Jumaat, September 29, 2006

Setelah lima hari berpuasa....

Beberapa hari lalu, saya menyiapkan satu artikel bertajuk Cabaran Hamlatul Quran. Artikel yang membincangkan perkara yang menjadikan seorang penghafal al-Quran sangat teliti. Seperti ketelitian seorang pengukir, seorang penghafal al-Quran perlu teliti mengenalpasti perbezaan kecil yang terdapat di dalam ayat al-Quran.

Hampir seminggu melaksanakan ibadah puasa, beberapa perkara sudah berlangsung. Bermula pelancaran aktiviti Ramadhan dan sumbangan kepada fakir miskin (Hilal Ramadhan) pada 23 Sept. 2006. Diikuti pelancaran Kempen Bi’ah Solahah pada 28 Sept. 2006. Dan beberapa acara lagi bakal menyusul seperti majlis Tilawah Al-Quran peringkat Desasiswa USM, sambutan Nuzul Quran dan Majlis Meraikan Anak-anak Yatim, dan akhir sekali Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Selain itu kaunter pembayaran zakat fitrah sudah dibuka. Kadar yang ditetapkan oleh PUZ Pulau Pinang ialah RM4.70 seorang. Pembayaran boleh dibuat melalui amil-amil yang bertauliah. 

Mantik Bulan Puasa. (Peristiwa: Membayar zakat).

Saya mendapat tauliah Amil zakat.
Saya dilantik oleh PUZ Pulau Pinang.
Maka saya boleh menerima bayaran zakat.

“Selamat Menunaikan Kefardhuan Zakat. Zakat membersihkan harta anda.”

Selasa, September 26, 2006

Ramadhan: mampukah kita?


Firman Allah yang bermaksud, “Bulan Ramadhan yang di dalamnya diturunkan Al-Quran, sebagai petunjuk kepada manusia dan menerangkan petunjuk dan pembeza di antara yang hak dan batil (al-Furqan)…” (185: al-Baqarah)

Individu muslim dilihat daripada zahir. Luaran ini menjadi justifikasi bagi orang lain menilai keislaman dan Islam itu sendiri. Suasana hari ini, manusia menilai sesuatu berpandukan pelakunya. Begitu juga Islam, agama suci ini kebanyakannya dinilai dengan melihat kelibat manusia yang membawa Islam sebagai anutannya. Lebih malang lagi, penilaian itu diberatkan kepada hal-hal yang negatif melebihi yang positif. Perkara ini sebenarnya biasa, kerana yang buruk inilah perlu diberi perhatian untuk diperbaiki.

Dewasa ini, kita menyaksikan ketidaksiuman sosial yang melanda budaya timur. Orang-orang timur yang sinonim dengan akhlak yang terpuji, nilai estetik dan sopan santun semacam sudah dirobek budaya liar. Gejala sosial yang melanda umat Islam kini amat membimbangkan. Pertembungan nilai barat dan timur telah menyebabkan akulturasi dalam keadaan umat Islam tidak mempertahankan keaslian budaya mereka. Sebagai akibatnya, umat Islam lebih berbangga untuk berbudaya barat yang dimomokkan sebagai kemodenan. Mengejar kemodenan yang membuta tuli itu telah melenyapkan jati diri muslim secara halus tanpa disedari.

Hidangan-hidangan lazat berupa program hiburan sudah menenggelamkan kebanyakan umat Islam dalam lautan budaya hedonis. Kerancakan program realiti TV berorientasikan hiburan amat ketara. Bahan bacaan berkaitan gosip artis dan dunia hiburan lebih diminati berbanding dengan bahan bacaan ilmiah yang berat. Pembikinan filem kita juga sudah sehaluan dengan filem barat yang menghidangkan aksi-aksi panas yang mengghairahkan. Malah lambakan filem Hollywood, Bollywood, Korea, Mexico dan Indonesia juga telah merevolusikan pemikiran pembikin filem kita untuk menghasilkan filem-filem seperti itu.

Hedonisme secara falsafahnya ialah apa sahaja yang menyeronokkan. Hidup untuk berseronok dan berseronok dalam hidup. Fahaman ini dicanang oleh musuh-musuh Islam agar umat Islam leka. Kelekaan itu menjadikan umat Islam kurang memberikan perhatian kepada soal agama. Umat Islam menjadi tawar hati untuk menterjemahkan kehidupan sebagai muslim. Bagi mereka, Islam hanya diamalkan dalam juzuk tertentu yang terkandung di dalam rukun Islam. Selebihnya, kehidupan mereka tidak berkaitan dengan Islam. Maka bertepuklah musuh Islam menyambut kemenangan mereka ke atas umat Islam.

