripada biasa.. Selamat Mencuba..... .



Posting Asal: Syed Muhammad Amin, SWS Sdn. Bhd., Sentul, KL.

Rabu, Disember 17, 2008

Antologi Cerpen terbaharu dari eSastera Enterprise





Judul: Cerita Gelisah.

Penerbit: eSastera Enterprise, TTDI, KL.

Penulis: Kalamutiara, Naimisa, Roslan Jomel.

Penyelenggara: Prof. Dr. Ir. Wan Abu Bakar Abbas.

ISBN: 978-967-5043-09-3

Harga: RM19.00


Antologi ini mengandungi 15 buah cerpen, tiga orang penulis di esastera.com

Buku ini dilancar pada 13 Dis 2008, di Hotel Mirama, KL jam 9.30 malam, sempana majlis HESCOM'08.



------------------


“Naimisa pula mengutip cerita basahan yang mudah dan meluahkannya kepada pembaca engan penceritaan yang muah. Namun di situlah terletaknya keistimewaan Naimisa. Dia berjaya menghantar mesejnya meresap jauh ke jiwa pembaca tanpa dipaksa, malah kekadang tanpa diseari pambaca. Hal ini penting, kerana rata-rata mesej yang mahu disampaikan Naimisa ialah mesej bernilai kejiwaan. Saya kutip hantaran mesejnya dari cerpen “Tali itu Masih Lurus” sebagai contoh: Sebak dadaku membaca warkah itu. Tetapi kesebakan itu tidak terlalu tebal kerana sebelum ini aku sudah menerima usul daripada seseorang yang lain, yang aku anggap sebagai pesaingku. Aku merasionalkan kesebakan yang harus aku rasai dengan rasa syukur. Syukur kerana mungkin dia telah menerima usul daripada pesaingku.


Namun tidak dapat dinafikan bahawa cerpen–cerpen Naimisa sarat fakta. Malah ada yang tepu fakta sehingga menggugat ‘kecerpenan’ karya itu. Contohnya cerpen “Aku Bercerita Tentang Al-Quran”. Di samping cerita cinta longgar antara dua remaja (“Tali itu Masih Lurus”), Naimisa mengetengahkan isu keagamaan (“Aku Bercerita Tentang Al-Quran”), penyelidikan saintifik (“Andai ini Kudratku”), cabaran hidup orang muda (“Berakhirnya Detik Graduan Tanpa Sijil”), dan kepimpinan politik tempatan (”Pentas Genba”*).


Daripada lima buah cerpen Naimisa “Tali itu Masih Lurus”alam antologi ini, saya memilih “Tali itu Masih Lurus” sebagai garapan terbaiknya. Alam cerpen ini , Naimisa mengetengahkan tema cinta remaja beremosi yang biasa namun ditulis dalam bentuk metafora yang menarik dan berkesan.”


(Dipetik dari Cerita Gelisah (Prakata Penyelenggara), eSastera Enterprise, KL, cetakan pertama (2008), laman xii-xiii)



*Al-hamdulillah…..karya “Pentas Genba” memenangi hadiah tempat kedua Anugerah Cerpenis Alam Siber (ACAS), Hadiah e-Sastera.Com (HESCOM) 2008.



-------
Terima kasih.






yang benar,


Mohamad Hanafi Isa,

SLSB, Sentul, KL.


Pembelian terus daripada penerbit buku?


Bayaran boleh dibuat dengan menggunakan salah satu daripada cara yang berikut:
Cek/kiriman wang/wang pos/LO dsb. atas nama Esastera Enterprise dan hantarkan ke alamat:


Esastera Enterprise,
96 Jalan 7/71B,
Pinggir Taman Tun Dr. Ismail,
60000 Kuala Lumpur.






Wang tunai yang dimasukkan ke dalam salah satu akaun yang berikut:


1. Esastera Enterprise

CIMB (no. akaun 1421-0008623-05-4) ATAU



2. Wan Abu Bakar Wan Abas

Maybank (no. akaun 1-6427600041-8)



Bank Muamalat (no. akaun 1205-0002127-71-9)



Bank Islam (no. akaun 12-047-02-002914-5)



RHB Bank (no. akaun 1-64384-0000557-2)



AmFinance (no. akaun 081-002-000922-3)



Bank Simpanan Nasional Giro (no. akaun 1418 0298 4515 9387)



Bayaran melalui PayPal ke akaun drirwan1@gmail.com



Pesanan akan dilayan setelah pihak kami menerima


(a) Cek/MO/PO/LO atau

(b) "Slip Wang Masuk" atau "Slip Pindahan Wang" yang perlu dihantar ke alamat e-mel kedai.eSastera@gmail.com


atau ke alamat pos yang berikut:


Esastera Enterprise,


96 Jalan 7/71B,


Pinggir Taman Tun Dr. Ismail,


60000 Kuala Lumpur.



Telefon


019-2550599 (Puan Ilya)



E-mel

kedai.eSastera@gmail.com

Ahad, November 16, 2008

Catatan dari laman taman syurga

Kala malam, fajar kazib masih berbalam. Hujan tidak henti-henti. Ada baiknya jika aku beriktikaf di masjid ini. Setelah turun dari pejabat, aku tidak mendapat tempat di dalam bas yang sesak dengan manusia. Manusia pekerja yang dikatakan berpusu-pusu pulang setelah kepenatan.
Hujan. Solat jamaah hanya satu saf. Kemudian bangkit selepas solat nawafil ustaz yang ditugas menyampaikan kuliah Maghrib. Aku toleh kiri kanan. Kiri kanan dan belakang. Lapan orang makmum masih duduk untuk mengikuti kuliah. Muqaddimah ustaz pada malam itu sinis sekali. “Maklum sahaja, hari hujan. Mungkin yang lain-lain kepayahan.”
Menurut ustaz, ada sekali Rasulullah bimbang apabila hujan. Menurut hadis yang diceritakan ustaz, nabi bimbang sekiranya hujan bukan lagi hujan rahmat. Tidakkah pada zaman Nabi Nuh, hujan diturunkan untuk menenggelamkan manusia? Hatta Jabal Judi yang disangka tinggi oleh anak Nabi Nuh juga tenggelam.
Ustaz lalu menyambung kuliahnya. “Malam ini kita sambung pengajian tafsir al-Quran kita bermula ayat 40 hingga 43, surah al-Baqarah.”
Lalu dibacakan ayat disusuli terjemahan harfiahnya. “Wahai bani Israel, ingatlah nikmat-nikmat yang Aku (Allah) kurniakan ke atas kamu dan tunaikanlah perjanjian di antara kamu dengan Allah, dan kepadaku kamu bertaqwa. Dan berimanlah apa yang diturunkan oleh-Ku yang membenarkan kandungan kitab kamu dan janganlah kamu tergolong dari kalangan orang-orang yang ingkar (kepada isi kandungannya) dan jangan kamu membeli ayat-ayat-Ku dengan harga yang sedikit, dan kepadaku kamu bertaqwa. Dan janganlah kamu mencampurkan kebenaran dengan kebatilan, dan kamu menyembunyikan kebenaran padahal kamu mengetahuinya.”
Pertama sekali dihuraikan siapa bani Israel. Israel dalam bahasa Ibrani (Hebrew) adalah seperti berikut: ‘isra’ berakna hamba, ‘iil’ (el) bermakna Allah. Siapakah hamba Allah yang dimaksudkan? Dialah juga nama Nabi Ya'aqub alaihissalam (a.s) dalam bahasa Ibrani. Nabi Ishak mempunyai dua orang anak, pertama Ibrahim a.s yang dilahirkan oleh Siti Hajar (isteri kedua), manakala Ismail a.s dilahirkan oleh Siti Sarah. (Tambahan isi penulis: Sebab itu dalam urutan nama nabi dalam ayat Quran berbunyi ‘Ibrahiima wa Ismail wa Ishaqa wa Ya’qub wal Asbaatho’....). Manakala Ya’kub a.s adalah anak kepada nabi Ishak a.s. Kemudian ustaz berkongsi pesanan mu’allimnya di Jordan. “Maka kita tidak boleh berkata, orang-orang yang memusuhi umat Islam Palestin itu Israel, bahkan mereka al-Yahud (Yahudi). Kerana Israel itu adalah hamba Allah yang ta’at.” Hal ini bermakna dari segi konsep makna, negara Israel tidak wujud bahkan lebih cocok dengan nama negara Yahudi!
Tetapi orang Yahudi melalui gerakan Zionis tetap menamakan negara haram mereka di bumi Palestin sebagai Israel. Kenapa? Tidak lain tidak bukan kerana kepercayaan mereka akan kemuliaan kerana bersalasilah dari nabi Ya’kub a.s. Keangkuhan ini sangat jelas apabila mereka mendakwa sebagai nahnu abnaa-uLLAHu wa ahibbauhu – ‘kami anak-anak Tuhan (Allah) dan bangsa yang paling disukainya’. Walhal dalam sejarah, Yahudilah yang paling banyak membunuh nabi yang diutuskan kepada mereka.
Maka apakah nikmat yang perlu mereka ingat? Antaranya diselamatkan daripada ancaman Fir’aun. Ketika dikejar bala tentera, Allah menyelamatkan mereka dengan perintah membelah laut. Lalu Nabi Ibrahim a.s membelah laut. Mereka menyeberanginya kemudian diikuti Fir’aun tetapi Allah menenggelamkan Fir’aun yang zalim itu. Nikmat lain adalah ketika bani Israel disesatkan oleh Allah di sahara selama 40 hari 40 malam, Allah menurunkan al-manna dan salwa iaitu madu dari langit dan puyuh untuk dimakan. Seterusnya dinyatakan pula perjanjian di antara Allah dan Bani Israel. Iaitu seperti yang dinyatakan dalam surah Ash-Shof. Dikhabarkan kepada mereka bahawa akan lahir nabi akhir zaman iaitu Ahmad (Nabi Muhammad S.A.W). Tetapi mereka memungkirinya.
Bani Israel (yakni orang Yahudi) mengakui kebenaran nabi Muhammad tetapi mereka berkata, “Nabi Muhammad hanya diutuskan kepada bangsa Arab.”
Allah membalas hujah Yahudi ini dengan ayat-Nya “wa maa arsalnaaka illaa rahmatan li al-‘alamin” (Tidaklah Kami utuskanmu (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat kepada sekalian alam). Ketika orang musyrikin Makkah bimbang pengaruh nabi Muhammad tersebar ke Yathrib, mereka telah memaklumkannya kepada Yahudi. Maka pendeta Yahudi di Madinah meminta mereka memusuhi Rasulullah. Hal inilah yang dimaksudkan dengan mencampurkan kebenaran dengan kebatilan. Manakala menyembunyikan kebenaran pula merujuk kepada perbuatan Yahudi menyorok kebenaran kenabian nabi akhir zaman seperti yang dinyatakan dalam Taurat.

Dan tiba-tiba aku semacam sedar bahawa betullah, Israel merujuk kepada hamba Allah yang taat. Manakala yang derhaka digelar al-Yahud. Tidakkah di dalam satu ayat dalam surah Al-Maidah Allah berfirman, “Dilaknat bani Israel yang kafir……..” bermakna ada juga di kalangan mereka yang beriman dengan kandungan al-Kitab. Contohnya (yakni contoh yang hidup pada zaman nabi Muhammad) pendeta yang bernama Abdullah bin Salam (yang bertanya nabi darihal makanan pertama ahli syurga, bilakah berlaku kiamat dan bagaimana iras wajah seorang anak mirip wajah bapa atau ibunya) dan bapa saudara Khadijah yang buta, tetapi menjadi orang yang pertama meyakinkan Khadijah bahawa suaminya adalah nabi akhir zaman.

