Selasa, November 24, 2009

Resensi Memoir Seorang Guru.


Judul: Memoir Seorang Guru
Penulis: Azizi Abdullah
Penerbit: Alaf 21 Sdn. Bhd.
ISBN: 9789831243152
Harga: RM13.00
Halaman: 299 muka surat.
Pengulas: Naimisa Yusof.



“Kama, Kama faham ke apa yang bapa cerita?”

“Cerita apa?”

“Cerita bagaimana buruknya bapa dalam profesion guru. Bapa pendendam. Bapa ego. Bapa pemarah. Bapa pembenci.”

Kamariah ketawa terbahak-bahak. “Bila yang bapa cerita?”

“Eh, bapa tak cerita ke tentang Alias dengan beruknya? Tentang Midun dengan limau Mandarinnya? Bapa tak cerita ke tentang Mihad dengan ikan haruannya? Tentang Sakinah dengan mata julingnya? Tentang Mohd. Dhuha yang rajin sembahyang?”


(halaman 203)

Petikan di atas merupakan puncak yang menghampiri penghabisan cerita dalam cerita. Memoir Seorang Guru dimulakan dengan konflik seorang guru pencen dengan anaknya Kamariah (Kama) apabila anaknya mahu menjadi seorang guru. Dia bukan menghalang Kamariah untuk menjadi seorang guru tetapi dia bimbang kalau-kalau sikap buruknya sebagai pendidik juga menjangkiti anaknya. Betapa profesion mulia ini perlu dilalui bukan sekadar untuk mendapat habuan dalam bentuk gaji. Malah yang jauh lebih penting menjadi pendidik yang mencapai takah murabbi. Cerita-cerita awal yang diselitkan dengan insiden yang menyebabkan aku (watak utama – bapa Kamariah) menjadi kesal dengan dunia perguruannya. Yang dihalang atau dibenci itu bukanlah profesion itu sendiri. Malah yang dibimbanginya ialah sikap ambil mudah seorang penyandang jawatan guru semata-mata mengharapkan gaji, tanpa memikirkan nilai sebenar di sebalik kerjaya seorang guru.


...bapa mahu engkau mengerti, profesion ini profesion mencabar, profesion yang kena bertanggungjawab terhadap pembagunan insan. Pendidikan yang bererti bertali arus mesti dipertanggungjawabkan sehingga akhirat.
(halaman 206)


Bahagian pertama cerita ini memuatkan selakan kenangan silam aku yang menunjukkan kebenciannya terhadap pelajar, sedangkan dia sendiri benci sikap tersebut. Sesekali sahaja jalur ceritanya diselitkan dengan cerita semasa yang melibatkan krisis diri aku dengan Kamariah dan adiknya Lukman. Bahagian kedua pula mengisahkan pemurnian apabila pembaca dibawa menjelajah daerah kesedaran aku sehingga dia tidak lagi dibayangi kekesalan lampau. Aku dengan tidak sengaja terlibat dalam kemalangan dan pelajar-pelajar yang dibencinya dahulu muncul kembali dalam hidupnya tetapi dalam wajah manusia yang berjaya. Pada tahap ini penulis menyelit unsur sureal yang menunjukkan keinsafan aku dalam keadaan tidak sedarkan diri, terlantar di katil hospital. Sehingga akhirnya pelajar-pelajar ini membuat satu kejutan sebagai tanda sayang dan penghargaan mereka terhadap jasa aku.


Guru wajar menjadi manusia pendidik Murabbi. Bagaimanakah yang dikatakan Murabbi itu? Apakah halangan dan realiti yang dihadapi oleh mereka dalam menggapai takah penting itu? Apakah akhirnya Kamariah akan faham nawaitu sebenar bapanya yang tidak bersetuju dengan hasratnya menjadi guru? Dan apakah kesudahan cerita ini? Apakah akhirnya Kamariah akan hadir temu duga perjawatan yang diidam-idamkannya? Semuanya terjawab dalam novel yang menarik ini.


