Rabu, September 30, 2009

Apabila gajet anda diserang Flashy.exe



Semalam saya membuat sedikit kerja rumah. Bermakna saya menggunakan laptop tanpa sambungan ke alam maya. Kerja itu pun tidak memerlukan saya menggunakan internet. Saya teliti beberapa bahagian daripada manuskrip itu dan memuktamadkannya. Laptop saya pertama kali dibawa pulang ke rumah ketika cuti raya tempoh hari. Dan adik saya menyelongkar sebahagian daripada permainan Flash di dalamnya. Saya pun tidak pernah ada kesempatan bermain dengan permainan ini.


Pagi tadi saya memindahkan cakera boleh alih (pendrive) ke komputer di pejabat. Alamak! Ada satu folder bernama Flashy, dan sebenarnya aplikasi perisian jahat (malware). Flashy.exe ini setelah saya semak kemudian cuba memadamkannya secara automatik muncul semula dalam pendrive itu. Kemudian beberapa folder lain dalam pendrive itu menjadi aplikasi yang berasingan, dan sainznya menjadi sama seperti saiz folder Flashy tersebut. Bermakna, folder yang memuatkan foto-foto saya yang besarnya melebihi dua Megabait (Mb) pun menjadi kecil sekitar 75.6 kb. Apabila folder-folder ini cuba dibuka, ia akan dibuka secara berasingan juga. Macam mana ya? Katalah pendrive saya itu huruf direktorinya F, maka folder Gambar menjadi G, dan begitulah seterusnya bagi folder-folder lain. Jika pendrive itu tidak terjejas, apabila diklik pada folder baru, ia dibuka dalam tetingkap yang sama. Saya minta bantuan seorang rakan lain, kononnya dapatlah dibuang Flashy.exe itu. Dia pun menyaring menggunakan perisian antivirus di dalam komputernya. Saya minta orang di sebelahnya sebagai semakan dua kali (double-check). Jika betul semua aplikasi jahat di dalam pendrive itu dibuang, maka apabila dicucuk ke komputer lain, tiada lagi penjanaan automatik perisian tersebut. Menurut saringan kawan saya tadi, terdapat aplikasi baru yang menyamai jumlah folder sedia ada di dalam pendrive ditambah dengan folder Flashy yang baru. Saya minta dia buang semua. Setelah disemak menggunakan komputer rakan kedua, semua folder itu hilang. Alamak! Saya sedikit kecewa kerana data yang hilang itu merupakan karya-karya saya bermula tahun 2005 lagi. Dan tentulah bukan sedikit. 90 peratus daripadanya saya belum alihkan ke mana-mana tempat sebagai langkah berjaga-jaga (backup).


Saya kembali ke meja dengan kekesalan yang amat sangat. Bagaimana jika semua data itu betul-betul hilang? Jika dilihat di komputer rakan yang kedua tadi, seolah-olah pendrive saya diformat semula. Lemah sebentar semangat saya. Laa haula wa laa quwwata illa billah! Dalam hati saya berdoa moga-moga saya masih dapat kembali semua data dalam pendrive itu. Sampai ke meja semula, saya sambungkan pendrive itu. Hah! Semua data muncul semula bersekali dengan malware Flashy. Syukurlah. Saya buka satu demi satu folder yang dijangkiti perisian jahat tersebut. Saya pindah semua kandungannya ke dalam komputer. Yang tinggal hanya folder yang dijangkiti Falshy.exe. Setelah itu barulah saya arahkan supaya diformat pendrive. Malangnya Flashy.exe dibina dengan fungsi menghalang tindakan format. Seorang kawan saya yang lain kata, "Itu bukan virus. Ia aplikasi jahat - malware." Maknanya bukan speasis pepijat macam tojan atau worms. "Perisian itu termasuk dalam kategori spyware. Boleh menjana sistem untuk mencuri data," tambah kawan saya itu lagi. Semacam pengintip pula benda alah ini. Saya fikir tentu sahaja adik saya tersilap menekan mana-mana ikon Flash dalam laptop saya sehingga ia membiak dan berjangkit pada pendrive saya.

