Khamis, April 30, 2009

Awas! Hati-hati dengan penipuan internet



Ini adalah mesej untuk mencuri maklumat bank anda, terutama password CIMBclicks. Kenapa? Yang betul-betul tulen (sistem sebenar); untuk CIMBclicks ialah www.cimbclicks.com.my. Ada dot my di belakangnya.



Selasa, April 28, 2009

Nikmat adalah ujian

Beberapa hari lalu, saya membaca surah Az-Zumar. Tiba pada ayat 29, iaitu ayat yang membuat perbandingan di antara seorang hamba yang dimiliki oleh beberapa orang yang bersyarikat dan saling bertelagah dengan seorang hamba yang hanya dikuasai oleh seorang tuan; maka siapakah yang lebih baik? Pertanyaan yang ditanya dalam ayat itu ialah “Hal yastawiaani matsalaa” (Apakah sama di antara kedua-dua hamba itu?). Ayat itu menceritakan beza di antara seorang yang mempunyai hanya Tuhan (Alllah) dengan seseorang yang memiliki banyak tuhan. Tentulah yang hanya mempercayai hanya Tuhan (Allah) lebih baik halnya.


Sambungan daripada pertanyaan itu ialah “Alhamdulillah” (Segala pujian bagi Allah). Dalam ayat ini, mengikut kaedah bahasa, lebih elok dibaca dengan wakaf (berhenti) di antara pertanyaan dengan kalimah hamdalah; dan di dalam mushaf Uthmani memang diletakkan tanda waqaf lazim di antara keduanya. Namun jika dibaca secara washal, di antara soalan dengan kalimah hamdalah itu, maka bagaimana bacaannya? Bagi orang yang tidak mahir akan dibaca sahaja, “matsalalhamdulillah..”, walhal di sini wujud keadaan huruf bertanda tanwin (fathatain) dengan kalimah alif lam yang disebut iltiqaa-u as-saakinain, dan semestinya kalimah matsalan itu akan menanggung kalimah al-hamdulillah. Oleh sebab sifatnya menanggung kalimah berikutnya, maka satu barisnya diganti dengan huruf nun bertanda katsrah (bawah), dan bacaannya menjadi matsalanilhamdulillah.


Selain daripada ayat 29, saya juga tertarik untuk mengajak kita berfikir darihal watak manusia seperti yang disebut dalam ayat 49 surah Az-Zumar. Dalam ayat itu disebut bahawa ada seorng lelaki apabila ditimpa kesusahan, dia akan meminta doa (dengan ikhlas) kepada Allah, tetapi apabila dilimpahi nikmat, dia berkata; “Kesengangan (nikmat) yang aku peroleh ini adalah disebabkan kepintaranku.” Nak betapa inilah penegasan yang menunjukkan bahawa nikmat itu adalah ujian. Nikmat bukan semuanya baik, bahkan nikmat menjadikan manusia lalai daripada mengingati Tuhan. Ya, semaklah sendiri diri kita. Ketika kita sihat apakah kita 'mengeluh' – Aku sihat, syukur. Tetapi sebaliknya apabila kita sakit, barulah kita teringat, “Oh! Aku tidak sihat.” Keluhan seperti itu lumrah bagi kita.



Catatan lewat. 6.15 petang, Sentul, KL.


Isnin, April 27, 2009

Kelebihan Ibnu Abbas


Semalam, 26 April 2009, (9.00 pagi - 12.30 tengahari) saya mengikuti program Tafaqquh fii ad-Din; Sejenak di Taman Ilmu 2, bersama Al-Fadhil Ustaz Nuruddin al-Makki al-Banjari. Kali ini beliau membicarakan tentang hadis-hadis pilihan yang diriwayatkan oleh Ibnu 'Abbas r.a. Antara kelebihan Ibnu Abbas ialah beliau mendapat doa khusus nabi agar mendapat kelebihan hikmah dan keupayaan mentakwil ayat al-Quran. Sebab itu ketika turunnya ayat An-Nash (surah ke-110 dalam susunan al-Quran), beliau berbeza pendapat dengan saidina Umar Al-Khattab. Kata Umar, turunnya ayat itu menunjukkan umat Islam telah berjaya membuka wilayah yang banyak. Penaklukan semula Makkah menunjukkan kaum muslimin mendapat kejayaan dan semakin kuat. Tetapi Ibnu Abbas berkata, "Itu petanda perpisahan kita dengan Rasulullah semakin hampir." Pendapat Ibnu Abbas ini disahkan oleh baginda.

Selain cekap mentakwil ayat al-Quran, Ibnu Abbas diberi ketajaman mata. Ada hadis nabi yang berbunyi, "Sesiapa yang melihatku dalam mimpi, maka dia dapat melihatku di waktu jaga." Apabila perkara ini dihadapkan kepada beliau, suatu hari Saidatina Maimunah radiallahu 'anha (isteri nabi) membawa cermin. Lalu dicerminkan Ibnu Abbas. Kata Ibnu Abbas, "Aku nampak Rasulullah!" Ya, kalau orang lain, tentulah yang terpantul dalam cermin itu dirinya sendiri. Tetapi bagi Ibnu Abbas, yang terpantul dalam cermin itu adalah nabi setelah dia bermimpi bertemu baginda sewaktu tidurnya.

Selain Ibnu Abbas, terdapat tujuh orang perawi hadis yang utama. Mereka ialah


  1. Abu Hurairah r.a

  2. Anas bin Malik r.a

  3. Abdullah Ibnu Umar r.a

  4. Aisyah r.a

  5. Ibnu Abbas r.a

  6. Jabir bin Abdullah r.a

  7. Abu Sa’id al-Khudri r.a


Penerangan lanjut tentang bilangan hadis boleh dirujuk di sini


Kitab yang disyarahkan kali ini berjudul "Al-Istibaaq", mengumpulkan sejumlah hadis pilihan Ibnu 'Abbas. Dan untuk sesi semalam, hanya sempat sehingga hadis ke-15. Dan akan bersambung dalam siri ketiga pada 21 Jun 2009. InsyaAllah.


Sabtu, April 25, 2009

Kisah Sahabat: Sa'ad Ibn Waqqas


Sa'ad Ibn Waqqas merupakan orang yang ketujuh memeluk Islam. Beliau juga termasuk kalangan sepuluh orang yang dijamin syurga oleh Nabi Muhammad S.A.W. Keislamannya seawal usia 17 tahun, dan bermakna beliau berusia 40 tahun ketika kewafatan nabi. Beliau juga salah seorang daripada ahli mesyuarat nabi (syura) yang memutuskan hal-hal penting ketika fasa terawal Islam.

Sa'ad ibn Waqqas pernah berkata, "Demi Allah, akulah orang yang pertama memanah." Kenyataan ini merujuk kepada tugas pertama beliau setelah berhijrah ke madinah. Sebelum peperangan Badar, berlaku satu peperangan yang diketuai oleh
Sa'ad bin Waqqas. Istilah perang mengikut bahasa Arab ada dua, pertama Siriah. Kedua Ghazwah. Siriah ialah peperangan yang diarahkan oleh nabi dalam keadaan nabi tidak mengetuai peperangan. Manakala ghazwah adalah peperangan yang disertai oleh nabi. Siriah pertama berlaku di perkampungan Rabigh, iaitu pertembungan di antara pasukan Sa'ad Ibn Waqqas dengan tentera musyrikin yang diketuai oleh Abu Sufyan al-Harbi. Dalam peperangan tersebut, kaum muslimin menang. Dalam sejarah perang, semua peperangan yang berlaku pada zaman nabi disertai oleh Sa'ad Ibn Waqqas.

Setelah kewafatan nabi, Sa'ad ibn Waqqas pernah dilantik sebagai Gabenor ketika zaman Saidina Usman bin Affan. Ketika peluasan wilayah, beliau ditugaskan untuk menyebarkan Islam di Iraq. Dalam sejarah China, disebut bahawa kuburnya
terletak di Peking (sekarang dikenal sebagai Guangzoa). Tetapi di dalam Kitab Sejarah Arab, disebut bahawa kuburnya di Pergunungan Baqi' di Madinah - bersama-sama kubur sahabat-sahabat yang lain.


Rumusan kuliah Maghrib, Ustaz Hanafi Abdul Rahman, Masjid al-Hidayah, Sentul. 24 April 2009.
Nota: Alfadhil ustaz mengguna kitab al-Mausu'ah al-Maskariyyah, jilid 4. Untuk topik ini.


12 golongan yang mendapat doa Malaikat

Isu yang menarik untuk direspon pada hari ini ialah apakah kedudukan anak-anak apabila salah seorang daripda ibu bapa mereka masuk Islam. Semacam kes yang sedang berlaku sekarang.
Menurut al-Fadhil Ustaz Thirmidzi dalam kuliah Subuhnya tadi, “Dalam kitab Matla' al-Badrin, anak-anak secara automatik mengikut agama ketua keluarga. Dan di sana ada pula perbahasan sama ada anak itu sudah baligh atau tidak.” (Ini jawapan kepada soalan saya).
Itu sahaja ulasan ustaz kerana kesuntukan waktu.

Ok, kita tinggalkan hal itu untuk dipolemikkan dalam media yang lebih autentik dan menggunakan sumber-sumber yang lebih kuat.
Tadi kami sama-sama mempelajari 12 golongan yang mendapat doa malaikat.
1.Orang yang tidur dalam keadaan bersuci (berwudhuk).
2.Orang yang solat di saf pertama
3.Orang yang menyambung saf yang terputus
4.Orang yang duduk (dalam masjid) menunggu masuknya waktu solat
5.Orang yang mengaminkan bacaan al-Fatihah imam dalam solat jamaah
6.Orang yang duduk menggu selepas solat sehingga imam habis berdoa
7.Orang yang membuat kebaikan kepada orang lain
8.Orang yang menziarahi orang sakit
9.Orang yang menginfakkan harta
10.Orang yang mendoakan saudaranya sedangkan orang itu tidak mengetahuinya
11.Orang yang makan sahur
12.Orang yang solat Subuh dan Asar berjemaah

Rumusan Kuliah Subuh, 25 April 2009, Ustaz Thirmidzi, Masjid al-Hidayah.
Saya tulis paling ringkas kerana topik ini juga dihurai lebih panjang sedikit di sini oleh blogger Future Protaz.

Jumaat, April 24, 2009

Mari semak diri kita


Jumaat tadi Bilal mengumumkan bahawa pada Program Tafaqquh Fi AD-Din; Sejenak di Taman Ilmu 2 akan diadakan seperti berikut:

  • Tarikh: 26 April 2009

  • Masa: 7.00 pagi – 12.30 tengah hari
  • Tempat: Masjid Wilayah Persekutuan

  • Penceramah: Al-Fadhil Ustaz Nuruddin Al-Banjari


Sekian untuk sesi iklan.
Kebetulan saya memang tiada apa-apa agenda untuk hari Ahad ini.


Ada satu cerita; seorang budak minum air sejuk (ais) yang biasanya menggunakan penyedut. Setelah habis, diangkat penyedut itu dan dia dapati titis air masih berada di diding rongga penyedut sebelah dalam. “Pak, bagaimana mahu habiskan air ini?” Orang yang dirujuk sebagai Pak itu menjawab, “Adik tiup sahaja...”

Saya teringat pula tentang satu sistem penukar haba (heat exchanger). Dalam eksperimen yang dijalankan, teras logam (coil) di bahagian dalamnya dilalukan air sehingga habanya seragam. Tetapi apabila mahu ditukar dibuat penilaian di akhir eksperimen, air di dalam lohong teras logam perlu dikeringkan. Maka satu pam udara disambung untuk mengeluarkan air yang berbaki. Kaedah ini disebut sebagai blowing. Dalam mana-mana sistem seperti itu, setitis dua air boleh mempengaruhi nilai parameter eksperimen berikutnya dan akan mengubah keputusan uji kaji.


Mari kita lihat ke dalam diri kita sendiri. Setiap daripada kita yang normal mempunyai sistem perkumuhan. Dan yang lebih hampir dengan dua cerita yang diceritakan di atas ialah sistem urin. Kita minum dan lebihan daripada minuman dan segala kotoran yang ditapis melalui buah pinggang dikeluarkan sebagai urin. Setiap hari kita akan membuang air kecil dan apakah kita betul-betul membuangkannya sehingga suci? Apakah cara-cara yang diajar untuk kita betul-betul membuang air kecil sehingga tiada lagi saki baki yang tinggal? Pernahkah kita dengan orang berdehem di dalam tandas? Itulah salah satu daripada caranya. Kaedah lain ialah dengan melurut skortum agar berlaku gerakan dalam salur kencing. Bagi yang wanita, saya kurang pasti. Hanya berdehem yang saya pasti.

Kenapa hal ini sangat penting? Dalam fiqh, ada satu istilah khusus untuk perkara yang dibincangkan ini. Pernahkah anda dengar kalimah istibraq? Istibraq itulah puncak kesempurnaan dalam membuang air kencing. Suatu hari nabi berjalan di kuburan. Beliau bersabda, “Dua orang di dalam kubur ini sedang diseksa. Seorang daripada mereka suka mengumpat. Seorang lagi tidak suci hadasnya (membuang air kecil).” Ya, apabila kita tidak sempurna kencing, baki najis di dalam salur kencing akan keluar dan mengenai pakaian. Jika pakaian itu digunakan untuk bersolat, maka solat tidak sah. Dari segi perubatan juga, kencing yang tidak sempurna akan menyebabkan keradangan pada salur kencing. Kuman yang berada pada titisan akhir air yang tidak dibuang boleh menyebabkan penyakit tidak lawas kencing. Atau penyakit keradangan injap pundi kencing - istilah bahasa Arabnya “Sausul bau-i” (kencing yang tidak berhenti-henti).


Jom, semak-semakkan diri kita. Apakah kencing kita sempurna?


Selasa, April 21, 2009

Keberkatan hidup

Ibnu Umar (Abdullah bin Umar) ditanya darihal perkara yang membawa kepada keberkatan hidup.
Beliau menjawab, ada enam perkara.



  1. Hati yang bersyukur

  2. Harta yang halal

  3. Umur yang berkat

  4. Tafaqquh fi ad-Diin

  5. Bi’ah sholehah

  6. Isteri sholehah



Hati yang bersyukur. Orang yang bersyukur akan sentiasa rasa cukup (qana’ah) dengan nikmat Allah. Berapa banyak orang yang kaya, tetapi sentiasa resah gelisah untuk menjaga hartanya? Bukanlah bermakna kita tidak perlu jadi kaya, tetapi apabila harta terlalu banyak, dibimbangi harta pula yang menjaga kita, bukan kita yang menjaga harta.


Dalam bab harta, apakah hukumnya jika memakan hasil keuntungan pelaburan ASB? Majlis Fatwa pada tahun 1995 menyatakan bahawa harus memakan hasil pelaburan ASB. Harta yang kita cari, apakah dari sumber yang halal? Kemudian ke mana kita belanjakannya?


Umur yang berkat. Sekiranya sampai umur 40 tahun seseorang itu amalnya baik, maka kekallah ia baik. Tetapi jika masih jahat, jahatlah dia sampai ke akhirnya. Manakala setelah sampai umur 70 tahun, Allah akan kurangkan musibah tetapi ditambah iman seseorang. Umur kita yang relatifnya pendek, maka kajilah berapa banyak yang dimanfaatkan untuk ibadah?


Mari kita fikir. Kes seorang yang hanya solat fardhu sahaja. Tiada solat sunat, tidak baca al-Quran, tidak pergi kuliah agama.
Katalah setiap kali menunaikan solat dia memerlukan masa lima minit, maka sehari 25 minit untuk ibadah khusus. Bermakna sepanjang hidup dia hanya mengkhususkan 17% daripada hidupnya untuk bersolat fardhu. Jika hidup 70 tahun, lebih kurang 12 tahun adalah waktu solat fardhu.


Tafaqquh ialah semangat untuk memahami agama. Berapa ramai di antara kita yang peduli agama? Setiap hari dia berusaha menambah ilmu agamanya. Dalam dunia yang dinamik, setiap hari akan timbul hal-hal yang baharu. Hal itu memerlukan kepada soal penetapan hukum. Misalnya hari ini kes anak luar nikah. Sehingga November 2008, seramai 257144 bayi luar nikah didaftarkan. Apakah hukum kepada mereka apabila mereka besar dan mahu berkahwin nanti (terutama walinya)? Hari ini, apabila orang bukan Islam membaca ayat al-Quran, kenapa kita bising? Walhal kadang-kadang kita pun jarang membaca al-Quran. Apa pula halnya dengan kita (orang Islam) yang masih tidak mahir membaca al-Quran? Terasa pula saya sangat sedikit ilmu al-Quran.