Pembacaan buku ini walaupun mengandungi perkataan yang jarang-jarang digunakan tetapi tidaklah rumit kerana dimasukkan dalam glosari. Pun begitu hanya terdapat satu kesilapan watak iaitu pada baris kesebelas muka surat 256. Sepatutnya Dr. Kamariah itu ditaip sebagai Dr. Sakinah.

Sabtu, November 21, 2009

Catatan ringkas PPN Tiga, 2009.


Kenangan bersama Tuan Mokhtar Shah Malik, Menara KL.

Pagi itu aku ripuh sekali. Semalamnya tidur tidak teratur dengan buku Dari Salina ke Langit Petang, Edisi Santai cetakan kedua 2008 SN Dato' A Samad Said 'membaca' wajahku. Jam dua pagi lantaran kesejukan aku sedar dan membalas satu pesanan ringkas dari seorang rakan penulis. Aku mengesahkan kehadiran ke Pertemuan Penyair Nusantara Tiga (PPN3). Sebetulnya PPN3 sudah bermula pagi Jumaat, tetapi aku tidak mahu meninggalkan pejabat yang sedia memenuhkan ruangku dengan kerja asasi. Dek terjaga itu, aku sambung semula bacaan buku untuk mendapat sedikit gambaran orang-orang hebat menulis. Ya, aku ketemui mutiara ilmu di dalamnya.

Subuh dalam kantuk bekas kecelaruan jam biologi yang diganggu aku gagahkan juga melangkah keluar sebelum matahari terbit. Ya, jika tidak silap syuruk belum tiba tatkala aku menapak ke pejabat. Tentulah pertama sekali aku ingin mengemaskinikan laman maya Tulisan Siber ini. Dan kedua aku ingin menukar selipar dengan kasut yang biasa ditinggalkan di pejabat. Aku tiba di Menara DBP jam 8.40 pagi selepas mencicip sarapan pagi bersama sahabatku Roslan Jomel di Restoran Kancil. Aku fikir mencatat nama besar seperti Roslan (untuk disebariskan dengan namaku) tidak adil kerana aku belum mekar mewangi seperti namanya. Tetapi aku cukup gembira ditemukan dengan manusia sepertinya. Bolehlah aku katakan dia menjadi sebahagian daripada orang yang sentiasa bertanya khabar lewat karyaku. Begitu juga sebaliknya dia akan khabarkan lewat karyanya di mana-mana agar aku mengetahui kewujudannya. Dan biasanya aku akan mencari media yang diberitahu untuk membaca karya tersebut.

Setelah mendaftar diri, aku mendapat sekeping CD Kempen Bulan Bahasa dan klip kolar 1Malaysia. Sesi pertama dimulakan dengan ucap tama SN Mohammad Hj. Salleh. Kemudian sesi kedua sehingga makan tengah hari diisi dengan pembentangan kertas kerja oleh tokoh kepenyairan dari Malaysia, Brunei, Indonesia dan Singapura. Saya hadir bukanlah kerana saya seorang penyair. Tetapi seminar seperti ini bermanfaat sebagai alat bantu kepengarangan saya pada masa hadapan. Bahkan seawal sampai ke Dewan Seminar, saya sudah pun membeli sebuah buku Esei Kepuisian Leo A.W.S. Sebetulnya itu buku beliau yang ke-19. Buku dan kertas kerja serta sesi pembentangan kertas kerja sedikit sebanyak membantu mengayakan diri dengan beberapa perkara yang baharu. Ya, saya terjun ke dalam dunia yang penuh asing ini seperti orang asing juga. Semacam rusa masuk kampung. Banyak keanehan yang melanda diri saya sehingga orang di sekeliling juga menjadi hairan. Apakah saya masih waras dengan menjadikan pena sebagai sebahagian daripada sisi hidup saya yang lain? Mereka yang hairan lantaran saya memang bukan orang yang betul dalam dunia ini. Bagi mereka, saya harus menjadi seperti yang saya pelajari, duduk menghadap peralatan makmal, bahan kimia dan formula sains yang kompleks. Tetapi lama kelamaan saya pun mangli dengan komentar mereka. Biarlah mereka mencemuh kerana saya tahu hal yang saya lalui tidak sedikit pun merugikan saya atau mereka. Saya tidak melakukan sebarang jenayah.