Perisian antivirus memang tidak dapat membunuh anasir jahat perisian itu. Kata kawan saya, mesti guna Remover Tools. Saya bagitahu dia, saya tidak jumpa perisian remedi yang dicadangkannya. Yang berbayar ada. saya pun tidak tahu di mana hendak mendapatkan Remover Tools yang percuma. Maka dia memberikannya kepada saya. "Nah, ambil ni.". Bila saya install dalam komputer, baharulah dapat di'bunuh' Flashy.exe dalam pendrive itu.

Sisi ilmu. Ini saya salin dan tampalkan penerangan ringkas berkaitan Flashy.exe. Saya tidak terjemah kerana bimbang tidak sampai maksud sebenar. Maklum sahaja ayat itu sedikit teknikal.

First of all let’s see what exactly is flashy.exe. It’s a type of backdoor trojan for Windows Platform that tries to take control of the infected system. It runs a telnet server on the infected computer. It also changes the administrator password to “hacked”.





It disables folder options, sets hidden files to true and hides the file extensions.


Selasa, September 29, 2009

Wajarkah suntikan vaksin kanser pangkal rahim

Pelajar mati selepas disuntik vaksin kanser.

Apabila saya dengar kos suntikan (RM1200/pelajar); disuntik tiga dos, saya amat tidak setuju.

Isnin, September 28, 2009

Istiqamah


Kata ustaz saya, menjelang Ramadhan umpama kita memasuki sebuah madrasah (persekolahan) takwa. Nantinya kita akan belajar untuk mendidik jiwa sebagai hamba. Kita yang barangkali tidak serumit orang lain menghadapi kehidupan akan merasainya. Ramadan menjadi medan orang kaya merasai laparnya si miskin. Orang yang kurang sabar, dididik dirinya menjadi seorang penyabar. Orang yang banyak bercakap dan memperihalkan yang tidak elok, setidak-tidaknya menjadi kurang aktif memperkatakan hal itu kerana nafsu dipasung. Kerana itu, lemahlah kekuatan nafsu ammarah yang senantiasa mendorong dirinya ke arah kejahatan. Orang yang selama di luar bulan Ramadan, tidak pernah bertudung, akan bertudung juga walau masih kelihatan jambul di depan atau terbit sedikit di belakang. Orang yang tidak pernah solat, rajin pula mengerjakan solat taraweh walau pun masih liat mengerjakan solat lima waktu. Demikianlah halnya dengan Ramadan. Masjid akan dikunjungi dengan kerap dan seramai mungkin manusia yang mengejar kelebihan beramal. Kemudian masjid akan lengang semula setelah Stawal menjelma. Demikianlah kandungan khutbah yang saya dengar beberapa hari lalu dalam suasana kita menyambut lebaran.

Bagi yang berjaya memulakan kehidupan baharu setelah Ramadan, tahniah diucapkan. Bagi yang masih gagal, semoga terus berharap agar masih dipanjang umur bertemu semula dengan Ramadan 1431 H. Berjaya mendapat matlamat Ramadan bererti kita menjana dan meningkatkan nilai ketaqwaan dalam diri. Semaksimum mungkin kita cuba meninggalkan hal-hal yang menjerumus diri ke lembah dosa. Maka jadilah kita umpama sang lebah. Lebah dalam hayatnya singgah di atas bunga. Selain menjadi agen pendebungaan, lebah mempunyai tugas khusus mengumpul madu. Dikerjakan dengan tekun sehingga madu yang diproses dalam badannya, dikeluar semula ke dalam sarang. Kemudian manusia mengambil manfaat khasiat perubatan yang terkandung di dalam madu itu. Lebah tidak sekali-kali walau sedetik singgah ke tempat yang kotor. Manusia yang hidupnya sekejap berubah ke aras kebaikan, tetapi kembali dengan tabiat buruk samalah seperti langau. Langau atau lalat hijau, boleh sahaja singgah di atas najis atau kuih yang manis. Bermakna dia suka yang baik dan buruk. Dan sejenis makhluk lagi tidak pernah sukakan yang baik. Sepanjang hayatnya, najis bagaikan minyak wangi. Dia tekun mengurai najis sehingga tidak lagi berupa najis yang menjijikkan. Itulah kumbang najis.