Bi’ah sholehah bermaksud persekitaran. Kawan-kawan dan suasana sekeliling tempat tinggalnya. Apakah seseorang itu mempunyai kawan-kawan yang baik atau sebaliknya? Kawan-kawan yang baik perlu terutama apabila kita mati. Merekalah yang akan mendoakan kita. Ketahuilah saudaraku, tangisan orang hidup untuk si mati adalah bebanan untuk orang mati. Setitis air mata yang menitis di kuburan, gantinya satu sebatan malaikat kepada mayat.


Isteri sholehah (atau suami yang sholeh). Pasangan hidup memang menjadi perkara penting. Punca atau asbab seseorang lelaki masuk ke syurga adalah isterinya. Apakah seseorang lelaki akan tenang jika mendapat isteri yang tholehah? Bagaimana dia akan menghadapi Allah di sana?


----------## ---------------##

Kuliah Subuh, Ustaz Thirmidzi, 18 April 2009, Masjid Al-Hidayah Sentul.


Isnin, April 20, 2009

Isu Brother Lim*

Suatu ketika, hotel-hotel di Malaysia dibekalkan dengan Bible. Setiap biliknya diletakkan agar penyewa hotel dapat membaca dan memahami agama Kristian. Pihak yang perihatin dengan agama Islam mencadangkan agar diletakkan juga al-Quran sebagai satu usaha dakwah kepada penyewa hotel. Maka pada 30 Mei 1997, Majlis Fatwa Kebangsaan dalam Muzakarah ke-42 telah memutuskan adalah harus untuk meletakkan al-Quran di hotel. Harus bagi orang bukan Islam membaca al-Quran. Dengan itu mudah-mudahan orang bukan Islam dapat mengenal agama Islam. Pada tahun 2007, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Zahid Hamidi mengarahkan agar fatwa itu dilaksanakan. Sebanyak 50 000 ribu naskah al-Quran tafsir diedarkan ke hotel-hotel seluruh Malaysia. Soal sama ada pengunjung mahu membaca atau tidak terpulanglah kepada mereka.


Baru-baru ini heboh di seluruh Negara apabila seorang ahli DAP membaca ayat al-Quran dalam ceramahnya. Dan media arus perdana menyifatkan sebagai suatu penghinaan kepada Islam. Kenapa? Tidakkah dalam Islam ada kaedah ‘Nahnu nahkumu bi zawahir, wa ALLAHU yahkumu bi as-saraa-ir’ (Kita berhukum dengan yang zahir, dan Allah lah yang berhak menghukum yang tersembunyi). Hebat sangatkah mereka yang dapat membaca niat ahli politik itu? Jika dibaca salah, apakah kesalahan itu tidak boleh dibetulkan? Malah kita yang bising-bising menempelak dia membaca al-Quran, apakah kita membaca al-Quran setiap hari? Tanyalah dan jawablah soalan sendiri dengan sejujurnya. Kitalah yang tahu tentang diri kita.


Tentang saudara Nga Kor Ming, berikut saya petik laporan akhbar oleh Abdul Halim Yaacob, Siasah Bilangan 0145 (23 – 29 April 2009). “Untuk tidak menukar nama kepada nama bercirikan Islam bukan suatu perkara yang mudah kerana ia memakan masa selama lima tahun di mana saya terpaksa berhujah di pejabat Mufti dengan pendekatan ilmu. Alhamdulillah akhirnya saya berjaya dan merupakan saudara baru yang pertama tidak menukarkan nama setelah menganut Islam.”
Ini kenyataan media rasmi bersama saudara Nga Kor Ming.
Saya sangat hormat kepada Jabatan Mufti kerana bijaksana dalam menangani isu ini. Pada 6 April 2009, mereka telah sepakat untuk mengeluarkan satu fatwa berhubung isu bacaan al-Quran oleh orang bukan Islam. Fatwa yang dikeluarkan pada 7 April berbunyi, “Orang bukan Islam diharuskan membaca al-Quran dengan syarat tidak bertujuan untuk menghina.” Bahkan dalam sidang akhbar oleh Ketua Penolong Mufti Perak di akhbar Sinar Harian, terdapat mesej jelas supaya orang Islam kembali menghayati Al-Quran. Maka dalam hal ini, apakah isu sebenarnya? Brother Lim memang sudah Islam ketika membaca ayat Al-Quran. Hanya menjadi heboh kerana pentas yang digunakan itu pentas politik dan yang melenting pula rasa terhina pula kerana mereka tidak pernah mahu menghayati kandungan al-Quran selain tidak tahu kedudukan sebenarnya. Maka siapakah yang malu dalam hal ini?



# --


Sebahagian daripada kandungan artikel ini saya kutip daripada Ustaz Azhar Yahya, Kuliah Maghrib, Masjid Al-Hidayah, Sentul. 19 April 2009.
Nota:*Nama Nga Kor Ming yang lebih popular di kalangan ahli MACMA.

Ahad, April 19, 2009

Pelancaran Novel Bidadari dari Timur




Memang jarang-jarang sekali saya dapat berada dalam majlis bersama TG Nik Abdul Aziz setelah meninggalkan alma mater di Pengkalan Chepa lebih 10 tahun dahulu. Dulu-dulu saya ingat, setiap Jumaat pelajar dari Sabah dan Sarawak beragama Kristian diberi kelebihan untuk mendalami ilmu anutan mereka di gereja. Tetapi pelajar muslim tidak diberi peluang untuk outing pada hari Jumaat. Kami hanya dapat outing setiap dua minggu selang-seli dengan pelajar perempuan. Maka sebagai alternatif, saya manfaatkan cuti pendek misalnya cuti tiga hari sempena cuti peristiwa atau cuti sekolah yang panjang untuk menghadiri majlis ilmu di Dewan Zulkifli, Kota Bharu. Ketika itu saya pergi ke rumah kawan-kawan sekitar KB dahulu sebelum saya pulang bercuti. Selepas meninggalkan negeri Kelantan sebagai tempat kelana ilmu, saya hanya mengikuti ilmu daripada TG Nik Abdul Aziz daripada buku-buku. Kemudian dapatlah juga sekali dua mendengar ceramah beliau dalam majlis sastera anjuran esastera.com.

Pagi tadi, Alhamdulillah saya diberi kesempatan mengikuti majlis pelancaran novel karya asal isteri beliau di Dewan Kedah. Sebelum tiba ke majlis, saya pergi ke ATM untuk mengeluarkan wang. Setelah lama beratur panjang, tiba-tiba ketika saya memasukkan kad ATM, keluar mesej ‘Device Failure’. Alamak! Kad ATM saya rosakkah? Saya masukkan dua kali kad ATM tetapi mesej yang sama keluar. Saya berlalu dengan hampa sambil menyalahkan diri sendiri tidak keluarkan awal-awal duit di Sentul Boulvard. Saya keluar dengan kesebalan. Hati merintih, “Ya Allah, jika tiada duit bagaimana hendak membeli buku-buku Tuan Guru?” Saya perhati tengok orang yang bertur di belakang saya dapat keluarkan wang macam biasa. Sahlah mesin ATM tidak rosak. Sahihlah wang dalam mesin masih banyak. Saya pun setelah merintih kesal itu, saya melangkah semula dengan “Bismillah. Semoga dapat keluar duit.” Tidak mungkin kad ATM saya rosak, fikir saya kerana mesin ATM berfungsi seperti biasa. Saya beratur semula dengan satu harapan, moga-moga dapat keluarkan wang. Dalam poket hanya ada sekitar RM15.00. Tak berbaloi langsung ke Pesta Buku Antarabangsa kalau hanya beli satu buku!


Dengan izin-NYA, apabila saya mencuba semula kali ketiga ini tiada lagi mesej seperti tadi. “Subhanallah!” Saya juga tidak faham keanehan di sebalik hal ini. Ini betul-betul pelik untuk difikirkan oleh saya, tetapi tidak aneh pada DIA. Alhamdulillah. Saya melangkah masuk ke Dewan Kedah sepuluh minit sebelum majlis bermula. Majlis lancar dan mengikut jadual. Kerana saya awal, maka dapatlah kerusi. Masa berjalan dan tetamu menjadi semakin dan dewan menjadi sesak. Hadirin yang masuk kemudian terpaksa berdiri malahan ada yang sanggup duduk bersila di hadapan pentas. Memang ini semacam saya bernostalgia duduk bersila dalam Dewan Zulkifli suatu ketika dahulu. Hal yang disentuh oleh TG Nik Abdul Aziz perkara biasa tentang kejadian manusia dan manusia contoh ikutan yang perlu kita jejak. Beliau mengingatkan hadirin betapa pentingnya kita kembali kepada al-Quran. Dan ada satu tip untuk panjang umur diberikan dalam ucapannya. Jika kita membaca sebuah karya yang ditulis (yang memakan masa sepuluh tahun misalnya), maka umur kita akan panjang selama sepuluh tahun. Itu bermakna barakah umur yang diperoleh apabila membaca sesebuah buku yang baik. Sebab itu TG Nik Abdul Aziz tekankan, “Hendak baca buku, pilih-pilihlah juga siapa penulisnya. Siapa penerbitnya.”


Dan selepas pelancaran buku dibuat, kami dapat bersama-sama mengambil autograf daripada dua orang penulis novel Bidadari dari Timur, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak dan Puan Ili Sarah Annual Bakri.


 # -- # -- #

Sabtu, April 18, 2009

Mutiara ilmu: 17 April 09

Satu hari orang bertanya kepada Abu Dzar, “Apakah amalan yang afdhal?” Dijawabnya, “Aku pernah bertanya kepada Nabi Sallahu’alaihi wasallam. Baginda bersabda; Sebaik-baik amal ialah solat di awal waktu. Kemudian? Berbuat baik kepada dua ibu bapa. Kemudian? Jihad fiisabilillah.”


Dalam membahaskan solat di awal waktu khususnya dalam solat Asar, ulama-ulama menekankan hal ini kerana waktu Asar itu relatifnya pendek. Sebelum ini dinyatakan pembahagian waktu solat kepada lapan; tetapi untuk waktu Asar tiada waktu ikhtiari, bahkan hanya waktu fadhilah sekira-kira panjang bayang (sesuatu objek) dua kali panjang objek tersebut. Firman Allah, haafizhuu ‘ala ash-shalawaati wa ash-shalaatu al-wusthoo; dikatakan bahawa ash-shalaatu al-wusthoo ialah solat fardhu Asar. Manakala dalam waktu maghrib, tiada waktu fadhilah melainkan hanya sekadar selepas azan – engkau sempat berwudhuk, dan menunaikan solat tiga rakaat.


Suatu hari Abu Dzar ditanya oleh nabi, “Ya Aba Dzar, apakah yang akan engkau perbuat sekiranya selepas matiku imam mematikan (melambatkan waktu) solat?” Abu Dzar menjawab, “Ya Rasulullah. Aku tidak tahu apakah yang engkau mahu aku lakukan.” Maka sabda nabi, “Tunaikan solat di waktunya dan jika engkau mengulang solat bersama imam, engkau mendapat pahala sunat.” Waktunya yang disebut di sini ialah waktu fadhilah. Hari ini apabila imam (pemimpin atau orang kenamaan) yang diraikan untuk sesuatu majlis, ada waktu kita terpaksa menunggu kehadirannya. Lantaran menunggu, kadang-kadang terlepas waktu fadhilah, dan terpaksa dilewatkan sedikit solat. Maka apakah seseorang perlu menunggu atau terus sahaja menunaikan solatnya? Dan sekiranya telah ditunaikan solat dahulu kemudian diulang solat bersama jamaah, apakah hukumnya?



Terdapat beberapa pendapat dalam mazhab Syafie dalam membahaskan hal ini.
1.Solat pertama (sendirian) itu menjadi solat wajib manakala solat yang diulang (i-‘aadah ash-sholat) bersama jamaah menjadi sunat.
2.Mana-mana solat yang lebih sempurna diterima sebagai solat wajib. Yang kurang sempurna dikira sebagai sunat.
3.Terpulang kepada Allah menerima mana-mana solat sebagai wajib.


Siri akan datang; Pada bab yang menyatakan orang yang tertidur sehingga luput waktu solat. Apakah ada solat qadha?


----------## ---------------##

Kuliah Maghrib, Ustaz Raihan Abdul Aziz, 17 April 2009, Masjid Al-Hidayah Sentul.


Jumaat, April 17, 2009

Sempena Pameran Buku Antarabangsa (KLIBF'09).


Sepatutnya mengikut jadual asal, saya ke PPMN di Ayer Keroh, Melaka. Tetapi perhimpunan itu ditunda ke 22 Mei nanti.



Satu.
18 April 2009.
Sebelum KLIBF, ada satu forum yang menarik untuk dihadiri.

Antara panelis yang tidak asing lagi, bagi merungkai topik menarik ini ialah Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato' Dr Hassan Ali, Dato' Ismail Kamus, Ustaz Solehin Muhyi dan Ustaz Zulkarnain.

Forum terbabit akan diadakan di Dataran Masjid Zakaria, Batu 9, Gombak dan dimulakan pada jam 9.00 malam.


Dua.

Saya ingin sekali hadir majlis pelancaran novel di bawah ini.
Seronok kalau dapat beli novel dan dapatkan autograf penulisnya.




JOm! Kita sesakkan ruang di Dewan Kedah/Johor, PWTC.

Khamis, April 16, 2009

Jalan raya kita

Semalam, kebetulan seusai kuliah maghrib saya singgah makan di kedai sebelah masjid. Salah satu topik yang dibincang dalam rancangan 360 ketika itu ialah aksi longkai. Longkai merujuk kepada orang tengah yang menunda kereta ke bengkel kereta apabila berlaku kemalangan. Satu kes kemalangan yang dipaparkan ialah sebuah kereta terbalik (turned turtle = tayarnya semua ke atas) kerana pemandunya dipercayai mengelak lopak air di tengah jalan. Betapa hal ini sangat menunjukkan betapa keadaan jalan tidak baik.



Sebelum ini saya pernah sajenkan (sajen = sajak jenaka) hal ini. Saya bandingkan kisah khalifah Usman apabila beliau bimbang kalau-kalau di akhirat nanti seekor unta mengadu kepada Allah bahawa kakinya sakit kerana melalui jalan berlubang.


Usman bin Affan

gelisahnya cukup teliti

"Jika di sana seekor unta mengadu

kerana jalan berlubang..."


Kini

sesiapa pun yang diamanahkan

jangankan jalan berlubang

belum berupa jalan pun

berlambak-lambak

mereka buat selamba sahaja


Mungkin mereka fikir

pemandu kita cekap belaka

bijak mengelak lubang berlopak

meski sampai tayar tercabut





Dan inilah respon yang diberi:

Merdu Andika 4/14/2009 10:01:36 AM

Gali lubang tutup lubang lumrah di orang tu...hehehehe salam



Naimisa 4/13/2009 5:11:30 PM

ustaz ramy :: oOOoooo telor.

ha'ah telor... saya ngerti.



ramy0722 4/12/2009 9:10:57 PM

Jangan bandingkan pemimpin kini dgn khalifah, naim..sbb mrk sebut nama nabi dan khalifah pun telor, camna nk contohi nabi dan khalifah..



Naimisa 4/12/2009 11:37:06 AM

cikgu has1mah ::: kita pun kena selamber jugak lah tolak mereka....hu3...


MB, saya pandu perlahan shj.... haha...

baru nak langgar....



ruhie isma ::: kawan saya kata, ayah dia cerita; "ada kontraktor buat jalan kambus tin yg ada duit dalamnya.
malam2 bila tiada orang, ada orang korek dan ambik duit tu, sebab tu jalan berlubang,"
hahaha...


cintranalis ::: ada, jalan baru belum berlubang.



citranalis 4/12/2009 11:23:32 AM

Jangan lalu jalan berlubang, cari jalan lain,biar jauh asalkan selamat...hehehe salam sajen



ruhie isma 4/12/2009 8:47:42 AM

Zaman la ni kambus lubang jalan ngan tanah merah dah tak main dah! dulu2 boleh la umpan ngan tanah merah , ha!ha! salam.



MB 4/12/2009 7:09:57 AM

hahaha....ni mesti dah terlanggar lubang tepi jalan niiiiii.....hati-hati,diorang tu suka-suka mereka jer gali lubang di jalanraya...salam sajen.



has1mah 4/11/2009 10:49:43 PM

Naim, orang kata pemimpin sekarang "selamba derk..." haha...




Jom bersajen!

Ahad, April 12, 2009

Isu mehdi (mehndi)


Apakah hukum bermehdi?