Ketika rehat makan tengah hari, saya ke tingkat lima. Kebetulan saya bertembung dengan seorang ustaz. Lama ditenungnya wajah saya. Barangkali menggali-gali memorinya. “Ya, Ustaz Rijaluddin. Apa khabar?” Begitulah biasanya, seorang guru walaupun tidak mengingat nama orang yang pernah berguru dengannya, dia sekali-kali tidak lupa imbasan wajah yang pernah melintas dalam retinanya. Setelah bertanya khabar, baharu saya dimaklumkan yang beliau hadir taklimat buku teks sekolah. Dia juga masih menetap di tempat lamanya, tetapi sudah berpindah tempat kerja. Beliau mengajar di Maktab Perguruan Pulau Pinang. Juga dikhabarkan kematian suami Ustazah Hasyimah (al-Fatihah. Semoga Allah merahmati rohnya). Tahniah kepada ustaz kerana melangkah ke satu daerah yang baru dalam kerjaya. Semoga berjaya juga dengan hasrat baharu untuk menyumbang sesuatu yang bermakna kepada pelajar-pelajar melalui penulisan buku teks. Jam 2.30 petang, peserta-peserta PPN3 bertolak ke Menara Kuala Lumpur mengikuti acara Baca Puisi. Pihak Menara KL menaja untuk meninjau KL. Inilah kali pertama aku menjejak kaki ke menara ini setelah setahun lebih menjadi warga KL. Bukan mudah mendapat peluang percuma seperti ini. -:)

Mengulang dalam azan

133, Pada bab menyatakan tarji’ (mengulang) dalam azan.


Diriwayatkan dari Abdullah Bin Mahzurah, “Pada satu hari didudukkan aku akan Rasulullah SAW, lalu aku diajar azan.” Kata Ibrahim (cucu Abdullah Bin Mahzurah), “Dia diajar azan huruf demi huruf.” Demikianlah yang diambil dari Syibir Bin Mu’az (guru kepada Imam Tirmizi).

Abdullah Bin Mahzurah merupakan salah seorang daripada empat orang Muazzin nabi yang terkenal. Selain beliau, Bilal Bin Rabah, Abdullah Ibn Abu Maktum dan Sa’ad bin Aa-‘iz adalah bilal yang utama. Tarji’ (mengulang) dua kalimah syahadah dalam azan ialah menyebut asyhadu allaa Ilaaha Illa ALLAH (dua kali) sekadar didengar telinga sendiri dan orang yang bersebelahan sebelum mengangkat suara yang lebih kuat. Begitulah juga pengulangan untuk kalimah syahadah yang kedua.

Kata Idris al-Marbawi, hadis di atas terlalu ringkas. Ada lagi hadis lain yang lebih panjang. Suatu hari Abdullah Bin Muhairiz hendak pergi ke Syam. Lalu dia berkata kepada Abdullah Bin Mahzurah, “Aku hendak ke Syam. Ajarkan kepadaku kalimah azan kerana aku bimbang orang-orang Syam akan bertanya kepadaku darihal azan.” Lalu Abdullah bin Mahzurah bercerita tentang azan yang diperturunkan kepadanya dalam peristiwa di Hunain. “Ketika kami bertembung di Hunain (dalam peristiwa perang Hunain tahun kelapan hijrah), seseorang diarahkan azan. Apabila mendengarnya, aku (Abdullah Bin Mahzurah) mengikut muazzin itu. Sesudah itu, aku (dan beberapa orang sahabatku) dibawa menghadap nabi (seperti orang salah). Lalu Rasulullah SAW bersabda, ‘Siapakah yang mengikut orang azan tadi? Aku mendengar suaranya.’ Setiap orang yang dibawa menghadap nabi menunjuk ke arahku. Nabi mengarahkan aku azan.”