‘Ibrah (Pengajaran ayat)

1.Kita hendaklah sentiasa mensyukuri nikmat Allah.
Dan ustaz menambah, “Jika seorang ayah apabila berhadapan dengan anak dalam keadaan anaknya merungut. Misalnya mengeluh kerana makanan tidak sedap. Maka perlulah si ayah membandingkan keadaan mereka dengan orang-orang yang lebih teruk daripada mereka. Bayangkan, betapa di Sudan, Palestin dan mana-mana kawasan yang dilanda kebuluran, mereka sanggup mengutip kerak roti yang dibuang.
Selain itu, manusia juga kurang bersyukur kerana menyesali hari yang telah dilalui. Prof. Dr. ‘Aidh al-Qarni yang mengarang kitab La Tahzan (ketika di penjara). Katanya, “Mengapa kita perlu bersedih kerana semalam kita memakan roti basi. Sedangkan hari ini kita dapat memakan nasi yang lazat.” Kesedihan terhadap perkara yang berlalu menjadikan seseorang menyesal dan keluh kesah sedangkan masa tidak boleh dikitar semula.
2.Kita hendaklah sentiasa pegang janji.
Apabila kita membuat perjanjian dengan Allah, nescaya Allah akan menunaikan janjinya kepada kita. Menurut ustaz, “Dalam ayat yang kita bicarakan ini, janji Allah kepada bani Israel ialah keredhaan-Nya. Yakni mereka akan dimasukkan ke syurga jika patuh kepada perjanjian.”
Kata ustaz lagi, “Kita pun setiap kali solat, kita berjanji dengan Allah.”
Ketika membaca doa iftitah, kita menyebut “Sesungguhnya solatku dan amalanku, dan hidupku, dan matiku hanya kerana Allah Tuhan sekalian alam.”
Maka apakah kita berpegang pada janji ini? Malahan setiap manusia sejak alam arwah di malikul a’la (sebelum roh ditiup ke dalam rahim ibu) pernah membuat janji dengan Tuhan. “Alastu biRabbikum Qaalu bala syahidnaa...” (Tidakkah Aku Tuhan kamu, maka mereka (roh-roh) menjawab, ‘Ya. Bahkan. Kami menjadi saksi’)

------------ ------------
Secebis catatan berkuliah di Masjid Al-Hidayah, Sentul.
Nov 2008.

Sabtu, Oktober 11, 2008


BIOTEKNOLOGI menjadi bidang kompetitif di peringkat dunia. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Bioteknologi Malaysia, Datuk Iskandar Mizal Mahmood, nilai pasaran bioteknologi Malaysia mencecah RM1.3 bilion.


....Maaf. Kajian ini masih dalam penilaian editorial majalah. (Akan disiarkan semula dengan kebenaran penerbit setelah disiarkan...

Keruwetan anda saya hargai.

Jumaat, Oktober 03, 2008

Satu syawal


Pagi-pagi aku bangun. Sempat juga berniat mandi sunat ‘Eid al-Fithri, kemudian melangkah ke masjid bersolat Subuh. Selesai solat, aku ke rumah sepupuku. Bersarapan di rumahnya.

Di rumah Nek Da
Solat sunat ‘Eid al-Fithri tepat jam 8.30 pagi. Masjid melimpah (tidak cukup ruang) seperti tahun lepas walau pun bahagian pili (untuk berwudhuk) di sebelah dalam sudah diubah ke sebelah luar. Selesai bersolat dan bersalam-salaman, masing-masing mengunjungi kuburan. Aku menyertai datuk dan dua orang bapa saudara menyedekahkan doa di tiga kuburan. Ketika ini bapaku dan tiga orang adik lelaki masih dalam perjalanan dari rumah kami di kampung. Bapa selaku amil zakat memanglah sentiasa begitu, akan pulang ke kampung datuk selepas menunaikan solat sunat hari raya. Manakala adik-adikku pula sengaja bermalam bersama bapa semata-mata mahu menyaksikan perlawanan bola sepak. Oh! Sekarang musim UEFA, rupanya. Setelah bapa pulang, baharulah kami (13 orang semuanya) sama-sama berkunjungan ke rumah sanak saudara. Selepas melepasi satu rumah, kami singgah di kuburan datuk dan nenek (sebelah bapa): membaca surah Yasin.

Itulah sahaja raya bagi kami. Setelah selesai mengunjungi rumah sanak-saudara (sekitar waktu zohor), maka pulanglah kami ke rumah nenek (sebelah ibu). Kemudian tiada apa-apa pergerakan lagi. Kami tidak beraya untuk beberapa hari seperti orang lain. Mungkin juga kerana kami orang biasa-biasa. Dan kebanyakan orang yang biasa-biasa seperti kami tidak meraikan hari raya santak sebulan. Aku punya sebab tersendiri. Untuk tahun ini, masih belum mampu berjalan jauh. Maklum sahaja, semua rakan sepersekolahan berada di Kelantan. Ditolak rakan-rakan senegeri (yang jumlahnya tidak sampai 10 orang), maka tiada lagi rumah yang boleh dikunjungi. Cuma sesekali, jika bernasib baik, ada sahabat senegeri yang akan mengajakku berjalan (baca kenduri kahwin) di Kelantan. Jika tidak, terjepuklah saja di rumah.

Hari ini tiga Syawal. Jumaat. Bapa dibantu dua orang adikku sudah turun ke ladang. Aduh, aku amat liat untuk berladang.

