Adikku Khairul dikhabarkan tidak lalu makan kerana debaran menunggu keputusan PMR. Dia agak ‘nakal’ pada zaman permulaan remajanya. Pernah saya buatkan dia menangis kerana bertegas mahu dia menjadi remaja yang baik. Baik dalam konteks beragama. Disebabkan dia agak berbeza daripada abang-abangnya dalam soal sikap, kadang-kadang kami terlalu bimbang. Bimbang itu tanda cakna kami terhadapnya. Sampai ketikanya dia menjadi tertekan kerana kami menggariskan begitu begini harus dibuatnya. Tentulah dari kaca mata kami (abang dan kakaknya) mahu dia menjadi seorang anak yang baik. Dia tidaklah terlalu nakal, tetapi kelakuan kurang siviknya menyebabkan kami runsing. Risau kalau-kalau dia menjadi terikut-ikut dengan pengaruh hedonisme di luar. Tentulah ini bukan hal yang mustahil. Kami sebenarnya seperti memahat pada batu pemikirannya. Tidakkah memahat pada batu lebih kekal dan tahan lama berbanding memahat pada air? Selagi dia masih kecil dan belum matang sepenuhnya, segala yang dimasukkan ke dalam pemikirannya akan dapat dipelajari. Jika dia sudah melangkau 18 tahun, tentulah ketika itu agak sukar untuk dia belajar tentang kehidupan daripada kami. Mungkin ketika itu kami tidak dapat mengawal tindak tanduknya atas alasan dia sendiri sudah pandai berfikir baik buruk untuk dirinya.
Hari ini diumumkan keputusan PMR. Syukurlah dia memperoleh keputusan penuh. Sama seperti saya dahulu. 8A. Kerana itu dapatlah kami menghadapi program lawatan keluarga ke Melaka dan Negeri Sembilan sehingga 24 Dis dengan senang hati. Ketika catatan ini ditulis, kami sudah tiba di kuarters guru MRSM Gemencheh. MRSM Gemencheh berada di ranking teratas (Ranking MRSM) PMR 2011 dengan 85 daripada 120 calon mendapat 9A. Dapatlah ayah dan emak ziarah cucu baharu di Negeri Sembilan.
1 ulasan:
tahniah khairul!!!
Catat Ulasan