Dalam kisah yang panjang ini, Abdullah Bin Mahzurah akhirnya meminta agar nabi SAW melantiknya sebagai muazzin di Makkah. Maka baginda memberi arahan kepada Abdullah Bin Mahzurah supaya menjadi tukang bang di Makkah. Dalam hadis lain disebutkan bahawa Abdullah Bin Mahzurah menyebut kalimah azan ada 19. Jika dikira satu persatu, kita dapati hanya 15 kalimah. Maka empat kalimah lagi pada tarji’ dua kalimah syahadah. Manakala dalam iqamat terdapat 17 kalimah.


Kedudukan tarji’ dalam azan. Imam Ahmad bin Hanbal, Imam Malik dan Imam Syafie sepakat bahawa tarji’ disyariatkan dalam azan. Manakala Imam Hanafi menyatakan tiada tarji’ dengan bersandarkan kepada hadis dalam peristiwa mimpi Abdullah bin Zaid. Hal ini bermakna jumhur ulama bersepakat dengan hadis Abdullah bin Mahzurah (tahun lapan hijrah), manakala Imam Hanafi berpegang pada hadis Abdullah Bin Zaid (tahun pertama hijrah). Jumhur ulama berpendapat tarji’ dalam azan adalah sunat. Pendapat yang lebih sahih di sisi ulama-ulama mazhab Imam Syafie bahawa tarji’ dalam azan adalah sunat.


- - - -

Ringkasan Kuliah Maghrib Ust. Raihan Abdul Aziz, 20 November 2009. Masjid al-Hidayah, Sentul. Perkara 133 – 137, Kitab Bahrul Mazi (Idris al-Marbawi).

Isnin, November 16, 2009

Bicara soal Modal Insan


Apa itu modal insan? Inilah frasa yang lebih Islami sebagai maksud menyedia sumber manusia yang mempunyai kualiti diri dari segi sahsiah, integriti dan rasa tanggungjawab terhadap organisasi. Sepanjang beberapa dekad pascakemerdekaan, indeks rasuah negara belum memuaskan dan menggambarkan bahawa sebahagian daripada urusan baik dalam sektor awam mahupun swasta membabitkan pelakuan salah laku rasuah. Selain isu rasuah, penyelewengan wang syarikat seperti tuntutan palsu atau melesapkan wang kutipan di kaunter bayaran, plaza tol atau stesen minyak juga banyak dilaporkan. Masalah tipu dalam urus niaga perniagaan juga berlaku apabila sebahagian daripada pengumpul wang pelaburan menggunakan wang untuk kegunaan peribadi. Mereka berselindung di sebalik pakej pelaburan yang menjana keuntungan segera yang tidak munasabah.

Beberapa senario yang digambarkan di atas membuktikan betapa sumber manusia yang dihasilkan tidak mempunyai kualiti yang ideal sehingga mewujudkan satu persekitaran kerja yang sihat. Manusia yang dihasilkan sekadar tinggi daya intelek tetapi rendah nilai moral dan agama. Pengenalan terma modal insan diharap menjadi satu penjenamaan semula kepada pembentukan manusia yang memahami dan menghayati nilai universal seperti keadilan, kejujuran (amanah), tanggungjawab dan bertimbang rasa. Sebagai muslim modal insan yang berkualiti bergantung kepada tahap ketakwaan dalam diri. Firman Allah dalam surah Al-Hujurat ayat 13 bermaksud, “…dan yang paling mulia di kalangan kamu ialah mereka yang lebih bertakwa.” Natijah daripada ini membentuk personaliti modal insan yang berada pada aras tertinggi. Hal ini dijelaskan pula dalam ayat lain yang bermaksud, “Iaitu orang-orang yang tidak dilalaikan oleh (urusan) dagangan dan jual beli daripada mengingati Allah. Dan mereka mendirikan solat, menunaikan zakat dan bimbang untuk menghadapi hari dibalikkan penglihatan dan hati (kiamat).” (Surah An-Nuur: 26)

Al-Quran menggariskan ciri tertinggi manusia dalam semua urusan selain takwa ialah amanah (terpercaya). Demikianlah pemilihan yang dicadangkan oleh puteri Shuib alayhissalam. Firman Allah yang bermaksud, “Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: Wahai ayah, ambillah dia menjadi orang upahan (menggembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah.” (al-Qashash: 26). Sifat amanah atau jujur adalah universal. Semua manusia mendambakan sifat mulia ini.

Kesibukan mengejar status negara maju seharusnya tidak mengesampingkan aspek pembangunan modal insan yang selaras dengan tuntutan al-Quran. Sistem pendidikan perlu dimurnikan dengan penerapan nilai agama dengan lebih serius. Pendidikan berorientasikan peperiksaan semata-mata perlu direkayasa agar penerapan amalan agama tidak terabai. Subjek pendidikan Islam terutama dalam kerangka Kefahaman Asas Fardu Ain (KAFA) perlu diperkemas. Pelajar bukan sekadar dinilai dengan hafalan teori semata-mata tetapi ditekankan juga aspek praktikal atau amali yang lebih serius. Inilah dilema yang dihadapi pengajar subjek Pendidikan Agama Islam di sekolah-sekolah kebangsaan. Masa mengajar yang singkat di samping tambahan subjek sampingan seperti Jawi, Quran dan Bahasa Arab benar-benar membuatkan ustaz dan ustazah tidak dapat memberi fokus yang lebih baik terhadap komponen KAFA. Memang tidak dinafi sekolah mewajibkan pelajar bersolat jemaah Zohor di sekolah, tetapi tidak semua pelajar yang bersolat. Pelajar perempuan dengan alasan uzur manakala pelajar lelaki pula kadang-kadang berkejaran dengan guru disiplin kerana melencong ke tandas. Hal ini baharu melibatkan soal solat. Bagaimana halnya dengan haid, mandi wajib, puasa dan tuntutan fadu ain yang lain?

Sistem pendidikan Islam adalah sama seperti peribahasa yang sama-sama kita maklum, ‘melentur buluh biarlah dari rebung.’ Pakar pendidikan kanak-kanak Dr. Nasih ‘Ulwan menukilkan bahawa Imam Syafie pernah berkata, “Mendidik anak-anak sebelum baligh umpama mengukir di atas batu. Setelah melewati usia itu, mendidik mereka umpama mengukir air.” Bermakna kesan pendidikan lebih kejap dan mantap jika dimulakan dari usia kecil seawal tujuh tahun. Hal ini amat bertepatan dengan anjuran nabi dalam hadis baginda supaya anak-anak diperintahkan solat ketika berumur tujuh tahun. Jika anak-anak masih lengah menunaikan solat ketika berusia sepuluh tahun, ibu bapa hendaklah memukul (merotan) mereka. Negara kita bertuah kerana sistem pendidikan dimulakan seawal usia tiga tahun. Tetapi wajarkah kurikulum yang digubal dalam pendidikan awal ini hanya tertumpu kepada aspek nyanyian, tarian dan permainan semata-mata? Pihak-pihak yang mempunyai sensitiviti Islam perlu memikirkan cara untuk mewujudkan sistem pendidikan awal yang memasukkan unsur pendidikan Islam seperti yang dilakukan di sekolah seri Islam, Pasti dan seumpamanya untuk peringkat yang lebih tua (lima – enam tahun).

Modal insan yang diidam-idamkan dalam kerangka pembangunan sebuah negara bangsa maju melibatkan penguasaan maklumat, kemahiran profesional, ilmu, ketinggian sahsiah dan kepimpinan. Pekerja berpengetahuan (knowledge worker/k-worker) menjadi masalah besar negara apabila tenaga profesional dalam bidang kritikal seperti sains, teknologi, kejuruteraan, seni bina dan perubatan masih belum cukup. Pakar-pakar siber dan teknologi maklumat di bandar siber atau syarikat berstatus Koridor Raya Malaysia (MSC) kebanyakannya diimport dari India. Hal ini belum mengambil kira tenaga profesional yang tidak mahu kembali mencurah bakti kepada negara semata-mata pertimbangan gaji. Mereka lebih rela berkhidmat di luar negara dan tidak mahu menjadi ‘miskin’ bekerja di negara sendiri. Lupakah mereka wang biasiswa untuk menaja pendidikan mereka di luar negara adalah sebahagian daripada wang bayaran cukai orang awam? Sesetengah sektor kompeten seperti bioteknologi yang sedang rancak membangun juga menghadapi dilema. Kebanyakan pakar bidang ini beralih ke Singapura juga atas sebab upah. Menyalahkan mereka seratus peratus juga tidak betul kerana faktor tarikan yang kurang untuk mengatasi daya tarikan dari luar.

Kegawatan ekonomi yang berlaku menjadi cabaran kepada semua. Syarikat swasta menerima kesan yang sangat ketara. Sebahagian besar menawarkan skim persaraan sukarela (VSS) malah ada yang terpaksa membuang pekerja. Lebih menyayat hati perniagaan terpaksa ditutup. Bajet 2010 mencadangkan agar petani, nelayan dan orang yang bekerja sendiri diberi opsyen ‘mencarum’ seperti pekerja bergaji yang dicarumkan wangnya dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Walhal pekerja sektor swasta juga ada yang tidak mendapat hak yang sepatutnya. Majikan tidak membuat caruman, dan yang lebih tidak adil apabila potongan gaji dibuat kononnya dicarumkan ke dalam KWSP. Meski ada kesedaran untuk mendapat hak dan keadilan, sebahagian pekerja bimbang jika dibuat laporan mereka akan kehilangan kerja. Hilang kerja lebih teruk daripada dipotong sedikit wang gaji walaupun keadaan itu salah di sisi Akta Buruh 1976. Apakah ada jaminan sekiranya laporan dibuat kepada pihak KWSP atau Jabatan Tenaga Kerja (JTK), pekerja tersebut akan dilindungi daripada tindakan buang kerja? Maka tidak hairanlah jika seseorang pekerja sektor swasta membuat kerja sampingan yang lain. Kakitangan kerajaan juga terlibat terutama yang tinggal di bandar-bandar besar. Akibatnya produktiviti kerja merosot.

Nota: Tulisan asli, tidak dibenarkan diterbitkan dalam mana-mana penerbitan.

Selasa, November 10, 2009

Doa iftitah


Pada awalnya doa iftitah dibaca oleh nabi bermula “Wajjahtu wajhia lilladzi....”
Suatu hari seorang sahabat membaca doa iftitah dengan memulakan “Allaahu akbaru kabiiraa...”
Nabi bertanya kepada sahabat itu lalu bersabda, “Aku melihat 12 malaikat berebut-rebut bacaanmu (untuk diangkat ke langit).”

Imam Nawawi rahimahullah menghimpunkan doa iftitah yang sederhana panjangnya seperti yang biasa kita baca hari ini. Bermula “Allaahu akbaru kabiiraa...” dan berakhir dengan “wa ana min al-muslimiin.”


Selain doa ini, menurut Mazhab Abu Hanifah dan Maliki lafaz, “Subhanaka Allaahumma wabihamdika watabaarakasmuka wata'aalaa jadduka walaa Ilaaha ghairuka.” (Rujuk di sini) Dan inilah yang diamalkan oleh pengikut kedua-dua imam mazhab itu.

Nabi juga membaca doa iftitah yang lebih panjang, dan tidak digalakkan melainkan dalam solat jemaah mahshuurun. Jemaah mahshuruun bermaksud makmum reda imam membaca zikir atau bacaan yang panjang dalam solat, tidak disertai oleh orang luar seperti musafir atau ahli jemaah yang uzur, wanita, orang tua dan kanak-kanak. Doa iftitah yang lebih panjang adalah seperti berikut; “Allaahumma baa'idni wa baina khathooyaaya kamaa baa'adta baina al-mayriqi wa al-maghribi...
Lihat doa penuh di sini

Ringkasan kuliah Maghrib, 8 Nov 2009, Ust. Abdul Aziz Arof, Masjid al-Hidayah, Sentul, Kitab Fathu Mu'in, halaman 70-71.

Ahad, November 08, 2009

Automasi pejabat

Terma automasi pejabat merujuk kepada peralatan dan kaedah yang diguna pakai dalam aktiviti pejabat yang memungkinkan aktiviti tersebut diproses secara bertulis, divisualkan atau dirakam (data audio visual) menggunakan bantuan komputer. Automasi pejabat bermaksud elemen-elemen yang digunakan membolehkan aktiviti pejabat dipermudah, ditingkatkan tahap capaiannya melibatkan sekumpulan kakitangan. Contoh aktiviti organisasi adalah seperti pengurusan data pengurusan, penyelenggaraan mesyuarat dan lain-lain.


Perisian Automasi Pejabat.

Secara am, program perisian automasi pejabat melibatkan hal-hal berikut:

  1. Pemprosesan susun atur huruf (word processing).

  2. Spreadsheet

  3. Presentation tool

  4. pangkalan data (database)

  5. penjadualan (scheduler)



Pembekal utama perisian di atas termasuklah:

  1. AppleWorks

  2. Corel WordPerfect

  3. IBM/Lotus SmartSuite

  4. Microsoft Office

  5. Sun StarOffice

  6. OpenOffice (perisian sumber terbuka - percuma)


-----------------------#-------------------------------#--------------

Satu perkara yang dapat memastikan capaian dapat dibuat dalam sesebuah organisasi ialah rangkaian (networking). Sistem rangkaian melibatkan infrastruktur perkakasan seperti komputer/laptop, router, pencetak, dan rangkaian dalaman (LAN). Adakah anda memiliki bajet terhad untuk membangunkan sistem ini? Mungkin anda boleh mendapat gambaran berkaitan infrastruktur pembangunan LAN di pejabat dengan bajet kecil tetapi berpatutan. Anda boleh bertanya kepada sabahat saya, En. Hilmi Ismail (018-232 3869). Sekarang beliau melibatkan diri dalam projek pembangunan infrastruktur LAN di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, KL. Sehingga kini, beliau hanya memberi fokus dalam projek infrastruktur LAN di Kuala Lumpur dan Kuala Terengganu.

Sabtu, November 07, 2009

Pensyariatan Azan

Apabila berlaku peristiwa hijrah, maka nabi memikirkan cara untuk mengumpulkan orang solat. Ada yang mencadangkan agar diketuk gong atau loceng, meniup terompet dan lain-lain. Abdullah bin Zaid datang kepada nabi dan memberitahu bahwa dia bermimpi. Dalam mimpinya satu malaikat menyerupai lelaki membawa gong, loceng dan terompet. Lalu Abdullah bin Zaid berkata kepada lelaki itu, “Aku mahu membeli gong itu untuk memanggil orang solat.” Malaikat itu bertanya, “Adakah kamu mahu aku ajarkan cara yang lebih baik?” Lalu malaikat itu menyebut lafaz azan seperti yang ita dengar hari ini. Setelah itu ia berdiri agak jauh dan mengkhabarkan lafaz iqamat pula. Apabila nabi mendengar cerita mimpi Abdullah bin Zaid itu, dia mengatakan bahawa mimpi itu benar. Datang pula Umar al-Khattab mengatakan dia juga mendapat mimpi yang sama. Baginda mengarahkan Abdullah bin Zaid berdiri bersama-sama Bilal bin Rabah. Abdullah mengajar kepada Bilal lafaznya.

