Setelah pulang dari Gemas pada 3 Januari lalu, kepingan penutup (untuk akses tangki minyak) kereta tidak berfungsi seperti biasa. Apabila tuas ditarik, semacam tidak ada daya daripada cangkuk V untuk menolak penutup keluar. Justeru terpaksalah saya meminta bantuan Jurupam menarik tuas kemudian saya menolak hujung kepingan penutup untuk membukanya.
Saya merujuk kedai aksesori kereta. Setelah menyemak inventori juruteknik bertugas memaklumkan cangkuk V tersebut berharga RM15 termasuk bayaran pemasangan. Saya lihat juruteknik tersebut berusaha mencabut cangkuk V. Pun begitu kelihatan amat sukar. Dalam pada itu, saya dapati kedudukan (projection) kepingan segi empat penutup beralih beberapa darjah (sekitar 10 darjah) ke atas. “Encik, bagaimana kalau dibetulkan projectionnya? Saya fikir cangkuk V tidak berfungsi kerana kedudukannya.” Juruteknik tersebut menerima cadangan saya. Dia menyerpih penutup tersebut ke bawah sedikit sehingga kembali kepada kedudukan asal. “Ya. Jika begini, tidak perlu kita ganti cangkuk V ini. Saya bayar servis encik sahaja.” Demikian pada asalnya memang saya menyangka kerosakan cangkuk V tanpa membuat penelitian lanjut. “Kamu bayarlah berapa pun. Sukarela.” Saya pun berikan sekeping not hijau kepada beliau untuk kerja-kerjanya selama 10 minit.
Kadang-kadang kita membuat andaian kerana persepsi yang salah. Kita nampak seperti kita melakukan suatu perkara yang betul. Tetapi hakikat adalah sebaliknya. Apakah tindakan kita berasas ilmu atau dorongan nafsu? Atau apakah tindakan kita disebabkan kita mahu meraih simpati massa sekaligus membentuk persepsi massa kitalah yang perjuangkan suatu yang betul? Sebagai contoh, pihak yang membantah keputusan Istibdal Madarasah Salihiah. Pernahkah mereka berhadapan secara langsung dengan pihak Mufti Kedah? Tidakkah mereka sejarah silam ketika sebuah masjid di Langgar juga diroboh dan dibina semula di tapak lain dengan kaedah Istibdal? Tapak asal masjid Langgar, Kedah itu dibina Kompleks Al-Bukhari. Di dalamnya terdapat gedung beli belah Giants. Mengapa pihak yang membantah terus menggunakan media massa untuk membantah keputusan fatwa? Mufti Kedah yang saya kenal masih mempunyai sikap yang sama. Beliau pernah bertanya, “Kenapa pihak yang menentang fatwa Istibdal Madrasah Salihiah tidak merujuk kami untuk berbincang?” Walhal apabila YDPA mendengar penerangan Mufti, baginda dengan tegas berkata, “Jika itu keputusan Muzakarah Mufi, pertahankan.”
Apakah sikap Dato’ Mufti yang saya maksudkan? Suatu hari ketika beliau masih menjadi Pengetua (Mudir) INSANIAH (sekarang sudah dinaik taraf menjadi kolej universiti), beliau dijemput menyampaikan ceramah di Pusat Islam USM. Kebetulan malam itu saya mengimami solat fardhu Isyak. Selesai solat dia datang kepada saya bertanya satu kemusykilan tentang saya. “Enta belajar sekolah tahfiz?” Saya jawab, “Tidak. Sekolah biasa-biasa sahaja.” Beliau tidak merujuk orang lain untuk mengetahui darihal saya. Tidakkah ini suatu sikap yang betul? Apabila suatu perkara berkaitan agama kita perlu merujuk kepada ahli agama. Kita tidak perlu meraih sokongan publik melalui akhbar. Tentu keadaan akan menjadi lebih buruk. Selepas YDPA bertitah, “Pertahankan.” Maka siapa lagi yang berani melakukan hal yang bertentangan dengan titah tersebut?
1 ulasan:
Duk asyik buat spekulasi je kan Naim. Tak bertanya... ni la silapnya.
Catat Ulasan