Khamis, Disember 29, 2011

Semoga Allah panjangkan usia Hj. Subki Latif


Jam besar di Bangunan Sultan Abdul Samad itu di bawah kawalan Jabatan Ukur. Perintah diberikan kepada Jabatan Ukur supaya disekata gerak jarum jam selagi Tunku tidak tiba. Jangan biarkan jarumnya bergerak dan berbunyi sebelum Tunku sampai.

Orang ramai menunggu jam itu berbunyi. Masing-masing menyedari waktu itu hamper tiba. Tetapi waktu sudah terlalu dekat itu lambat sangat tiba. Terasa lamanya menunggu waktu yang ditunggu. Lama. Lama dan lamanya. Adakah jam itu tidak berbunyi selagi Tunku tidak tiba atau Tunku tidak tiba selagi jam itu tidak berbunyi? Juruhebah radio seperti Hashim Amir Hamzah yang membilang saat yang ditunggu itu sudah tahu hal jam itu menunggu Tunku. Waktu tidak menunggu jarum jam. Waktu berjalan walaupun jarum jam tidak berjalan dan walaupun Tunku tersekat di tengah jalan. Sebaik sahaja Tunku masuk ke kawasan itu, jam pun berbunyi tetapi planet di langit tidak menunggu Tunku tiba, jarum jam sahaja yang menunggunya. Pada saat Tunku tiba dan jam itu berbunyi, semua planet tadi sudah tidak sebaris lagi. Planet yang berbaris sekejap tadi tidak sempat menunggu kemerdekaan Tanah Melayu diisytiharkan.

Saya adalah antara ribuan manusia di Padang Kelab Selangor yang menunggu jam berbunyi dan ketibaan Tunku.

[Anak Apak, Subky Abdul Latif, Kemilau Publika, 2011, halaman 263 - 264]

Inilah antara sejarah yang mungkin tidak kita temui dalam mana-mana topik pelajaran Sejarah di sekolah atau universiti. Yang kita tahu bendera Union Jack diturunkan tepat jam 12 tengah malam 31 Ogos sempena pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu. Samalah halnya generasi akan datang tidak akan dapat membaca sejarah satu bendera yang diturunkan separuh tiang oleh seorang pelajar di PWTC pada akhir tahun 2011 ini.

Memandangkan penulis buku ini satu sosok yang bukan biasa-biasa, orang yang mencari suatu kelainan dalam catatan sejarah kemerdekaan Tanah Melayu wajar menatap buku Anak Apak. Semoga Hj. Subki dipanjangkan umur, diberi kekuatan untuk melengkapkan ketiga-tiga buah buku dalam siri Anak Apak. Tidak sabar rasanya untuk menatap Anak Apak 2 dan Anak Apak 3.


Buku Anak Apak berharga RM25.00 dengan ketebalan 437 muka surat.

2 ulasan:

Afida Anuar berkata...

Oh, thanks for this sharing.. boleh la dicari kat MPH lepas ni;)

Naim berkata...

Sama-sama. Fida.
Saya beli di MPH Alamanda.