Ahad, Mei 31, 2009

Pasca Kursus Kefahaman dan Penghayatan Fardhu Ain 2009

Kursus Kefahaman Islam dan Penghayatan Fardhu Ain yang dianjurkan oleh Masjid Al-Hidayah Sentul sungguh memberangsangkan. Penyertaan adalah melebihi target asal (100 orang) iaitu 120 orang. Peserta-peserta program terdiri dari kalangan pelajar SM(L) Methodist, SM (L) Las Salle dan SMK Bandar Baru Sentul. Namun begitu terdapat juga permintaan daripada ahli kariah masjid agar program dibuka kepada anak-anak remaja yang sedang bercuti. Akibat kelonggaran yang dipertimbangkan itu, pertambahan peserta meningkat sebanyak 40 orang pada hari pertama program (walk-in registration). Konsultan program iaitu Unit CSR & CSA, SKALI Web Services Sdn Bhd terpaksa membuat beberapa pengubahsuaian agar dapat dimanfaatkan oleh penyertaan lebih ramai peserta.

Saya selaku urus setia program juga bertindak sebagai fasilitator bagi melicinkan perjalanan program. Memang tidak jauh bezanya rencam remaja bandar dengan remaja di luar bandar dalam hal penghayatan kepada aspek fardhu ain. Beberapa sesi kaji selidik dalam modul program yang dijalankan menunjukkan tiada di kalangan peserta ingat semua sifat 20 puluh. Sesetengah peserta pula apabila ditanya, “Siapakah yang lebih anda percaya?” Jawapan yang diberi adalah rakan sebaya. Mereka beralasan bahawa ibu bapa tidak memahami jiwa mereka, sibuk dengan kerja, tiada ruang berbincang dengan ibu bapa, ibu dan bapa juga mempunyai masalah di rumah dan hanya rakan dapat memahami keseronokan yang diinginkan. Saya menyedarkan mereka, bahawa dalam dunia ini adalah sukar untuk mencari teman menangis. “Apakah sekiranya ditangkap dan ada kalangan rakan mereka terlepas, mereka akan melawat kamu di penjara?” soal saya. “Apakah kalau sekiranya anda terlantar di wad, kawan anda yang bersama-sama bergelak ketawa akan menunggu di wad sepanjang hari?” Demikian beberapa soalan untuk mengajak mereka berfikir bahawa menyalahkan ibu bapa sahaja adalah tidak wajar. Saya memberi contoh, seorang rakan saya menulis surat kepada ibu bapanya untuk berkongsi masalah. Malah ada juga yang menulis catatan diari dan sengaja membiarkan diari itu dibaca oleh ibu atau bapa. Seteruk mana pun persepsi remaja (dalam konteks ini remaja yang bermasalah), terhadap kedua ibu bapa, mereka tidak seharusnya membelakangi ibu dan bapa.


Dari segi pelaksanaan program, pihak masjid telah mengorak langkah baharu untuk mendepani massa. Pengimarahan masjid sedang dikembangkan untuk dimanfaatkan demi kebaikan masyarakat di sekitarnya. Malahan kami juga mendapat maklum balas positif agar usaha seumpama ini dikembangkan ke masjid-masjid di tempat lain. Seorang guru pengiring yang sempat berbual dengan pengarah program mencadangkan kumpulan kami mengadakan program sedemikian di masjid berhampiran sekolah beliau. Ya, semoga diberi peluang dan kekuatan kepada kami untuk menyahutnya. Saya juga sangat menghargai pandangan pihak-pihak yang perihatin dengan keadaan semasa golongan remaja hari ini. Bagi mereka, usaha murni ini haruslah diteruskan memandangkan kini terlalu banyak anasir buruk yang melandai alam remaja. Permasalahan mereka wajar ditangani dengan kerjasama semua pihak. Usahlah ada di kalangan kita menuding jari kepada pihak lain tanpa memberi alternatif kepada teguran yang dibuat. Masalah yang amat kritikal (realiti masyarakat) biasa ditemui ialah lebih banyak orang suka mengkritik daripada mengemukakan penyelesaian. Akhirnya semua pihak rugi dengan hanya berpolemik untuk memenangkan pihak masing-masing. Benarlah, dalam dunia ini kerja yang paling mudah dilakukan ialah mengkritik. Kritik dan kritik. Saya tidak melihat semua kritikan tidak berasas, tetapi jika kritikan itu berasa sekali pun, nah kemukakan juga penyelesaiannya. Kita semua diberi akal untuk sama-sama memikirkan hal yang baik dan berguna.


Sama ada anda bersetuju atau membantah pendapat saya, terpulanglah kepada diri masing-masing. Yang penting, mulakanlah sesuatu dari diri kita.


Naimisa, Softlakes Sdn. Bhd, Sentul, KL. 31052009, 1830.


Khamis, Mei 28, 2009

Menjelang Bengkel Kefahaman Islam dan Fardhu 'Ain 2009

Saya sering katakan bahawa saya sangat merindui keadaan dan suasana kampus. Semasa bersama-sama rakan seperjuangan, saya berpeluang mencurah bakti kepada masyarakat sekitar kampus dalam program yang dianjurkan oleh Pusat Islam. Sefaham saya, program ilmu, seminar, kem ibadah, kem motivasi dan jatidiri muslim begitu juga majlis jamuan berbuka puasa adalah sebahagian daripada aktiviti kemasyarakatan yang unik di Pusat Islam, USM Kampus Kejuruteraan. Selepas meninggalkan kampus, hanya sekali program motivasi yang saya libatkan diri sebagai fasilitator.


Kampus, memanglah suasananya berbeza dengan bandar. Sebuah masjid di bandaraya apabila mahu menganjurkan program untuk anak-anak remaja perlu meminta kebenaran khas daripada Kementerian Pelajaran Malaysia. Justeru prosedur itu sedikit rumit, tidak boleh tidak terpaksalah pihak masjid mengadakan kerjasama dengan pihak sekolah. Maka, surat makluman program hanya dimajukan kepada Pejabat Pendidikan (dan di sini Wilayah Persekutuan). Hal ini bermakna seorang guru pengiring diperlukan untuk mengiringi pelajar ke program. Sebuah sekolah tidak membenarkan pelajar-pelajar mengikuti program dengan sebab tiada guru pengiring. Terpaksalah jawatankuasa masjid menerima mana-mana sekolah yang dapat memberi kebebaran dan pengetuanya menugaskan seorang guru pengiring. Maka fungsi masjid yang sedaya upaya dimaksimumkan untuk kemanfaatan anak kariah masjid menjadi nampak kecil. Pun begitu, Ketua Imam masjid tetap membuka peluang walau pun hanya mendapat tidak sampai 20 orang anak-anak penduduk di flat sekitar masjid. Jika saya berada pada kedudukan imam, saya juga rasa serba salah. Apakan daya, itulah kerumitan yang dihadapi yang hanya dia sahaja mengetahuinya.


Cuti sekolah kali ini, saya bersyukur kerana diberi kelapangan bersama-sama beberapa orang sahabat menjalankan program Bengkel Kefahaman Islam dan Fardhu 'Ain. Semoga inilah program yang akan menemukan kami dengan anak-anak remaja bandar, pada saya tentulah jauh bezanya dengan pelajar-pelajar di pedalaman. Mungkin saya bakal beroleh dapatan yang menarik tentang mereka dalam aspek kefahaman dan penghayatan Islam yang asas. Saya juga tidak berani meramalkan kemungkinannya dan akan mencoretnya serba sedikit setelah program berakhir pada 31 Mei nanti, insyaAllah. Sememangnya apa yang kami usahakan ini sangat kecil, kerana saya sedar bahawa kewajipan kita lebih banyak daripada waktu yang kita ada. 'Al-wajibaat aktharu min al-awqaat' – itulah kata keramat Al-Syahid Al-Imam Hassan Al-Banna untuk pencinta agama. Ya Qawiyyu, berikanlah kami keupayaan menjalankan amanah yang diberikan kepada kami.

Isnin, Mei 25, 2009

Resensi Novel: Harga Sebuah Maruah

Judul: Harga Sebuah Maruah
Penulis: Azizi Hj. Abdullah
Penerbit: DBP
ISBN: 9789836296474
Harga: RM25.00
Pengulas: Naimisa Yusof

Penulis Hj. Azizi Abdullah dalam bukunya berjudul Kuras-kuras Kreatif menceritakan bahawa beliau berasal dari keluarga tradisional yang mengerjakan sawah. Semua adik beradik beliau kecuali dia (setelah menjadi guru), mengerjakan sawah itu musim demi musim. Maka tentulah dengan pengalaman bersawah yang pernah dilaluinya, Hj. Azizi Abdullah sangat akrab dan masak dengannya. Berikut petikan yang dikutip dalam buku Kuras-kuras Kreatif. “Sejak kecil lagi saya sudah kenal sawah ataupun bendang mengikut istilah orang kampung di Bukit Meryam, Kota Kuala Muda, Kedah. Malah keluarga saya hidup dengan bersawah. Seramai tujuh beradik, dua perempuan dan lima lelaki kesemuanya bekerja sawah, kecuali abang yang nombor lima, iaitu Sanusi.” (Kuras-kuras Kreatif, Hj. Azizi Abdullah, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2007, halaman 27).


Hal ini sangat membantu penulis melakarkan gambaran sawah dengan penuh rinci. Pembaca akan menjadi asyik mengikut watak-watak yang digarap mengerjakan sawah. Novel ini memenangi tempat kedua Sayembara Mengrang Sempena Perayaan Jubli Emas DBP. Sebuah kisah realiti yang diangkat serta dikembangkan dari kisah yang dinukilkan dalam koleksi karya Luka Rakyat terbitan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP). Harga Sebuah Maruah adalah secebis catatan duka rakyat marhaen yang bangkit mempertahan hak dan maruah diri. Mereka bangkit bukan kerana menentang pembangunan tetapi mahukan keadilan buat diri, menentang penindasaan dan mempersoal kesahihan akta yang penuh dengan muslihat atas nama pembangunan. Malahan dalam versi yang lebih panjang misalnya, Azizi Abdullah merakamkan penderitaan pemilik tanah berjumlah 200 orang di Kerpan dalam buku Air Mata Kerpan, terbitan CAP. Projek pembangunan kolam udang harimau yang tidak berjaya itu serta kesan buruknya terhadap alam sekitar dan sosioekonomi pemilik tanah diceritakan dengan lengkap.


Cah, seorang wanita tua hanya mengusahakan beberapa lot tanah sawah pusaka arwah suaminya. Beliau mempunyai dua orang anak bernama Sulaiman dan Hijrah. Sulaiman lebih terpelajar dan hidup makan gaji di Kuala Lumpur. Manakala Hijrah pula hanya sekolah di kampung dan membantu Cah mengusahakan bendang. Apabila timbul soal pengambilan tanah untuk pembangunan di Kertau, Cah menjadi sangat bimbang. Dia yang berdarahdagingkan peluh dan keringat bersawah tidak hanya memikirkan soal wang pampasan tetapi memikirkan untung nasib hidup dan maruah jika menggadaikan tanah sawah tersebut. Bagi Cah, bersawah adalah tradisi hidup yang harus dilangsungkan. Menggadai sawah samalah dengan menjual maruah pesawah kepada orang lain. Bermula dari itu timbul konflik kekeluargaan apabila anak sulung Cah, Sulaiman sangat menentang hasratnya. Sulaiman beria-ria mahukan tanah itu diserahkan kepada kerajaan manakala Hijrah pula menyokong Cah. Hijrah yang digambarkan sebagai bodoh alang, pendiam dan betul bendul menjadi seorang yang sangat berani sehingga beliau ditangkap dan dimasukkan ke dalam lokap.


Penentangan terbuka penduduk dibantu oleh sekumpulan peguam. Di kalangan penduduk kampung sendiri terdapat dua golongan iaitu yang menyokong dan menentang pembambilaihan tanah sawah. Pemaju projek pembangunan kolam udang harimau menggunakan akta pengambilan tanah untuk pembangunan dengan menawarkan pampasan yang tidak seberapa. Suatu hari beberapa orang yang bersetuju dengan pengambilan tanah seperti Pak Ngah Musa dan Pak Long Derani bersepakat dengan Imam Hj. Zakaria untuk memujuk pesawah. Mereka memanggil beberapa orang pesawah yang dipilih-pilih dalam majlis bacaan Yasin. Dalam majlis itu, Hijrah dijemput tetapi Cah tidak dimaklumkan. Mereka menawarkan cek RM5000 sebagai bayaran pendahuluan dan bermakna mereka boleh menunaikan cek sebagai tanda persetujuan awal. Pun begitu, Cah secara senyap-senyap memerhati perkara itu di balik dinding surau. Dia menjadi sangat bangga dengan pendirian anaknya Hijrah kerana tetap teguh, tidak berganjak dari pendirian asalnya.


Tidak setakat itu, keesokannya jentera dibawa masuk ke kawasan bendang yang sudah mula menampakkan isi. Tangkai-tangkai padi sudah penuh dan menunggu masa untuk menguning. Berlakulah kekecohan apabila dibantah dan dihalang oleh penduduk. Azmi menunjukkan surat peguam untuk menangguhkan kerja-kerja membersih sawah. Pada awalnya, mereka dihalang tetapi kemudian diberi muka. Namun begitu, kegembiraan mereka hanya seketika. Keesokannya Azmi, Cah dan Habibah diangkut ke balai polis untuk disoal siasat. Betapa dalam memperjuangkan sesuatu, tidak semestinya kita menang. Tetapi yang lebih penting ialah sedaya upaya mendapatkan hak. Terma dalam perjanjian yang dibuat adalah sekiranya projek kolam tidak berjaya, tanah sawah akan dikembalikan. Tetapi apakah berguna lagi kalau tanah sawah sudah dilonyang menjadi kubang babi? Begitulah bezanya jika tanah sawah ditukar menjadi kolam udang kerana pemaju terpaksa menambah bendasing lain untuk menyesuaikan tanah bendang kepada persekitaran udang harimau.


Penulis bijak menukilkan emosi watak-watak di dalam novel sehingga turut menyeret sama rasa empati pembaca. Contohnya seperti dalam halaman 263.
Masakan tidak tergamam apabila mereka dapati hampir suku relung sawah kepunyaan Pak Kasim sudah terlonyang oleh jentera pengorek yang bergigi besi, sekejap terangkat sekejap membaham tanah tanpa peduli pada pokok-pokok padi yang sudah mula bertangkai dan mengeluarkan buah.


Selain paparan emosi, penulis juga memasukkan unsur budaya iaitu jampi yang dibacakan oleh pesawah. Hal ini sangat penting sebagai catatan yang unik dalam taridisi Melayu tradisional. Nilai budaya ini berkait rapat dengan kepercayaan manusia Melayu yang menghormati unsur alam, tetapi tentulah tidak cocok dengan anjuran agama Islam.
“Hai merung mesuk nang semulai. Lebih baiklah engkau jangan duduk dengan si anu itu. Dia nak pukul dan beri engkau, nak jual engkau pada orang lain.”
(halaman 291)


Inilah catatan penting sebahagian daripada jampi serapah menyeru semangat padi yang bertentangan sama sekali dengan ajaran Islam. Saya fikir penulis bukanlah sengaja mahu mendokumenkan (dengan tujuan untuk mengagungkan) jampi itu, tetapi itulah sebahagian daripada realiti amalan bersawah zaman dahulu yang jarang-jarang didengar kebelakangan ini. Pesawah mutakhir ini sudah faham hal-hal berkaitan syirik dan tidak mengamalkan perkara yang disebut itu. Sebaliknya, kepercayaan pesawah zaman moden ini lebih menjurus kepada keyakinan adanya badi padi. Selepas mengetam mereka akan membakar jerami padi kononnya dapat mengelak bencana badi, yang akan membantut kesuburan tanah. Dalam hal ini, perlu ada satu kaedah yang lebih sistematik untuk melupuskan jerami padi seperti penggunaan biojisim untuk menghasilkan tenaga.


Harga Sebuah Maruah mendedahkan kepada dunia bahawa selamanya rakyat akan tewas apabila berhadapan dengan akta atas nama pembangunan. Sehebat mana pun kesatuan marhaen untuk menentang keinginan ahli politik, mereka tetap akan kalah.



“Angin tak selamanya bertiup
Langit tak selamanya cerah
Betapa pun pagi suria bersinar, mendung petang berarak juga
Tasik tak selamanya tenang
Laut tak selamanya berombak
Apabila kehidupan dicakar takdir
Keadilan dan kebenaran
Dikoyak carik oleh kuasa
Kita di mana?”

(halaman 314)


Tetapi jangan lupa, rakyat tidak selama-lamanya akan memaafkan tindakan pemimpin yang rakus. Keangkuhan pemimpin akan dibalas oleh rakyat juga akhirnya.
“Rakyat itu diam
tapi ia pencatat tidak pernah lupa
Rakyat itu seperti naga
Melingkar dengan berat badan
dan diam dalam keheningan sendiri
Pancainderanya tajam
Luat intuisinya dengan akal budi
Lalu jangan sekali-kali melukakannya,
Jangan melukakannya berkali-kali
Kerana sekali ia bangkit
Rosaklah segala apa-apa

Rakyat itu mampu sabar
Seperti ular besar yang perutnya berisi
Tapi kalau ia kelaparan
Bumi lingkarannya akan bergegar
Rakyat itu seperti binatang purba
Tidak berasa sakit meski diinjak.
Jangan biarkan rakyat lapar
Jangan bodohkan rakyat jelata
Jangan tindas rakyat
Kerana sifat diamnya akan hilang
Kesabaran akan lupus
Bijaksananya menjadi gila
Disebarnya air dendam yang tidak memilih siapa.

Rakyat yang lapar mahunya satu,
Keadilan!
Rakyat yang ditindas mahunya satu,
Keadilan!
Rakyat yang diam mahunya satu,
Saksama!
Rakyat yang bergerak mahunya satu,
Kebebasan!
Rakyat yang bantah mahunya satu,
Ketelusan!

(halaman 324 – 325)


Ketika genting menghadapi ribut penentangan, tiba-tiba sahaja Pak Kasim dijemput menghadap Ilahi. Habibah, cucunya dinikahkan dengan Hijrah. Malang sekali bagi Habibah kerana perkahwinannya berlangsung ketika datuknya sudah tiada. Kesemua penduduk terpaksa mengalah walau pun di sudut hati mereka sangat berat.



Sumber: Utusan Malaysia.


Maklumat lain: Latar belakang projek Udang Harimau Kerpan.


Khamis, Mei 21, 2009

Pengenalan surah An-Najmi

An-Najmi; kalimah isim makrifah yang menunjukkan bintang itu (iaitu dikhususkan kepada satu bintang). Menurut Al-Qurtubi dalam tafsir Fii Zilali al-Quran bintang yang dirujuk di sini bernama Surayya, iaitu bintang yang dijadikan rujukan orang Mesir purba.

Dr. Wahbah Al-Zuhaili dalam tafsir al-Munir menyatakan bahawa surah An-Najmi ini diletakkan selepas surah Ad-Dukhaan, dan mempunyai kaitan dengan surah tersebut. Surah ini diturunkan di Makkah dan mengandungi hal-hal berikut.
Hal-hal berkaitan akidah; bahawa perkara gahib itu wujud seperti malaikat dan hari kebangkitan.


  1. Cerita tentang pembalasan terhadap kaum terdahulu. Dalam surah ad-Dukhaan orang-orang musyrik menganggap bahawa bala yang ditimpakan oleh Allah adalah fenomena alam semata-mata.

  2. Permasalahan zuriat manusia.

  3. Penegasan Allah tentang kerasulan Nabi Muhammad. Di dalam surah Ad-Dukhaan orang musyrik menuduh nabi sebagai kahin atau majnun (gila).


Selain itu turut dibahaskan oleh Dr. Wahbah al-Zuhaili tentang penamaan surah. Dinamakan surah An-Najmi kerana di akhir surah ad-Dukhaan disebutkan tentang bintang pada ayat terakhir (juga kalimah terakhir) iaitu kalimah ‘nujuum’ yang bermaksud bintang-bintang.


--------------------------------------------
Demikian mukaddimah kepada surah An-Najmi secara ringkas.


Bercakap soal babi.

Kalau kita membaca The Star minggu lepas, ada satu isu berkaitan babi dibahaskan oleh sarjana Muslim. Ijazah sarjananya diambil di Scotland. Dan biasanya mereka ini beraliran liberal dan sama seperti Ahli Zaahiri. Zaahiri merujuk kepada satu mazhab (aliran pemikiran) yang memfokus kepada zahir suatu nas tanpa memahami yang lainnya. Pandangan dalam artikel itu menyatakan bahawa hanya yang diharamkan pada babi itu dagingnya, sedangkan yang lain-lain ‘halal’. Mereka berpendapat, bahawa kulitnya, tulangnya, gigi dan lain-lain boleh digunakan oleh orang Islam. Mereka berpendapat begini kerana mengambil zahir ayat “Hurrimat ‘alaikum al-maitata wa ad-dama wa lahma al-khinzir ....” Maka kerana disebutkan hanya lahma al-khinzir, maka selain daging itu menjadi halal.


Kenapa begini? Kenapa mereka hanya mengambil zahir ayat ini sahaja? Mari kita beranalogi. Kalau mahu menggunakan kereta, ambillah setereng kereta itu sahaja. Yang lain-lain tinggalkan di sini. Apa yang akan dikatakan kepada anda jika usul itu dibawa? Ya, tidakkah setereng itu juga sebahagian daripada kereta? Mungkinkah seorang itu boleh dikatakan memandu kereta jika hanya memegang setereng kereta? Tidak bukan? Makanya, samalah halnya dengan babi. Apakah daging babi yang diharamkan itu tidak dibalut dengan kulitnya? Apakah daging babi itu tidak disokong oleh tulang-temulangnya untuk membolehkan ia hidup? Dan jika kulit, tulang, lemak dan gigi babi bersentuh secara langsung dengan daging babi, apakah itu tidak haram? Ini soalan saya kepada golongan Zaahiri atau sarjana Muslim Liberal. Mengapa mereka melonggarkan hukum keharaman babi sehingga mahu menghalalkannya? Yang haram tetap haram, dan yang halal tetap halal. Usahlah kita memnghalalkan apa yang sudah haram, begitulah sebaliknya.

Bercakap soal babi, akhirnya Malaysia mendapat tempias selesema (influenza A @ H1N1). Semoga dijauhkan wabak ini daripada kita. Lihat statistik dunia sehingga 19 Mei 2009 di sini


Selasa, Mei 19, 2009

Sabtu, Mei 16, 2009

Selamat Hari Guru


Selamat Hari Guru saya ucapkan kepada semua guru yang pernah mengajar saya.

"Guru Membina Negara Bangsa"

Dedikasi ini ditujukan kepada semua guru yang pernah mengajar di

  1. Sekolah Kebangsaan Tapah, Kula Berang

  2. Sekolah Menengah Sains Tg. Muhammad Faris Petra, Pengkalan Chepa

  3. Kolej Chermai, Bahau

  4. Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, USM Transkrian


Begitu juga kepada semua guru dan ustaz yang pernah saya ikuti pengajian/kuliah/sesi takmir mereka.


Kepada guru-guru dari kalangan adik-beradik saya seperti berikut;


  1. Siti Khuzaifah Bt. Isa, SK Kuala Berang (Pend. Khas)

  2. Amran Bin Ismail (Abang Ipar), SK Tengkawang (Sains)

  3. Radiah Bt. Isa, SMK Tasek Utara, Johor Bahru (Matematik)

  4. Muhammad Taufik Bin Isa, MRSM Gemenceh, Negeri Sembilan (Biologi)


Tidak lupa juga kepada semua pengunjung blog ini yang sedang menjadi guru. Semoga kalian berbahagia dan ikhlas dalam memartabatkan nusa bangsa mengikut kemampuan masing-masing.




Bab Tentang Orang yang Lupa akan Solatnya.


Dari Abu Qatadah, nabi bersabda “Man nasia sholaatan fal yusholliihaa idza dzakarahaa.” (“Sesiapa yang lupa akan solatnya, maka solatlah apabila dia mengingatinya”).

Lupa menunaikan solat apabila tertidur atau uzur yang dibenarkan pada syarak, apabila teringat (dalam kes tidur ialah sedar dari tidur; bagi orang yang gila (pitam) adalah ketika dia waras (hilang pitamnya)). Imam Nawawi rahimahullah mengatakan bahawa hadis ini menunjukkan bahawa solat hendaklah ditunaikan dengan kadar segera walaupun waktu seseorang itu terjaga adalah ketika waktu yang diharamkan solat padanya seperti ketika terbit matahari (untuk solat Subuh) atau ketika tenggelam matahari (solat ‘Asar).

Selain itu, pengarang kitab ini (Idris al-Marbawi) menukilkan perbahasan tentang mengqadhakkan solat bagi orang yang sengaja meninggalkan solat. Imam Nawawi mengatakan bahawa wajib diqadhakkan solat itu menurut keutamaan yang asal (min baab al-Aulaa). Jika solat yang ditinggalkan secara tidak sengaja (terlupa kerana tidur atau uzur yang dibenarkan pada syarak), maka solat yang ditinggal secara sengaja perlulah diganti. Dalam kitab Fiqh Mazaahib Arba’ah (kitab Feqah Mazhab Empat Imam), ditegaskan bahawa tidak cukup dengan sekadar mengqadhakkan solat, tetapi hendaklah disertakan dengan taubat. Iaitu apabila diqadhakkan solat itu, seseorang itu hendaklah berazam tidak mengulangi perbuatannya (meninggalkan solat dengan sengaja).
--- # --- # ---


Nota:

  1. Uzur yang dibenarkan syarak di dalam perenggan di atas hanya melibatkan orang lelaki atau wanita yang gila atau pitam sehingga apabila dia kembali seperti keadaan biasa (waras dan sedar daripada pitam), waktu solat telah luput. Adapun bagi wanita yang haid atau nifas, tidaklah ada kewajipan baginya mengqadhakkan solat yang ditinggal sepanjang tempoh nifas atau haidhnya.

  2. Rumusan yang dicatatkan di sini adalah pendapat jumhur ulama. Saya tidak menukilkan perbahasan qaul yang lain-lainnya.



------------------------
Rumusan kuliah Maghrib Ustaz Raihan Abdul Aziz, 15 Mei 2009, Masjid Al-Hidayah, Sentul. Kitab Bahrul Mazi.



Selasa, Mei 12, 2009

Bukan rahsia

Ketika rehat, ruang legar Hotel Flamingo di hadapan dewan makan dipenuhi beberapa gerai jualan buku, CD dan vast ESQ. Terdapat juga buku-buku terbitan Anbakri Publika yang dijual oleh pengedar buku. Rata-rata buku itu telah saya miliki, dan saya tertarik untuk memiliki buku ini.



Ya, memanglah. Hakikat kehidupan manusia juga begitu. Kalau kita lihat kepada konsep dosa pahala, maka dikatakan dalam Islam bahawa tiada pewarisan dosa seperti yang diimani oleh penganut Kristian. Dalam surah an-Najmu, disebut bahawa “Wa an laisa li al-insaani maa sa'aa” - Dan tidaklah ditanggung (dibawa oleh manusia untuk dibalas kepadanya), melainkan apa yang diperbuat olehnya sendiri. Dan dalam ayat yang kemudian daripada ayat ini dinyatakan bahawa “Dan sesungguhnya setiap perbuatan yang dilakukan akan dilihatnya.” Dalam surah al-Zalzalah disebut bahawa manusia akan melihat setiap amalannya walau pun sekecil atom. Demikianlah betapa setiap diri harus bertanggungjawab terhadap amalan masing-masing sehingga dia tidak boleh menyalahkan orang lain atas amalannya. Apakah adil bagi kita, jika lahir-lahir sahaja sudah terpalit dosa orang lain? Maka dalam hal ini, dewasa ini dunia penuh pancaroba perlu menilai nasib sebahagian manusia, dilahirkan dalam keadaan dia tidak kenal siapa ayahnya. Sedarkah kita, sehingga Nov 2008, perangkaan bayi yang lahir 'tanpa ayah' sudah mencecah angka 257411 orang! Betapa parahnya keadaan ummat manusia di Malaysia. Angka rasmi itu adalah anak-anak kecil yang didaftarkan. Bagaimana pula halnya dengan janin-janin yang digugurkan?


Maka bertitik tolak daripada konsep tiada perwarisan dosa dalam Islam, apakah kedudukan atau hukum yang harus dihadapkan kepada mereka ini apabila besar kelak? Bagimana dengan urusan nikah kahwin mereka? Bagaimana dengan hak-hak mereka untuk hidup? Saya tidak dapat bayangkan bagaimana rasanya jika seseorang itu mengetahui dirinya anak tidak sah taraf? Tentulah mereka amat kecewa dengan sikap dan perlakuan ibunya dan juga 'bapa'nya yang di'hilang'kan secara semberono. Betapa pun si ibu dan 'bapa' itu bijak menyembunyikan kemungkaran dan kejahatan yang dilakukan, mereka pasti tidak terlepas di akhirat sana. Tentulah bagi mereka yang cakna, kebejatan ini di'sokong' kuat pula oleh lambakan karya filem yang entah apa-apa. Filem yang menaikkan permasalahan kronik sosial dengan alasan supaya diambil iktibar sebenarnya menambahburukkan lagi keadaan. Kenapa? Tidakkah kita membaca al-Quran? Dalam al-Quran, apabila Allah menceritakan nabi Yusuf digoda oleh Zulaikha, tiada perincian perbuatan Zulaikha itu. Allah menggunakan lafaz yang umum. Tetapi apabila karyawan filem kita mengangkat keburukan sosial di dalam cerita, mereka menggambarkan lebih teruk daripada itu. Tidakkah itu nantinya akan mempengaruhi sebahagian audien? Apakah tidak mungkin ada sebahagian daripada penononton yang akan terikut-ikut dan meniru apa yang mereka lihat? Buktinya? Kalau dahulu, dalam kehidupan tradisional Melayu khususnya wanita-wanita (anak dara) sangat santun. Jarang sekali kita melihat mereka membuat pameran pusat atau memakai pakaian yang menjolok mata. Tetapi apabila dalam kebanyakan media hiburan yang mereka ikuti, terdapat unsur budaya atas nama kemodenan. Akhirnya kita lihat sudah ramai anak dara dari keluarga Islam yang rosak. Rosak akhlak, rosak pegangan dan larut dalam dunia hedonis.


Dunia hiburan sudah bertukar sebagai pandangan dunia (world view) yang akhirnya dianggap sebagai normal. Inilah yang dikatakan sebagai paradoks dalam akar budaya Melayu yang dahulunya sangat mengagungkan nilai budaya ketimuran. Atas nama kemodenan, cara berpakaian manusia berubah. Hal ini bukan sahaja berlaku di Malaysia, malahan di Jepun juga sudah jarang kelihatan wanita-wanitanya yang tetap memakai kimono untuk ke mana-mana. Pakaian-pakaian yang melambangkan kesantunan dan kesucian budaya hanya dipakai ketika menyambut perayaan agama atau budaya. Di luar semangat perayaan tersebut, manusia lebih gemar mengenakan fesyen yang lebih trendi, sekali gus melenyapkan identiti bangsa mereka yang asli.


Lupakan segala-gala yang dibincang di atas. Hidup bukan rahsia. Fikirkanlah.Buku ini merupakan sebuah buku inspirasi kehidupan yang sangat membina minda. Penulisnya mengadunkan beberapa cerita yang mudah difahami dan universal sifatnya. Cara penceritaan dengan mengadun ayat al-Quran dan hadis, kemudian petikan mutiara kata (inspiring word), sungguh memikat pembacaan. Ada teknik penulisan bersahaja dengan persoalan mudah, justeru pembaca tidak menjadi pembaca satu hala. Sambil membaca, pembaca dapat menggerakkan otaknya untuk menjawab soalan yang diajukan. Demikianlah bezanya pendekatan yang digunakan oleh penulisnya Zabrina A. Bakar. (Mohon maaf, mungkin sekarang ini penulisnya sudah ada gelar Dr. di hadapannya; saya tidak pasti). Oleh sebab gayanya yang sedemikian, maka khalayak pembacanya boleh saya dalam pelbagai peringkat. Sesiapa sahaja boleh membacanya dari kecil (10 tahun) hingga remaja sampailah ke dewasa.


Disebabkan tema tulisan ini – bukan rahsia, maka saya mahu mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan buat kalian yang menjadi guru saya secara tidak langsung. Penulisan tuan-tuan di alam maya yang gemar saya ikuti sedikit-sebanyak menjadikan saya kaya ilmu dan dapat menumpang kelebihan ilmu kalian. Lihatlah siapa yang saya maksudkan itu seperti di bawah. Semoga kalian terus gigih mencurah idea di laman masing-masing, kerana ilmu apabila dikongsi akan memberi barakah kepada pemiliknya.


Ini adalah carta pembacaan laman web terpilih saya menggunakan Readers@Google

Isnin, Mei 11, 2009

Rabbani

Selama tiga hari yang lalu, saya mengikuti satu kursus HRD tetapi dalam konteks Islam. Sememangnya hal ini sukar ditemui selama ini. Sebelum ini ada dikatakan JIM pernah mencuba untuk membangunkan model pembentukan insan seperti itu, tetapi tidaklah sampai berjaya seperti ESQ165 itu. Jika ditanya kepada saya, apakah terdapat firma lain di Malaysia yang lain menjalankan usaha membangun modal manusia yang Islamik? Saya hanya boleh katakan SABHA Group adalah contoh terbaik yang pernah saya tahu. Namun begitu, modul dalam SABHA Group lebih menitikberatkan institusi kekeluargaan. Tetapi setakat ini, SABHA Group masih berjaya menjalankan fungsi kepada sebahagian daripada usaha membangun umat manusia rabbani. Saya kurang arif tentang firma lain, apakah mereka mampu menjadi seperti SABHA Group? Summer Camp yang dijalankan selama ini bertepatan dengan satu pepatah Arab yang berbunyi, "Mendidik anak-anak yang belum baligh umpama mengukit batu." Tentulah hal ini amat berbeza sekali dengan pendekatan yang digunakan oleh ESQ. Harapan saya agar suatu hari, kenalan saya Saudara Amin Idris mampu mengorak langkah untuk menjadi penjana manusia rabbani buat golongan yang berpendidikan sekular. Apakah saudara Amin Idris berupaya mengetengahkan model pembangunan manusia yang telah dikatakan menghampiri waktu senja dengan mengikuti model pembangunan SABHA Group?

Setakat yang saya tahu, SABHA Group memiliki fasilitator yang hebat. Fasilitatornya dilatih menjadi manusia rabbani terlebih dahulu sebelum dapat
merabbanikan orang lain. Kalau ditanya kepada saya, 'Apakah saya ada cita-cita untuk menyertai SABHA Group sebagai fasilitator programnya?" Saya akan jawab, "Ya." tetapi bagaimana caranya? -:P -:)

Khamis, Mei 07, 2009

Kemalangan


Sepanjang hidup, saya mengalami dua keadaan genting yang dinamakan kemalangan. Dan pasti seri hidup akan jatuh seperti orang yang lemah semangat. Pertama, pada tahun 2005, tiga hari sebelum raya korban, saya terjatuh dari motosikal dan kepala saya betul-betul di bawah tayar kereta yang melanggar motorsikal. Saya tidak dapat bayangkan bagaimana sekiranya takdir Allah lebih teruk daripada itu, pasti kepala saya hancur digilis tayar itu. Syukurlah, jatuh itu saya hanya sakit sendi dan seluar di bahagian lutut yang bergeser dengan jalan carik sedikit. Kedua, kemalangan berlaku dua tahun lalu ketika saya menumpang kawan untuk ke Sungai Petani. Kereta yang dipandu kawan itu terlanggar kereta di hadapannya. Dan remuklah sedikit bahagian depannya. Pun begitu, degup jantung saya tetap melaju, dan kemujuran saya berpanjangan dua tiga hari. Syukurlah, Dia masih memberi saya nyawa untuk hidup.


Dua hari lalu, adik saya seorang guru Matematik di SMK Tasek Utara, Johor Bahru mengalami kemalangan. Kereta yang dipandunya diapit dan kerosakan teruk melanda, taksiran awal untuk baik pulih kereta itu kira-kira RM5000.00. Tentu sekali dia amat kecewa dan kesal, semacam tempang langkahnya untuk berulang-alik ke tempat kerja. Pun begitu, saya nasihatkan agar dia bersabar. Bersyukurlah, nyawa kita masih ada dan tidak ada kecederaan. Dikhabarkan kepada saya, perlanggaran itu dahsyat juga dan beliau terpaksa mengambil masa lima jam untuk menyelesaikan urusan laporan polis di Balai Polis Kulai. Kemalangan adalah perkara biasa. Jika kita sudah amat berhati-hati dan mengikut peraturan yang betul, mungkin asbabnya datang daripada pihak yang satu lagi. Jika mereka sudah terlalu cermat, maka kitalah yang cuai. Itulah sahaja dua kemungkinan yang berlaku apabila berlaku kemalangan. Dan mengikut hukum biasa, orang yang melanggar akan dikira sebagai bersalah dan secara automatik akan disaman. Bilakah agaknya MIROS (di UPM) akan selesai menjalankan kajian untuk menentukan hukuman yang lebih adil dalam hal ini? Seorang kawan saya terlibat dalam kajian untuk menentukan kesan perlanggaran dan mengesahkan siapa sebenarnya yang bersalah. Apakah orang yang melanggar atau yang dilanggar? Hal itu dikaji secara saintifik dengan mengambil kira hukum keabadian tenaga (F=Ma, ini yang asas, dan kemudian digunakan hukum terbitan daya yang lain daripada formula ini).


Istilah lain bagi kemalangan adalah insiden. Jika tidak kita yang cuai, tentulah orang lain yang terleka. Suatu insiden yang cukup membuatkan saya tertekan ketika ini ialah kerosakan cermin mata dan 'hilang' nilai wang. Cermin mata yang saya letakkan di sejadah tanpa sengaja dipijak oleh seorang jemaah yang lain. Sehingga kini, orang itu belum bersemuka dengan saya untuk meminta maaf. Mungkin dia fikir, saya akan meminta beliau mengganti kerosakan itu. Dan kerana itu, apabila ditanya kepada saya, saya jawab, “Tunggulah bulan hadapan untuk saya peroleh cermin mata yang baharu.” Sekembali dari masjid, ibu menelefon saya. Awal-awal lagi dia meminta maaf. Saya kata, saya maafkan. Dan dia berkata (tentulah ibu sangat rasa serba salah), “Emak terbuang sampul yang ada cek dalam tong sampah. Sampah itu sudah dibakar.” Bohonglah saya jika tiada reaksi apa-apa apabila mendengar berita ini. Semerta, air mata saya mengalir. Saya terharu kerana kerendahan hati ibu sanggup memohon maaf daripada saya. Kedua, tentulah saya juga sangat kecewa dengan hal itu. Iyalah. Nilai dalam cek itu lumayan juga (cek DBP biasanya dua kali ganda nilai cek penerbit lain). Tetapi setinggi mana pun kecewa saya, marah saya, dan segala-galanya; ia tidak mampu menandingi pengorbanan, penat lelah, sabar, air mata dan kesakitan ibu membesarkan saya. Maka setelah saya insaf hal ini, saya tidak rasa apa-apa lagi. Saya maafkan dan mahu lupakan insiden itu. Ibu saya bukan sengaja membakar cek itu. Dia terlalai.

Mari renung kalam Allah ini.


Habis segala cerita. Kemalangan atau insiden adalah hikmah kehidupan yang perlu kita fikirkan. Begitulah sunnatullah untuk mengingatkan manusia. Itulah ujian Tuhan buat manusia. Mudah-mudahan dengan mau'izah itu manusia bertaubat dan kembali kepadaNYA. Cuma, apakah kita masih mahu berasa aman jika sekarang ini kita masih selamat daripada ancaman selesema babi?

Naimisa, 0845, 07052009, Sentul, KL

Isnin, Mei 04, 2009

Dimotivasi

Syukurlah.
Syarikat bermurah hati menghantar saya mengikuti kursus yang hebat ini.

Ahad, Mei 03, 2009

Kais pagi makan tengah hari, kais petang makan malam


Apa halnya jika anda terpaksa hidup dalam keadaan 'Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang'? Dan saya fikir, rata-rata penghuni di kota Metropolis macam Kuala Lumpur dengan gaji paling standard untuk pemegang Ijazah Sarjana Muda yang paling minimum (RM1500), tentulah kehidupan mereka tidak lebih daripada 'Kais pagi makan tengah hari, kais petang makan malam'. Tinggal di ibu kota yang mencabar, dengan sedikit pergerakan mengambil kira wang ringgit, maka tidak boleh tidak terpaksalah mencatu wang sebaiknya. Ada kalanya terpaksa juga dipotong wang biaya makan minum harian sehinga satu pertiga. Misalnya kalau waktu-waktu biasa, bajet makan minum harian RM15, ada waktu terpaksalah dikurangkan belanja ini sehingga sekadar RM8.50 sahaja. Semuanya gara-gara wang diperlukan untuk memenuhi keperluan lain seperti belanja wajib untuk keluarga atau bayaran tahunan berkala seperti lesen memandu, cukai jalan, dan lain-lain. Bayangkanlah saat getir jika seseorang biasanya belanja besar untuk makan, tiba-tiba dalam bulan-bulan terntentu dia terpaksa menahan sedikit kehendak perutnya untuk memberi laluan duitnya ke tempat lain. Tapi, syukurlah. Dia bisa makan dan terus hidup. Tidak lagi keputusan makan untuk hidup. Hal ini segera menginsafkan saya kerana masih ada orang yang lebih teruk hidupnya berbanding cerita yang digambar di sini. Syukurlah dia yang saya ceritakan dalam artikel ini masih mampu senyum dan dapat memenuhi nafsu makannya walau terpaksa menghadapi keadaan yang lapar untuk seketika.


Dia gambarkan bahawa kehidupannya bak cukup-cukup untuk hidup. Bayaran sewa rumah yang dikongsi dengan rakan-rakannya cuma RM100 termasuk bil air dan letrik. Kemudian dia juga sediakan sedikit wang untuk ibunya di kampung. Menurut dia, tidak banyak. Cuma RM300. Kemudian dia lunaskan hutang PTPTN RM200, yang terpaksa dia potong RM50 apabila berlaku krisis kewangan beberapa bulan kebelakangan ini. Dan dia pula terpaksa sediakan juga sedikit wang tidak kurang RM30 sahaja untuk beli akhbar dan majalah. Kata dia, “Aku tidak senang hidup kalau tidak menatap berita di akhbar atau tertinggal mengikuti isu yang dibincang dalam majalah.” Nah, dia tetap mahu sediakan barang sedikit wang pendapatannya untuk zakat pendapatan. Tidak banyak, 1/40 daripada gajinya cuma sekitar RM36, lebih kurang begitulah congak mudahnya. Meski kalau dibuat semakan di pejabat zakat, tidak wajib baginya keluarkan zakat pendapatan, tapi dia kata, "Aku hendak sedapkan hati sahaja. Biar puas dan bersih harta pendapatanku." Bayar itu ini, dan akhirnya dia tidak ada lagi baki wang untuk dilaburkan buat masa depannya. Dalam satu analisis dalam talian tentang tabiat menabung rakyat Malaysia, seramai 500 orang telah mengambil bahagian. 47% mengatakan mereka hanya menabung kurang RM200 sebulan. Wah! Dia pun termasuk dalam senarai yang ramai itu.


Aku tidak mahu komen apa-apa tentang dia. Sebab sememangnya nasib aku pun lebih kurang dia sahaja. Keadaanku untuk bulan ini pun lebih kurang nasib dia. Maka bersediakah aku dengan bajet makan minum bulan ini dengan hanya RM7.50 sehari? Aku harap, aku mampu. Aku dan dia bukan kes kecil malahan beratus ribu lagi orang senasib dengan kami. Malah kami juga tidak selamat kerana kami pekerja sektor swasta. Tahukah anda? Daripada 27000 pekerja sektor swasta yang dibuang kerja baru-baru ini, hanya 3000 orang yang berjaya mendapat semula pekerjaan.

Jumaat, Mei 01, 2009

Tidur daripada solat

Maa Jaa-a an-Naumi ‘ani ash-Shalaati (Pada bab Tidur daripada solat)



Dari Abi Qatadah radhiALLAHu’anhu katanya, “Kami terjaga Subuh ketika matahari telah naik. Maka kami bertanya kepada nabi; Kami telah melampau dalam tidur. Nabi bersabda, “Tidak ada hal melampau dalam tidur. Orang yang melampau ketika berjaga (sedar). Maka apabila kamu lupa akan solat, tunaikan apabila mengingatinya.”

Ulama hadis mengatakan hadis ini berlaku dalam musafir yang jauh setelah pulang dari perang. Pada asalnya saidina Bilal Ibn Rabah ditugaskan berjaga, tetapi disebabkan masing-masing terlalu letih, maka semua tertidur dan apabila sedar matahari sudah naik. Hadis ini diriwayatkan oleh Imam At-Tirmizi, hadis Hassan Sahih.


Terdapat beberapa bahasan mengenai hadis ini iaitu perihal orang yang tidur. Dalam hadis lain, disebutkan bahawa diangkat qalam (tidak dicatat dosa) orang yang tidur. Maka perlukah orang yang tidur kemudian terjaga mengqadhakkan solatnya? Jumhur ulama mengatakan tidak perlu diqadhakkan bahkan hendaklah disegerakan solat ketika jaganya. Bahkan dalam hal qadhak terdapat khilaf dari segi istilahnya. Qadhak pada hakikatnya bermaksud menunaikan sesuatu perkara bukan dalam waktunya. Maka sama ada disebut secara jelas atau tidak dalam niat, solat yang dilakukan di luar waktunya mengikut istilah merupakan solat qadhak. Imam Syafie, Imam Ahmad (Ibn Hanbal), Imam Ishak dan lain-lain yang berpendapat terdapat solat qadhak dengan disandarkan kepada bab hutang. Jika hutang sesama manusia, kita wajib melunaskannya, maka begitu juga dengan solat. Meninggalkan solat sama ada lupa atau tertidur wajib diganti (dibayar) kerana seolah-olah kita berhutang dengan Allah.

Kedua, terdapat juga perbahasan tentang tegahan menunaikan solat ketika matahari sedang naik atau tenggelam kerana menyamai amalan penyembah matahari (‘ibaadu asy-Syam). Dalam hal ini, solat qadhak tidak dikira berdasarkan hadis nabi yang bermaksud, apabila kamu ingat akan solat, maka segerakanlah bersolat.
Ketiga, dalam hadis di atas, nabi bersabda yang berbunyi “Laisa tafriqu fii an-naumi” yang bermaksud tiada hal melampau bagi orang yang tidur. Apakah orang yang tidur kemudian dalam tidurnya dia merosakkan barang kepunyaan orang lain; apakah dia tidak perlu membayar ganti rugi? Ulama berpendapat bahawa mukallaf bukanlah syarat kepada ganti rugi kepada barang yang dirosakkan. Orang tidur merosakkan barang dengan tidak sengaja, dalam keadaan dia tidak sedar perbuatannya ketika itu. Tetapi ada satu ayat al-Quran berbunyi, “Wa man yaqtul mukminan khathoan fatahriiru roqobatin wadiyatun musallamatun ilaa ahlihi....” Maksudnya, “Dan orang yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka dendanya ialah memerdekakan hamba dan membayar fidyah kepada ahli keluarga mangsa...” (91:An-Nisaa) Maka orang yang tidur kemudian merosakkan barang orang lain dengan tidak sengaja wajib membayar ganti rugi berdasarkan nas ini.



----------------------- # ----------------------
Rumusan kuliah Maghrib, Ustaz Raihan Abdul Aziz, 1 Mei 2009, Masjid Al-Hidayah, Sentul, KL.