‘Di balik pintu belakang’ merupakan karya kembar kepada cerpen ‘Dilema Seorang Pesalah’. Karya ini merupakan kesinambungan atau sisi lain yang menceritakan pergolakan moral dan etika kerja. Penulisan ini diperoleh melalui pengalaman sebenar penulisnya sepanjang bertugas di sebuah kilang pembuatan, milik pengusaha Indsutri Kecil dan Sederhana (IKS).
Seorang pengurus yang mengesani kesalahan ketuanya, namun tidak mahu meminta bosnya meletak jawatan. Hal itu sama sekali tidak mungkin. Politik kerjaya memang tidak mengenal erti kejujuran, etika dan moral. Nilai-nilai yang diajar di sekolah dalam pendidikan selama ini tidak berupaya menjadikan seseorang menjadi seperti yang diajar. Asal sahaja digelar ‘politik’, maka halnya adalah tipu daya. Kamal yang dijadikan watak utama ‘Di balik pintu belakang’ merupakan seorang pengurus yang jujur. Dia cekal menjalankan tugas. Atas rasa tanggungjawab, dia terjun ke dunia operator; meninggalkan ruang selesa di pejabat. Pengalaman ini mengajarnya erti ‘kesusahan’ kerja di peringkat bawah. Namun, dia amat terkilan dengan plot penggantungan kerja Rosli semata-mata untuk menyelamatkan kedudukan Ubaid.
Ubaid, selaku watak antagonis dalam cerpen ini sebenarnya telah lama menyeleweng. Sebelum kedatangan Kamal lagi, dia sudah mempunyai pelanggan (baca rakan niaga). Kedudukannya dimanipulasi untuk menjual produk terus dari kilang (istilahnya melalui ‘pintu belakang’). Dia lulusan sarjana muda sama seperti Kamal. Ubaid yang terdesak berpakat dengan Rosli, dibayarnya adik angkatnya sejumlah wang yang melebihi gaji pokoknya. Persetujuan mereka dirahsiakan (tetapi tetap disingkap oleh Kamal akhirnya). Dia memang kurang mesra dengan Kamal, ada sahaja tindak tanduknya diperhatikan. Malah Kamal juga mempersoal tindakannya secara terus di hadapan pengurus lain. Cuma dia lega, kuasa penentu di tangannya. Tuan Zain sangat percaya kepadanya, apatah lagi Tuan Zain sendiri tidak gemar turun padang meneliti aktivti kilang dek kesibukan menguruskan kumpulan syarikatnya.
Pemikiran yang cuba dimasukkan di dalam ‘Di balik pintu belakang’ ialah nilai etika, kejujuran dan moral akan menjadi tidak berguna apabila ditangani oleh manusia-manusia yang tidak bermaruah. Selain itu, kenyataan bahawa selaku orang bawahan menentang kemungkaran seorang ketua yang berkuasa dan berpengaruh sangat sukar. Konflik di tempat kerja itu menyebabkan Kamal bersedia mengundur diri walau pun tidak bersalah. Penulis cuba mencipta plot cerita seperti kisah Nabi Yusuf. Ketika dibuktikan tidak bersalah, dia tetap dimasukkan ke penjara. Mengapa? Kamal pasti, kebenaran tetap benar dan akan mengatasi kebatilan. Pengunduran yang dibuat itulah pengajaran kepada Ubaid. Dia mahu Ubaid merasa terhukum dengan stail pentadbirannya. Dan apakah benar (Ubaid akan mengambil iktibar?)
Karya ini mendedahkan kepada anda realiti alam pekerjaan. Seseorang yang terdesak dan didesak oleh kehendak untuk hidup mewah sanggup melakukan apa sahaja. Mereka tidak lagi mempertimbangkan soal halal haram. Semoga secebis kisah ini memberi kesedaran kepada pembaca bahawa setiap gerak kerja kita adalah ibadah, dan diganjarkan pahala atau dosa bergantung kepada betul atau salahnya kerja itu di sisi syarak.
Isnin, Jun 23, 2008
Koreksi Di Balik Pintu Belakang
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan