Rabu, Ogos 20, 2008

Maaf. Kisah ini macam betul.


Diceritakan kepada saya oleh seorang kawan kepada kawannya Sayfool. Suatu hari Sayfool pergi berjumpa seorang jurunikah yang diuwar-uwarkan kononnya menjawat jawatan Imam masjid. Maka tujuan Sayfool berjumpa ‘imam’ tersebut, di masjid pula adalah semata-mata untuk menyatakan sesuatu. Suatu kebenaran. Itulah kata Sayfool.


Maka peganglah dia senaskhah al-Quran dengan tangan kirinya sambil membaca teks. Teks tersebut merupakan penyata kebenaran. Kemudian datang bersama Sayfool itu dikatakan ayahnya. Tetapi sehingga kini belumlah dapat diketahui betulnya. Sebabnya mudah. Ketika Sayfool belajar di sebuah IPTS di Bangi, yang kemudiannya dia tidak berjaya menamatkan pelajarannya di sana, belumlah pernah kawan tersebut melihat kelibat ayah Sayfool.


Kemudian daripada peristiwa bersejarah itu, maka berbanggalah Sayfool dengan keberaniannya menyatakan suatu kebenaran. Walhal kebenaran itu sudah diragui dan perlu dibuktikan pula di mahmakah yang memang ‘dipercayai’. Awas! Mahmakah di sini masih boleh ‘dipercayai’ bukan dipercayai. Itu pun disebabkan kes tersebut tidak akan dikendalikan secara terus oleh orang nombor satu mahmakah.
Susah juga saya hendak mengesahkan mahmakah yang mana, tetapi saya pasti tuan-tuan sendiri sudah maklum.


Keesokan harinya, Sayfool berjumpa seorang lagi pengarah jabatan agama. Tetapi Sayfool keluar melalui pintu belakang kemudian di’lari’kan dengan kereta proton. Menurut laporan akhbar, wartawan yang menunggu di hadapan pejabat untuk mendapat maklumat tentang perkara itu hampa. Menurut kawan kepada kawan Sayfool itu, dia mahu memberitahu satu rahsia. Dikisahkan Sayfool tidak dapat tidur selepas pulang daripada majlis. Sayfool didatangi mimpi ngeri, tetapi Sayfool tidak boleh berundur lagi.


* * *


Maka saya pun keliru menjadi bertambah keliru. Kawan kepada kawan Sayfool mahu cuci tangan sahaja. Dia tidak dapat meyakinkan saya seperti mana Sayfool dan gengnya gagal meyakinkan saya bahawa dia adalah mangsa tanpa rela. Tetapi kawan kepada kawan Sayfool kata, “Jangan terkejut jika suatu hari nanti, Sayfool menjadi orang kuat parti ArmNo itu.”

Saya hanya geleng. Memang saya tidak berani campur urusan politik. Politik adalah tipu daya alias bencana. Bencana bermaksud fitnah. Berjinak dengan politik bermakna saya sengaja menjerumus diri kepada fitnah. Dan saya betul-betul meminta maaf, sekiranya kisah Sayfool ini ada kene-mengena dengan kes politik. Saya memang langsung tidak kenal Sayfool kecuali diberitahu oleh kawan kepada kawannya. Kata pencerita itu, “Sayfool memang ditendang daripada pengajian.”

Tiada ulasan: