Jumaat, Julai 30, 2010

Lain padang lain belalang

Ini berkaitan satu kod membina portal apabila dibuka mengguna tiga jenis perayau; Internet Explorer, Mozilla Firefox dan Google Chrome.

Pada peringkat ini, mana-mana yang cacat perlu dibaiki. Istilahnya BUG Fixing.

Demikian adanya portal ini setakat ini.

Mozilla



Chrome



Internet Explorer


-----------


Dan ini baharu satu peratus (0.01%) daripada keseluruhan pembangunan portal ini.

Khamis, Julai 29, 2010

Hidup mesti gembira

Betapapun kita dihadapi ujian, DIA tetap tahu bahawa ujian itu termampu ditanggung.

DIA tidak sekali-kali zalim kepada hamba-NYA, tidak seperti manusia bisa sahaja berlaku zalim kepada manusia lain.

Gaji dua bulan

Gaji bulan Jun dan Julai dibayar pada seawalnya 3 Ogos 2010. Alangkah nikmatnya hidup seperti ini. Ini makluman terbaru bos kerana EPU baru meluluskan bayaran kepada syarikat pada 27 Julai 2010.

Lama tak berkarya

Rabu, Julai 28, 2010

Selamat Maju Jaya buat ex Alma materku



Bilakah perubahan jadi realiti?

STAR 9 Mei 2010 memuatkan satu artikel orang kuat akhbar berkenaan tentang Melayu. Menurut penulis itu, jumlah orang Cina di Malaysia semakin berkurangan. Sebagai contoh, di Pulau Pinang Melayu meningkat kepada 42 peratus manakala Cina menurun kepada 40.9 peratus (daripada 43 peratus pada tahun 2005). Penduduk Pulau Pinang seramai 1.6 juta. Jika Melayu bijak berpolitik, aka nada KM Melayu di Pulau Pinang. Dalam tulisan yang sama, diramalkan bahawa Melayu di Malaysia akan meningkat kepada 72.1 peratus manakala bangsa Cina hanya tinggal 18.6 peratus pada tahun 2035. Kita tinggalkan analisa berbau perkauman di sini. Biarlah masa yang menentukan betul atau salah ramalan ini.


Hari ini, dalam politik realiti kita dimomokkan dengan kehilangan kuasa Melayu sekiranya tidak lagi berpegang teguh mendokong perjuangan parti teras Melayu. Media mula memainkan isu betapa Melayu akan hilang di Malaysia jika pemerintahan diberi kepada kelompok lain seperti PAS dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat (PR). Isu perpaduan menjadi duri dalam daging PAS sehingga memperlihat kekalutan di segenap penjuru. Orang-orang yang tidak faham permainan politik akan mabuk dan keliru dengan isu ini. Akhirnya mereka dengan mudah menyimpan persepsi negatif kepada PAS (dan PR) dalam memperjuang agenda mereka.


Perlu diketahui, bahawa dalam medium bermaklumat pihak kerajaan masih menguasai massa di pedalaman kerana media satelit (tivi) dikuasai mereka. Orang-orang pedalaman tidak memperoleh maklumat yang seimbang tentang parti lain selain BN. Malahan orang-orang di pedalaman tidak gemar membeli akhbar lebih-lebih lagi dalam keadaan harga barang yang semakin meningkat. Saya berani mengatakan tidak lebih dari lima peratus orang-orang di pedalaman membeli akhbar. Inilah realiti yang harus disedari. Bermakna sesuatu perlu digerakkan untuk menyampaikan maklumat berkaitan perjuangan mana-mana parti dengan mengadakan sesi penerangan. Dan inilah yang menjadi masalah utama kepada parti politik dalam PR.

Rupa perayau baru; IT Thoyyibah

Selasa, Julai 27, 2010

Ekspresi diri lewat sore ini.

Internet Thoyyibah, Jom pakat-pakat guna



Dapatkan langganan Internet Thoyyibah di sini.


KOTA BHARU, 26 Julai: Menyedari golongan remaja bebas menggunakan laman pornografi, kerajaan Kelantan telah mendahului negeri-negeri lain termasuk kerajaan Pusat dalam menapis bahan berkenaan di internet.


Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi Negeri, Dr Mohamed Fadzli Hassan, memberitahu kerajaan Kelantan telah mengadakan kerjasama dengan Jaring bagi mewujudkan ‘internet thoyyibah’.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kerajaan Pusat akan mewujudkan perisai baru bagi menapis laman pornografi di internet.


Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan akan menjadikan pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamed bagi menapis bahan pornografi di internet sebagai perisai baru.


Mengulas kenyataan menterinya, Datuk Seri Dr Rais Yatim, Fadzli seterusnya berkata, menyedari laman tidak sihat itu akan mempengaruhi masyarakat khususnya remaja, kerajaan negeri telah memperkenalkan ‘internet thoyyibah’ untuk tujuan itu.


“Sebanyak 20 syarikat yang terdiri anak-anak syarikat kerajaan negeri telah bekerjasama bagi menjayakan hasrat ini.


“Sehingga kini telah ada masyarakat kita yang menggunakan kaedah ini termasuk di sektor awam,” ujarnya.


Jelasnya, laman tidak sihat itu bukan sahaja haram di sisi Islam, sebaliknya akan memberi kesan yang buruk kepada masyarakat terutama berlakunya jenayah seksual.

Sabtu, Julai 24, 2010

Nailah: Sayap Utamanya ditangkap.

NAILAH, nama mirip isteri Usman bin Affan setelah kematian kedua-dua puteri Rasulullah. Nailah tidak pernah apati terhadap subjek yang diajarnya. Sebab itu kehadirannya penuh. Inilah kali pertama Nailah terpaksa meninggalkan kelas.


Usai menyampaikan kuliah, dia memanggil Uzma. Rakan terapat Nailah. Uzma ditemani Fatimah membuntutinya ke pejabat.


“Silalah duduk.” Dia mempelawa Uzma dan Fatimah.


Kedua-dua pelajar itu dengan sopan duduk di sofa.
Dia terus kepada mauduk yang ingin dibicarakan, “Kamu tahu masalah Nailah?”
Uzma dan Fatimah terperangah. Mereka berpandangan. Uzma mencuit Fatimah. Fatimah membalas semula cuilan Uzma. “Suaminya ditahan. Kononnya cuba menyeludup senjata ke Gaza.”


Dia membeliak mata.
“Benarkah tuduhan itu?”


Uzma teragak-agak menjawab, “Dia baru sahaja kembali setelah menyerah makanan dan ubatan kepada sepupunya di Gaza. Dia mengguna terowong bawah tanah.”
Dia menggetap bibir. Geram. Kesal.


“Polisi seperti inilah yang merugikan umat Islam. Sepatutnya polis di Mesir ini bertolak ansur. Lainlah kalau suami Nailah ditahan pihak Israel.” Hujahnya.


Tekanan ke atas Gaza sangat hebat. Ratusan terowong bawah tanah dimusnah pihak keselamatan. Lebih dahsyat tembok dibina sehingga menghalang terowong yang dibina. Lebih menyanyat lagi tika lubang tikus seperti tanggapan Israel diletup dengan gas beracun. Ada juga kes kematian akibat renjatan elektrik. Siapa lagi yang menahan perangkap ini? Kejam! Menurut rekod rasmi, 141 orang terbunuh sejak 2007. 116 orang daripada mereka mati dua tahun kebelakangan.


Fatimah mencelah, “Inilah akibat jika dicucuk hidung. Terlalu menjaga adikuasa. Bimbang kalau-kalau ekonomi negara disekat kuasa besar.”


Mereka sedia maklum dasar luar negara. Bersekutu dengan negara yang di belakang tabirnya pendokong Zionisme.


Tiba-tiba alunan nasyid Merah Saga menyusup masuk dalam jemala minda. Dia bertanya sendiri, ‘Bila Palestin kan aman?’ Dia tiada jawapan pasti. Sama seperti puluhan tahun rakyat Palestin menunggunya. Sebahagiannya syahid.

----------------
Nota: Sedutan (excerpt) dari novel yang sedang dalam bikinan. Mohon tidak dicuplik oleh mana-mana pihak.

Alif Lam Mim.


Ayat pertama surah al-Baqarah. Sepakat ulama mengatakan, “Hanya Allah mengetahui makna sebenar kalimah ini.”


Dalam bahasa Arab, tiada pertuturan yang menggunakan singkatan huruf-huruf atau hanya satu huruf. Terdapat beberapa pendapat lain tentang kalimah Alif Laam Miim.

  1. Huruf-huruf ini adalah sebahagian daripada perkara yang diketahui oleh Allah sahaja. Inilah pendapat Abu Bakr Ash-Shidiq, Umar al-Khattab, Usman Bin Affan, Ali bin Abi Talib dan Abdullah bin Mas’ud.
  2. Huruf-huruf ini merupakan nama surah dalam al-Quran. Menurut pendapat Zaid bin Abdul Rahman al-Aslam dengan merujuk kepada hadis Imam Bukhari. Imam Bukhari menukilkan satu hadis bahawa dalam solat fardhu Subuh hari Jumaat Nabi membaca Alif Lam Mim as-Sajadah dan ad-Dahr (al-Insaan).
  3. Huruf-huruf ini merupakan nama dari nama-nama Allah Yang Agung. Inilah pendapat Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhuma.


Sebagai mengambil jalan selamat, sepakat ulama menyerahkan kepada Allah. DIAlah yang lebih berhak mengetahui makna sebenar. Inilah yang dilakukan oleh golongan rasikh iaitu golongan yang memantapkan kefahaman dalam ilmu seperti yang disebut dalam surah aali-‘Imraan. Mafhum ayat, “…dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu agama, berkata: Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikir.” (7: aali-Imran)

--------------
Nota Kuliah Subuh, Ust. Wan Nasir, 24 Jul 2010, Masjid al-Hidayah, Sentul. Tafsir Al-Quran.

Selasa, Julai 20, 2010

Saat terakhir Umar al-Khattab

Disebut dalam Kitab agama Yahudi bahawa, “Suatu waktu akan ada seorang raja orang Islam yang akan menakluk Baitul Maqdis (Palestin) dengan menaiki keldai.”

Apabila peluasan wilayah Islam berlaku pada zaman Umar Al-Khattab, amirul mukminin ini telah ke Palestin dengan menunggang keldai. Orang Yahudi melihat perkara tersebut sebagai satu kebenaran seperti yang tercatat dalam kitab mereka.

Disebut dalam Sahih Bukhari bahawa khalifah Umar al-Khattab berdoa, “AllahummarZuqni Syahadatan fii sabiilika, waj ‘al mauti fii bilaadi rasuulika.” Yang bermaksud, “Ya Allah berikanlah kepadaku syahid dalam jalan-MU dan jadikan matiku di negeri Rasul-MU (Muhammad S.A.W).”


Doa ini dimakbul Allah apabila beliau ditikam ketika sedang menunaikan solat Subuh. Pembunuh khalifah Umar bernama Abu Lu’luah. Beliau membunuh khalifah kerana tidak berpuas hati dengan kharaj. Pada zaman pemerintahan Umar terdapat dua jenis kharaj (cukai) iaitu kharaj kepala dan tanah. Kharaj tanah oleh orang bukan Islam kembali kepada kemanfaatan orang bukan Islam juga. Abu Lu’luah berpendapat bahawa sistem tersebut tidak adil kepadanya.

Dalam konteks semasa, cukai pendapatan perlu dibayar dan manfaatnya diambil oleh semua orang sama ada Islam atau tidak. Bagi orang Islam yang menunaikan zakat, mereka dikecualikan membayar cukai pendapatan. Tetapi zakat dimanfaatkan kepada orang Islam semata-mata. Bermakna orang Islam mendapat bahagian daripada zakat dan cukai pendapatan yang turut dibayar oleh orang bukan Islam. Maka betapa dalam Islam, jika dilaksanakan kharaj (iaitu cukai tanah) yang diusahakan oleh orang Islam hasil tersebut tidak boleh dimanfaatkan oleh orang bukan Islam. Pasti perkara ini lebih adil untuk semua sama ada Islam atau bukan.

Umar meninggalkan hutang 86 ribu dirham. Itulah wang yang diguna untuk membantu urusan rakyat yang dipimpinnya. Dia tidak menggunakan wang untuk membeli harta benda. Malahan beliau dikatakan cukup berhati-hati dalam pentadbiran sehingga pernah diberitakan bimbang kalau-kalau ada seekor kambing yang tergelincir. {{Kalau pemimpin kita hari ini teliti seperti Umar al-Khattab, nescaya tidak ada jalan raya yang berlopak-lopak.}}


Umar menamakan enam sahabat yang akan menggantikan beliau. Mereka ialah;
1. Usman bin Affan.
2. Ali Bin Abi Thalib.
3. Abdul Rahman bin Auf.
4. Thalhah bin Ubaidillah.
5. Zubir bin Awwam.
6. Saad bin Abi Waqash.


Namun begitu Thalhah, Zubir dan Saad menarik diri. Maka ketiga-tiga orang yang tinggal berbincang sesama sendiri. Abdul Rahman Bin Auf telah secara sukarela menarik diri dan menjadi orang tengah untuk menilai kelayakan Usman dan Ali.

Akhirnya setelah dibuat pertimbangan yang saksama, Usman bin Affan dipilih sebagai pengganti Umar al-Khattab. Apabila Usman bin Affan dilantik, Ali bin Abi Talib menjadi orang yang pertama member bai’ah (ikrar taat setia).

----------------------
Nota kuliah Maghrib, Ust. Azhar Yahya, Masjid al-Hidayah, Sentul, 18 Julai 2010.

Sabtu, Julai 17, 2010

Petrol kami RM2.60 sen

Pak Ya sudah pening. Dia dikatakan tangkai jering. Dituduh lintah darat. Dicop macam-macam. Setiap hujung minggu Pak Ya ke stesen petrol di pekan. Jaraknya kira-kira 18 kilometer. Orang kampung Pak Ya kerjanya mengusahakan ladang kelapa sawit, menoreh getah dan pekerja kilang. Yang berladang mahupun yang bekerja di kilang mengguna motorsikal. Tetapi motorsikal mereka tidak lulus untuk merayap di jalan raya persekutuan. Maklum sahaja, motorsikal pun bukan macam motorsikal lagi. Jika dibawa ke Pusat Pemeriksaan PUSPAKOM sah tidak lulus. Maka tidak ada keperluan bagi mereka memperbaharu cukai jalan atau membayar insurans. Motorsikal ini cukup lasak dan tidaklah lembik seperti motorsikal yang meluncur di atas jalan raya yang licin.


Jika hati Pak Ya dulu bercahaya, kini sudah sebam gara-gara perasaan tidak puas hati pelanggan-pelanggannya. Pak Majid pernah membentaknya, “Apalah engkau ni, suka-suka hati saja naikkan harga. RM2.60 ni dah tinggi.”


Demikian halnya dengan harga petrol di kawasan pedalaman. Tika harga pasaran RM1.80, rata-rata peruncit menjual dengan harga RM2.40 seliter. Masakan tidak. Kalau setiap kali diborong dua gelen petrol, apabila dipindah ke dalam botol pasti ada sebahagian yang hilang. Hilang dalam bentuk wap. Semua orang tahu.


Maka dijawabnya kepada Pak Majid dan mereka yang sewaktu dengannya, “Kalau begitu pergilah ke pekan. Beli di stesen petrol.”


“Hahaha! Engkau nak suruh aku disaman poliskah?” Pak Majid mengilai.

Pa Ya mengilas cemuhan Pak Majid, “Hairan aku. Takkan engkau tidak dengar berita dalam tivi? Semua orang sudah maklum harga petrol naik lagi.”


“Ah! Berita sekarang kalau hendak dengar naik meluat aku. Mereka bergaduh berpolitik kita ini tetap susah macam ini.” Bidas Pak Majid.


“Berita tivi tak dengar. Surat khabar tak beli. Padanlah engkau macam katak bawah tempurung. Apa guna ada tivi?” Marah Pak Ya.


“Hiburan.” Balas Pak Majid.

Berita tidak upaya menjadi unsur hiburan. Berita tidak lebih dari sekadar propaganda murahan. Tidak sudah-sudah menembak pihak lawan.


“Jika diambil peduli bukanlah dapat menambahbaikkan kehidupan kita.” Bebel Pak Majid betele-tele.

Anak Harun betul....

Ada suatu ungkapan yang popular oleh orang bandar yang baru saya dengar, "Anak harun betul..."
Dan ungkapan ini dinyatakan ketika-ketika dia bengang dengan sesuatu perkara. saya pun tidak pasti sejarah atau falsafah di sebalik frasa basahan seperti ini.

Selamat membaca. Ini versi 'anak Harun betul...' daripadaku sempena pesta 5 yang baru melanda kita semua.

Selasa, Julai 13, 2010

Bahlut: Membela keadilan dari trek.



Judul: Bahlut
Penulis: Faisal Tehrani
Penerbit: Al-Ameen Serve Holdings Sdn Bhd
Tahun: Mac 2010.
ISBN: 9789673620029
Harga: RM23.00 (Semenanjung)/RM25.00 (Sabah/Sarawak)
Halaman:398 muka surat
Pengulas: Naimisa Yusof.


Novel bersiri Nama Eng Bahlut dahulunya disiarkan secara bersiri dalam Majalah Tunas Cipta (TC). Apabila majalah TC dihentikan penerbitannya sementara waktu, maka tergendala juga siaran novel ini. Setelah beberapa lama, akhirnya lahir Bahlut.

Bahlut memuatkan kisah perjuangan orang Asli menegakkan keadilan. Sejak awal lagi, Bahlut kehilangan ayahnya secara misteri. Ayahnya Tiji atau nama Islamnya Umar berkonflik dengan Batin Endau tentang pencerobohan tanah adat orang Asli. Sejak itu Umar hilang selepas keluar ke pekan memasarkan hasil hutan. Tidak lama kemudian, ibu Bahlut Embun dikatakan hilang diterkam harimau.

Cikgu Zaiful yang kasihan dengan nasib Bahlut mencadangkan Bahlut bersekolah di Sekolah Sukan Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Itu pun setelah melihat potensi Bahlut dalam acara pecut. Kebetulan abangnya Ustaz Zaidi yang berisiterikan orang Asli sedia membantu. Ustaz Zaidi yang dipanggil Pak Idi oleh Bahlut menjadi anak angkat. Ketika itu Bahlut masih belum Islam. Betapa Ustaz Zaidi mempunyai pertalian rapat dengan orang Asli dan memahami kesusahan yang menimpa mereka.

Cikgu Zaiful, Cikgu Zalman dan Kabut menjalankan siasatan sendiri. Mereka dapati Embun ditangkap pembalak haram. Mereka menaiki jip yang dipinjam daripada Guru Besar, Cikgu Farid. Malangnya mereka ditimpa kemalangan. Jip yang dipandu terbabas ke dalam gaung dan Cikgu Zalman mati. Pada waktu yang sama, Embun bersama Kartika berjaya meloloskan diri. Kartika menjadi mangsa sindiket pekerja asing yang dipaksa menjadi pelacur di kem pembalak haram. Mereka berdualah yang memaklumkan orang kampung tentang kemalangan yang menimpa Cikgu Zaiful, Cikgu Zalman dan Kabut.

Bahlut terus mencipta nama di persada dunia. Ketika kehilangan Cikgu Zalman, semangat hidupnya luntur. Tetapi dia mendapat sokongan padu orang sekelilingnya. Dia dihujahkan sikap Mohd Ali yang melempar pingat emas ke dalam sungai kerana protes dasar Apartheid. Ibunya yang menyusup keluar ke Kuala Lumpur mendapat pertolongan Sumayyah, saudara Kartika. Mereka diterima bekerja di Gimnasium California. Embun yang buta huruf hanya sempat menyimpan keratin akhbar memuatkan gambar Bahlut meraih pingat emas. Kebetulan pula Bahlut ditawarkan menjadi duta produk oleh pemilik Gimnasium California. Akhirnya mereka (Bahlut dan Embun) bersatu semula.

Kabut. Wanita Asli yang lari dari cengkaman Tiat, tunangnya yang menjadi tali barut pembalak haram. Setelah keluar dari hospital Cheras, dia memohon untuk terus tinggal di Kuala Lumpur. Dia tinggal bersama kawannya Donna (Siti Hajar) dan bekerja di kedai makanan segera. Suatu hari hampir-hampir dia ditangkap Tiat dan rakan-rakannya. Diringkaskan cerita, Kabut berkahwin dengan Ustaz Zaidi. Enam bulan kemudian, Bahlut menang pingat emas sukan SEA. Mereka mengguna kesempatan ini mengadakan sidang media. Bahlut mengumumkan untuk memulang semula pingat yang dimenangi. Waktu inilah yang dimanfaatkan Bahlut untuk memaklum kepada dunia nasib dan kesengsaraan orang Asli di kampungnya.

Akhirnya pihak kementerian termasuk PM sendiri memberi perhatian kepada isu pembalakan haram itu. Selesai. Cerita sisi tentang Umar diakhiri dengan pemergiannya ke Korea mengikuti isterinya Aisyah.

Dan seperti biasa Faisal Tehrani menyulam karya beliau dengan sisi ilmu yang mantap. Novel ini memuatkan dunia atlet khususnya lumba lari. Selain itu, diadunkan juga bahasa percakapan orang Asli suku Semai. Tentulah ini menjadi pengalaman baharu kepada pembaca menyelami budaya orang Asli. Dan seperti biasa gagasan dakwah dimuatkan sebagai mengetengahkan kesyumulan Islam. “Meskipun hek bukan Islam tetapi Pak Idi tetap mengambil hek sebagai anak. Kerana dalam dada eng, Islam datang membela orang yang tertindas dan mengalahkan yang menindas.” (halaman 232). Bahlut dan Embun akhirnya memeluk Islam.

Jumaat, Julai 09, 2010

Sahabat-sahabat yang terawal masuk Islam


Khadijah menjadi wanita dan manusia pertama yang beriman dengan kerasulan Nabi Muhammad. Adapun Waraqah bin Naufal yang dirujuk Khadijah selepas peristiwa penurunan wahyu pertama tidak sempat beriman dengan syariat Islam yang dibawa oleh baginda. Pun begitu Waraqah berkata kepada nabi ketika sama-sama tawaf di Kaabah, “Demi Allah, jika aku sempat melalui zaman bahawa engkau akan diusir oleh kaummu sendiri; maka aku akan tetap bersama-samamu (menyokong perjuangan).”

Waraqah bin Naufal seorang pendita yang taat dengan ajaran Nabi Isa. Beliau beriman dengan semua rasul dan nabi. Dia tidak dicatat dalam sejarah Islam (seerah Nabawi) sebagai orang yang terawal Islam kerana beberapa hari selepas tawaf, dia meninggal dunia.

Suatu hari Ali bin Abu Talib Karramallahu wajhah ke rumah nabi. Usianya 10 tahun. Ketika itu dia diambil sebagai anak angkat sebagai usaha baginda meringankan tanggungan Abu Talib. Apabila melihat nabi dan Khadijah bersolat dia bertanya, “Apakah yang kalian berdua lakukan?” Nabi menjawab, “Inilah agama baru yang dibawaku. Aku Utusan Allah dan aku menyerumu kepada Islam.”

Pun begitu Ali mahu kembali ke rumahnya dengan berkata, “Aku perlu meminta pendapat ayahku dahulu.”
Baginda menjawab, “Usah engkau hebohkan rahsia ini. Jika engkau mahu beriman, nyatakan segera.”


Ali meminta waktu untuk berfikir. Malam itu dia tidak kembali ke rumahnya seperti yang diharap oleh nabi. Pada keesokan harinya dia menyatakan kesaksian kepada Allah dan Rasul-NYA.

Apabila orang-orang Arab Quraisy mula membawa mulut darihal agama baharu yang dibawa, Abu Bakr terus mencari nabi. Setelah bertemu nabi dia bertanya, “Benarkah berita yang aku dengar engkau meninggalkan agama nenek moyang kita?”
Nabi menjawab, “Benar. Aku Pesuruh Allah dan aku menyerumu kepada Islam.”
Tanpa banyak soal Abu Bakr menyatakan kesaksiannya. Islam sudah Abu Bakr sebagai orang lelaki dewasa pertama.


Abu Bakr menemui sahabat-sahabat yang berurus niaga dengannya. Dia berjaya meyakinkan Abdul Rahman bin Rauf, Usman bin ‘Affan, Saad bin Abi Waqash.


Ketika Talhah bin Ubaidillah berniaga ke Bushra, dia bertemu dengan seorang paderi Nasrani. Rahib yang alim dan taat dengan ajaran nabi Isa ini bertanya, “Adakah sesiapa yang datang dari Makkah?”


Lalu Talhah menjawab, “Aku. Aku datang untuk memperdagang baranganku.”
Tetapi Rahib itu tidak bermaksud berurus niaga dengannya, “Apakah sudah muncul Ahmad di kalangan kamu?”
Talhah bertanya, “Siapa Ahmad?”


Paderi itu membalas, “Dia anak Abdullah bin Abdul Mutalib. Dia dilantik sebagai nabi akhir zaman. Jika engkau dapati kemunculannya, usah berlengah untuk beriman dengan kerasulannya.”

Sekembali dari Bushra, Talhah menceritakan peristiwa itu kepada Abu Bakr. Lalu dia pun beriman.

Abu Bakr menjadi orang beriman tanpa ragu-ragu kerana dia seorang yang gemar belajar. Dalam misi dagangnya, beliau sentiasa berhubung dengan Paderi dan Rahib Nasrani yang warak. Dia telah mengetahui lebih dahulu tentang kehadiran nabi akhir zaman.

Pada awal tempoh keislaman, Abu Bakr dan Talhah ditangkap oleh abang Talhah dan dikurung. Tetapi mereka berdua berjaya meloloskan diri. Selain daripada itu, Zaid (hamba Khadijah) turut menjadi orang terawal memeluk Islam. Zaid kemudiannya dimerdekakan oleh nabi Muhammad. Begitu juga halnya Abu Dzar al-Ghiffari.


Sahabat-sahabat ini dijamin nabi sebagai penghuni syurga.


-------

Nota: Kuliah Maghrib, Ust. Hanafi Abd. Rahman, Masjid al-Hidayah Sentul, KL. 09 Julai 2010.

