Selasa, Jun 29, 2010

Usah syak pada rezeki Allah

Ustaz pun membaca petikan dari kitab kuning bertulisan jawi, “Aku mengadu kepada guruku bahawa seribu kubur sudah aku gali. Aku dapati tiada satu pun yang menghadap kiblat. Maka guruku berkata itulah petanda orang yang syak pada rezeki.”


Ustaz menutup kitab itu dan mengulas lanjut, “Inilah balasan orang yang syak pada rezeki. Mayatnya nanti dipalingkan dari kiblat. Ini berlaku lebih seribu tiga ratus tahun dahulu.”
Ustaz berhenti sejenak sebelum menyambung cerita, “Mari kita lihat peristiwa yang berlaku tidak sampai sebulan di Batu Caves. Seorang budak lelaki umur 18 tahun pelajar Tahfiz. Mati dalam kemalangan.”


“Setelah dikebumikan, Imam bermimpi didatangi arwah memintanya mengubah mayat menghadap kiblat semula. Tiga malam berturut-turut Imam tersebut mendapat mimpi. Maka Imam itu bercerita kepada ayah arwah. Ayah budak itu pun mendapat mimpi yang sama. Kemudian ditanya pula orang yang memandikan mayat, mimpi yang sama juga.”


“Tetapi urusan menggali semula kubur bukanlah mudah. Ada prosedur seperti laporan polis. Diringkaskan cerita, perkara itu dimajukan kepada Pegawai Agama JAKIM. Pegawai Agama JAKIM kesal sebab sudah 15 hari berlalu.”


“Pada hari digali kubur, didapati kain kafan masih elok. Mayat masih wangi. Tiada ulat yang memakan daging mayat.”


Ustaz mengulas lagi, “Inilah petanda bahawa budak ini sepanjang hidupnya dia reda dengan rezeki Allah. Tidak pernah ragu jaminan rezeki di sisi Allah. Hari ini ramai kita lihat ibu bapa apabila mahu menghantar anak ke sekolah agama, akan mempersoal; Apa kerja nanti jika belajar agama?”


“Maka tunggulah mereka ini apabila mati nanti mayat mereka berkalih dari menghadap kiblat.”


Menurut ustaz lagi, mimpi berkaitan orang yang telah mati tidak perlu ditakwil sewenang-wenang melainkan dirujuk kepada orang yang alim. Kata ustaz, “Ada satu kes seorang anak bermimpi melihat ayahnya keluar dari kubur. Tanpa bertanya mana-mana guru agama, dia menggali semula kubur. Maka didapatinya keadaan mayat bapanya dalam keadaan yang menyedihkan. Jika bermimpi seperti ini, itulah petanda mayat diazab di dalam kubur.”


Kesimpulan, soal rezeki janganlah kita ragu. Yakinlah bahawa rezeki suatu hal yang dijamin Allah. Kita sepanjang hidup ini dianjurkan berusaha memperoleh rezeki. Sedikit atau banyak usah dipertikai kerana itu hak Allah. “Redakah kita dengan rezeki Allah ini? Mari sama-sama kita muhasabah.”

--------------------------------------
Diceritakan oleh Ustaz Abd. Aziz Arof, pengkuliah Kitab Muniatul Musholli, 27 Jun 2010, Masjid al-Hidayah, Sentul, KL.

Jumaat, Jun 25, 2010

Kata ustaz, pemimpin kerjanya memberi makan


Buat ustaz yang saya hormati.

Semalam kata ustaz, “Yang memberikan kamu makan (agar terhindar dari kelaparan), dan yang mengamankan kamu dari ketakutan.”[1] Katamu lagi, “Inilah dia tugas pemimpin yang utama. Apabila dia mengusahakan hal ini, maka perjuangan pemimpin ini wajib disokong. Mereka pemimpin yang baik.”
Lalu dalam hati saya ada detik dan gerak 'songsang', 'Ah! Bagaimana?'

Dan minda saya menerjah pada ingatan akan ayat yang ustaz baca. Semacam saya mahu memberitahu ustaz, “Ustaz, tidakkah satu ayat sebelumnya difirmankan begini? - Maka sembahlah Tuhan rumah ini (Kaabah).” [2] Itulah pesan dari langit kepada Quraisy agar mereka tidak mensyirikkan Allah.