Khamis, Oktober 02, 2008

Kenapa manusia dirasuk jin?


Jika anak-anak kecil menangis malam (kekerapannya tetap/berkala beberapa malam), bermakna ia diganggu jin bernama Ummu Shibyan. Kaedah meredakan gangguan ialah dengan mengalunkan azan sebanyak tujuh (7) kali.
Seorang suami yang berjalan malam, sebelum masuk ke rumah hendaklah membaca ayat kursi dan tiga qul sebelum masuk ke rumah, lebih-lebih lagi jika pasangan suami isteri tersebut memiliki anak kecil.
Sumber: Kuliah Jin Siri 1, Al-Fadhil Ustaz Dato' Hj. Ismail Kamus.

Anak Pondan. Apakah sebabnya?
Hadis: Dari Ibnu Abbas
"apabila seorang lelaki mendatangi isteri dlm keadaan haidh, maka mendahuluinya
syaitan. Maka lahirlah anak itu anak jin."

Mengapa dirasuk?
1. Kurang ketaatan kepada Allah.
2. Kerana di rumahnya banyak kaset nyanyian yang mangarut2.
3. Mengangkat suara (nyanyi) di bilik air.
4. Membuang air panas dlm bilik air.
5. Melompat di tempat tinggi.
6. Masuk ke tempat gelap. (Makruh sembahyang di tempat gelap/pejam mata).
7. Masuk rumah lama yang ditinggal (hendak masuk rumah baru, baca surah al-Baqarah).
8. Terlalu takut.
9. Rajin bertengkar (suami isteri).
10. Suka marah.
11. Ikutkan syahwat.
12. Gambar2 dan simpan anjing di rumah.
13. Terdapat lambang salib di rumah.
14. Majlis yang tidak menyebut nama Allah.
15. Perempuan yang suka bersolek dan buka aurat.
16. Berlaku sihir.


Tanda-tanda dirasuk.



1. Tidak dapat tidur
2. Debar berpanjangan
3. Perasaan tak menentu.
4. Mimpi berulang-ulang (haiwan).
5. Mimpi yang menakutkan.
6. Waktu tidur berjalan.
7. Mimpi melihat manusia yang pelik-pelik.
8. Mimpi dikelilingi kubur, sampah-sarap atau jalan yang mengerikan.


Tanda lain.


1. Selsema berpanjangan.
2. Tidak boleh berzikir/solat.
3. Sakit yang tidak ditemui (tak dpt dikesan doktor).
4. Otak lemah.
5. Tidak sedarkan diri.

Sumber: Kuliah Jin Siri 4, Al-Fadhil Ustaz Dato' Hj. Ismail Kamus.

Selasa, September 30, 2008

Kegilaan sains: Kadang-kadang manusia semakin pelik bila tidak menerima hakikat.

Ketika saya mengikuti latihan industri di sebuah firma pembuatan gasket, fillet yang digunakan adalah grafit (graphite) setebal tiga (3) milimeter. Grafit tergolong dalam kumpulan karbon dan boleh dimampatkan pada suhu dan tekanan tinggi untuk menghasilkan berlian. Bertitik-tolak daripada penghasilan berlian sintetik ini, manusia telah mencari alternatif lain kepada grafit. Dan tentulah penemuan ini mencabar etika kemanusiaan apabila abu mayat dipilih sebagai alternatif tersebut. Bagi saintis Barat, penemuan seumpama ini menjadi simbol kasih sayang. Bagi mereka, menukar orang yang telah mati ke dalam ‘bentuk’ yang berharga menjadikan mereka sentiasa dekat.

Pembuatan berlian sintetik daripada abu mayat bermula sejak tahun 1945. Tiga buah syarikat gergasi berlian sintetik yang terkenal terdiri daripada LifeGem (Amerika Syarikat), Algordanza (Switzerland) dan New Age Diamonds (Russia). Ketiga-tiga syarikat ini menggunakan asas yang sama iaitu menulenkan abu mayat pada suhu sekitar 3000 darjah Celcius sehingga abu bertukar menjadi grafit. Kemudian grafit ini disintesis menjadi berlian. LifeGem mempunyai keistimewaan tersendiri apabila mencampurkan abu dengan mineral lain supaya berlian yang dihasilkan boleh menjadi biru, merah atau kuning. Algordanza pula menggunakan 100 peratus abu mayat. Manakala New Age Diamonds menawarkan kaedah kultur rambut mayat untuk menghasilkan berlian. Kos pembuatan berlian sintetik adalah antara USD4000 hingga USD30000.


Hakikat kematian.


Apabila memperkatakan soal kematian, tentulah kita yang masih hidup sukar melepaskan mereka pergi. Kesedihan pasti menyelubungi kita sehingga kadang-kadang tidak dapat menerima hakikat kematian. Sebagai muslim, kita percaya bahawa setelah mati, kita akan berpindah ke alam lain dan hidup di alam bahar yang dinamakan alam barzakh. Sebagaimana bayang-bayang wujud sebagai pendua kepada jasad fizikal (jasmani), maka terdapat juga pendua kepada roh manusia yang dinamakan qarin. Qarin dikekalkan bentuknya, manakala roh yang akan menghadapi kehidupan di alam barzakh akan merasai kebahagiaan atau kesengsaraan di kubur. Suatu ketika, heboh diceritakan bahawa seorang lelaki berjumpa dengan seorang siswi UPM di Petaling Jaya. Kebetulan arah tuju siswi tersebut searah dengan jalan yang dilaluinya. Dipendekkan cerita, siswi tersebut tertinggal buku dan payungnya di dalam kereta. Setelah lelaki tersebut menemui ibu siswi tersebut (untuk memulangkan barang si mati), baharulah dia tahu bahawa yang menumpang keretanya itu bukan lagi manusia biasa. Wanita itu sudah mati dua tahun akibat kemalangan jalan raya. Dalam kes ini, menurut Prof. Dr. Haron Din jelas menunjukkan qarin dikekalkan rupa bentuknya ketika seseorang mati (Rujuk Rahsia Alam Roh).

Sabtu, Ogos 23, 2008

Selamat datang Ya Ramadhan

Setelah menduduki peperiksaan untuk Skim 14 jawatan JPA pada April lalu, saya dimaklumkan dua daripada jawatan tersebut tidak berjaya. Bermakna baki 12 jawatan lain masih bermakna dan laku sehingga April 2013. Kemudian, syukur ke hadrat Ilahi kerana pada esok (23 ogos 2008) saya dipanggil menduduki peperiksaan Pegawai Tadbir dan Peg. Penguatkuasa. Saya juga tidak pasti apakah nasib saya, kerana sekarang ini syarat pengambilan diketatkan lagi. Justeru saya memohon maaf kepada mana-mana pihak yang memerlukan buah fikiran saya pada tarikh tersebut.


Saya juga meminta maaf kepada semua. Sesetengah artikel terpaksa dipadamkan. Memang dipadam dengan tujuan menjaga keselamatan diri. Saya bukan sehebat RPK yang sanggup berhadapan dengan tindakan undang-undang. Ya. Jika saya dikenakan sesuatu, nama komuniti siber ini turut terheret sama. Saya amat faham hal ini. Setakat yang saya tulis, baharu satu weblog saya dibekukan. Itu pun, saya fikir gara-gara kritikan saya (artikel berbahasa Inggeris) terhadap satu buku kecil yang mengandungi penyelewengan, ditulis oleh gerakan machinery. Saya scan ayat al-Quran yang diselewengkan itu, tetapi kemudiannya dipadam dari entry (bukan saya yang memadamnya kerana weblog dibekukan). Sekurang-kurangnya saya bersyukur, telah dapat menyatakan satu kebenaran.



Sedikit khabar gembira lewat petang 23 Ogos setelah pulang dari Pusat Peperiksaan PTD.


Hadiah Karya Kencana


Dengan sukacitanya dimaklumkan bahawa Panel Penilai Hadiah Karya Kencana telah memilih dan merperakukan makalah berjudul “Bioteknologi Bakal Jana Ekonomi Negara” yang disiarkan dalam Dewan Ekonomi Disember 2005 sebagai penerima Hadiah Karya Kencana kategori Ekonomi dan Perniagaan.

Komen: Alhamdulillah, segala puji bagi-Nya.





Tulisan ini memang agak membosankan. Sebelum anda bosan, izinkan saya mengucapkan beberapa perkara:





Á Selamat menyambut Ramadhan Al-Mubarak. Ramadhan tahun ini biasa-biasa sahaja. Sekiranya saya mencapai peringkat tsabat (lancar) dalam ujian beberapa bulan dahulu, mungkin saya akan menjadi seseorang yang penting seperti mana zaman-zaman muda saya di universiti.


Á Selamat menyambut Hari Kemerdekaan ke-51. Semoga jiwa kita merdeka. Semoga rohani kita merdeka. Semoga jasad dan pemikiran kita merdeka. Semoga ulama kita juga merdeka menyebarluaskan ilmu.


Dan mungkin inilah kali terakhir laman saya meriah sehingga saya coretkan sesuatu yang baharu menjelang Syawal.



Rabu, Ogos 20, 2008

Maaf. Kisah ini macam betul.


Diceritakan kepada saya oleh seorang kawan kepada kawannya Sayfool. Suatu hari Sayfool pergi berjumpa seorang jurunikah yang diuwar-uwarkan kononnya menjawat jawatan Imam masjid. Maka tujuan Sayfool berjumpa ‘imam’ tersebut, di masjid pula adalah semata-mata untuk menyatakan sesuatu. Suatu kebenaran. Itulah kata Sayfool.


Maka peganglah dia senaskhah al-Quran dengan tangan kirinya sambil membaca teks. Teks tersebut merupakan penyata kebenaran. Kemudian datang bersama Sayfool itu dikatakan ayahnya. Tetapi sehingga kini belumlah dapat diketahui betulnya. Sebabnya mudah. Ketika Sayfool belajar di sebuah IPTS di Bangi, yang kemudiannya dia tidak berjaya menamatkan pelajarannya di sana, belumlah pernah kawan tersebut melihat kelibat ayah Sayfool.


Kemudian daripada peristiwa bersejarah itu, maka berbanggalah Sayfool dengan keberaniannya menyatakan suatu kebenaran. Walhal kebenaran itu sudah diragui dan perlu dibuktikan pula di mahmakah yang memang ‘dipercayai’. Awas! Mahmakah di sini masih boleh ‘dipercayai’ bukan dipercayai. Itu pun disebabkan kes tersebut tidak akan dikendalikan secara terus oleh orang nombor satu mahmakah.
Susah juga saya hendak mengesahkan mahmakah yang mana, tetapi saya pasti tuan-tuan sendiri sudah maklum.


Keesokan harinya, Sayfool berjumpa seorang lagi pengarah jabatan agama. Tetapi Sayfool keluar melalui pintu belakang kemudian di’lari’kan dengan kereta proton. Menurut laporan akhbar, wartawan yang menunggu di hadapan pejabat untuk mendapat maklumat tentang perkara itu hampa. Menurut kawan kepada kawan Sayfool itu, dia mahu memberitahu satu rahsia. Dikisahkan Sayfool tidak dapat tidur selepas pulang daripada majlis. Sayfool didatangi mimpi ngeri, tetapi Sayfool tidak boleh berundur lagi.


* * *


Maka saya pun keliru menjadi bertambah keliru. Kawan kepada kawan Sayfool mahu cuci tangan sahaja. Dia tidak dapat meyakinkan saya seperti mana Sayfool dan gengnya gagal meyakinkan saya bahawa dia adalah mangsa tanpa rela. Tetapi kawan kepada kawan Sayfool kata, “Jangan terkejut jika suatu hari nanti, Sayfool menjadi orang kuat parti ArmNo itu.”

Saya hanya geleng. Memang saya tidak berani campur urusan politik. Politik adalah tipu daya alias bencana. Bencana bermaksud fitnah. Berjinak dengan politik bermakna saya sengaja menjerumus diri kepada fitnah. Dan saya betul-betul meminta maaf, sekiranya kisah Sayfool ini ada kene-mengena dengan kes politik. Saya memang langsung tidak kenal Sayfool kecuali diberitahu oleh kawan kepada kawannya. Kata pencerita itu, “Sayfool memang ditendang daripada pengajian.”

Rabu, Ogos 13, 2008

Menunggu 23 Ogos 2008


Bulan Ogos tahun ini disusuli peristiwa besar dalam negara. Di samping sambutan tahun kemerdekaan yang ke-51, ambang merdeka bakal menyaksikan pertandingan menguasai kawasan Parlimen Permatang Pauh. Satu perkara yang patut dipuji di sini ialah kesediaan Dr. Wan Azizah meletak jawatan seperti yang dikatanya. Semestinya ia sangat sukar dan belum tentu dapat dibuat oleh orang lain apabila berjanji sanggup letak jawatan. Pada awalnya, diuwar-uwarkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan bertanding di Kulim. Tetapi hal itu pastinya menjadi isu kritikal apabila pihak lawannya mendakwa beliau mahu membina empayar monarki politik Malaysia. Siapa pun yang bertanding, seperti kata Tun Dr. M, BN belum (baca: tidak) mempunyai calon yang mampu menyaingi kredibiliti Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Malahan di dalam blognya, Tun Dr. M juga semacam memperaku tuduhan terbaru adalah plot sama seperti yang dibuatnya dahulu. Secara tersirat, dapatlah difahami bahawa tuduhan itu benar-benar konpirasi. Ya, konspirasi sebenar alaf ini yang mencalit arang ke seluruh muka umat Melayu dan Islam di Malaysia.




Saya seperti dahulu, tidak terlalu ingin melayan politik kerana orang Malaysia lebih suka berpolitik daripada melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin. Bukan semua. Tetapi yang sedikit itulah menyebabkan kehidupan rakyat marhain seperti saya terjepit dan terus dihantui kebimbangan. Apakah keselesaannya menjadi seorang penganggur terhormat dan kemudian jika mempunyai kerja, mendapat gaji yang sangat kecil? Margin gaji dan keinginan (nafsu) berbelanja sangat luwes. Justeru saya terpaksa menjadi seperti kebanyakan marhaen, wang gaji hanya cukup-cukup untuk membayar pinjaman pelajaran, wang petrol, makan minum. Tidak ada daripada pendapatan itu dapat disimpan untuk tujuan perkahwinan misalnya! Saya tidak pasti, bilakah agaknya saya akan menjadi lebih dewasa. Hakikatnya, saya tidak berani bercinta. Apa gunanya bercinta jika tidak dapat member jaminan anda dapat menanggung nafkah seorang wanita bergelar isteri? Menjadi saya atau tidak menjadi saya, sama sahaja. Yang penting saya mesti meneruskan kehidupan mengikut kadar-Nya. Usah kalian bersimpati dengan nasib saya. Doakan semoga saya beroleh keputusan yang bagus dalam peperiksaan PTD minggu hadapan (23 Ogos).

Jumaat, Ogos 08, 2008

Sebabak

Akhirnya perbicaraan terpilih dilakukan juga.

Yang pasti, mereka sedang menipu.

Mungkin selepas ini, skrip drama sebabak itu akan bertukar.

Diedit juga secara tergesa-gesa.

Kemudian pengarah drama berkata, "Oh, skrip salah. Buat shooting lain".

Maka berbodohlah mereka mereka-reka skrip baharu.

Rabu, Julai 30, 2008

Siapakah yang berminat menjadi usahawan tekno?


Oleh: Naimisa

(Yang mengikuti Program Kesedaran CTAP pada 29 Julai 2008, Pusat Dagangan Terengganu).


INDUSTRI kandungan kreatif negara berada pada tahap yang agak memuaskan. Apakah sebenarnya yang dimaksudkan kandungan kreatif alias content? Terma ‘Content ’ mengikut takrif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 seperti berikut: “Sebarang suara, teks, gambar pegun, gambar bergerak atau persembahan audio-visual yang lain, atau kombinasi kandungan yang telah dinyatakan; berupaya dimanipulasi, disimpan, diterjemahkan dan digabungkan secara elektronik.”
Industri kandungan kreatif terbahagi kepada enam kategori:
 Filem dan Telivisyen.

 Animasi dan pemodelan (modelling).

 Permainan berkomputer.

 Mobil.

 Interaktif.

 Audio

Pada tahun 2007, nilai pasaran industri kandungan kreatif adalah sebanyak RM648 bilion. Jika Malaysia ‘mencuri’ satu peratus daripada nilai pasaran tersebut, bermakna potensi pasaran industri ini bernilai RM6.48 bilion. Sehingga tahun 2010, Malaysia mensasarkan 900 syarikat bertaraf Malaysian Super Corridor @ MSC. Menurut statistik MDeC pada tahun 2005, terdapat 1400 syarikat berstatus MSC, tetapi jumlah ini termasuk syarikat multinasional yang berpangkalan di negara ini. Daripada jumlah itu, 16% (224) merupakan pemain utama dalam bidang kandungan kreatif.