Kesan daripada penjarahan minda ini;

1. Remaja-remaja Islam lebih gemar membaca bahan bacaan picisan yang berkaitan dunia hiburan. Terdapat lebih daripada 50 buah majalah hiburan di Malaysia!
2. Menurut kajian pakar motivasi, Dato’ Fadhilah Kamsah kira-kira 80% remaja Islam tidak solat.
3. Putera UMNO telah berjaya mengumpulkan 8000 orang Mat Rempit (termasuklah beratus-ratus orang minah rempit) dalam program kembara di Teluk Batik. Program Kembara itu menyebabkan orang-orang Melayu yang punya sensitivi Islam yang tinggi tidak berpuas hati dengan cara pengisiannya. Ia lebih membawa banyak kesan negatif daripada yang positif.
4. Filem-filem Malaysia sudah bersifat global yang memenuhi piawaian antarabangsa terutama dalam aksi ranjang. Filem-filem seperti Gubra, Sepet, Rempit, dan drama Janji Diana sudah berani mengangkat tema panas itu tanpa segan silu artis Melayu yang melakonkannya. (Awas! Anda dinasihatkan tidak menonton filem ini. Jika anda menonton filem-filem ini, saya tidak bertanggungjawab. Saya nyatakan mengikut maklumat yang diperoleh sahaja tanpa menontonnya).
5. Ibu bapa menggalakkan anak mereka menyertai program realiti TV berorientasi hiburan kerana program ini telah terbukti mampu menjadikan anak-anak mereka jutawan segera. Alangkah eloknya, seandainya terdapat program perintis saintis (Scientist’s Apparentic)** dilaksanakan. Jika dalam masa setahun, program ini menghasilkan sekumpulan sepuluh orang saintis muda, dalam masa sepuluh tahun akan datang, Malaysia akan memiliki 100 orang saintis tulen.
6. Gaya pemakaian wanita-wanita Malaysia sudah banyak longgar. Semacam fesyen baju yang dibuat tidak cukup kain. Pendedahan bahagian badan yang ketara;layak untuk dipakai ketika mandi secara sembunyi sahaja.
7. Kes-kes sumbang mahram meningkat. Apabila orang-orang tua terangsang nafsunya melalui visual dalam filem-filem, telenovela dan drama-drama, maka yang menjadi mangsa ialah anak-anak gadis dan cucu perempuan mereka sendiri! Tidak kurang juga kes-kes yang melibatkan adik-beradik.

Cukuplah tujuh perkara ini, hati saya sudah hiba untuk mencoret lebih banyak.

Soalnya, apakah Ramadhan yang dihadapi sekarang sebagai madrasah tarbiyyah mampu mengembalikan jati diri Melayu muslim? Komposisi bangsa di Malaysia majoritinya dipegang oleh bangsa Melayu yang ditafsirkan sebagai muslim. Dalam banyak hal, bangsa Melayu juga menjuarai kes yang melibatkan gejala sosial. Kenyataan yang pahit ini bukanlah penghinaan buat orang Melayu, tetapi sebagai menjentik minda fikir kita untuk menyelesaikan kemelut umat Melayu. Semoga ibadah puasa dapat membantu kita menyelesaikan isu mat rempit, bohsia, bohjan, bohtua, lepak dan sebagainya.

Pun begitu, masalah ini akan selesai andai semua kita menjaga perkara asas iaitu solat. Jika semua orang solat dengan sempurna, maka solat itu mampu mecegahnya daripada melakukan kemungkaran. Pada tahap yang lebih tinggi pula, pelaksanaan hukum-hakam yang berkaitan dengan jenayah, dan dikuatkuasakan dangan adil. Orang yang kaya dihukum sama dengan orang miskin dihukum. Hari ini, kebanyakan kes berprofil tinggi yang menyebabkan orang kenamaan, terlepas. Di mana penguatkuasaan undang-undang dan keadilannya?


Nota kaki:

*akulturasi: penyerapan unsur-unsur kebudayaan daripada suatu budaya kepada budaya lain.


**Scientist’s Apparentic; maksudnya kita bukan hanya melahirkan saintis yang boleh menghasilkan ciptaan atau penemuan sains di peringkat universiti. Malah lebih jauh dapat mengkomersialkan produk itu untuk dimanfaatkan. Jika sekarang, memanglah ramai profesor di universiti yang hebat-hebat, tetapi berapa ramai pula di antara mereka yang berjaya mengkomersialkan hasil penyelidikan mereka? Skop untuk menghasilkan teknokrat perlu diperluaskan bukan dalam bidang ICT sahaja, tetapi perlu juga merangkumi biidang pembuatan.

Rabu, September 20, 2006

Hari-hari terakhir Sya’ban 1427H.


Semalam, setelah pulang dari Kelantan, kami tiba di Padang Serai pada jam 11.30 malam. Rumah tersebut menjadi transit sementara kami sebelum bertolak dua hari sebelumnya. Saya mengambil keputusan untuk bermalam di bilik tamu rumah sahabatku sahaja. Sementara yang lain pulang ke destinasi masing-masing.

Sampai sahaja di kampus, saya dimaklumkan perihal pilihanraya kampus yang sedang hangat. Syukur, calon yang dicadang oleh saya berjaya melepasi prosedur-prosedur pencalonan. Saya sudah sediakan surat tunjuk sebab sebagai tidak menghadiri sesi penamaan calon kerana berada di Kelantan.

Pada malamnya, jam 2230 majlis rapat umum diadakan. Semua calon pilihan (dan setakat ini pro-aspirasi sudah menang selesa 11 kerusi) saya merupakan penerima anugerah sijil dekan. Hebat! Tidak boleh tidak, penyertaan dalam pilihanraya kampus sememangnya penting agar suara kecil dari kumpulan yang berfikrah Islam dapat disuarakan. Rata-rata calon di dalam rapat umum membentangkan beberapa manifesto yang secara asasnya sama. Perkara yang ditekankan ini meliputi kebajikan mahasiswa, ketelusan pengurusan, integrasi kaum, dan peningkatan imej (rebranding) Pusat Pengajian masing-masing.

Secara umum, perkara-perkara ini saban tahun diulang-ulang di dalam rapat umum PRK. Persoalannya, sejauh mana manifesto ini dapat dijayakan? Saya melihat, keadaan seperti ini bukan retorik calon-calon. Namun begitu, biasanya selepas mendapat kepercayaan mereka menjadi mandum dan kaku untuk merealisasikan manifesto; mungkin juga dek kerna kerenah birokrasi. Saya tidak bimbang untuk mengatakan calon-calon tidak berwibawa, tetapi kewibawaan mereka selalunya disekat atau tidak mendapat sokongan pihak pentadbiran.

Sesiapa sahaja sama ada calon pro-aspirasi dan bukan pro-aspirasi yang pernah menduduki kerusi empuk Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) pasti bersetuju dengan saya. Menyalahkan mereka seratus peratus bukanlah sikap yang baik. Hal ini bermakna, setiap jentera pilihanraya yang ditubuhkan bagi menaikkan calon harus meneruskan kesinambungan bagi memberi kekuatan kepada calon-calon yang menang melaksanakan manifesto dengan jayanya. Jika mereka gagal menyempurnakan tugasan yang dibebankan ke pundak mereka, kita tidak harus menuding jari menyalahkan mereka. Satu jari telunjuk ditujukan kepada mereka, sedang yang empat lagi tertuding kepada diri kita sendiri!

Selamat mengundi. Pilihlah calon yang betul-betul berwibawa. Dan jika tidak salah, saya mahu anda memberi sokongan kepada calon-calon Islamis seperti yang saya cadangkan. Mungkin calon-calon yang menang boleh menyuarakan pandangan agar pihak Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar (HEPP) memansuhkan ‘kewajipan’ menyertai Kem BTN yang kononnya sebagai syarat kepada pengijazahan.

Khamis, September 14, 2006

PIRAKA




Pagi tadi, aku menemui jua Dr. Menal di Pusat Kesihatan. Batukku sudah jadi luar biasa. Datangnya menjelang maghrib, sesudah solat maghrib, aku kan berkokol. Bergegar-gegar segenap ruang dengan bising dari kerongkongku. Dan aku tidak boleh buat apa-apa kerana tenaga untuk batuk itu sudah meletihkan. Bahagian abdomen juga telah berpetak-petak buat seketika, sebagai tanda otot-otot perut ‘terlatih’ dengan ‘senaman’ berat. Maka jadilah bahagian perutku yang sedia kempis lebih terserlah bentuk segi empatnya yang berketul-ketul (syukur; perut saya tidak pernah boroi).

