Khamis, Oktober 21, 2010

Dilarang membaca dalam masjid

Sabtu lepas, dalam perjalanan pulang dari Low Yatt kami singgah di Masjid XXXX, KL(nama perlu dirahsiakan). Menunaikan solat Asar. Papan tanda di luar masjid ini sangat menarik perhatian saya. ‘DILARANG BERBARING, TIDUR DAN MEMBACA DI DALAM MASJID’.


Larangan di masjid ini saya kira yang terbanyak setakat ini. Jika masjid lain, mungkin akan hanya ada larangan menggunakan ponsel dan tidur di dalam masjid. Tetapi di sini, terdapat satu tambahan iaitu membaca. Wajarkah pihak masjid memandomkan keintelektualan umat Islam dengan melarang aktiviti membaca? Apakah jika saya membaca di dalam masjid akan mengganggu orang lain bersolat? Lainlah halnya jika seseorang membaca al-Quran dengan suara nyaring di dalam masjid sehingga mengganggu orang lain bersolat. Ya, dalam tafsir ayat al-Quran yang bermaksud, “Siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menghalang (orang lain) mengingati Allah….” – salah satunya disebut bahawa waima membaca al-Quran dengan nyaring pun sudah dikira menzalimi orang daripada mengingati Allah (solat). Tetapi dalam konteks membaca buku, tidaklah menjadi budaya di Malaysia membaca kuat-kuat. Setiap orang biasanya membaca dengan senyap. Dan tentulah di masjid, tiada pun seorang ibu yang akan membaca cerita untuk didengar oleh anaknya. Yang ada, orang biasa membaca buku agama atau mengulang kaji pelajaran (membaca nota atau buku teks) di dalam masjid. Tidak pernah pun diadakan sesi menelaah secara berkumpulan yang memungkinkan akan mengganggu jemaah bersolat.


Justeru larangan membaca di masjid adalah tidak wajar. Saya bersetuju kalau larangan membaca di dalam masjid melibatkan bahan lucah atau hiburan semata-mata. Tetapi menghalang semua jenis bacaan lain yang bermanfaat adalah suatu yang tidak tepat.

3 ulasan:

awahi08 berkata...

Salam Hanafi,

Aku share ye link & pendapat mu ni kt fb

Naim berkata...

wahid, Dialu-alukan. Terima kasih. -:)

Nur Fatiha Fadila berkata...

Assalammualaikum, Saudara.

Hela nafas panjang saya membaca artikel ini. Itu dalam konteks masjid. Saya pula, sering juga dimarahi oleh seorang yang berilmu, dah ada master pun apabila duduk membaca atau menaip di dalam surau ... Seolah-olah, surau itu hanya boleh digunakan untuk bersolat sahaja ...