Pensyariatan azan seperti yang dinukilkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar (Abdullah bin Umar) radhiallaahu ‘anhuma mengajar kita beberapa perkara. Ulama-ulama membincangkan hukum azan dan menggariskan seperti berikut:

  1. Azan hendaklah dialunkan oleh orang yang mempunyai suara yang lantang dan kuat. Muazzin hendaklah lelaki. Orang perempuan diharamkan azan kecuali dalam perkumpulan mereka sahaja. Jika azan dalam perkumpulan wanita itu dilakukan dengan kuat sehingga didengar oleh orang lelaki, hukumya tetap haram.

  2. Azan hendaklah dilakukan dalam keadaan berdiri. Qadhi ‘Iyadh menjelaskan ulama-ulama sepakat mengatakan muazzin wajib berdiri kecuali mazhab Abu Tsur. Walau bagaimanapun, Asy-Syafie berpendapat berdiri untuk mengalunkan azan sebagai sunat.

  3. Lafaz azan juga berbeza antara Mazhab Syafie dan Abu Hanifah. Imam Syafie menggariskan lafaz Allahu akbar dilafazkan secara bersambung iaitu Allaahuakbarullaahu Akbar (dua kali). Manakala Imam Abu Hanifah menetapkan lafaz Allahu akbar disebut satu satu – Allaahu Akbar! Allaahu Akbar! Allaahu Akbar! Allaahu Akbar!

  4. Idris al-Marbawi berpendapat seseorang yang mengalunkan azan sebagai sumber pendapatan adalah diharuskan. Dalam konteks semasa, menjadikan tugas bilal sebagai satu jawatan yang diupah dibolehkan.


Empat hikmat Azan

  1. Menzahirkan syiar agama.

  2. Memberitahu orang ramai masuk waktu solat.

  3. Memberitahu orang ramai tempat solat.

  4. Memanggil orang ramai untuk solat berjemaah.


-----*------

Nota Kuliah Maghrib, Ust. Raihan Abdul Aziz, Kitab Bahrul Mazi, 06 Nov 2009, Masjid Al-Hidayah, Sentul.

Rabu, November 04, 2009

Peta




Ada orang tanya peta ke INSTEP untuk tujuan temu duga.
Jarak dari Terminal Bas Ekspress Kuala Terengganu cuma 25 km lebih.

Saya tidak ada kepentingan apa-apa berkenaan peta yang dicadangkan atau nama-nama yang disebutkan dalam entri ini. Sekadar ingin menolong. -:)

Orang kecil

Pesan bapa
kalau menjadi orang kecil
harus waspada dalam tindakan
tingkah bersusun bicara berlapis
tidak terdorong emosi dangkal
atau cetek sabar hingga kering qanaah

Orang kecil tidak punya apa-apa
keringat dan air mata menjadi siraman
menyubur sekebun khazanah harta
tenaga dikerah bagai obor membakar
jadi lentera kemewahan orang besar

Usah dikeluhkesahkan nasibmu
menjadi kelkatu keliru
atau lelabah pemintal sejarah
atau lebah pemanis tamadun
atau pelanduk terkepit mati
kerana engkau bertuhankan orang besar

-*-*-*
Naimisa, 04112009,
Flat Seri Pangkor, Sentul, KL.

Membaiki fungsi regedit

1. Run > GPedit.msc
Enter



2. User Configuration > Administrative Templates > System
Double click pada pilihan Prevent access to registry editing tools


3. Enable > Apply. Disable > Apply. Not Configure > Apply

4. Ulang langkah 1, dan taip regedit. Tekan Enter.

Biasanya fungsi regedit dipasifkan oleh virus/malware.