Khamis, Disember 29, 2011

Semoga Allah panjangkan usia Hj. Subki Latif


Jam besar di Bangunan Sultan Abdul Samad itu di bawah kawalan Jabatan Ukur. Perintah diberikan kepada Jabatan Ukur supaya disekata gerak jarum jam selagi Tunku tidak tiba. Jangan biarkan jarumnya bergerak dan berbunyi sebelum Tunku sampai.

Orang ramai menunggu jam itu berbunyi. Masing-masing menyedari waktu itu hamper tiba. Tetapi waktu sudah terlalu dekat itu lambat sangat tiba. Terasa lamanya menunggu waktu yang ditunggu. Lama. Lama dan lamanya. Adakah jam itu tidak berbunyi selagi Tunku tidak tiba atau Tunku tidak tiba selagi jam itu tidak berbunyi? Juruhebah radio seperti Hashim Amir Hamzah yang membilang saat yang ditunggu itu sudah tahu hal jam itu menunggu Tunku. Waktu tidak menunggu jarum jam. Waktu berjalan walaupun jarum jam tidak berjalan dan walaupun Tunku tersekat di tengah jalan. Sebaik sahaja Tunku masuk ke kawasan itu, jam pun berbunyi tetapi planet di langit tidak menunggu Tunku tiba, jarum jam sahaja yang menunggunya. Pada saat Tunku tiba dan jam itu berbunyi, semua planet tadi sudah tidak sebaris lagi. Planet yang berbaris sekejap tadi tidak sempat menunggu kemerdekaan Tanah Melayu diisytiharkan.

Saya adalah antara ribuan manusia di Padang Kelab Selangor yang menunggu jam berbunyi dan ketibaan Tunku.

[Anak Apak, Subky Abdul Latif, Kemilau Publika, 2011, halaman 263 - 264]

Inilah antara sejarah yang mungkin tidak kita temui dalam mana-mana topik pelajaran Sejarah di sekolah atau universiti. Yang kita tahu bendera Union Jack diturunkan tepat jam 12 tengah malam 31 Ogos sempena pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu. Samalah halnya generasi akan datang tidak akan dapat membaca sejarah satu bendera yang diturunkan separuh tiang oleh seorang pelajar di PWTC pada akhir tahun 2011 ini.

Memandangkan penulis buku ini satu sosok yang bukan biasa-biasa, orang yang mencari suatu kelainan dalam catatan sejarah kemerdekaan Tanah Melayu wajar menatap buku Anak Apak. Semoga Hj. Subki dipanjangkan umur, diberi kekuatan untuk melengkapkan ketiga-tiga buah buku dalam siri Anak Apak. Tidak sabar rasanya untuk menatap Anak Apak 2 dan Anak Apak 3.


Buku Anak Apak berharga RM25.00 dengan ketebalan 437 muka surat.

Sabtu, Disember 24, 2011

Akhir tahun yang baik untuk pembeli emas


Minggu terakhir tahun ini merupakan tempoh yang baik untuk membeli emas. Pengumpul dinar khususnya wajar memanfaatkan harga yang rendah ketika ini bagi menambah koleksi masing-masing. Aliran menurun harga emas (dua minggu lepas harga emas RM190.57/g) adalah perkara biasa. Ketika artikel ini ditulis, harga segram emas RM162.43. Apakah ini akan menyebabkan penjual emas menanggung kerugian? Jawapannya bergantung kepada keadaan. Jika jualan dibuat mengatasi modal mereka untung. Sebaliknya mereka rugi. Dalam keadaan apa pun, penjual tetap mendapat keuntungan dengan bezantara jual beli sekitar 5 hingga 15 peratus. Hal ini sudah sama-sama difahami oleh orang yang membuat pelaburan emas. Jika anda belum faham, sesuatu perlu dibuat agar anda tidak rasa tertipu. Taip sahaja kata kunci ‘tips melabur emas’ atau ‘pelaburan emas’ untuk menambah pengetahuan am anda dalam hal ini.

Dalam banyak-banyak produk atau pakej pelaburan emas, terdapat suatu yang berbeza di Amsyiq. Koin-koin dinarnya pelbagai di samping pakej pelaburan yang menarik. Menarik jika anda berduit. Jika anda pengumpul syiling emas yang masih bertatih-tatih, lambatlah masa untuk mencapai target kekayaan benar seperti yang ditawarkan dalam pakej-pakej amsyiq. Apa pun masing-masing punya kemampuan dan strategi tersendiri untuk masa hadapan. Perlu diingat untuk membuat pelaburan seperti ini, janganlah sampai kita berhutang sehingga membebankan. Buatlah sekadar yang termampu bak kata peribahasa kita, “Ukur baju di badan sendiri.”


Selamat melabur. Nak tahu tawaran amsyiq? Tanya Pak cik Google.

PTPTN dan insuransnya selepas kadar ujrah 1%


Mohon perhati perkataan yang saya kotakkan. Saya fikir adalah suatu yang wajar buat saya persoalkan hal ini. Mengapa pihak peminjam menyelaraskan pinjaman dengan menambah terma baru iaitu insuran? Apakah yang dilindungi oleh insurans dan manfaatnya kepada peminjam? Apakah pihak PTPTN akan memaklumkan polisi insurans kepada peminjam? Jika tidak ia adalah suatu amalan yang bersalahan dengan etika insurans kerana menyembunyikan sesuatu sehingga pihak yang diinsuranskan tidak mengetahui hak mereka.

Jadi biarlah saya tinggalkan persoalan ini sehingga saya mendapat maklum balas daripada pihak PTPTN sendiri. Setakat ini pihak PTPTN khususnya melalui emel webmaster tidak pernah menghampakan. Setiap soalan akan dijawab mengikut piagam pelanggan yang mereka tetapkan di laman web PTPTN.

Jumaat, Disember 23, 2011

Anak walid


Anak kami Razin Itqan. Kata ibu mertua saya, "Namanya (Itqan) seperti nama cucu YB Manir."

Khamis, Disember 22, 2011

Mungkin Khairul akan baca coretan ini 5 tahun dari sekarang

Adikku Khairul dikhabarkan tidak lalu makan kerana debaran menunggu keputusan PMR. Dia agak ‘nakal’ pada zaman permulaan remajanya. Pernah saya buatkan dia menangis kerana bertegas mahu dia menjadi remaja yang baik. Baik dalam konteks beragama. Disebabkan dia agak berbeza daripada abang-abangnya dalam soal sikap, kadang-kadang kami terlalu bimbang. Bimbang itu tanda cakna kami terhadapnya. Sampai ketikanya dia menjadi tertekan kerana kami menggariskan begitu begini harus dibuatnya. Tentulah dari kaca mata kami (abang dan kakaknya) mahu dia menjadi seorang anak yang baik. Dia tidaklah terlalu nakal, tetapi kelakuan kurang siviknya menyebabkan kami runsing. Risau kalau-kalau dia menjadi terikut-ikut dengan pengaruh hedonisme di luar. Tentulah ini bukan hal yang mustahil. Kami sebenarnya seperti memahat pada batu pemikirannya. Tidakkah memahat pada batu lebih kekal dan tahan lama berbanding memahat pada air? Selagi dia masih kecil dan belum matang sepenuhnya, segala yang dimasukkan ke dalam pemikirannya akan dapat dipelajari. Jika dia sudah melangkau 18 tahun, tentulah ketika itu agak sukar untuk dia belajar tentang kehidupan daripada kami. Mungkin ketika itu kami tidak dapat mengawal tindak tanduknya atas alasan dia sendiri sudah pandai berfikir baik buruk untuk dirinya.

Hari ini diumumkan keputusan PMR. Syukurlah dia memperoleh keputusan penuh. Sama seperti saya dahulu. 8A. Kerana itu dapatlah kami menghadapi program lawatan keluarga ke Melaka dan Negeri Sembilan sehingga 24 Dis dengan senang hati. Ketika catatan ini ditulis, kami sudah tiba di kuarters guru MRSM Gemencheh. MRSM Gemencheh berada di ranking teratas (Ranking MRSM) PMR 2011 dengan 85 daripada 120 calon mendapat 9A. Dapatlah ayah dan emak ziarah cucu baharu di Negeri Sembilan.

Fenomena Ustaz Azhar

Ahad lepas pendakwah popular Ust. Azhar Idrus dijemput menyampaikan kuliah Maghrib di Masjid Hasanah, Bandar Baru Bangi. Kehadiran amat memberangsangkan. Hadirin melimpah ke luar. Ruang di tingkat dua juga penuh. Solat Isyak terpaksa dibuat dua kali. Kata kawan saya, “Kutipan derma untuk pembinaan sekolah agama yang dilancarkan dalam majlis tersebut mencecah RM42 ribu!” Sumber kepada jumlah ini adalah dari salah seorang ahli Unit Amal yang bertugas mengutip derma.