Khamis, Julai 08, 2010

Hati-hati JUDI BOLA masuk ke telefon bimbit

Semalam seorang kawan saya memaklumkan, “Aku terima SMS, minta aku pilih pasukan yang akan menang. Kalau betul pilihan tu, akan dapat masa berbual percuma sepuluh minit. Kalau jawab, akan ditolak kredit seringgit.”
Saya jawab, “Jangan jawab. Itu sudah dikira judi.”

Betapa itulah antara perkara yang sedar atau tidak melanda kita secara tidak dikehendaki. Betapa hal ini jika tidak difahami boleh menyebabkan seseorang terjebak dengan judi. Konsep judi ialah anda meletakkan sesuatu dengan harapan mendapat sesuatu keuntungan. Pelaburan RM1 setiap orang adalah pertaruhan. Samalah dengan orang yang bermain dam di kedai kopi, yang bermain itu bersetuju mana-mana yang kalah perlu belanja secawan kopi. Begitu juga dengan orang yang bermain golf, seringgit selubang. Maka selepas habis bermain, orang-orang yang tidak dapat memukul bola golf ke dalam lubang atau bilangannya kurang daripada rakan yang lain, perlu membayar wang.

Tetapi jika hadiah itu ditaja oleh orang lain, ia tidak dikira judi. Contohnya, saya teman kawan bermain golf – sebagai pemerhati. Saya berkata kepada tiga orang kawan saya yang bermain, “Siapa menang saya belanja makan malam.” Maka hadiah itu tidak termasuk dalam judi. Tiga orang yang bermain tidak mencagar apa-apa sebagai taruhan. Maka menang atau kalah, mereka tidak rugi atau untung.

Berbalik kepada sms yang di atas, tawaran itu menjadi judi kerana setiap orang yang meneka (sebenarnya bertaruh), menyerahkan kredit RM1 kepada pemilik server.

Ahad, Julai 04, 2010

Maaf, ini bukan api kebangsaan

Apabila saya menulis satu entri tentang ulasan seorang ustaz muda, saya hujahkan satu ayat. Ketika menulisnya, saya hanya ingat ayat itu tetapi tidak pasti pula kedudukannya yang tepat dalam al-Quran. Baharu saat menunggu iqamat Maghrib tadi saya berpeluang mencari ayat tersebut dengan tenang. Betapa rahsia ilham dari-NYA adalah suatu yang cukup misteri. Sebelum membelek al-Quran, saya niatkan (sambil berharap) semoga saya jumpa ayat tersebut. Subhanallah, DIA memudahkan saya mencarinya. Dua kali belek, saya ditemukan ayat tersebut. Demikianlah proses kita berfikir, kadang-kadang kala kita tidak fokus atau mungkin ripuh memikirkan perkara lain, Allah tarik sekejap ingatan kita.

Dan saya ulang semula ciri utama pemimpin dan tugasnya disebut dalam surah al-Hajj ayat 41. Artikel yang saya coret itu mungkin ada sedikit keterbalikan, tetapi itulah sesi yang terpaksa saya ikuti ketika mengikuti kursus Bina Negara. Memang yang dijemput berceramah pun ustaz lulusan al-Azhar tetapi itulah modal yang digunakannya menurut piawaian Biro Tatanegara. Semacam saya ingin lontarkan juga pandangan seperti yang dicoretkan tetapi tidak sempat kerana ruang waktu yang terbatas. Terus terang saya katakan, bahawa apabila datang ke kursus seperti ini tidak boleh tidak kenalah menapis betul salahnya kata-kata penceramah. Ia umpama proses neutralisasi (brainwashing) kepada peserta agar terus menyokong pihak-pihak tertentu. Ada perasaan geram, meluat, pedih telinga malahan sesekali api kebangsaan membara.

Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan. (al-Hajj: 41)

Jika ada pemimpin maka tentulah ada yang mengangkat mereka sebagai pemimpin. Dalam koteks demokrasi, setiap warga yang berumur 21 tahun dan ke atas sepatutnya menggunakan peluang dengan penuh kesedaran sivik; ‘Bahawa setiap diri mempunyai HAK melantik pemimpin parti-parti politik yang mengambil bahagian dalam pilihan raya melalui UNDI.’ Sejarah telah menunjukkan bagaimana gara-gara tidak memanfaatkan sistem undian ini, seorang pemimpin wanita menjadi ketua. Tetapi kemudian mereka terkejut, dalam keadaan tiada apa yang boleh diubah. Itulah yang pernah terjadi di Pakistan. Malaysia selaku negara bekas jajahan yang dikatakan asalnya milik peribumi Melayu dan orang asal dan etnik-etnik Bumiputera di Sabah dan Sarawak; dikejutkan pula dengan angka daftar pemilih yang menyedihkan. Satu kajian yang dilihat sebagai marak dengan kebangsaan Melayu menonjolkan nisbah 1:40, yang pada teorinya jika benar pula pada praktiknya memungkinkan Perdana Menteri Malaysia yang ketujuh nanti pastilah orang bukan Melayu.

Maka mari kita lihat angka-angka lain yang telah ditimbulkan terlebih dahulu. “Kira-kira 28 peratus atau 4.39 juta penduduk negara ini yang berusia lebih 21 tahun dan layak bergelar pengundi masih belum mendaftar sebagai pemilih sehingga akhir tahun lalu, dengan 65 peratus daripada mereka adalah bumiputera” (Laporan 18 Jan 2010).
Kemudian bandingkan pula dengan laporan ini, "Pengumuman rasmi yang dibuat Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abd Aziz Mohd Yusof berkaitan peratusan pemilih baru 2 Melayu dan 1 bukan Melayu...." (laporan berita 4 Julai 2010)

“Dan soalnya, apakah Malaysia negeri Melayu yang mengikut kata-kata Hang Tuah; Takkan Melayu Hilang di Dunia?”
Jawablah sendiri dengan sikap dan kepedulian anda terhadap survival bangsa Melayu di tanah air tuan-tuan sendiri. Jika anda tidak kisah soal melantik pemimpin, bermakna andalah yang memulakan bibit kelenyapan Melayu di bumi Malaya ini. Jika ditanya saya, “Buat apa dilantik pemimpin?” Jawab saya, “Agar dapat dibangunkan agama dalam pemerintahannya. Barulah sejahtera kehidupan di dunia yang sementara ini.” Fikirlah sendiri mana-mana pemimpin yang anda fikir dapat perjuangkan ad-Diin itu.

"Sudah ada fitnah buat pemimpin agama dengan keganasan di Malaysia. Pada saya kita tidak perlu membuat propaganda ini semata-mata mahu mengekalkan kuasa."

Selamat menjadi warga U.


“Kami di Alamanda,” itulah esemes yang saya terima pada jam 9.00 malam, Jumaat lepas. Waktu itu saya baharu sahaja melepasi Plaza Tol Sungai Besi.

Setelah pulang ke tempat penginapan di Blok Melati, Kolej Tun Dr. Ismail UPM, adik saya mengeluarkan buku baharu yang dibelinya.

Saya melihatkan buku-buku itu bertanya, “Beli buku yang sama?” Kemudian saya keluarkan pula dua buah buku yang memang dibeli khas untuk adik bongsu kami.
Adik saya menjawab, "Tengok judulnya. Kami beli Tawa dan Air Mata, Kasih Ana."
Aku serahkan buku Hapuskan Air Mata Ana dan Ceritaku, "Ini aku beli di Pesta Buku Selangor di Shah Alam."

"Yang satu lagi buku ayah, Palestin Tak Pernah Gentar! (Menang atau syahid)." Lapor adikku.
Empat buah buku menjadi santapan minda adik bongsu kami terbitan Blue T Publication dengan tanda niaga Ana Muslim. Manakala buku yang ayah minta dibelikan untuknya terbitan Telaga Biru mengupas isu Yahudi dan Zinonisme serta kemelut di Palestin. Ustaz Zainudin Hashim mengulas secara ringkas buku ini dalam Harakah (Bil. 1553, edisi Jumaat, 19 – 21 Rejab 1431H [2 – 4 Julai 2010], halaman F6).


Malam itu semua ada dalam rombongan mendaftar seorang ahli keluarga kami di UPM, kecuali tiga orang. Seorang adik lelaki kaki bola sanggup tidak pergi kerana tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan perlawanan Brazil menentang Sepanyol. Adik yang belajar darjah enam tidak dibenarkan turut serta kerana mengikuti kelas tambahan sebagai persediaan UPSR. Mungkin ini pusingan terakhir peperiksaan UPSR. Manakala kakak yang sudah berumahtangga memang menjadi tanggungjawabnya mengurus rumah dalam saat ketiadaan orang lain di rumah. Adik saya yang kelima, lepasan SPM mengambil jurusan Bioteknologi dalam bidang Pertanian.

Selesai urusan pendaftaran sekitar jam 12.30 tengah hari, kami bertolak ke Zoo Negara. Lapan dewasa dan dua orang kanak-kanak; RM184.00. Jam 4.15 petang mereka bertolak pulang ke Terengganu.