Sabtu, Februari 28, 2009

Menagislah

Semalam lepas waktu pejabat, kami mengikuti majlis taklimat isu Palestin. Wakil Aman Malaysia membentangkan slaid multimedia yang sungguh menyentuh hati. Setelah sekian lama saya menangis buat Palestin, tiba-tiba semalam itu tanpa disedari saya telah menangis. Sedih dan hiba melihatkan kerosakan yang berlaku, dan air mata mengalir disayat pilu kasihankan seorang ibu buat anak kecil berusia 14 tahun. Faris 'Audah namanya. Syuhada kecil yang berjuang dengan batu bagi menghalang kemaraan tentera Zionis. Pada hari keempat puluh dia berada di kawasan 'permainannya' sebutir peluru hinggap di badannya. Dia meninggalkan rakan-rakan sebaya yang lain. Tetapi saya kagum, dalam klip video itu, ibu bapa yang kehilangan anak beryukur kepada ALLAH kerana mematikan anak-anak mereka. Itulah kemuliaan bagi mereka. Menjadi ibu bapa kepada syuhada.

Pagi tadi, saya mengikuti kuliah Subuh Ustaz Thirmizi. Saya kagum dengan al-fadhil ustaz, berkorban untuk menyampaikan ilmu buat kami. Jarak rumah beliau 48 kilometer dari masjid Al-Hidayah. Pengorbanan beliau tidak jauh hebatnya dengan Ustaz Ali di Ketereh. Dulu Ustaz Ali mengajar di Dabong, rumahnya di Ketereh. Beliau turun dari rumah seawal jam 4.00 pagi. Begitu juga bekas Pengetua Maktab Perguruan Batu Rakit, Tuan Hj. Abd. Hamid. Rumahnya di Kota Bharu, setiap pagi beliau bangun seawal jam 3.30 pagi dan turun bekerja tepat jam 4.00 pagi. Saya rasa memperihalkan kesungguhan mereka yang saya pernah jumpa (bersua muka) cukup untuk menyatakan betapa sangat ramai di kalangan kita melakukan pengorbanan untuk kebaikan sejagat. Semoga Allah merahmati kehidupan mereka. Memberkati kehidupan mereka sekeluarga.


Pagi tadi Ustaz Thirmizi menyambung bicara tentang hadis yang dibicarakan minggu lepas. Beliau menyambung empat perkara yang aneh di akhir zaman. Iaitu pembahasan yang dibuat oleh Prof. Dr. Yusof al-Qardhawi.


  • Ramai orang apabila matinya seorang muslim meraikannya dengan mengadakan jamuan malam pertama, ketiga, ketujuh, ke-40 dan ke-100. Walhal perkara ini tidak wajar dibuat memandangkan si mati mungkin meninggalkan anak-anak yang kecil. Apakah hukumnya jika jamuan itu dibuat dengan wang anak yatim? Jika mahu dibuat jamuan (tahlil), dana untuk jamuan hendaklah disumbangkan oleh jiran-jiran terdekat atau saudara-mara si mati.

  • Ramai orang pada bulan Ramadhan berlumba-lumba memuaskan nafsu, sedangkan kita dianjurkan untuk mengawal nafsu. Lihatlah sahaja gelagat sebahagian daripada kita apabila mengunjungi bazar Ramadhan. Membeli makanan untuk berbuka melebihi keperluan perut. Bahkan ada makanan yang berlebihan kemudian dibuang begitu sahaja.

  • Ramai orang suka mengunjungi pasar, tetapi sedikit yang suka ke majlis ilmu. Barang yang menyukakan nafsu mudah sahaja orang pergi walau pun terpaksa mengeluarkan duit. Orang lebih suka berhabis duit asalkan gembira. Tetapi majlis ilmu di masjid-masjid tidak pernah pun menetapkan bayaran daripada jemaahnya.

  • Ramai orang menangis kerana tidak dapat mencapai cita-cita. Tetapi sedikit sekali yang menangis kerana menyesal akan dosa-dosanya. Contohlah, saya dulu ketika nak berkawan dengan seorang perempuan.
    Saya maklumkan pada emak. Emak tanya, "Orang mana?" "Orang Kelantan." Jawabku. Tapi emak saya tidak setuju. Samalah juga di sebelah perempuan. Masa nak tetapkan hati dengan kehendak ibu, aku pun menangis juga. Nah, tapi aku pun sedar, jarang sangat aku dapat menangisi dosa-dosa yang dilakukan sepanjang hidup ini.


Rabu, Februari 25, 2009

Keajaiban perang Israel Ghazza



Ketika tentera Israel melayak bumi Palestin khususnya Ghazza, terdapat sebahagian daripada mereka terpaksa dibekalkan dengan pampes. Sesetengah daripada mereka menghadapi saat dan keadaan yang amat menakutkan.


Antara keajaiban yang berlaku:


  1. Keluar makhluk aneh dari bumi. Makhluk ini melempar pasir ke arah tentera Israel sehingga mata mereka buta.
  2. Seorang mujahid yang terselamat berkata, “Apabila api marak, aku berdoa: Wahai Tuhan yang menjadikan api. Yang sejuk dan sejahtera buat nabi Ibrahim, hapuskan api ini.” Lantas api yang marak padam dalam masa singkat. Saya dan rakan-rakan berjaya menyelamatkan diri.
  3. Terdapat kalangan orang awam ditanya, “Apakah pakaian tentera Hamas?” Mereka menjawab, “Baju hitam.” Tetapi tentera itu berkata, “Kami nampak pakaian putih.” Begitulah diulang soalan sama tetapi penduduk awam tetap memberi jawapan yang sama.
  4. Suatu keadaan berlaku hujan peluru sehingga bangunan yang menempatkan sekumpulan mujahidin tidak mempunyai jalan keluar. Mereka terperangkap. Sekonyong-konyong datang awan hitam yang mengabui pandangan tentera dan gelombang infra daripada pesawat terbang. Akhirnya mereka berjaya beredar ke tempat lain dalam naungan awan itu.
  5. Seorang mujahid lain bercerita, “Aku menggunakan pelancar roket. Seakan-akan ada sesuatu yang membetulkan arah sasaranku.” Aku merasainya beberapa kali.
  6. Seorang mujahidin yang terkorban. Mayatnya dialih selepas dua puluh hari perang. Bau kasturi menyelubungi mayatnya. Sehinggalah dia dikuburkan, bau wangi itu masih harum.


Mujahidin Hamas msaih mampu bersolat ketika perang kerana keyakinan mereka kepada pertolongan Allah. Dan memanglah apabila datang pertolongan, mereka akan mendapat ketenangan.



Selasa, Februari 24, 2009

Warkah buat nenda Rafeeda

Saya ada terima surat yang menarik dari luar Negara. (Pengirimnya dirahsiakan!)

Buat Nenda Rafeeda,

Salam buat nenda setelah sekian lama kita berpisah di tanah suci. Nenda Rafeeda, khabarnya nenda baru sahaja mendapat isyarat untuk tidak lagi mengetuai sayap kumpulan SARKIS di negara nenda. Dahulu kita bertemu dalam suasana umrah, nenda dan saya bertudung litup, berjilbab putih sesuai dengan cara pemakaian orang-orang beriman. Khabarnya nenda bergambar dalam sebuah akhbar tanpa bertudung. Terkejut saya dibuatnya. Semacam tidak percaya. Walhal dahulu kita pernah bertadarrus, dan nenda Rafeeda pernah bertanya kepada saya tentang ayat 59 surah al-Ahzab. Saya katakan, inilah perintah khusus dari Tuhan kepada wanita supaya bertudung.

Amatlah saya dukacita dengan hal itu. Tidak bertudung sedangkan al-Quran berada di hadapan semacam sengaja mempersendakan al-Quran. Nenda Rafeeda…. Barangkali kalau nenda boleh mendengar suara al-Quran atau rehal itu, nescaya nenda akan pengsan. Terkejut ketakutan. Al-Quran akan melaknat manusia yang mempersendakannya. Ia, barngkali kalau boleh didengar suara ghaib itu, akan runtuhlah bumbung-bumbung dan kerusi serta meja yang berdekatan. Tetapi hal itu hanya berlaku di alam lain, di luar batasan dan kemampuan telinga manusia biasa menangkapnya.