Bermehdi (asal perkataan mehndi) merupakan trend terbaharu yang diamalkan dalam masyarakat Melayu Islam di Malaysia. Ia merupakan lakaran inai di tapak tangan atau kaki.
Ruangkan masa untuk mengetahui apakah amalan itu dibolehkan?
Selamat mendengar.

Berikut kenyataan bertulis yang lain berkaitan isu ini.




12042009, Sentul, KL.

Jumaat, April 10, 2009

Berkisah pasal karya 'Cinta dan Penyatuan' dan slogan baru Malaysia

Ini kisah lama.


Saya adaptasikan daripada suasana benar di kampus. Sebahagian daripada insiden di kampus (baca: hostel) saya masukkan di dalamnya. Memanglah, saya dahulu lain dari yang lain. Saya hanya dapat menikmati alam dan suasana di desasiswa (nama lain bagi hostel, di USM) tidak sampai tiga semester. Pada semester kedua, kebetulan saya kurang selesa dengan karenah senior yang sebilik kerana suka merokok di meja belajar dan memperdengar lagu-lagu kegemaran beliau. Lalu saya mengadu kepada seorang senior lain yang kini menjadi pensyarah di Politeknik. Melalui senior itu, saya mendapat tahu bahawa Pusat Islam memerlukan seorang pembantu. Ketika itu Pusat Islam masih belum mantap dan belum lengkap carta organisasinya seperti sekarang. Lalu saya diterima sebagai salah seorang yang akan meringankan kerja-kerja pegawai. Bermakna di samping dua orang pegawai hal ehwal agama, saya mengambil tugas selaku bilal/imam ketika-ketika pegawai berjawatan tidak berada di pejabat. Bilik penginapan saya di sebelah pejabat utama, sekarang bilik itu sudah ditukar menjadi bilik tetamu. Bermakna itulah tugas saya mula-mulanya sehinggalah akhirnya apabila Pegawai Hal Ehwal Agama (Ketua Jabatan) bertukar, tugas saya lebih besar. Saya juga diberi peluang menyediakan teks khutbah Jumaat atau menyediakan makalah pengajaran dari al-Quran untuk Mimbar Pusat Islam. Ya, ideanya daripada tuan Penolong Pengarah sendiri (ketika tulisan ini dicoret, beliau (Tn. Hj. Md Yusof Abd. Rahim) berjawatan Pegawai Kanan Hal Ehwal Islam). Saya amat kagum dengan strategi kepimpinan yang ditunjukkan oleh beliau. Yang jelas, dia juga mewarisi gaya kepimpinan cikgu Shahnon (gelar yang beliau berikan kepada SN Shahnon). Saya dapati cara beliau mengurus permasalah, mengurus emosi kerja dan meladeni setiap orang yang berurusan dengannya seperti yang pernah dilakukan oleh SN Shahnon sendiri.


Berbalik kepada cerita saya 'Cinta dan Penyatuan' – sebenarnya sudah terlalu lama. Saya tidak pasti malahan ragu-ragu apakah cerpen itu bagus, atau sekadar boleh di'bungkus' kemudian dilempar ke bangkul sampah. Bukan apa, dua tiga kali selepas membaca karya itu, saya semacam tidak berpuas hati dengan jalan cerita dan isinya. Lalu dek kerana terlalu lama tidak mendapat maklum balas setelah menghantar hanya ke meja editor Siasah, saya fikir tentulah karya itu betul-betul tidak bagus. Kepercayaan itu menyebabkan saya membuangnya sama sekali daripada simpanan peribadi. Alhamdulillah, hari ini sahabat baik saya, yang banyak memberi galakan kepada saya untuk berkarya memaklumkan berita gembira itu. Karya itu disiarkan juga. Akhirnya, -:) Satu hal yang ingin disampaikan dalam cerita tersebut ialah betapa sukarnya untuk melakukan integrasi kaum di peringkat kampus, khususnya formula menempatkan pelajar-pelajar berbilang kaum di dalam satu bilik. Rata-rata pelajar akan bertahan hanya dua bulan dan selebihnya mereka akan membuat pertukaran sesama sendiri atau jika didenda, mereka lebih suka menyewa rumah di kawasan perumahan sekitar kampus. Ada satu tembok budaya yang tidak dapat disilangkan atau diadun kepada budaya kaum lain justeru perbezaan cara hidup, kepercayaan agama dan cara belajar. Ya, rata-rata pelajar muslim tidak selesa bersolat di bilik kalau-kalau ada rakan berlainan agama berada di bilik. Anehnya, mereka tidak pula rajin melangkah ke surau atau masjid. Tetapi lebih mengejutkan, mereka sama sekali tidak menjaga solat. Ini suatu yang mesti diakui bahawa tidak semua intelek muslim dalam waktu yang sama menjadi mukmin yang taat. Inilah senario yang berlaku, tidak sepatutnya terjadi. Manakala kaum lain, apa pun anutan mereka, tidaklah ada ritual yang mereka amalkan di hostel, malah kebanyakan mereka juga sebenarnya athies.


Namun begitu, terasa janggal juga apabila saya lakarkan satu insiden yang mustahil berlaku di dunia nyata. Saya garapkan akhirnya mereka berbaik-baik malah dapat sama-sama berkongsi rasa dan suasana belajar berkumpulan seperti itu. Walhal itu jarang-jarang berlaku kerana sikap prejudis masih menebal. Barangkali ini hanya berlaku di kampus saya, bahawa terdapat jurang yang memisah di antara kaum-kaum yang berbeza dengan sikap ananiyyah yang tersendiri. Malahan lebih menjengkelkan ialah apabila peperiksaan atau ujian penting, mereka tidak malu-malu meniru. Mungkin anda pernah dengar cerita, sebuah buku penting yang dipinjam tidak akan berada di rak buku malahan beredar di kalangan mereka sahaja. Orang lain tidak ada peluang meminjam buku tersebut. Itulah. Kadang-kadang semangat kekitaan dalam dunia ilmu ini perlu disemarakkan, tambah-tambah lagi sekarang sudah ada slogan baharu, “Satu Malaysia”.

