Isnin, Januari 16, 2012

Senaman paling ekonomik tanpa peralatan gim

Encik Ahmad seorang pekerja di pejabat. Senario kerja zaman sekarang ialah serba serbi tidak berpeluh. Sejak mula memakai baju Encik Ahmad mengguna deodorant anti-peluh. Masuk kereta dia mengguna pendingin hawa. Pejabat Encik Ahmad di tingkat enam. Dia mengguna lif. Masuk pejabat, pejabat berpendingin hawa. Waktu makan tengah hari, Encik Ahmad minum minuman sejuk. Masuk sebelah petang duduk menghadap dokumen-dokumen di meja. Boleh kata dalam sehari tidak lebih dari dua ratus langkah kakinya. Sedar tidak sedar, selepas setahun bekerja perut Encik Ahmad mula boroi.


Encik Ahmad seorang yang sentiasa sibuk. Dia tidak punya banyak waktu untuk beriadah. Dalam jadual kehidupan senaman adalah perkara terakhir. Setiap kali dia berazam untuk bersenam, ada sahaja peluang kehidupan lain yang mendesak. Suatu hari Encik Ahmad bertemu sahabat lamanya Encik Baha. Encik Baha lebih kurang sama latar belakangnya dengan Encik Ahmad. Latar kerjaya dan tahap kesibukan hamper serupa. Encik Baha memiliki fizikal yang mantap. Perutnya tidak boroi. “Baha, bagaimana engkau dapat maintain?” Tanya Encik Ahmad sambil mengusap perut seperti ibu mengandung tiga bulan.


“Aku buat senaman High Impact Afterburn. Buat senaman dalam rumah saja. Tiada peralatan gim pun. ” Jawab Baha selamba.


“Habis kalau tiada perkakas gim, engkau guna apa?” Ahmad kehairanan.
“Aku guna peranti masa (timer) dan kain pelikat.” Baha dapat melihat Ahmad seperti hendak gelak.


“Apa engkau fikir aku berlawak?”


Encik Ahmad pun mendengar lanjut cerita Baha. Menurut Baha senaman HIAB terdiri daripada gabungan enam pergerakan mudah. Setiap gerakan mengambil masa tiga puluh saat. Gerakan pertama ialah lompat dan lonjak. “Lompat dan lonjak dalam bahasa Inggeris ialah jump-up. Kita lompat sambil tangan dikuak ke atas hala belakang macam budak-budak baru grad melompat.”


“Kedua kita buat push-up. Tapi tidak statik. Lepas tegakkan tangan (Up), kita anjak kaki ke kanan. Kemudian tekan lagi ke bawah. Bila tolak badan ke atas, kalih pula ke kiri. Dalam 30 saat kita boleh buat sekitar sepuluh hingga 12 kali push-Up.”
“Ketiga kita bangun dan pasang kekuda. Ambil kain pelikat dan tarik kuat biar kain selari dengan dada. Gerakkan kain ke pinggang dan tolak ke kedudukan asal beberapa kali. Ingat! Kain mesti ditarik tegang.”


“Keempat kita buat gerakan seperti pacat. Mula-mula kita sedia dalam keadaan tenang seperti Push-Up. Sorong kaki sehingga rapat ke tangan. Buat dengan selaju mungkin.”


“Kelima kita berdiri dan pegang kain seperti keadaan ketiga. Tapi kali ini kita tolak ke dari paras dada ke atas. Ulang gerakan atas bawah beberapa kali yang boleh dalam masa 30 saat.”


“Dan keenam kita buat sit-Up.”


“Habis sit-Up, rehat 45 saat dan ulang semula enam pergerakan ini dua kali lagi.”
Ahmad hanya melihat rakaman video Baha melakukan senaman HIAB dalam telefon bimbit HTC. “Engkau agak berapa gerakan nadi aku selepas selesai senaman ni?” Baha bertanya.
“Kalau macam ini, aku fikir seperti orang habis bermain satu set perlawanan badminton atau seperti pelari pecut.” Jawab Ahmad.


Baha mengabsah tekaan Ahmad, “Sepanjang yang aku buat, nadi aku 162 kali seminit.”

3 ulasan:

aku mozu berkata...

mantop sokmo post demo...

MARSLI N.O berkata...

Salam Sdr Hanafi: Tewrima kasih untuk tulisan yang bermanfaat ini. Izinkan saya sama berkongsi. Wassalam.

MARSLI N.O

Naim berkata...

Wasalam, MARSLI N.O

Boleh. Silakan. -:)