Buat nenda Rafeeda yang dihormati,

Maaflah saya menjadi terlalu biadap melontarkan ini warkah buat nenda. Kita sebenarnya tidak sempat bertukar-tukar alamat rumah untuk saya poskan terus ke sana. Tetapi tidak salah jika saya lontarkan ini warkah secara terbuka sebagaimana nenda Rafeeda relakan diri dirakam pemberita, kemudian dimuatkan pula berita itu di muka depan. Oh, nenda Rafeeda. Bilakah mahu berubah? Memanglah betul, perjuangan bangsa perlu seiring dan serapat mungkin dengan perjuagan agama. Kata Umar al-Khattab, “Kita bangsa yang dimuliakan kerana Islam.” Tetapi bukanlah caranya memperguna al-Quran sewenang-wenang untuk menampakkan kita berpegang kepadanya. Sungguh amat tidak cocok dengan adab Islam untuk memperlakukan al-Quran seperti itu.

Nenda Rafeeda,

Sekali lagi mohon maaf. Saya tahu ini lontaran peluru yang berbisa. Tetapi sebelum kita mati, eloklah bertaubat. Brtaubatlah selagi nenda mengaku diri sebagai wanita beriman. Tidaklah perlu kita meminta orang yang bukan Islam bertaubat kerana nilainya nihil di sisi Allah. Salam mesra, salam rindu buat nenda. Jika berkesempatan, kita jumpa lagi di Bakkah.


Sekian, terima kasih.



Dariku yang kerdil, buat memperingati mereka yang menzalimi dirinya sendiri.
(22022009, Sentul, KL.)

Sabtu, Februari 21, 2009

Keanehan manusia akhir zaman


Man ahdatsa fii amrina falaisa minni fahuwa raad,” maksudnya “Barangsiapa yang mengada-adakan sesuatu amalan/urusan agama sedangkan ia bukan daripada anjuranku, maka ia ditolak.”
Dalam membahaskan hadis ini, Prof. Dr. Yusof Al-Qardhawi dalam Fattawa Mu’asyirah (Fatwa Semasa) mengatakan bahawa umat akhir zaman ini melakukan beberapa perkara aneh dalam urusan agama. Antara yang disebutkan ialah:
1. Ramai orang berebut-rebut melakukan perkara sunat tetapi amat sedikit yang berebut-rebut melakukan kefarduan. Contohnya pada bulan Ramadhan, begitu ramai orang mengunjungi masjid untuk solat sunat Taraweh, tetapi amat sedikit yang istiqamah berjamaah untuk solat fardhu. Senario ini dapat dilihat juga dalam hal menunaikan solat sunat Idul Fithri/Adha.
2. Wanita yang pergi bekerja memakai perhiasan yang cantik tetapi comot apabila berada di rumah. Sekarang, ramai wanita bekerja memakai cantik-cantik, bersolek dan memakai wangian tetapi apabila berada di rumah, penampilannya kusam, busuk dan memakai ala kadar sahaja.
3. Orang yang memakai pakaian kemas ketika bertemu pemimpin yang disegani, tetapi mengenakan pakaian biasa (ala kadar) apabila bertemu Allah Rabbul Jalil. Kebanyakan manusia apabila menunaikan solat, memakai pakaian yang selekeh. Tidak bergosok pun. Kadang-kadang yang menyedihkan sekadar memakai kain pelekat tanpa memakai baju.
4. Orang yang masuk ke masjid lantas menunaikan solat sunat sedangkan guru agama sedang mengajarkan ilmu (kuliah). Dalam situasi ini, seharusnya orang itu terus mendengar majlis ilmu kerana menyertai majlis ilmu itu bersamaan dengan 1000 ganjaran pahala solat sunat. Imam Al-Ghazali dalam kitab Bidayatu al-Hidayah menyebut hal ini dalam bab Adab ke Masjid dengan berkata, “Tidak perlulah ditunaikan solat sunat tahiyyatul masjid. Cukuplah baginya dengan al-baaqiyaatu al-Sholihaat – iaitu membaca Subhanallah wa al-hamdulillah wa laa ilaaha illa Allahu wa Allaahu akbar (tiga kali).