Adapun secetek pengetahuan saya, tugas pemimpin setelah diberi kekuasaan difirmankan-NYA dalam satu ayat lain. Seingat saya begini, “Dan mereka yang diberi kekuasaan (kuasa memerintah) di dalam bumi, mereka itu mendirikan solat dan menunaikan zakat dan menyeru kepada yang makruf dan mencegah kemungkaran...” Hak mutlak Allah jualah memberikan makan minum dan mengamankan manusia dari segala ketakutan.

Menurut ustaz, pemimpin membangunkan ekonomi dengan simbolik memberi makan dan menjaga keselamatan rakyatnya iaitu mengawal negara dengan segala macam peraturan. Apakah tidak dinyatakan dalam satu ayat yang saya bawakan itu? Bagaimana ekonomi berkembang dengan membawakan hujah saya di atas? Sejujurnya kita dapat berfikir, anjuran berzakat tentulah secara automatik menggalakkan setiap orang mengusahakan sesuatu. Dengan kata lain, setiap orang mencari rezeki dengan segigihnya. Maka jika tidak dari aktiviti ekonomi (salah satu jalannya), dari mana lagi sumber pendapatan itu datang? Kemudian limpahan rezeki itu dibersihkan dalam bentuk zakat. Tidakkah itu sudah mencakup aspek pembangunan ekonomi?


Ustaz,

Sefaham saya dan maafkan saya jika membantah pendapat ustaz. Saya berpendapat semacam ustaz mengatakan pemimpinlah yang membebaskan seseorang daripada kelaparan dan ketakutan. Walhal itu semua hak mutlak Allah. Hebatnya suruhan Allah dalam empat perkara yang diperintahkan-NYA kepada pemimpin. Keamanan dalam diri sendiri hanya wujud apabila seseorang teguh dan istiqamah dengan solat. Keamanan akan timbul dari rasa kecintaan dan kasih sayang orang-orang yang lemah, miskin, papa kedana kerana menumpang tuah orang-orang yang sihat dan kaya. Mereka mendapat perhatian sewajarnya. Bukanlah bermakna dianjurkan sesetengah orang berpeluk tubuh semata-mata. Tetapi yang 'berpeluk tubuh' itu tidakkah lemah? Mereka lemah kerana kehilangan ayah atau ibu atau kedua-duanya. Mereka tidak aman dan terpaksa meminta-minta kerana bebanan hutang yang tidak tertanggung. Mereka lemah kerana berada dalam lorong ilmu sehingga tidak mungkin membolehkan mereka memfokus sebahagian waktu meraih pendapatan. Mereka lemah kerana mungin baharu sahaja disisih dari keluarga asal kerana beriman kepada Allah. Mereka lemah kerana sememangnya mereka dimiskinkan materi sehingga tidak berupaya menyerlahkan kemewahan. Dan beberapa golongan lain tidak perlulah disebut di sini.


Ustaz,

Benarlah, apabila dibangunkan ekonomi semata-mata tanpa dibangunkan manusiawi; dalam kata lain jiwa kosong dan kontang dari penghayatan agama – berteraburlah aturan hidup manusia. Kita sedia maklum, manusia apabila sudah senang mudah menjadi lupa. Lupa pada Allah. Lupa pada syariat-NYA. Justeru mewabaklah penyakit sosial. Itulah dia maksiat kerana manusia meninggalkan solat, dan tiada pula orang yang menyuruh kebaikan dan mencegah kemungkaran. Baharu tadi, dalam khutbah Jumaat hari ini disebutkan tentang kehancuran manusia. Saya pun ingat lagi kata khatib, “Allah berfirman yang bermaksud, Dan apabila sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, Kami perintahkan (lebih dahulu) orang-orang yang melampau dengan kemewahan di antara mereka (supaya taat), lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat padanya; maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu kami menghancurkannya sehancur-hancurnya. Al-Israa, ayat 16.”


Ustaz,

Apakah jaminan pemimpin yang berjuang membangunkan ekonomi tanpa membangun sisi rohani pengikutnya dapat menjadikan mereka manusia yang taat? Tidakkah kita tahu, manusia mudah alpa dek godaan syaitan yang hebat menipu daya? Kita pun maklum kisah Qarun yang kaya. Kita pun ingat sedikit-sedikit kisah Firaun yang berkuasa. Tidakkah mereka manjadi angkuh akhirnya malah berani mengaku diri sebagai Tuhan? Dan soalan saya, “Apakah ustaz pula mahu mempertuhankan sesetengah pemimpin yang diidolakan itu?”


Ustaz,

Maafkan saya kerana persoalan ini mungkin menjadikan saya manusia biadap. Dan itulah yang saya tahu sebagai 'menjawab' hujahan ustaz yang tidak sempat saya sampaikan sesudah kuliah ustaz tempoh hari.

---------------------
Nota:
1. Ayat 4, surah Quraisy.
2. Ayat 3, surah Quraisy.

Ahad, Jun 20, 2010

Haji Mabrur

Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku! Jadikanlah negeri Mekah ini negeri yang aman dan jauhkanlah daku dan anak-anakku dari perbuatan menyembah berhala. Wahai Tuhanku, berhala-berhala itu telah menyebabkan sesat banyak di antara umat manusia. Oleh itu, sesiapa yang menurutku (dalam Islam yang menjadi peganganku) maka dia adalah dari golonganku dan sesiapa yang menderhaka kepadaku (dengan menyalahi agamaku), maka sesungguhnya engkau Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (kiranya dia insaf dan bertaubat). Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Mekah) yang tidak ada tanaman padanya, di sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ) dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur. (Ibrahim:35-37)

Demikian Allah merakam dalam al-Quran tentang doa seorang nabi. Kehidupan di Makkah adalah kehidupan yang paling asas. Tanah Haram itu manusia menuju kepada Allah. Manusia seluruh dunia mengunjungi Makkah untuk menjalankan ibadah dalam haji; termaktub dalam Rukun Islam yang kelima. Falsafah di sebalik haji boleh dilihat dalam satu hadis; sahabat bertanya kepada nabi, 'Apa itu haji mabrur?” Jawab baginda S.A.W, “Ith'aamu ath-Tho'aam wathiibu al-kalaam; (Mudah memberi orang makan dan memperelok tutur kata.)”

Natijah daripada haji mabrur menjadikan orang-orang yang menunaikan haji dapat menyelesaikan gejala sosial yang melanda negara. Bayangkan kalau setiap yang bergelar haji dan hajjah menjadi dermawan, maka tiadalah masalah orang tidak cukup makan. Tidak akan timbul masalah ibu tunggal atau wanita yang sanggup menggadai maruah untuk mencari sesuap nasi.

Manusia hanya akan mengingati Allah lebih banyak sekiranya berada dalam keadaan paling asas. Apabila dunia diselerakkan dengan pelbagai benda seperti hiburan, kerja dan seumpamanya mudahlah manusia lalai. “Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam Neraka)” (Maryam: 59)

Apakah haji tidak memberi kesan kepada jemaah haji? Sekembali mereka, anak-anak dibiarkan lalai, tidak kembali kepada asas mengukuhkan solat. Solat sebagai kefardhuan bagi setiap diri, apabila dicuaikan akan merosakkan diri sendiri. Manusia yang mengabaikan solat akhirnya mengikut nafsu sewebang-wenangnya, maka berkembang biak maksiat dalam masyarakat. Jika begitu, kita pun wajar bertanya, “Apakah haji yang ditunaikan itu mabrur?”

---------------------------------------------------------------------
Nota kuliah Maghrib, Ust. Hasnil, Haji Mabrur, 19 Jun 2010, Masjid al-Hidayah, Sentul, KL.

Sabtu, Jun 19, 2010

Fiesta Ramadhan

Allahumma baariklana Rajab wa Sya'baan wa balighnaa Ramadhaan. (Ya Allah berkatilah bagi kami Rejab dan Sya'ban. Dan sampaikanlah (temukanlah) kami dengan Ramadhan)

Masa pantas walaupun kitarannya sama 24 jam sehari. Kita hampir memasuki gerbang Ramadhan dalam beberapa minggu lagi. Sudah ada promosi perayaan yang berlegar melalui flyers, dimasukkan dalam peti surat taman perumahan. Suatu hal yang menjadi polemik pada tahun ini ialah Fiesta Ramadhan yang mahu dianjurkan oleh kementerian berkaitan. Polemik wujud kerana di sebalik fiesta itu ada ong yang diambil kira. Antara Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang menentang cadangan tersebut ialah Teras Pengupayaan Melayu (TERAS), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), sayap ABIM di kalangan mahasiswa iaitu PKPIM, Jemaah Islah Malaysia (JIM), Persatuan Penggerak Komuniti Malaysia (Komuniti Malaysia). [sekadar beberapa nama seperti dilaporkan dalam media setakat ini]

Apakah perlu Ramadhan dicemari dengan pesta seperti ini? Saya secara peribadi tidak bersetuju langsung walaupun dari sudut material ada pulangan ekonomi. Adalah tidak wajar Ramadhan dijadikan sandaran untuk menganjurkan sebuah pesta kerana tentulah akan melalaikan umat Islam dari konsep sebenar ibadah sepanjang Ramdhan yang mulia. Kita tidak perlu membayar Imam-imam luar yang tersohor semata-mata untuk menarik pelancong Arab ke Malaysia. Apakah dengan jemputan itu, ganjaran pahalanya menyamai ganjaran bertaraweh di Makkah atau Madinah?

Jumaat, Jun 18, 2010

Sajak: Lelaki bertali leher di pintu masjid



Terpacak menghadap kiblat
mengangkat takbir
tanpa menunggu bilal selesai
menghabiskan fungsinya

Tali leher bergantungan
kala rukuk seolah
itulah tarikan duniawi
atau jasadnya nanti kaku
ditarik bumi
(megahkah dia begitu?)

Apakah dia peduli
pahala seekor unta
seekor kibas
seekor ayam
atau sebiji telur

Khatib berkhutbah panjang
dia duduk mengangguk
mata pejam seperti khusyuk
dalam sengguk melawan letih
(hadamkah dia isi khutbah?)

Imam memberi salam
dia lekas membuka langkah
mengejar wang berlari seiring masa
sebelum sempat mengaminkan doa

--------------
Naimisa, Sentul.

Isnin, Jun 14, 2010

Lawanlah musuh kita sesungguhnya

Betapa pesta dunia yang sedang dihidangkan ini mengambil waktu betul-betul selepas Maghrib. Dan tentulah mereka yang mengikutinya akan tertumpu pada kaca tivi, dan tidak akan ke masjid. Dan satu perlawanan sebelah malam di dunia sebelah sana, adalah waktu hampir ke Subuh di dunia sebelah sini. Dek leka melayan hidangan dunia itu, Subuh pun menjadi terlajak. Terlajak kerana sememangnya tidur sudah agak lewat. Kita pun berpesta tanpa rasa apa-apa salahnya. Orang lain bergembira dengan dunia, kita pun mahu turut gembira. Orang lain mahu bersorak meraikan tidak sampai tiga puluh orang kejar-mengejar sebiji bola, kemudian sesekali melonjak tinggi, menjerit-jerit atau meratap hiba apabila bola masuk jaring. Kita pun rela dengan sedar melepaskan Quran yang dibaca antara Mahgrib dengan Isyak, atau rela tidak beriktikaf di masjid, atau meninggalkan kuliah Mahgrib. Puncanya apa? Sebiji bola yang didemami seluruh dunia.

Ah! Zalimnya kita. Betapa kita tewas dengan dunia dan keseronokannya. Betapa tiada lagi air mata Gazza, kebulur Muslim Palestin atau marah kita pada Israel dengan topeng Zionist yang merompak harta-harta sukarelawan kemanusiaan. Sambil bersorak, kita pun bergegar-gegar meneguk Coca-Cola seperti Israel menghirup darah saudara kita di Palestin. Sungguh rakus, tanpa rasa bersalah sedikit pun. Zalimnya kita! Kita pun tahu, kekuatan umat Islam hanya dengan tulusnya ibadah. Kekuatan kita hanya dengan yakinnya kita pada Allah. Sayangnya kita pada Nabi. Dan cintanya kita pada prinsip-prinsip murni Islam. Kita jelmakan baju Islam sebagai pakaian yang namanya taqwa. Betapa Yahudi amat gerun pada muslim jika Solat Subuh mereka seperti ramainya orang bersolat Jumaat atau sunat hari raya. Betapa gerunnya Yahudi jika pemuda Islam berpegang teguh pada ajaran agama. Betapa takutnya Yahudi pada Islam jika setiap jiwa punya kekuatan JIHAD dalam diri. Jika kita takut berjihad mengangkat senjata, jihadlah melawan nafsu yang menjadi musuh terdekat kita.

Lupakah kita, “Musuh sebenar diri berada dalam diri kita sendiri. Itulah NAFSU.”

Kisah-kisah yang perlu dimabil kisah.

Kisah orang lain.

Dia mengeluh panjang, “Macam-macam hal. Dalam borang sebelah lelaki, dia tidak tulis kerjanya sebagai askar. Yang perempuan isi borang menyatakan si lelaki anggota tentera. Tak pasal-pasal kena buat pengesahan lain pula. Sepatutnya dua-dua pasangan yang hendak mendirikan ‘masjid’ tahu pasangan masing-masing.”
Kawan yang mendengar bertanya, “Si lelaki tu kerja di mana?”
"Kelantan."
"Susah juga tu…"
Perkara mudah pun sudah jadi susah.

Kisah saya.

Dan aku pun berlalu setelah dimaklum, "Pegawai yang dapat buat pengesahan tiada hari ini. Encik datang esok boleh?"

Saya jawab, "Petang ini saya sudah balik ke KL semula. Beginilah, saya balik semula bulan depan. Nanti saya ambil."
Dan dalam hati saya merungut, ‘Perkara mudah pun sudah jadi susah.’
Saya tidak mahu sembunyi-sembunyi lagi penyataan rasa ini. Paling tidak, ada ada dua alasan kuat untuk pulang pada 30 Julai nanti.

Khamis, Jun 10, 2010

Soalnya bukan empat atau 10

“Cukai Barangan dan Perkhidmatan tidak akan dinaikkan sehingga 10 peratus.”
Soalnya bukan tinggi atau rendah nilai GST.
Soalnya bukan kerana semua orang tidak kira kaya atau miskin perlu bayar cukai.
Soalnya bukan kerana GST yang rendah tidak menguntungkan kerajaan.
Soal yang lebih penting ialah nilai wang setiap orang akan merosot.
Soal yang lebih penting ialah orang-orang marhaen akan terus jadi papa kedana.
Soal yang lebih penting ialah inflasi kan terus meningkat.
Soal yang lebih penting ialah harga setiap barangan akan naik.
Soal yang lebih penting ialah transformasi urus tadbir kerajaan.
Soal yang lebih penting ialah tiada pergantungan langsung kerajaan dengan dua tiga orang yang kaya-raya.
Soal yang lebih penting ialah kurangkan kadar rasuah di kalangan kakitangan awam. “Khabarnya 41 peratus penjawat awam menerima rasuah.”

Rabu, Jun 09, 2010

Peringkat Kalimah Basmalah

“Dan tuan kitab ini Imam al-Ghazali memulakan tulisannya dengan Bismillahirrahmaanirrahiim. Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.”

Demikian mana-mana ulama yang mengarang kitab memulakan penulisan mereka dengan kalimah basmalah.

Sejarah penggunaan basmalah oleh nabi ada empat peringkat. Kalimah basmalah ditulis pada kepala surat nabi. Penggunaan kalimah basmalah sesuai dengan penurunan ayat dan tentulah melibatkan tempoh tertentu. Peringkat-peringkat dan ayat yang dirujuk nabi adalah seperti berikut:







Peringkat
Kalimah BasmalahRujukan ayat al-Quran
1BismikallaahummaAl-'Alaq: 1
2BismillahiHud: 41
3BismillahirrahmaaniAl-Israa: 110
4BismillahirrahmaanirrahiimAn-Naml: 30

Kalau dilihat pada kalimah rahman dan rahim, kedua-duanya ditulis dengan empat huruf, tetapi dari segi bacaan kalimah rahman dibaca dengan pertambahan satu alif selepas mim. Bermakna dari segi bacaan rahman memiliki lima huruf. Ulama tafsir mengatakan pertambahan huruf ini memberi pertambahan makna. Kata ulama lagi, “Kalau dinisbahkan kepada suatu perbelanjaan, maka dengan rahman-NYA Allah itu, DIA lebih boros.”

Pemurahnya Allah dengan sifat rahman diistilah sebagai mengurniakan jalaa-il an-Ni'am iaitu nikmat-nikmat besar (seperti harta, kesenangan dan lain-lain). Nikmat ini dikurniakan kepada semua makhluk, manusia sama ada beriman atau kufur. Manakala sifat rahim Allah diistilah sebagai daqaa-iqu an-Ni'am iaitu mengurniakan nikmat yang seni. Nikmat yang seni ini dikurniakan hanya kepada orang yang beriman iaitu iman, taqwa, ilmu dan makrifat.------------------------


Nota kuliah Maghrib, Ust. Nor Hafizi, 08-06-2010, Kitab Ayyuha al-Walad, Masjid al-Hidayah Sentul, Jalan Sentul Pasar.


Ahad, Jun 06, 2010

Jenama sepatu


Apakah aku perlu satu jenama sepatu yang khas SEPATU CURI sebagai contoh untuk mencegah pencopet?

Sana-sini



Pertemuan Komuniti Teka-teki, eSastera.



Rumah PENA, 04 Jun 2010. 8.30 malam - 1.30 pagi 05 Jun 2010.

Penyair terkenal Kedah, Puzi Hadi membeli novel RSM. Terima kasih tuan haji.

05 Jun 2010. 9.30 pagi.

Sabtu, Jun 05, 2010

Kekasihku berwasiat

Dari Abu Hurairah katanya, “Kekasihku (Nabi Muhammad) telah berwasiat kepadaku tiga perkara, dan aku tidak meninggalkannya. Puasa tiga hari setiap bulan, solat sunat Dhuha dan Witir.”

(Diriwayat oleh Bukhari dan Muslim)

Ketiga-tiga perkara disebut dalam hadis ini sebagai sunat muakkad iaitu sunat yang dituntut. Pertama, puasa pada hari putih (yaum al-Abyadh) iaitu 13, 14 dan 15 haribulan bulan Islam. Kelebihan puasa tiga hari setiap bulan ini seolah-olah berpuasa setahun. Iaitu 36 hari x 10 = 360 hari. Bersandar kepada dalil yang berbunyi, “Man Jaa'a bihasanatin falahu 'asyru amthalihaa...” (Sesiapa yang berbuat kebaikan, maka baginya (ganjaran pahala) 10 kebaikan).

Kedua, solat Sunat Dhuha. Setiap kebaikan yang dilakukan adalah sedekah, dan solat sunat Dhuha menyamai pahala 360 sedekah. Sendi pada seluruh badan manusia adalah bersamaan 360. Solat sunat ini dilakukan kira-kira setengah jam selepas waktu syuruk (matahari naik segalah) sehinggalah sebelum matahari tergelincir. Boleh dilakukan sekurang-kurangnya dua rakaat, dan sebanyak-banyaknya lapan rakaat. Orang yang istiqamah dengan solat sunat Dhuha diluaskan rezeki baginya. Kata ustaz, “Seorang pelajar keputusan wang kerana PTPTN belum dimasukkan ke akaun bank. Dia meminta wang dari kakaknya RM50.00. Pada hari yang dijanjikan dia tidak menghubungi kakaknya.”

“Jadi kakaknya hairan. Setelah ditanya dia memberitahu kakaknya wang RM50 ditemui dalam kasutnya.”

Ketiga, solat sunat Witir. Minimum dilakukan satu rakaat dan maksimum sebelas rakaat. Abu Bakr ash-Shidiq melakukan solat sunat ini sebelum tidur iaitu selepas solat sunat selepas Isyak. Manakala Umar al-Khattab melakukan solat sunat ini selepas tahajjud selepas tidur seketika. Soalnya apakah perlu seseorang solat sunat Witir sekali lagi jika dia mengikut cara Abu Bakr? Kata ustaz, “Jawabnya tidak. Sebab ada hadis mengatakan tiada dua Witir dalam satu malam. Jika sudah buat sebelum tidur, maka laksanakan solat tahajjud sahaja.”

---------------------------------------
Nota Kuliah Subuh, Mutiara Hadis, 05-06-2010, Masjid al-Hidayah, Sentul, Jalan Sentul Pasar, KL.

Selasa, Jun 01, 2010

Buat kalian dalam misi kemanusiaan

Ubat hati


Ini ubat hati seperti yang dikatakan dalam satu nasyid.


Kaping telu wong kang sholeh kumpulono
(Yang ketiga berkumpullah dengan orang sholeh)
--dipetik dari lirik lagu Tombo Ati.