Setelah melihat senario pasaran dan sasaran negara, pihak yang bertanggungjawab membangunkan industri kandungan kreatif menyediakan inisiatif untuk meramaikan penyertaan usahawan sesuai dengan moto MDeC ‘Keusahawanan Kerjaya Pilihan’. MDeC menawarkan program keusahawanan tekno melalui program Program Akademi Usahawan Tekno Kreatif (Creative Technoprenure Academy Programme – CTAP). Bakal usahawan perlu melalui beberapa peringkat sebelum menjadi ahli perniagaan bermula daripada Seminar CTAP - sehari, bengkel ‘Mulakan Perniagaan Anda Sendiri (SYOB) – enam hari, inkubasi (enam bulan). Selepas tempoh tersebut, usahawan yang dilahirkan diharap dapat memanfaatkan pengalaman untuk mengembang perniagaan. Perantis CTAP yang berjaya, akan diberi suntikan modal (geran juga dikenal sebagai Pre-seed Fund) RM150 000.00 untuk membuat prototaip perniagaan.

Namun begitu, bagi mana-mana usahawan sedia ada yang sudah memiliki pelan perniagaan boleh juga memohon Pre-Seed Fund, untuk membangunkan prototaip perniagaan. Permohonan Pre-seed Fund dibuka pada 7 – 27 Ogos 2008, kemudian Oktober 2008.



Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada techpreseeed@mdec.com.my
atau telefon 03 – 8313 8000 (En. Mohd Shahidan).



Berita tentang usahawan tekno.

Khamis, Julai 10, 2008

Karya baru akan disiar.


Syukur.
Dan semalam (09 Julai 2008) saya dihubungi editor dari JAKIM. Beliau meminta nombor akaun.
Alhamdulillah, satu penulisan saya sudah disahkan akan disiarkan dalam majalah Cahaya, JAKIM edisi Ogos 2008.
Karya ini tersimpan lebih daripada dua tahun dalam gajet saya. Ia ditulis sekitar Ogos 2005. Cuma, dari masa ke masa, saya membaca dan menambahbaikkan kandungannya.

:)



10 Julai 2008, Kuala Terengganu.

Ahad, Julai 06, 2008

Bulan Julai bulan membaca.




Sempena bulan membaca, saya baharu sahaja memilik koleksi buku-buku ini.


Lima buah buku ini boleh dibeli dengan harga istimewa RM100.00 termasuk kos pengeposan di Ujanailmu.




Dan hari ini, sesi terakhir saya untuk kursus Dale Carnegie.


Mug di atas merupakan hadiah yang diperoleh kerana pencapaian kendiri yang dicapai ketika menghadiri kursus. Tahniah! -:)


Isnin, Jun 30, 2008

Cakap-cakap bengkel




Pembimbing: Puan Zaharah Nawawi

Bermula dari awal Jun saya dimaklumkan bengkel penulisan cerpen sambil ditawarkan Nak gi? (= Hendak pergi?) oleh saudara Dahrie. Saya lewat-lewatkan jawapan sehingga tiga hari, entah mengapa berat hati saya membeli tiket ke Kota Bharu pada hari Ahad yang berikutnya. Saya memeriksa pengumuman rasmi Dahrie pada hari Isnin (lima hari selepas dimaklumkan), kemudian menghantar dua buah cerpen. Judul pertama ‘Dilema Seorang Pesalah’ manakala cerpen satu lagi bertajuk ‘Manisnya Madu’.

Setelah diemelkan dua buah cerpen yang akan dibedah, saudara Dahrie memaklumkan penangguhan bengkel kerana masalah teknikal. Pembimbing utama bengkel ini tidak bersetuju dengan tempat yang dicadangkan iaitu di Perdana Resort, Pantai Cahaya Bulan (PCB). ‘Patutlah berat semacam sahaja hati saya menempah tiket bas lebih awal.’ Detik hati saya sendirian. Akhirnya setelah dipertimbang semula, semua pihak bersetuju mengadakan bengkel di hotel. Ahad berikutnya (22 Jun 2008), saya membeli tiket untuk menghadiri bengkel. Inilah kali pertama saya bersua muka dengan pemilik Kelab Zaharah Nawawi. Sebelum ini saya tidak pernah mendengar khabar berita kegarangan beliau. Garang itu subjektif. Bagi saya, guru yang garang (tegas dan berdisiplin) adalah guru yang baik.

Mengikut jadual perjalanan saya, bas bertolak dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu jam 12.30 tengah hari. Entah bagaimana, bas hanya muncul jam 2.00 petang. Walhal terlebih dahulu saya sudah memaklumkan Dahrie bahawa saya akan tiba seawal jam 3.30 petang. Dalam tentatif program, pendaftaran bermula jam 2.30 sehingga 4.30 petang. Kelewatan bas bermakna saya sudah lewat satu jam setengah dan tidak mungkin dapat mendaftar diri dalam julat waktu yang dirangka penganjur. Dengan sebal, saya maklumkan Dahrie kelewatan itu. Saya faham, bukan mudah mengendalikan sesuatu program. Masa sebolehnya mahu ditepati oleh penganjur. Dahrie memaklumkan perubahan yang dibuat memandangkan beliau faham kesukaran yang dihadapi peserta. Jam 5.30 petang, baharulah saya tiba di destinasi. Saya menaiki kereta (perebet sapu) yang dinaiki Aliff Mustakim terlebih awal daripada saya. Ketibaan saya disambut Dahrie, Hani Hamsyari, Thoyba Murshidah, Ariff Abadi dan ustaz Ramy.


Cikgu Ariff Abadi sedang membaca majalah Esasterawan.Net. Saya mencuri pandang, “Macam kenal sahaja tulisan ini.” Cikgu Ariff merujuk judul cerpen yang dibaca.


Terima kasih kepada editor Esasterawan.Net kerana memilih karya ini. Kembang hati saya. Kata Drirwan, “Jika di dalam satu-satu majalah disiarkan karya kita, kita akan seronok membacanya biarpun sudah berulang-kali ditelaah.”


Ketika sesi bedah karya saya




menjadi cerpen pertama yang dipilih Puan Zaharah. Bedah karya sememangnya saat yang kritikal. Lebih-lebih lagi Puan Zaharah seorang yang tegas dan berterus-terang. Sesi ini menjadi hangat ketika karya cikgu Ariff Abadi, ustaz Ramy, Kalemas, MN Iskandar. Mereka sememangnya sudah akrab, dan suasana bedah karya tersebut menjadikan masing-masing ‘memberi cukup-cukup’ penilaian yang jujur. Kritikan sebegini sememangnya segar dan bagus untuk memantapkan karya. Berbalik kepada karya saya, pertama dinilai sebagai karya terbaik baik. Namun penyudahannya kurang menarik disebabkan unsur anti-klimaks. Menurut Puan Zaharah, walaupun unsur ini diperkenal dalam teori cerpen, tetapi tidak digalakkan. Anti-klimaks biasanya mengecewakan pembaca. Selain daripada itu, judul karya perlu ditukar agar tampak lebih menarik. Saya akui, memilih tajuk biasanya menjadi agenda terakhir dalam pengkaryaan. Hal ini kadang-kadang mengambil masa sejam malah berlarutan sehingga satu hari.

Rabu, Jun 25, 2008

Selamat Berbengkel

Ini akaun friendster saya.



Emel: hanafi_naimisa@yahoo.com.my


Anda dialu-alukan menjadi sebahagian daripada rakan saya.


Bengkel Penulisan Cerpen 26 - 28 Jun 2008, New Pacific Hotel, Kota Bharu.

Isnin, Jun 23, 2008

Koreksi Di Balik Pintu Belakang


‘Di balik pintu belakang’ merupakan karya kembar kepada cerpen ‘Dilema Seorang Pesalah’. Karya ini merupakan kesinambungan atau sisi lain yang menceritakan pergolakan moral dan etika kerja. Penulisan ini diperoleh melalui pengalaman sebenar penulisnya sepanjang bertugas di sebuah kilang pembuatan, milik pengusaha Indsutri Kecil dan Sederhana (IKS).

Seorang pengurus yang mengesani kesalahan ketuanya, namun tidak mahu meminta bosnya meletak jawatan. Hal itu sama sekali tidak mungkin. Politik kerjaya memang tidak mengenal erti kejujuran, etika dan moral. Nilai-nilai yang diajar di sekolah dalam pendidikan selama ini tidak berupaya menjadikan seseorang menjadi seperti yang diajar. Asal sahaja digelar ‘politik’, maka halnya adalah tipu daya. Kamal yang dijadikan watak utama ‘Di balik pintu belakang’ merupakan seorang pengurus yang jujur. Dia cekal menjalankan tugas. Atas rasa tanggungjawab, dia terjun ke dunia operator; meninggalkan ruang selesa di pejabat. Pengalaman ini mengajarnya erti ‘kesusahan’ kerja di peringkat bawah. Namun, dia amat terkilan dengan plot penggantungan kerja Rosli semata-mata untuk menyelamatkan kedudukan Ubaid.

Ubaid, selaku watak antagonis dalam cerpen ini sebenarnya telah lama menyeleweng. Sebelum kedatangan Kamal lagi, dia sudah mempunyai pelanggan (baca rakan niaga). Kedudukannya dimanipulasi untuk menjual produk terus dari kilang (istilahnya melalui ‘pintu belakang’). Dia lulusan sarjana muda sama seperti Kamal. Ubaid yang terdesak berpakat dengan Rosli, dibayarnya adik angkatnya sejumlah wang yang melebihi gaji pokoknya. Persetujuan mereka dirahsiakan (tetapi tetap disingkap oleh Kamal akhirnya). Dia memang kurang mesra dengan Kamal, ada sahaja tindak tanduknya diperhatikan. Malah Kamal juga mempersoal tindakannya secara terus di hadapan pengurus lain. Cuma dia lega, kuasa penentu di tangannya. Tuan Zain sangat percaya kepadanya, apatah lagi Tuan Zain sendiri tidak gemar turun padang meneliti aktivti kilang dek kesibukan menguruskan kumpulan syarikatnya.
Pemikiran yang cuba dimasukkan di dalam ‘Di balik pintu belakang’ ialah nilai etika, kejujuran dan moral akan menjadi tidak berguna apabila ditangani oleh manusia-manusia yang tidak bermaruah. Selain itu, kenyataan bahawa selaku orang bawahan menentang kemungkaran seorang ketua yang berkuasa dan berpengaruh sangat sukar. Konflik di tempat kerja itu menyebabkan Kamal bersedia mengundur diri walau pun tidak bersalah. Penulis cuba mencipta plot cerita seperti kisah Nabi Yusuf. Ketika dibuktikan tidak bersalah, dia tetap dimasukkan ke penjara. Mengapa? Kamal pasti, kebenaran tetap benar dan akan mengatasi kebatilan. Pengunduran yang dibuat itulah pengajaran kepada Ubaid. Dia mahu Ubaid merasa terhukum dengan stail pentadbirannya. Dan apakah benar (Ubaid akan mengambil iktibar?)

Karya ini mendedahkan kepada anda realiti alam pekerjaan. Seseorang yang terdesak dan didesak oleh kehendak untuk hidup mewah sanggup melakukan apa sahaja. Mereka tidak lagi mempertimbangkan soal halal haram. Semoga secebis kisah ini memberi kesedaran kepada pembaca bahawa setiap gerak kerja kita adalah ibadah, dan diganjarkan pahala atau dosa bergantung kepada betul atau salahnya kerja itu di sisi syarak.