Pembimbing: Puan Zaharah Nawawi
Bermula dari awal Jun saya dimaklumkan bengkel penulisan cerpen sambil ditawarkan Nak gi? (= Hendak pergi?) oleh saudara Dahrie. Saya lewat-lewatkan jawapan sehingga tiga hari, entah mengapa berat hati saya membeli tiket ke Kota Bharu pada hari Ahad yang berikutnya. Saya memeriksa pengumuman rasmi Dahrie pada hari Isnin (lima hari selepas dimaklumkan), kemudian menghantar dua buah cerpen. Judul pertama ‘Dilema Seorang Pesalah’ manakala cerpen satu lagi bertajuk ‘Manisnya Madu’.
Setelah diemelkan dua buah cerpen yang akan dibedah, saudara Dahrie memaklumkan penangguhan bengkel kerana masalah teknikal. Pembimbing utama bengkel ini tidak bersetuju dengan tempat yang dicadangkan iaitu di Perdana Resort, Pantai Cahaya Bulan (PCB). ‘Patutlah berat semacam sahaja hati saya menempah tiket bas lebih awal.’ Detik hati saya sendirian. Akhirnya setelah dipertimbang semula, semua pihak bersetuju mengadakan bengkel di hotel. Ahad berikutnya (22 Jun 2008), saya membeli tiket untuk menghadiri bengkel. Inilah kali pertama saya bersua muka dengan pemilik Kelab Zaharah Nawawi. Sebelum ini saya tidak pernah mendengar khabar berita kegarangan beliau. Garang itu subjektif. Bagi saya, guru yang garang (tegas dan berdisiplin) adalah guru yang baik.
Mengikut jadual perjalanan saya, bas bertolak dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu jam 12.30 tengah hari. Entah bagaimana, bas hanya muncul jam 2.00 petang. Walhal terlebih dahulu saya sudah memaklumkan Dahrie bahawa saya akan tiba seawal jam 3.30 petang. Dalam tentatif program, pendaftaran bermula jam 2.30 sehingga 4.30 petang. Kelewatan bas bermakna saya sudah lewat satu jam setengah dan tidak mungkin dapat mendaftar diri dalam julat waktu yang dirangka penganjur. Dengan sebal, saya maklumkan Dahrie kelewatan itu. Saya faham, bukan mudah mengendalikan sesuatu program. Masa sebolehnya mahu ditepati oleh penganjur. Dahrie memaklumkan perubahan yang dibuat memandangkan beliau faham kesukaran yang dihadapi peserta. Jam 5.30 petang, baharulah saya tiba di destinasi. Saya menaiki kereta (perebet sapu) yang dinaiki Aliff Mustakim terlebih awal daripada saya. Ketibaan saya disambut Dahrie, Hani Hamsyari, Thoyba Murshidah, Ariff Abadi dan ustaz Ramy.
Cikgu Ariff Abadi sedang membaca majalah Esasterawan.Net. Saya mencuri pandang, “Macam kenal sahaja tulisan ini.” Cikgu Ariff merujuk judul cerpen yang dibaca.
Terima kasih kepada editor Esasterawan.Net kerana memilih karya ini. Kembang hati saya. Kata Drirwan, “Jika di dalam satu-satu majalah disiarkan karya kita, kita akan seronok membacanya biarpun sudah berulang-kali ditelaah.”
Ketika sesi bedah karya saya
menjadi cerpen pertama yang dipilih Puan Zaharah. Bedah karya sememangnya saat yang kritikal. Lebih-lebih lagi Puan Zaharah seorang yang tegas dan berterus-terang. Sesi ini menjadi hangat ketika karya cikgu Ariff Abadi, ustaz Ramy, Kalemas, MN Iskandar. Mereka sememangnya sudah akrab, dan suasana bedah karya tersebut menjadikan masing-masing ‘memberi cukup-cukup’ penilaian yang jujur. Kritikan sebegini sememangnya segar dan bagus untuk memantapkan karya. Berbalik kepada karya saya, pertama dinilai sebagai karya terbaik baik. Namun penyudahannya kurang menarik disebabkan unsur anti-klimaks. Menurut Puan Zaharah, walaupun unsur ini diperkenal dalam teori cerpen, tetapi tidak digalakkan. Anti-klimaks biasanya mengecewakan pembaca. Selain daripada itu, judul karya perlu ditukar agar tampak lebih menarik. Saya akui, memilih tajuk biasanya menjadi agenda terakhir dalam pengkaryaan. Hal ini kadang-kadang mengambil masa sejam malah berlarutan sehingga satu hari.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan