Sabtu, Februari 19, 2011

Ada baiknya kita biarkan yang hidup berbicara

Cuti semester bermula. Kebetulan dia tidak mengikuti kursus jangka pendek ataupun program kampus. Minggu lepas dia dipelawa mengikuti program baktisiswa tetapi dia menolak, “Ada agenda keluarga yang penting dan utama.” Alasan konkrit itu terpaksa diterima penganjur.

Dia membelek buku-buku di rak dalam bilik Qayyim. Dahulu rak buku itu diurus sepenuhnya oleh arwah Munir. Sudah tidak banyak koleksi buku arwah yang masih tinggal. Sebahagiannya disumbang kepada perpustakaan desa. Tidak banyak yang dapat dimanfaatkan perpustakaan kecuali novel. Buku-buku gemulah yang sudah tidak relevan dijual kepada pembeli surat khabar lama.

Pagi itu mentari naik seperti biasa. Waktu Dhuha masih mentah. Jalan di hadapan rumah tidak terlalu sibuk. Kebanyakan orang tua yang bekerja sudah ke ladang. Ayah dan ibunya masih gagah ke ladang. Sekali-sekala beberapa buah motosikal ditunggang anak muda melalui jalan itu. Kelihatan abangnya Qayyim pulang dari padang. Padang bola sepak tidak jauh dari rumah mereka. Jaraknya kira-kira dua ratus meter. “Berapa pusingan?” sapanya.

Qayyim meletakkan kasut dan dan duduk berlunjur di hadapannya. Dia mengesat peluh dengan tuala kecil di bahu. “Sempat lapan sahaja. Tidak ada stamina untuk lebih banyak pusingan.”

Dia teringat novel yang pernah diterbit Qayyim lalu bertanya, “Abang, novel arwah abang Munir dahulu masih ada?”

“Ada macam mana?” balas abangnya.

Dia tahu kakaknya pernah menguliti novel itu. “Naskhah yang pernah Kak Na baca dulu,” ujarnya.

“Paling akhir abang ingat sudah dipinjamkan kepada sepupu kita, Kak Ati. Mungkin sudah berpindah tangan pula.” Jawab Qayyim acuh tidak acuh.

“Abang macam tidak bersemangat saja? Kalau ada, Saniah hendak pinjamkan pada kawan sebilik. Saya ada ceritakan novel itu kepadanya.”

“Sudahlah. Benda yang tiada hendak diapakan? Masa ada dahulu tidak baca habis.” Tuduh Qayyim.

Dia tidak mahu beralah. Mungkin abangnya tidak pernah melihat dia membaca novel itu. Dia menerangkan hakikatnya, “Abang tidak ada di rumah ketika saya membacanya.”

“Rasanya tidaklah terlalu perit bagi abang menyatakan hal ini.” Qayyim melakar sesuatu di atas tanah. Tetapi lakarannya cakar ayam.

Nota: Sedutan dari novel yang belum siap-siap ditulis.

6 ulasan:

Afida Anuar berkata...

Baru je saya nak tanya siapa arwah Munir dengan Naim, rupanya novel terbaru...

bila dijangka keluar pasaran ni naim?

Naim berkata...

Fida, Munir itu semangat yang telah mati. Dan ia hidup semula dari dalam diri penulisnya (saya); beberapa lama setelah kematian itu.

Tetapi selaku pembaca, anda tidak perlu percaya apa yang dikatakan; kerana itulah tujuan sebuah fiksyen. Tidak semua yang ditulis adalah hakikat.

UMMU ZIYAD berkata...

salam en.naim

terlanjur dah singgah jadi nak tumpang tanya..ada saudara-mara yang bercita-cita nak jadi penulis dan dah ada karya sendiri yang disimpan skian lama jadi pekasam dalam laptop tapi tak tahu kat mana nak publish karya..jadi boleh tak en.naim share mungkin prosedur atau pihak2 yang boleh dihubungi?

Naim berkata...

salam, Puan Ummu Ziyad.

Inysa-Allah, boleh.

UMMU ZIYAD berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.
Naim berkata...

Puan Ummu Ziyad, sila semak kotak emel anda. Saya sudah hantar hal yang perlu diketahui dan cara-caranya.