Selamat berjumaat.
Coretan detik 12.30 pm, Jumaat, 10 April 2009.


Cerpen 'Cinta dan Penyatuan' disiar dalam Siasah, 12-18 April 2009.

Jumaat, April 03, 2009

Catatan Jumaat

Puji dan syukur buat DIA.


Detik tengah malam tadi, ketika sesi penggambaran berlangsung sempat juga saya berbicara dengan SETPOL MB Kelantan, pemilik Anbakri Publika. Beliau katakan kepada saya, “Satu buku berjudul Bidadari ….. akan dilancar oleh Tuan Guru sempena Pesta Buku KL, pertengahan April nanti.” Saya kira ini suatu yang menarik untuk diperkatakan. Bagi mereka yang biasa membaca buku Unplugged dan Unplugged 2, Belajar dari Dua Umar, atau Surat-surat Tak Terhantar pasti akan mengingati gaya penulisan yang dititikberatkan oleh saudara Anbakri ini. Iya, gayanya bersahaja dengan tataran sastera tetapi mudah dihadam oleh pembaca (orang awam). Tulisannya tidak terlalu bersifat elitis seperti karya sastera besar kerana memang tujuan kita menulis untuk memahamkan dan menyampaikan mesej kepada pembaca. Saya kira, sesiapa pun bersetuju dengan saya dalam hal ini. Dalam senarai buku yang saya sebutkan di atas, Belajar dari Dua Umar bukanlah sentuhan langsung beliau. Namun begitu, apabila beliau menjadi penerbit karya tersebut, fahamlah kita bahawa dasar editorial yang ditetapkannya telah dipenuhi. Nah, anda boleh sahaja dan harus membaca karya-karya yang saya sebutkan itu kerana sememangnya kita tahu, selaku SETPOL Tuan Guru, beliau mempunyai sentuhan atau bayangan pemikiran tuan guru di dalam karya-karyanya.

Bulan April sudah masuk hari ketiga. Awal-awal bulan begini saya pasti dahulukan bayaran-bayaran yang perlu diberesi. Syukurlah. Hutang biaya pendidikan PTPTN sudah dilunasi. Wang simpanan bulanan yang tidak seberapa sudah dipindah ke akaun berkaitan. Wang bayaran rumah sewa sudah diserahkan kepada bendahari rumah sewa. Dan perancangan kewangan bulanan juga sedang dirangka dan perlu diperhalusi sedikit, agar dapat saya optimumkan perbelanjaan. Formula saya mudah, jika terdapat baki di akhir bulan, wang itu secara automaik akan disimpan dalam akaun lain. Dan rata-ratanya tidak selalu hal itu terjadi kerana kadang-kadang berlaku hal di luar jangka seperti biaya kesihatan. Pun begitu, bulan April 2009 ini dapatlah saya menarik nafas lega. Mengapa? Pertama saya baru sahaja dikhabarkan satu karya akan disiar dalam Tunas Karya keluaran Mei 2009. Terima kasih buat Bonda Noraini Abdul Hamid kerana menghadiahkan majalah kelolaan beliau (edisi Februari 2009) kepada saya. Jarang-jarang dapat saya jumpa seorang editor seperti beliau. Bayangkan, pertama kali berjumpa beliau terus menghulur majalah itu tanpa banyak soal. Malu alah juga untuk saya terima.


Jika tuan-tuan sedang mencari maklumat berkaitan perkembangan bioteknologi Malaysia, bolehlah berbuat demikian dengan merujuk makalah saya berjudul Pascapelancaran dasar Bioteknologi di majalah Dewan Ekonomi, April 2009. Ini tulisan saya yang berkesinambungan daripada tulisan terdahulu pada tahun 2005. Menulis karya yang tidak seberapa ini sangat bererti bagi saya. Ketika Malaysia mengadakan Persidangan BIO Malaysia sekitar Ogos 2008, saya sudah mula mencari bahan dan maklumat untuk dimuatkan dalam makalah ini. Saya ikuti wawancara khas di Bernama TV bersama CEO BiotechCorp. Kemudian saya teliti juga fakta-fakta berkaitan daripada laporan akhbar sama ada berbahasa Malaysia atau Inggeris. Sehingga saya sanggup membeli sebuah majalah bisnes berbahasa Inggeris kerana terdapat input yang membantu di dalamnya. Saya emelkan makalah itu pada pertengahan Mac 2009. Memanglah durasi enam bulan untuk menyiapkan sebuah makalah seperti itu sangat lambat dan tidak 'berbaloi' bagi sesetengah pihak. Tetapi bagi saya, ada kepuasan tersendiri kerana hal yang ingin disampaikan bukan semata-mata mahu melepaskan batuk di tangga. Menjadi tabiat saya, menulis dengan mendapat fakta yang meyakinkan kerana saya bimbang sekiranya terdapat cacat cela di dalamnya dari segi fakta, hal itu sedikit sebanyak akan menyusahkan pihak-pihak yang berkaitan. Saya sedar, menulis makalah dalam majalah seperti Dewan Ekonomi adalah suatu yang berat kerana perlu 'bermain' dengan fakta. Ketelitian 'bermain' dengan figurasi dan fakta itulah membuktikan kesungguhan seseorang dalam penulisannya.


'ala kullihaal, selamat membaca.