Pagi-pagi aku bangun. Sempat juga berniat mandi sunat ‘Eid al-Fithri, kemudian melangkah ke masjid bersolat Subuh. Selesai solat, aku ke rumah sepupuku. Bersarapan di rumahnya.
Solat sunat ‘Eid al-Fithri tepat jam 8.30 pagi. Masjid melimpah (tidak cukup ruang) seperti tahun lepas walau pun bahagian pili (untuk berwudhuk) di sebelah dalam sudah diubah ke sebelah luar. Selesai bersolat dan bersalam-salaman, masing-masing mengunjungi kuburan. Aku menyertai datuk dan dua orang bapa saudara menyedekahkan doa di tiga kuburan. Ketika ini bapaku dan tiga orang adik lelaki masih dalam perjalanan dari rumah kami di kampung. Bapa selaku amil zakat memanglah sentiasa begitu, akan pulang ke kampung datuk selepas menunaikan solat sunat hari raya. Manakala adik-adikku pula sengaja bermalam bersama bapa semata-mata mahu menyaksikan perlawanan bola sepak. Oh! Sekarang musim UEFA, rupanya. Setelah bapa pulang, baharulah kami (13 orang semuanya) sama-sama berkunjungan ke rumah sanak saudara. Selepas melepasi satu rumah, kami singgah di kuburan datuk dan nenek (sebelah bapa): membaca surah Yasin.
Itulah sahaja raya bagi kami. Setelah selesai mengunjungi rumah sanak-saudara (sekitar waktu zohor), maka pulanglah kami ke rumah nenek (sebelah ibu). Kemudian tiada apa-apa pergerakan lagi. Kami tidak beraya untuk beberapa hari seperti orang lain. Mungkin juga kerana kami orang biasa-biasa. Dan kebanyakan orang yang biasa-biasa seperti kami tidak meraikan hari raya santak sebulan. Aku punya sebab tersendiri. Untuk tahun ini, masih belum mampu berjalan jauh. Maklum sahaja, semua rakan sepersekolahan berada di Kelantan. Ditolak rakan-rakan senegeri (yang jumlahnya tidak sampai 10 orang), maka tiada lagi rumah yang boleh dikunjungi. Cuma sesekali, jika bernasib baik, ada sahabat senegeri yang akan mengajakku berjalan (baca kenduri kahwin) di Kelantan. Jika tidak, terjepuklah saja di rumah.
Hari ini tiga Syawal. Jumaat. Bapa dibantu dua orang adikku sudah turun ke ladang. Aduh, aku amat liat untuk berladang.
Jumaat, Oktober 03, 2008
Satu syawal
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan