Keldai disebut dalam al-Quran sebagai binatang yang mempunyai suara yang kuat dan hodoh. Seorang pengkaji Arab dalam buku Al-Hayawan fil Quranmenyebut bahawa dapatan kajian sains menunjukkan suara keldai paling lantang iaitu 35 Hz. Tegahan bersuara kuat (sehingga mengganggu orang lain) disebut dalam al-Quran surah Luqman. Firman Allah yang bermaksud, “dan rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.” (Luqman: 19)
Apakah ini bermakna tiada kebaikan suara keldai? Direkodkan dalam hadis seperti diriwayatkan oleh Imam Bukhari suara keldai adalah tanda kedatangan syaitan. Dalam dunia moden tiada peranti yang dapat mengesan syaitan untuk memberi amaran kepada manusia syaitan ingin mengganggu seseorang. Disebutkan Nabi S.A.W pernah bersabda, “Apabila kamu mendengar kokokan ayam maka mohonlah kepada Allah daripada kelebihanNya, sesungguhnya ayam itu telah melihat malaikat dan apabila kamu mendengar pekikan suara keldai maka mohonlah perlindungan dengan Allah daripada syaitan, sesungguhnya keldai itu telah melihat syaitan.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Ibnu Qayyim al-Zauji berkata, “Keldai adalah lambang kebebalan, kebodohan dan kebengongan orang Arab.” Menjadi budaya orang Arab apabila berlaku sesuatu insiden yang menyebabkan kemarahan, mereka akan menyebut, “Himar!” Tidak seperti marahnya sesetengah orang Melayu yang menyebut, “Babi!”
Tambah Ibnu Qayyim lagi, “Sebebal-bebal keldai, ia masih tahu jalan pulang ke rumah tuannya.” Keldai mempunyai ingatan yang kuat. Jika tuannya menunggang dalam suatu permusafiran yang jauh, keldai masih dapat membawa tuannya pulang dalam kegelapan malam meski tidak dikawal. Apakah hari ini kita ada sebuah kenderaan yang membolehkan kita tidur dan menyerahkan tugas membawa kita pulang tanpa dikawal?
Kata Ibu Qayyim lagi, “Manusia kadang-kadang lebih teruk dari keldai kerana tidak tahu jalan pulang dan tidak tahu bagimana untuk pulang ke rumah asalnya. Manusia asalnya dari syurga. Setelah dicampak ke dunia, manusia leka dan lalai sehingga tidak tahu jalan sebenar untuk kembali ke syurga. Itulah kebanyakan sikap yang ada pada kita.”
Dalam bab lain, Allah menggambarkan keldai sebagai perbandingan orang-orang yang lari dari kebenaran. Apabila diajak kepada kebenaran, mereka melarikan diri seperti keldai liar takut akan singa. “Dan kami dahulu selalu mengambil bahagian memperkatakan perkara yang salah, bersama-sama orang-orang yang memperkatakannya; Dan kami sentiasa mendustakan hari pembalasan, Sehinggalah kami didatangi oleh perkara yang tetap diyakini. Maka tidak akan berguna kepada mereka sebarang syafaat pertolongan (kalaulah ditakdirkan ada) sesiapa yang boleh memberikan syafaat itu. (Kalau demikianlah halnya orang-orang yang bersalah), maka mengapa mereka berpaling lari dari peringatan (Al-Quran)? Seolah-olah mereka sekawan keldai liar yang lari. Melarikan diri (ketakutan) dari singa!” (al-Muddaththir: 45-51)
Melarikan diri dalam konteks semasa ialah tidak memberi dokongan dan sokongan moral kepada pihak-pihak yang ingin menegakkan kebenaran. Sebagai contoh menghalang program agama. Menghalang usaha-usaha amar makruf nahi mungkar.
Kulaih Maghrib, Ust. Kahirudin Aman Razali at-Takiri, Masjid Hasanah, Syeksen 9, Bandar Baru Bangi, 6 Dis 2011.
2 ulasan:
Masjid An Nur...naim pernah pergi?
di bandar baru bangi juga, lupa dah saya seksyen berapa..
Fida, Kurang pasti sama ada ada atau tidak. Kalau nama surau an-Nur adalah.
Catat Ulasan