Rabu, Ogos 13, 2008

Menunggu 23 Ogos 2008


Bulan Ogos tahun ini disusuli peristiwa besar dalam negara. Di samping sambutan tahun kemerdekaan yang ke-51, ambang merdeka bakal menyaksikan pertandingan menguasai kawasan Parlimen Permatang Pauh. Satu perkara yang patut dipuji di sini ialah kesediaan Dr. Wan Azizah meletak jawatan seperti yang dikatanya. Semestinya ia sangat sukar dan belum tentu dapat dibuat oleh orang lain apabila berjanji sanggup letak jawatan. Pada awalnya, diuwar-uwarkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan bertanding di Kulim. Tetapi hal itu pastinya menjadi isu kritikal apabila pihak lawannya mendakwa beliau mahu membina empayar monarki politik Malaysia. Siapa pun yang bertanding, seperti kata Tun Dr. M, BN belum (baca: tidak) mempunyai calon yang mampu menyaingi kredibiliti Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Malahan di dalam blognya, Tun Dr. M juga semacam memperaku tuduhan terbaru adalah plot sama seperti yang dibuatnya dahulu. Secara tersirat, dapatlah difahami bahawa tuduhan itu benar-benar konpirasi. Ya, konspirasi sebenar alaf ini yang mencalit arang ke seluruh muka umat Melayu dan Islam di Malaysia.




Saya seperti dahulu, tidak terlalu ingin melayan politik kerana orang Malaysia lebih suka berpolitik daripada melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin. Bukan semua. Tetapi yang sedikit itulah menyebabkan kehidupan rakyat marhain seperti saya terjepit dan terus dihantui kebimbangan. Apakah keselesaannya menjadi seorang penganggur terhormat dan kemudian jika mempunyai kerja, mendapat gaji yang sangat kecil? Margin gaji dan keinginan (nafsu) berbelanja sangat luwes. Justeru saya terpaksa menjadi seperti kebanyakan marhaen, wang gaji hanya cukup-cukup untuk membayar pinjaman pelajaran, wang petrol, makan minum. Tidak ada daripada pendapatan itu dapat disimpan untuk tujuan perkahwinan misalnya! Saya tidak pasti, bilakah agaknya saya akan menjadi lebih dewasa. Hakikatnya, saya tidak berani bercinta. Apa gunanya bercinta jika tidak dapat member jaminan anda dapat menanggung nafkah seorang wanita bergelar isteri? Menjadi saya atau tidak menjadi saya, sama sahaja. Yang penting saya mesti meneruskan kehidupan mengikut kadar-Nya. Usah kalian bersimpati dengan nasib saya. Doakan semoga saya beroleh keputusan yang bagus dalam peperiksaan PTD minggu hadapan (23 Ogos).

Tiada ulasan: