Sabtu, Julai 17, 2010

Petrol kami RM2.60 sen

Pak Ya sudah pening. Dia dikatakan tangkai jering. Dituduh lintah darat. Dicop macam-macam. Setiap hujung minggu Pak Ya ke stesen petrol di pekan. Jaraknya kira-kira 18 kilometer. Orang kampung Pak Ya kerjanya mengusahakan ladang kelapa sawit, menoreh getah dan pekerja kilang. Yang berladang mahupun yang bekerja di kilang mengguna motorsikal. Tetapi motorsikal mereka tidak lulus untuk merayap di jalan raya persekutuan. Maklum sahaja, motorsikal pun bukan macam motorsikal lagi. Jika dibawa ke Pusat Pemeriksaan PUSPAKOM sah tidak lulus. Maka tidak ada keperluan bagi mereka memperbaharu cukai jalan atau membayar insurans. Motorsikal ini cukup lasak dan tidaklah lembik seperti motorsikal yang meluncur di atas jalan raya yang licin.


Jika hati Pak Ya dulu bercahaya, kini sudah sebam gara-gara perasaan tidak puas hati pelanggan-pelanggannya. Pak Majid pernah membentaknya, “Apalah engkau ni, suka-suka hati saja naikkan harga. RM2.60 ni dah tinggi.”


Demikian halnya dengan harga petrol di kawasan pedalaman. Tika harga pasaran RM1.80, rata-rata peruncit menjual dengan harga RM2.40 seliter. Masakan tidak. Kalau setiap kali diborong dua gelen petrol, apabila dipindah ke dalam botol pasti ada sebahagian yang hilang. Hilang dalam bentuk wap. Semua orang tahu.


Maka dijawabnya kepada Pak Majid dan mereka yang sewaktu dengannya, “Kalau begitu pergilah ke pekan. Beli di stesen petrol.”


“Hahaha! Engkau nak suruh aku disaman poliskah?” Pak Majid mengilai.

Pa Ya mengilas cemuhan Pak Majid, “Hairan aku. Takkan engkau tidak dengar berita dalam tivi? Semua orang sudah maklum harga petrol naik lagi.”


“Ah! Berita sekarang kalau hendak dengar naik meluat aku. Mereka bergaduh berpolitik kita ini tetap susah macam ini.” Bidas Pak Majid.


“Berita tivi tak dengar. Surat khabar tak beli. Padanlah engkau macam katak bawah tempurung. Apa guna ada tivi?” Marah Pak Ya.


“Hiburan.” Balas Pak Majid.

Berita tidak upaya menjadi unsur hiburan. Berita tidak lebih dari sekadar propaganda murahan. Tidak sudah-sudah menembak pihak lawan.


“Jika diambil peduli bukanlah dapat menambahbaikkan kehidupan kita.” Bebel Pak Majid betele-tele.

4 ulasan:

Afida Anuar berkata...

kisah rakyat didahulukan...
terima kasih...
kera..jaan.

Naim berkata...

penjimatan ini perlu.
sudah lama kerajaan tidak berjimat cermat..

hahahaha...

MARSLI N.O berkata...

saya suka membaca yang begini

Naim berkata...

tuan Marsli N.O, -:)