Mengapa Allah jadikan tiga jenis makhluk ini? Adakah ia suatu yang sia-sia? Tidakkah kita berfikir, sikap dan sifat makhluk ini ada pada manusia? Yang manakah akan dipilih oleh kita? Tentunya orang banyak berkata, “Saya mahu menjadi sang lebah.” Ayuh, untuk menjadi sang lebah bermaksud kita harus terus istiqamah melaksanakan ketaatan yang dilatih sepanjang Ramadan. Bermakna harus berterusan melakukan amal kebajikan seperti ketika berada dalam bulan Ramadan. Solat sunat, bacaan al-Quran, solat berjemaah, bersedekah, memberi makan kepada anak-anak yatim, menjaga lidah, mata, dan fikiran yang sihat wajar diteruskan. Jika yang cuba-cuba berpakaian sopan kerana menghormati bulan Ramadan, kemudian kembali tidak menghiraukan etika berpakaian menutur syariat, nyata sekali anda sudah gagal. Jika ada yang cuba mengkahatamkan al-Quran, kemudian tidak menyentuhnya di bulan-bulan berikutnya, anda juga gagal! Jika kerana tidak mahu pahala puasa berkurang, maka mata, hati dan lidah anda dijaga; kemudian menjadi jalang, liar dan lancang semula – anda juga gagal. Justeru hanya satu perkataan yang perlu dipegang – istiqamah. Istiqamahlah dengan kebaikan sepanjang Ramadan, bukan hanya dilaksana semata-mata kerana menghormati kemuliaan bulan itu, tetapi sebagai tanpa tahap ketaqwaan kita sudah meningkat.


Rabu, September 16, 2009

Penggodam perlu menguji kepakaran mereka

AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998


Seksyen 263(2) berbunyi,
"Seorang pemegang lesen hendaklah, apabila diminta secara bertulis oleh Suruhanjaya atau mana-mana pihak berkuasa lain, membantu Suruhanjaya atau pihak berkuasa lain itu setakat yang semunasabahnya perlu dalam mencegah pelakuan atau cubaan pelakuan sesuatu kesalahan di bawah mana-mana undang-undang bertulis Malaysia atau selainnya dalam menguatkuasakan undang-undang Malaysia, termasuklah, tetapi tidak terhad kepada, pelindungan hasil awam dan pemeliharaan pertahanan negara."


Sebelum ini ada segelintir umat Islam Malaysia yang sensitif dengan kewujudan satu weblog yang menyesatkan. Pemiliknya sudah dihadapkan ke mahkamah kerana mengaku dirinya sebagai rasul kepada umat Melayu. Sefaham saya, apabila Seksyen 263(2) ingin digunakan, pihak yang akan dirujuk dalam kes ini adalah JAKIM. "Tentu sahaja JAKIM bersetuju memutuskan kandungan weblog itu bahaya dan mengancam akidah umat Islam," kata saya kepada seorang rakan.

Saya katakan kepada rakan itu, "Tunggu sekurang-kurangnya seminggu lagi."
Dan benarlah yang saya katakan, ada sekumpulan manusia yang menggelar diri sebagai Geng 26, Cybertrooper berjaya menggodam weblog tersebut.
Semoga usaha kecil itu dinilai besar di sisi-NYA.

Selasa, September 15, 2009

Rancang perjalanan


Kami akan bertolak dari KL pada malam Sabtu (18 Sept. 2009), selepas taraweh.

Melalui LPT.
Ada dua laluan dengan perbezaan hanya RM5.00 sebagai bayaran tol.

Peta KL - Kuala Berang melalui Lebuhraya Pantai TImur (LPT)

Selamat beraya.
Kepada semua pemandu, pandu dengan berhemah.

Ahad, September 13, 2009

Petua musafir

Salam.

Saya mengucapkan selamat bermusafir kepada semua.
Senario yang biasa.

  1. Pernah terjadi kemalangan iaitu orang yang melaggar mendakwa tidak nampak objek yang dilanggar.

  2. Pernah terjadi orang memandu pada waktu malam nampak dua jalan walhal dia berada dalam lorong yang sama. Satu jalan pada matanya dua.

  3. Pernah terjadi, kita sudah berhati-hati lagi cermat. Orang lain pula melanggar kenderaan kita dari belakang.


Petua ini insya-Allah berguna buat pedoman kita yang bermusafir di malam hari. Ingat, kita bukan hanya berinteraksi dengan alam manusia. Ada alam lain yang kita percaya.
Inilah petua bagi musafir yang diajar oleh Ustaz Abd. Aziz Arof kepada saya.

Tadarus sampai ke penghujung

Semalam, masuk 23 hb. Malam ganjil. Imam Nawawi ditunjukkan Allah tanda lailatul Qadar ketika berusia tujuh tahun. Tanda malam seribu bulan itu dijelmakan dengan cahaya sepenuh rumah. Itulah kelebihan yang Allah kurniakan kepada ulama besar itu. Menurut perkiraan yang digariskan dalam kitab lama, jika satu Ramadhan jatuh pada hari Sabtu, kemungkinan lailatul Qadar adalah pada 21 atau 23 Ramadan. Wallahu’alam.

Semalam saya ikuti tadarus al-Quran di masjid. Kami perlu selesaikan sebelum malam Selasa. Kami sampai ke juzuk 27, bermakna sama ada malam ini atau esok kami perlu habiskan dua juzuk dalam satu malam. Seorang yang saya hormati dalam kumpulan tadarus itu berusia dalam lingkungan 70 tahun. Dia mengikuti pengajian secara talaqqi dengan Tn. Hj. Hassan Azhari. Dan inilah pertama kali dalam hidup saya mendapat pedoman yang lebih mantap bagi memahirkan lagi bacaan. Dengan kata lain, jika saya baca di hadapan orang biasa, tidak nampak sebutan itu tidak betul. Tetapi apabila dibaca ayat yang sama di hadapannya, terdapat sedikit kesalahan. Syukur. Itulah rahmat yang tidak ternilai harganya buat diri yang kerdil ini. Alhamdulillah.
Seorang ahli membaca ayat 31 surah an-Najmi.




Maksudnya;


Dan Allah jualah yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi; (diciptakan semuanya itu) untuk membalas orang-orang yang berbuat jahat menurut apa yang mereka lakukan dan membalas orang-orang yang berbuat baik dengan balasan yang sebaik-baiknya.
(31)


Dan dibetulkan bacaannya oleh pakcik itu dengan berkata, kalimah asaa-uu, dibaca dengan kadar satu harakat. Walhal tanda hazaf terletak pada huruf alif, bukan wau. Saya betulkan semula, tetapi pandangan beliau lebih diutamakan. Jadi sebagai menghormatinya, saya beralah. Sepanjang pengetahuan saya, kalimah tadi dibaca dengan dua harakat. Mari kita semak bacaan ayat ini di sini. Saya coretkan hal ini kerana percaya yang betul. Bukan untuk menafikan ketinggian ilmu seseorang yang lebih baik daripada saya. Pernah sekali seorang anak murid (cerita zaman dahulu), perasan kesilapan tuan gurunya. Dia menegur dengan hasrat agar dia dilihat sebagai memiliki kefahaman yang lebih baik daripada tuan gurunya. Disebabkan itu, dia bermimpi bahawa kesilapan tuan guru itu umpama seekor anjng dalam lautan nan luas. Apakah seekor anjing dalam laut yang luas berupaya menukarkan air laut keseluruhannya menjadi air najis? Atau kitabuat bandingan yang lebih dekat dengan kita, apakah tahi cicak yang kecil berupaya menukar air kolah (21 kaki padu) di masjid menjadi najis?


Itulah. Barangkali kerana sifat manusia itu lemah, mungkin disebabkan kesilapan mata yang melihat; maka pakcik itu lihat tanda hazaf di atas huruf ‘wau’. Semoga Allah mengampuninya. Jom kita semak bacaan ayat 31 surah An-Najmi di sini.

Rabu, September 09, 2009

Terima kasih Marsli NO


Sepanjang saya memperkenalkan diri sebagai Naimisa Yusof, tidak ramai yang tahu atau perasan nama sebenar saya. Dan saya tidak boleh menyalahkan sesiapa. Tidak penting nama saya diingat dalam keadaan saya tidak menyumbang apa-apa yang signifikan demi untuk perembangan sastera. Tetapi satu hal yang saya sangat hargai ialah jika terdapat seorang pengamat yang peka dan cakna. Dua hari lalu, saya terima pesanan ringkas alias esemes (SMS) daripada saudara Marsli NO, seorang penulis mapan. Saya jadi keliru sendiri kerana banyak juga karya saya tidak mendapat perhatian editor. Ya, mungkin sahaja mutu karya saya belum mencapai piawai yang ditetapkan. Keliru itu barangkali kerana ada secebis rasa kecewa. Tetapi apabila saudara Marsli NO dapat mengingat nama betul saya, bukan nama samaran yang biasa digunakan – itu saya kira sebagai satu bentuk penghargaan yang bukan kecil nilainya. Tahniah dan moga tidak jemu bersajak! Saya akan petakan pesanan ini dalam minda sebagai azimat. Menulis memang memerlukan kecekalan. Tulis dan teruslah menulis. Semoga Allah membalas kebaikan saudara Marsli NO atas dorongan beliau terhadap saya. Saya masih bertatih dalam dunia yang penuh asing ini.
Dan di bawah karya terbaharu saya yang disiarkan di akhbar perdana – Berita Minggu, 06 September 2009.


Alhamdulillah!
Nota: Tidak dibenar diulangsiarkan karya ini kecuali dengan izin.

Projek Antologi Puisi



Anda berminat? Sila rujuk entri 17 Ogos 2009 ini.

Selasa, September 08, 2009

Ahad, September 06, 2009

Semoga ada perkembangan


Mudah-mudahan ada perkembangan positif. -:) Klik imej di atas untuk mengetahuinya.

Jumaat, September 04, 2009

Perihal keinginan

Kemahuan dan kemampuan. Dua hal yang saling bertentangan dalam diri. Kemahuan lebih menjurus kepada anjuran nafsu manakala kemampuan melibatkan soal-soal tanggungjawab dan material termasuk upaya diri. Dari segi adat, orang muda memang mampu mengerjakan solat sunat Taraweh sebanyak 20 rakaat, tetapi kebanyakan mereka mahu setakat lapan rakaat sahaja. Seorang pekerja dengan gaji sekitar RM2000.00, tetapi dia mahu mengguna kereta berjenama antarabangsa seperti Toyota atau Honda atau BMW. Seorang lelaki punya isteri yang baik, tetapi masih mahukan lebih daripada itu; dia terjebak dalam kancah skandal di luar.

Maka benarlah kemahuan itu isi dengan kuku nafsu. Jika manusia diberi sebukit emas, maka dia akan mencari satu bukit emas lagi. Kemahuan dapat dikekang dengan sifat qana'ah iaitu rasa cukup dengan yang sedikit di samping tidak terlalu bakhil menterjemahkan nikmat-nikmat yang diberi. Seringkali disalahertikan bahawa zuhud itu mestilah seseorang berterampil dalam keadaan yang selekeh. Jika memakai pakaian, tidak dirapikan dengan baik. Jika berkenderaan, memakai kenderaan yang biasa-biasa sahaja. Sebab itu hari ini kita lihat orang biasa mempertikai seorang ustaz atau pendakwah apabila memakai kereta yang hebat. Apakah bagi mereka tidak layak memakai kereta seperti ahli korporat sedangkan mereka mampu memilikinya? Mereka tidak pernah pun meminta kita membayar ansuran kereta itu! Saya kesal kerana ada sesetengah orang tidak mahu mengikut kuliah agama penceramah tertentu hanya kerana ustaz itu dikatakan tidak zuhud. Kononnya ustaz itu sudah menjadi orang yang mengejar keduniaan dengan mempamer kemewahan. Saya katakan, mereka mendapat semua nikmat ini hasil daripada royalti yang dibayar atas harta intelek yang mereka miliki.

Apakah sebenarnya yang dibekalkan sejak azali ke dalam jiwa manusia? Kemahuan boleh dikelaskan sebagai keinginan. Keinginan yang lebih dalam dan membuak-buak dikenal sebagai syahwat. Kamus Dewan hanya mendefinasikan syahwat sebagai “keinginan (untuk melakukan persetubuhan), nafsu bersetubuh, keberahian.” Bermakna itu puncak tertinggi dalam segala keinginan manusia? Manakala al-Quran menyatakan terdapat hal-hal lain yang menyukakan syahwat manusia iaitu dalam konteks syahwat itu sebagai nafsu yang cenderung kepada sesuatu yang menyukakan, menggembirakan, membahagiakan dan dipandang lebih baik apabila dibanding dengan orang lain yang kurang bernasib baik. Ayat 14 surah Aali-'Imran menceritakan secara jelas perkara-perkara tersebut; mafhum ayat ini adalah seperti berikut - "..Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: Kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman.." Pun begitu, semua ini dingatkan kepada kita adalah ujian Allah buat hamba-hamba-Nya di dunia.

Tidaklah salah memenuhi keinginan ini tetapi menjadi kesalahan apabila melebihi keutamaan terhadap Allah dan rasul-Nya. Firman Allah yang bermaksud, "Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu dan anak-anak kamu dan saudara-saudara kamu dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu dan kaum keluarga kamu dan harta benda yang kamu usahakan dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka)."
(At-Taubah: ayat 24)


Memang tidak dinafikan bahawa dalam dunia ini, terdapat juga golongan agamawan yang terpesona dengan dunia. Mereka menjadikan jawatan sebagai tujuan sehingga membelakangkan amanah ilmu yang mereka miliki. Merekalah golongan ulama yang berdamping dengan umara (pemerintah) dan tunduk mengikut telunjuk pemerintah. Merekalah ulama jahat yang menjadikan kita orang-orang awam sebagai mangsa keadaan.

Sepanjang hidup, saya sudah bertemu golongan ini. Dahulu sebelum dia menjadi seorang yang rapat dengan ahli politik, memang pun pandangannya tulus ikhlas. Tetapi apabila dia mendapat jawatan , kedengaran pula yang aneh-aneh semacam mahu mempertahan kesalahan pemimpin walau pun nyata hal itu bertentangan ilmu agama yang dimilikinya. Saya pasti, anda juga seorang pengamat seperti saya. Anda juga mungkin mendapati si fulan si fulan dalam kategori yang saya maksudkan ini. Tidaklah perlulah disebut secara spesifik demi kebaikan semua pihak. Semoga suatu hari mereka insaf dengan kesalahan yang sedang dilalui dan mengubah haluan, insya-Allah.



Khamis, September 03, 2009

Yang naik dan meningkat








Soalan cepu emas: Bila kadar iman kita akan meningkat?

Rabu, September 02, 2009

Karyaku dalam artikel popular web Indonesia


Ini karya saya tahun 2005. -:)

Terjemahan Bahasa Melayu dalam Google



Anda boleh ke laman ini untuk membuat terjemahan dari mana-mana bahasa ke dalam bahasa Melayu atau sebaliknya.

Selasa, September 01, 2009

Sesekali bercuti

Saya pulang menumpang seorang sahabat. Malam itu saya dan dia bergilir-gilir memandu. Dia memandu terlebih dahulu selama tiga jam. Apabila melepasi plaza tol Kuantan, saya mengambil alih pemanduan. Jam menunjukkan 2.30 pagi. Saya belum tidur sedari tadi, jam 10.00 malam ketika kami bertolak dari masjid al-Hidayah, Sentul.


Saya seperti biasa mengambil alih tempat sahabat itu atas dasar percayanya. Dia yakin saya boleh memandu dalam keadaan baik. Memanglah ia suatu yang sukar lebih-lebih lagi jika saya tidak biasa menjadi manusia kelawar. Dalam rekod, saya memang tidak pernah berjaga sehingga larut malam kecuali akan tidur terlebih dahulu dua hingga tiga jam. Entah mengapa pada malam itu saya mendapat satu kekuatan luar biasa. Saya tidak tidur sepanjang malam. Kami tiba di kawasan hutan yang sunyi dengan kabus tebal. Ini menjadikan perjalanan amat perlahan, sekitar 60 kilometer sejam. Kadang-kadang terpaksa pula mengelap cermin hadapan dan menggunakan lampu rendah. Jika menggunakan lampu tinggi, cahayanya diserap kabus dan menjadi lebih kabur. Sesekali kenderaan terpaksa diperlahankan kerana binatang ternakan tidur di atas jalan raya.


Jam 4.00 pagi, kami tiba di Kuala Berang. Syukurlah terdapat satu stesen minyak yang masih dibuka. Setelah mengisi petrol, kami meneruskan perjalanan ke rumah saya. Rumah saya 18 km jauhnya dari pekan Kuala Berang. Tiba di suatu kawasan kebun, seekor babi melintas. Kelam kabut juga babi itu melarikan diri, terpaksa pula saya membunyikan hon. Memang babi betul! Hendak melintas tidak cermat. Hentam keromo sahaja. Kalau lembu atau kerbau, haiwan speasis ini melintas dengan tertib dan perlahan-lahan. Tidak kalut-kalut macam babi. Dan disebabkan sifat babi yang kalut itu, kadang-kadang mengundang rasa terkejut pemandu, sehingga menjadi panik dan tidak fokus pada pemanduan. Dan itu juga menjadikan momentum pelanggaran (sama ada pemandu merempuhnya) atau babi itu yang merempuh kenderaan – sangat besar. Biasanya kesan remuk pertembungan antara babi dengan kenderaan sangat dahsyat. Kecualilah jika anda memandu sebuah lori.

Saya tiba di rumah tepat jam 5.00 pagi. Oo...memang perlahan sungguh saya memandu. Maklum sahaja, kawasan gelap dan penuh dengan haiwan ternak di kiri kanan jalan. Saya tidak berani memandu laju seperti di lebuhraya yang membenarkan pemandu memecut 110 km/j. Itu pun kadang-kadang terlebih pecut – 120 – 140 km/j. Semua orang belum jaga kecuali bonda. Bonda sangat tidak menyangka saya sampai seawal itu dan bersama-sama dua orang sahabat. Mereka dijemput bersahur bersama-sama. Bubur jagung, roti, cempedak goreng dan nasi. “Menu seperti berbuka puasa pula.” Kata sahabat saya. Setelah makan, kami ke masjid bersubuh secara berjamaah. Kemudian setelah itu mereka berdua pulang ke rumah masing-masing.


Saya hanya tidur pada jam 7.30 sehingga 8.30 pagi. Jam 9.00 pagi saya mengikut keluarga ke Mydin, Kuala Terengganu. Semua kami, 12 orang (sembilan orang adik-adik saya, ayah dan bonda) menaiki dua buah kenderaan milik adik-adik yang telah bekerja. Kami membeli keperluan menyambut hari raya tidak lama lagi. Ini kali pertama saya menyertai acara seperti ini. Bil sahaja sepanjang satu hasta (ukuran tangan saya lah), dan mencecah hampir RM650.00. Hah! Memang membeli-belah betul. Betul-betul membeli-belah. Masing-masing yang sudah bekerja menghulur sedikit seorang, bonda tidak diberi peluang menyumbang banyak; sekadar dua keping not lima puluh ringgit. Selebihnya ditaja oleh kami. Disebabkan ini, saya pun memilih sepasang baju Melayu, sehelai baju kemeja dan kain sepasang untuk dibuat baju kurung. Baju kurung? Ya. Kain baju untuk bonda jahitkan kepada seseorang yang bakal menjadi sebahagian daripada keluarga kami. Sebelum ini pun, bonda sudah siap menjahit untuk salah seorang daripada mereka – seorang ustazah lulusan Jordan. Malahan, memang setiap tahun bonda akan menjahit sendiri baju raya anak-anak dan cucunya.


Saya kembali semula ke Kuala Lumpur pada 31 Ogos 2009. Memang sambutan kemderdekaan pada tahun ini tidak semeriah tahun lepas. Tidak banyak kenderaan yang dipasang bendera kecil seperti tahun-tahun sebelum ini. Baguslah, itu dapat menjimat duit. Sambutan kemerdekaan bukan pada kibaran bendera semata-mata. Yang lebih penting, kita menghargai nilai kemerdekaan dalam jiwa dan nubari kita masing-masing. Bersyukurlah dengan nikmat kemerdekaan ini.