Dan doktor memberi beberapa jenis ubat, termasuk antibiotik, Lozeng, Loratadine, Paracetamol (walau pun aku tidak demam), Diphenhydramine Expectorant. Yang pasti, aku tidak akan makan paracematol kerana aku tidak demam, hanya batuk-batuk. Kemudian Dr.Menal juga memeriksa saluran pernafasan menggunakan alat yang tergantung di bahu doktor itu (maaf, aku lupa nama alat itu). Pemeriksaan ini menurutnya perlu dibuat dua kali sehari bermula hari ini hingga Jumaat. Bermakna hari ini hingga 15 Sept.2006 ini, aku mesti menemui beliau pada jam 8.30 pagi dan 4.00 petang.

Kemudian, aku juga mengisi beberapa keping borang. Argh!!! Di mana pen hitamku? Bilikku yang menjadi tumpuan umum, memang jadi begini. Siapa yang menggelapkan pen hitamku? Akibatnya au mengisi borang menggunakan pen biru. Pada penyata tatacara mengisi borang, hanya dinyatakan “Borang ini hendaklah diisi dengan HURUF BESAR.” Tidak pula dinyatakan, “Sila guna pen HITAM.” Akibatnya borang itu perlu diisi semula. Aku serahkan kepada orang lain mengisi borang itu bagi pihakku. Dan borang panas ini, sama panas dengan bahang pilihanraya dengan kesongehan dan suasana susah payah yang dicipta untuk calon-calon pro-aspirasi ummah. En. J sudah telefon, telefon sebelah bilikku dahulu dengan meminta orang yang mengangkatnya supaya mengawasi pergerakan pelajar-pelajar.

“Apa? Semua mesyuarat yang dibuat di sini, mendapat persetujuan saya. Saya bertanggungjawab. Jika En. J menuduh mereka membuat mensyuarat HARAM, sila buktikan!” terdiam En. J yang menyibuk itu. (Huh! Padan muka). Apabila diminta tarikh dan waktu yang tepat, dia tidak dapat memberikan jawapan. Semua mesyuarat di bawah bumbung PI direkod.

Perhatian! Ini blog! Dan setiap watak yang ditulis adalah rekaan semata-mata. Jika terkena, anggaplah kebetulan Cuma adanya. Dan saya kan bertolak ke Kubang Kerian pada petang Sabtu, 16 Sept.2006.

PIRAKA adalah pemanjangan daripada singkatan kata PRK yang akan menguji 'ketelusan' demokrasi kampus.

Isnin, September 11, 2006

Hiba seorang diktator

Menjelang hari-hari terakhir seorang pemimpin. Itulah yang boleh saya katakan. Dahulunya dia seorang sang diktator yang hebat. Tiada siapa yang berani menganggu-gugatnya. Semua keputusan akan diterima dengan anggukan. Semua akan menyokong tanpa belah bahagi.

Tercatat juga dalam sejarah pemerintahan dia, selaku sang diktator yang berhadapan dengan pencacai, pengampu dan tukang bodek. Arakian, tersebutlah kisah pada satu ketika sang diktator tidak mahu memberi kerusi perjawatan memegang tampuk pemerintahan dalam pilihanraya. Maka sehebat-hebat dia, rupanya pengampu nombor satu ini lebih licik. Diugutnya kepada diktator dengan sekeping gambar yang ‘panas’ dan menyentap keamanan diri sang diktator. Tidak boleh tidak, demi sebuah maruah, dia terpaksa memberi laluan kepada pengampu nombor satu untuk terus kekal.

Pabila dia turun, sang pengampu masih lagi menjadi pengamu dan pencanang, Laksana pendekar hebat yang menghunus pedang. Meski pedang merah tanpa sarung yang terhunus itu belum dicabut. Tercatat dalam kisah, ada cadangan dari negeri kayangan supaya dicabutkan keris itu. Tapi aku mahu bertanya, kalau dicabut keris, tidaklah nanti ropong bahtera itu. Jika lompang, masuklah air laut yang nampak kebiruan itu lalu lebih cepatlah karam kapal itu. Berbalik kepada cerita sang pengampu, apabila bekas ketuanya dihentam, dia juga menunjukkan sikap taat setia yang sama. Yang penting, sang pengampu mahu dilihat sebagai orang yang setia.

Dan kini sang diktator yang turun menjadi orang kecil yang tidak dipandang lagi. Dia sudah boleh menangis dan meraung-raung tanpa didengar dan dipedulikan oleh sesiapa. Benarlah, dia telah dipanjangkan umurnya untuk melihat natijah kerosakan yang diasaskan olehnya dahulu. Pasti lebih perit, kerana kesan negatif itu menimpa batang hidungnya sendiri!

Ooo cerita ini bukan menmpelak sesiapa. Cuma lakaran kreatif anak-anak merdeka dari bumi Malaysia. Awas! Ini Blog.

Selasa, September 05, 2006

ASS KB 2006


Kenangan Akedemi Sastera Siber (ASS) KB.
Pagi itu, jam 4 pagi sudah sampai ke stesen bas SKMK di pusat bandar KB. Aku mengambil peluang untuk ’bersantai’ di hadapan Kedai Telekom yang bertentangan dengan stesen bas. Bangunan yang memuatkan Pustaka Muda Osman nampaknya telah berubah, terdapat dua buah hotel bersebelahan. Yang aku perasan, Hotel Azam merupakan perniagaan ketiga tauke kedai foto dan penggurup wang Azam itu. Dahulu, ketika tempat rehat di hadapan pusat membeli belah Bersatu, sekitar tahun 1999, Hotel Azam belum wujud.

Aku mengambil peluang untuk memaklumkan kepada sahabatku untuk mengambilku sebaik sahaja selepas Subuh pagi Jumaat itu. Sambil memerhati panorama KB yang sudah dinaiktarafkan menjadi bandaraya Islam. Di hadapan tempat aku duduk, terdapat penjual kuih-muih berniaga. Peniaga larut malam sampai Subuh rupanya. Sewaktu mampir Subuh, enjin kren mula berbunyi. Memasang pasak bangunan, cerucuk konkrit bagi pembinaan sebuah lagi pasaraya Giant. Dahulunya tapak yang dibina Giant merupakan tempat letak kereta, pada bulan Ramadhan peniaga-peniaga juadah berbuka puasa membuka gerai masing-masing, sebelum menutup sebelum siren Penguatkuasa MPKB berbunyi sepuluh minit sebelum Maghrib. Pada malamnya, ia menjadi tapak untuk menunaikan solat sunat Taraweh.

Menghayati malam di KB tidaklah menakutkan. Tiada gangguan atau kerisauan, kerana kehidupan KB pada malam hari agak selamat. Berbeza dengan kota metropolis di pantai barat, pasti ada manusia yang mencurigakan. Dan pasti membimbangkan, terutama pengalaman sendiri yang dialamiku pada suatu Subuh ketika dalam perjalanan ke Masjid Jamek. Syukur, pagi itu ’pengekor’ yang mengikutku sambil menghulur tangan dan mulutnya tidak habis-habis meminta seringgit dua agak tidak ganas. Dalam keadaan tidak ganas itu pun, aku sebenarnya sudah cuak pada tahap yang maksima. Bermula dengan peristiwa minggu pertama September tahun lepas itu, aku mengambil sikap berhati-hati apabila menjejak kaki ke KL. Keamanan di KB bagiku mungkin suatu rahmat. Tetapi bukan bermakna anda akan selamat dan tidak berjumpa dengan perkara yang tidak baik.

Ketika sampai ke rumah sahabatku di Panji, aku berkemas diri. Kemudian aku dibawa makan nasi berlauk di kedai yang paling laris di sekitar KB. Ya, memang laris. Sama lah larisnya Nasi Lemak Rasa Sayang di tepi Rasa Sayang Golf Club & Country (padang Golf Rasa Sayang) di Sungai Petani. Ketika kami sampai, sudah ramai orang yang beratur menunggu giliran untuk membeli nasi berlauk, ditapau untuk keluarga masing-masing. Cuma pembeli-pembelinya terdiri daripada pakcik-pakcik, guru-guru, dan pelajar yang bercuti pada hari Jumaat. Lain pula halnya dengan Restoran Nasi Lemak Rasa Sayang, pengunjungnya yang berebut-rebut pada waktu pagi adalah pekerja-pekerja kilang, pakcik-pakcik dari Taman Ria Jaya, atau orang-orang kaya yang bertandang ke padang golf. Satu perkara yang saya kesani ialah, kelarisan atau kepupoluran sesebuah kedai makan, sebenarnya lebih banyak dipengaruhi oleh promosi mulut ke mulut. Selain mutu penyediaan makanan yang tentunya menyelerakan dan pelbagai (banyak opsyen lauk). Jika begini, tidak perlu mereka menyediakan bajet pengiklanan yang beribu-ribu untuk mengiklankan perniagaan mereka.

Ayah sahabat saya merupakan pensyarah pencen. Dia merupakan bekas pensyarah di Akademi Pengajian Islam UM (APIUM). Semasa bersembang-sembang dengannya, beliau menceritakan pengalaman beliau berubat di Seremban. Ketika duduk menunggu giliran, ada seorang Cina bertanya khabar tentang Kelantan. Beliau menjawab, ”jika mahu tahu keadaan Kelantan, lawatlah sendiri. Jika saya cerita, tidak adil bagi kamu, sebab saya orang Kelantan.”
Begitulah ceritanya.

Beliau menyangka orang yang bertanya itu belum pernah ke Kelantan. Maka orang yang bertanya itu melanjutkan kata. ”Oooo....saya sudah ke Kelantan. Dan saya selaku ahli perniagaan selama 35 tahun, belum pernah saya berjumpa dengan seorang Menteri Besar yang mudah untuk ditemui. Sedangkan di sini, jika mahu berjumpa MB, kena buat janji temu secara hitam putih dahulu. Sedangkan romobongan kami, apabila sampai ke Kelantan pada awal pagi, kami menelefon pejabat MB sekitar jam 10 pagi. Bertanya secara lisan apakah MB Kelantan mempunyai masa pada hari tersebut. Maka MB Kelantan, meminta SU kerjanya memaklumkan ketua rombongan kami untuk bertemu beliau di rumahnya selepas waktu Asar. Begitulah mudahnya berurusan dengan MB Kelantan, tidak ada protokal yang ketat.”

Sampai ke Hotel Perdana, saya lepak-lepak di hadapan pintu utama selama sepuluh minit sebelum mendaftar diri. Kemudian, bermulalah ASS.

Hah!? Mana catatan ASS-nya? Maaflah.......cerita tentang ASS telah banyak diperkatakan oleh Ode, Drirwan, Airmas, dan cikgu Ramy. Jadi saya tidak mahu memanjangkan cerita lagi.

Isnin, September 04, 2006

Coretan 'merengsa'.

Hari ini saya diminta menyediakan kertas kerja berkaitan ‘Kualiti Penyeliaan’. Oh, saya masih ingat, minggu lepas saya baru mendapat pengesahan senarai sepuluh jawatan yang dipohon melalui JPA. Doakan moga-moga suatu hari saya dipanggil JPA untuk temuduga perjawatan itu, walau saya nampak sejuta kemustahilan.

Kualiti Penyeliaan – Apa itu penyelia? Peranan Penyelia, ciri-ciri penyeliaan yang baik, penugasan (delegation), dan beberapa terma lain berkaitan pengurusan seliaan telah saya baca. Teliti dan teliti.

Hari ini, saya masih lagi tidak segar sepenuhnya. Satu tempoh yang agak lama berbanding siri-siri sihat-tidak-sihat yang dilalui sebelum ini. Tapi saya tidak kisah, mungkin disebabkan tiada istirehat yang lestari, maka tahap kesihatan tidak kembali ke tahap yang memuaskan.

Semalam juga, sebelum Isyak, saya diminta mengisi borang. Borang berkaitan hal-hal kunjungan ke USM Kampus Kesihatan buat kali kedua. Dan semalam juga saya menjeling-jeling surat yang difakskan oleh urusetia program tentang hotel-hotel yang boleh ditempah untuk penginapan selama dua hari, 15-16 Sept. 2006. Nampaknya, 14 Sept kami sudah kena bertolak dari Pulau Pinang ini berserta delegasi lain dari kampus induk.

Semalam, juga.........aku maklumlan pada seorang sahabatku, bahawa ada ’gunung berapi’ di bawah tulang duduk sebelah kiri. Ini penangan kuman Staphylococcus Aureus yang tidak berbahaya. Namun ayahku telah belikan Antibiotik juga untuk mengawal keganasan kuman ini. Dek sakit itulah, demamku masih bersimpati kepadanya. Kataku, ”sudah berdarah. Tapi masih degil-degil tidak mahu keluar isi-isinya. Kena cari kapur makan ni.”

Kapur makan dicampur madu lebah, kemudian disapu di sekeliling tempat keluar darah. InsyaAllah, ia kan menyerap naik nanah dan darah kotor dengan baik. Tapi....... tidak sempat juga mencari kapur makan, madu dan apa-apa. Keperluan masaku semalam dan hari ini juga, dan esok, esok, dan esok selepas esoknya juga tertumpu pada kertas kerja ini. Kualiti penyeliaan.

Sekian.