 Nota kuliah Subuh, 21 Feb 2009, Al-Fadhil Ustaz Thirmizi, Masjid al-Hidayah, Sentul, KL.
 Sebahagian nota kuliah ilmu yang lain saya abadikan di sini.

Naimisa, 21022009, jam 1450, Sentul, KL.

Isnin, Februari 16, 2009

Meter nafsunya tinggi, bagaimana hendak merendahkannya?

Suatu ketika, seorang kenalan datang kepada saya. Dia nyatakan kegusarannya tidak dapat menahan gelojak jiwa. Seringkali dia terganggu dengan alamiah kedewasaan, iaitu mudah dirangsang oleh penampilan yang aneh-aneh daripada manusia yang berlawanan jantina dengannya. Bagaimana mahu dibuat? Apakah ada amalan yang dianjurkan kepada kita?


Maka saya jawab, "Jagalah pandangan mata. Dalam ayat 30 surah An-Nur Allah khususkan kepada mukmin (lelaki beriman) agar menundukkan pandangan." Ketahuilah saudaraku, merenung wanita itu panahan syaitan. Barangsiapa yang dapat meninggalkan amalan itu, dia telah merasai halawah (kemanisan) iman. Ini hadis popular yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas. Dan saya ingat kerana pada suatu hari ketika berusia tiga belas tahun, saya semacam terpaku melihat seorang wanita yang wajahnya mirip kakak saya. Kerana mata saya agak lama merenungnya, dan kebetulan dia pula perasan keadaan itu, maka dilayangkan kepada saya hadis tersebut. Saya tabik dan malu alah kepada beliau sampai bila-bila. Selepas peperiksaan PMR, saya tidak tahu lagi apakah cerita muslimah itu.


Tetapi anjuran saya itu, menurut kenalan saya amat sukar. Saya kata, "Berpuasalah." Ya, hendak mendidik nafsu perlu puasa. Itulah yang dianjurkan nabi kepada lelaki yang tidak mampu berkahwin. Berpuasalah. Tetapi dia berkata, adakah sebarang doa?


Ya, ampun! Saya tidak tahu. Sehinggalah setelah berlalu waktu sembilan tahun, baharulah saya mendapat ilmu tentang doa. Inilah doa yang diturunkan oleh Al-Fadhil Ustaz Hanafi Abdul Rahman di Masjid Al-Hidayah, Sentul tanggal 13 Feb 2009. Doa buat mengendurkan kebuasan nafsu syahwat.


Bacalah surah At-Thaariq dari ayat satu hingga ayat 10. Bacalah ayat ini berulang-ulang sehingga 'meter' nafsu anda kembali normal.
Kemudian amalkan juga doa
Allahumma inni a'uudzubika min syarri nafsi, wa min zulumaati al-Jahli, allahumaa inni a'uudzubika min syuruuri anfusina wa min sayyiaati a'maalina. (Ya Allah, aku berlindung darpada keburukan diriku, dan daripada kegelapan sifat jahilku, dan daripada keburukan diri-diri kami, dan daripada kejahatan amalan-amalan kami).


Kadang-kadang manusia apabila suka melakukan kemaksiatan, dia menjadi ketagih. Kemudian kerana manfaat kejahatan itu dirasainya dia terus-menerus melakukannya walhal itulah bisikan syaitan yang telah berjaya memprogramkan minda manusia. Sememangnya syaitan menghiasi kejahatan supaya nampak dalam pandangan manusia yang lalai sebagai suatu yang baik. Awas. Sungguh licik tipudaya syaitan laknatullah ini! Awaslah juga kepada sesiapa yang melakukan kejahatan, kemudian menceritakan kejahatan itu kepada orang lain, seolah-olah diaberbangga dengan maksiat yang dilakukannya. Manusia seperti ini sebenarnya menyerlahkan diri kepada kehinaan dunia. Bertaubatlah.





Yang menulis,


Naimisa
15 Feb 2009.
Sentul, KL.

Jumaat, Februari 13, 2009

Secebis kata



Empat bulan sudah, ketika saya mencari senarai syarikat berstatus BioNexus di Malaysia, saya dapati sebuah halaman web yang memenuhi maksud itu. Namun begitu antaramuka pengguna yang disediakan tidak menarik. Pengguna perlu memasukkan nama syarikat, pengkhususan aktiviti dan wilayah syarikat itu bertapak. Hal ini tentu sahaja menyukarkan. Malah saya juga membuat ujian terhadap sistem yang disediakan itu. Ternyata tidak memberi keputusan atau dapatan yang memuaskan. Logik yang disediakan oleh pembangun aplikasi pada borang itu memerlukan pengguna memasukkan semua perkara pada ruang kosong bahagian inputnya. Makanya saya menaip beberapa perenggan komentar kepada webmaster laman tersebut dan memberi cadangan agar dibandingkan sistem webnya dengan laman web MSC. Ya, MSC menyediakan antaramuka pengguna yang lebih 'mesra' dan memudahkan pencarian. Setelah agak lama tidak mengunjungi laman web tersebut, dan kebetulan pula saya mula menyambung tulisan kajian ilmiah tentang bioteknologi, sekali lagi saya perlu merujuk laman web tersebut. Kali ini saya dapati sudah ada perubahan seperti yang dicadangkan. Syukur, setidak-tidaknya saya sudah memberi suatu perkara yang berguna dan dimanfaatkan.


Rabu, Februari 11, 2009

Huru-hara dunia kita

Hadis ke-12, Bahr al-Mazi jilid ke-18


'an Hudzaifah ibnu Yaman anna an-nabiyya S.A.W qaal, "Wa al-lladzi nafsi biyadihi Laa taquumu as-Saa'atu hatta taqtuluu imaamakum...."

Mafhumnya: Dari Hudzaifah bin Yaman dari Nabi S.A.W katanya, "Demi Allah yang jiwaku di dalam kekuasaan--NYA, tidak berlaku qiamat sehingga kamu membunuh imam (pemimpin) kamu..."


Dalam hadis ini dinyatakan bahawa Hiudzaifah bin Yaman iaitu seorang penyimpan rahsia nabi, padanya terdapat senarai ratusan nama munafikin tetapi sekali-kali
tidak didedahkan kepada para sahabat yang lain. Hadis ini menceritakan bahawa selepas lewafatan nabi, akan berlaku huru-hara. Akan tiba zaman pemimpin Islam yang adil dibunuh oleh pengikut-pengikutnya. Dari sudut mukjizat, hadis ini terbukti benar apabila khalizah Umar, Usman bin Affan dan Ali Karramallahu wajhah ditikam sehingga mati. Malah pembunuhan juga berlaku pada zaman pemerintahan Malik bin Marwan dan bani Umayyah. Ketika zaman empayar Uthmaniah di Turki juga, pemimpin Islam yang adil dibunuh seperti Sultan Abdul Hamid II.


Maka tidak hairanlah jika akhir zaman ini, terdapat banyak mala petaka yang menimpa umat Islam apabila terdapat percaturan nyawa dalam siasah. Ugutan bunuh
atau gangguan terhadap ahli keluarga pemimpin tertentu menjadi mainan biasa dalam politik moden. Saya tidak hairan apabila melihat senario yang berlaku hari ini.
Kita sudah melihat betapa terdapat unsur pujuk rayu dengan tawaran wang berjuta. Tetapi jika hal itu tidak berjaya, ada sesetengah pemimpin itu 'diculik' kemudian
dipujuk dan kemudian diugut keselamatan diri dan keluarganya. Nah, siapa yang tidak gentar dengan taktik sebegini? Saya tidak menyebut mana-mana pihak dalam hal ini.
Cuma jika ada, kemungkinan ia berbetulan dengan teori konspirasi yang pernah saya baca seperti yang berlaku di luar Malaysia. Jika hal yang sama wujud di sini,
adalah suatu yang malang, lebih-lebih lagi politik Melayu itu rata-ratanya Melayu yang menganut agama Islam. Amat mengejutkan dan mendukacitakan!


Beberapa hari ini juga, kita ribut meladeni kisah dan sandiwara di Perak. Memanglah dalam ruang demokrasi, kita sepatutnya akur dan menjadi jantan. Demokrasi membenarkan kita melihat dan mengutip suara terbanyak. Pembubaran DUN adalah jawapan terbaik, diadakan pilihanraya sekali lagi bagi menilai apakah penerimaan rakyat Perak terhadap gaya kepimpinan yang sedang dijatuhkan itu. Saya suka mengambil petikan kata-kata A. Kadir Jasin, if they insist on voting in leaders who are nice but corrupt and ineffectual, those who gave them pocket money, took them holidays, awarded them contratcs and bestowed upon them state horific titles - then they only have themselves to blame if UMNO and BN is rejeceted in the next general election. (Rujuk A. Kadir Jasin, BN's Twin Threats, Malaysian Business, Feb 1st - Feb 15th, page 8). Berada dalam keadaan serba-salah seperti yang berlaku kepada dua ADUN pakatan itu memanglah dilihat oleh kebanyakan kita sebagai suatu yang amat salah. Walhal mereka sendiri yang mengalami ancaman itu tidak kuat untuk melawan bahkan mungkin tidak sanggup menggadaikan keselamatan diri dan keluarga mereka. Maka tidak adil juga jika kita salahkan mereka seratus peratus. Tetapi saya tabik juga, kerana terlebih dahulu dalam tahun 2006, ADUN Kemuning ditawarkan RM5 juta untuk berpaling tadah, tetapi kuat pula menghadapinya. Apakah mungkin ketika itu ugutan dan ancaman kepada keselamatan keluarga belum di'main'kan oleh mereka?



Berbalik kepada cerita Perak, nampaknya tidaklah sampai keadaan mereka kepada penderhakaan sehingga mengangkat senjata. Maka adalah amat sendih jika dihukumkan bekas MB Perak sebagai penderhaka. Apakah YB Nizar mengarahkan pengikutnya engangkat senjata? Jawapannya tidak! Amatlah keterlaluan apabila dia dituduh menderhaka. Derhaka dalam pandangan manusia tidaklah ada apa-apa kesannya jika dibanding dengan penderhakaan kepada Al-Khalik, Penguasa sekalian alam. Mereka masih demokratik dalam menjalankan siasah dan menjadi pemain siasah yang murni. Tidak salah sekiranya mempertahankan hak dan maruah kerana itulah yang dituntut dalam agama.



Catatan seorang aku, pemerhati dari jauh. Saya ingin rakamkan juga sekalung tahniah atas keteguhan prinsip perjuangan seperti yang ditunjukkan oleh Bekas ADUN Bukit Selambau. Dia lebih mementingkan rakyat daripada wang berjuta.

Selasa, Februari 10, 2009

Gerhana Bulan Penumbral :: dan gerhana sepanjang 2009


Selepas solat fardhu Isyak semalam (9 Feb 2009), imam mengajak kami sama-sama menunaikan solat gerhana. Ya, gerhana bulan berlaku lagi.
Dan selepas solat, imam naik ke mimbar dan berkhutbah. Betapa sedikit sahaja daripada banyak manusia yang bersama-sama kami. Tentu yang amat
terasa kesannya adalah imam yang membaca khutbah. Apa pun kami semua diingatkan betapa kerdilnya diri di hadapan DIA yang maha Kuasa.






Gerhana tahun 2009



  • Gerhana matahari separuh 26 Januari.

  • Gerhana bulan penumbral 9 Februari.

  • Gerhana bulan penumbral 7 Julai.

  • Gerhana matahari penuh 22 Julai.

  • Gerhana bulan penumbral 6 Ogos.

  • Gerhana bulan partisi 31 Disember.

Isnin, Februari 02, 2009

Bicara soal kerja

Bersykurlah. Kita masih punya kerja.

Minggu lepas, seorang kawan saya merungut darihal kesulitan kerja beliau. Saya kata, “Bersyukurlah, engkau tidaklah seteruk buruh kasar yang membina bangunan atau perkerja ladang.” Pekerja ladang sawit hanya mendapat bayaran sekitar RM350 untuk setiap tan buah tandan segar. Nilai yang menyusut teruk berbandng lapan bulan dahulu RM750/tan.
Setiap kerja jika tiada kesukaran bukanlah kerja namanya. Hatta berkerja sebagai tukang sapu pun, tetap ada cabaran dan kesusahan yang tersendiri. Kita jangan fakir, seorang tukang sapu yang hanya memegang penyapu dan penyodok sampah tidak ada cabaran dalam kerjayanya. Ya, mungkin kerja itu tidak membebankan sangat minda fikirnya. Ya, tetapi tukang sapu juga menghadapi cabaran ketahanan mental dan fizikal untuk menyapu sampah. Jika tidak, keadaan di sekeliling kita dengan sikap sambil lewa orang-orang kita membuang sampah di merata tempat akan menjadi tidak terurus. Bekerja dengan memerah otak, istilah popular yang dikhaskan kepada golongan pelaksana dan pembuat dasar sama ada dari kalangan profesonal atau amatur (pengurusan). Nah, jika tidak mahu berada di tempat itu, silalah lepaskan jawatan anda dan berilah peluang kepada ratusan ribu manusia yang tidak mempunyai kerjaya.
Pada 26 Januari, saya dan adik saya pulang untuk bercuti. Adik saya pulang sempena cuti semester, duduk di dalam bas di sebelah seorang jurutera pembuatan. Kasihan sungguh, jurutera ini terpaksa direhatkan dua minggu kerana produktiviti kilang kian merosot. Ya, sekarang zaman bearis dan resesi. Dunia kapitalis terejas terusk dan Malaysia juga merasai bahangnya. Dua minggu selepas pilihanraya kecil yang memulangkan semula Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Parlimen, sebanyak RM11 bilion dikeluarkan dari pasaran saham Malaysia. Namun begitu, tidak boleh disalahkan kepada beliau gara-gara penguncupan nilai dagangan saham tersebut. Dunia perniagaan mula melihat peluang yang lebih kondusif untuk dijadikan tapak operai seperti di Vietnam, Myammar, India dan China. Mengapa? Kos buruh di negara-negara ini jauh lebih rendah daripada Malaysia. Sehingga tulisan ini dicoret, seramai kira-kira 450 000 orang menghadapi dilema diberhentikan kerja. Apa beza memindahkan pusat operasi kilang dengan hanya menyerap staf tetap tetapi mengatakan opsyen Skim Pemberhentian Sukarela (VSS) sebagai tidak membuang pekerja?
Sudah menjadi amalan dan tanggungjawab kerajaan bagi membantu semua pihak. Langkah mengurangkan caruman KWSP pekerja adalah untuk meringankan golongan majikan. Di samping itu, sebagai serampang dua mata untuk menjadikan rakyat terbanyak lebih ‘kaya’ dalam suasana kenaikan barangan keperlan harian. Kemudian terbaharu, kadar faedah bank untuk pinjaman peribadi, kenderaan dan perumahan turut diturunkan. Apakah kadar baharu (BLR/OPR) ini mampu melonjakkan hasil jualan kenderaan di Malaysia? Sebagai pembeli kenderaan misalnya, kita mungkin boleh bergembira sementara waktu, kerana BLR tidak statik. Mungkin dalam dua tahun pertama, kadarnya rendah tetapi tidak mustahil kadarnya kembali tinggi apabila keadaan ekonomi bertambah baik kemudiannya. Maka dalam hal ini, amatlah perlu bagi kita memberi sokongan kepada sistem ekonomi Islam walaupun sekarang ini dimomokkan bahawa sistem perbankan Islam sama teruknya dengan sistem konvensional. Ada satu qaul, jika terdapat dua pilihan pilihlah yang dapat membawa kita menuju ke arah redha Allah. Maknanya jika sistem konvensional = Islam, ia sebenarnya begini; sistem Islam > konvensional.

(1914: Feb 2, 2009. Sentul, KL)