Saya pernah mendengar Presiden UniPTS berkata, “Anak buah saya pernah persoalkan keaadaan ini. Bagaimana ya?” “Ribuan manusia hadir untuk setiap kali kuliah Ustaz Azhar?” “Mungkin karamah.” Dan saya sendiri melihat perkembangan ini dengan melihat kepada cetakan buku Ustaz Azhar terbitan PTS. Buku yang saya pegang tidak sampai tiga bulan dalam pasaran. Buku yang saya beli adalah cetakan ketujuh! Tidakkah ini suatu yang luar biasa?

Ustaz Azhar selain pendakwah dengan gaya humor, juga dikenal dan dihormati dalam bidang fotografi. Sesiapa sahaja yang bermain dengan lensa tahu kewujudan Digital Mukmin. Kenalan saya Abdullah Jones di Studio Rajawali pernah merakam lawatan sambil belajar beliau bersama Ustaz Azhar dalam hal ini. Tanyalah beliau bagaimana mahu merakam objek bergerak seperti sesibur? Nescaya dia dapat memberi jawapan bagaimana hendak zoom, melaraskan lensa dan sebagainya. Ayat ini memanglah nampak langsung tidak teknikal kerana saya bukan arif dalam bidang fotografi.

Ahad, Disember 11, 2011

Mengambil ibrah daripada keldai

Keldai disebut dalam al-Quran sebagai binatang yang mempunyai suara yang kuat dan hodoh. Seorang pengkaji Arab dalam buku Al-Hayawan fil Quranmenyebut bahawa dapatan kajian sains menunjukkan suara keldai paling lantang iaitu 35 Hz. Tegahan bersuara kuat (sehingga mengganggu orang lain) disebut dalam al-Quran surah Luqman. Firman Allah yang bermaksud, “dan rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.” (Luqman: 19)

Apakah ini bermakna tiada kebaikan suara keldai? Direkodkan dalam hadis seperti diriwayatkan oleh Imam Bukhari suara keldai adalah tanda kedatangan syaitan. Dalam dunia moden tiada peranti yang dapat mengesan syaitan untuk memberi amaran kepada manusia syaitan ingin mengganggu seseorang. Disebutkan Nabi S.A.W pernah bersabda, “Apabila kamu mendengar kokokan ayam maka mohonlah kepada Allah daripada kelebihanNya, sesungguhnya ayam itu telah melihat malaikat dan apabila kamu mendengar pekikan suara keldai maka mohonlah perlindungan dengan Allah daripada syaitan, sesungguhnya keldai itu telah melihat syaitan.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Ibnu Qayyim al-Zauji berkata, “Keldai adalah lambang kebebalan, kebodohan dan kebengongan orang Arab.” Menjadi budaya orang Arab apabila berlaku sesuatu insiden yang menyebabkan kemarahan, mereka akan menyebut, “Himar!” Tidak seperti marahnya sesetengah orang Melayu yang menyebut, “Babi!”

Tambah Ibnu Qayyim lagi, “Sebebal-bebal keldai, ia masih tahu jalan pulang ke rumah tuannya.” Keldai mempunyai ingatan yang kuat. Jika tuannya menunggang dalam suatu permusafiran yang jauh, keldai masih dapat membawa tuannya pulang dalam kegelapan malam meski tidak dikawal. Apakah hari ini kita ada sebuah kenderaan yang membolehkan kita tidur dan menyerahkan tugas membawa kita pulang tanpa dikawal?

Kata Ibu Qayyim lagi, “Manusia kadang-kadang lebih teruk dari keldai kerana tidak tahu jalan pulang dan tidak tahu bagimana untuk pulang ke rumah asalnya. Manusia asalnya dari syurga. Setelah dicampak ke dunia, manusia leka dan lalai sehingga tidak tahu jalan sebenar untuk kembali ke syurga. Itulah kebanyakan sikap yang ada pada kita.”

Dalam bab lain, Allah menggambarkan keldai sebagai perbandingan orang-orang yang lari dari kebenaran. Apabila diajak kepada kebenaran, mereka melarikan diri seperti keldai liar takut akan singa. “Dan kami dahulu selalu mengambil bahagian memperkatakan perkara yang salah, bersama-sama orang-orang yang memperkatakannya; Dan kami sentiasa mendustakan hari pembalasan, Sehinggalah kami didatangi oleh perkara yang tetap diyakini. Maka tidak akan berguna kepada mereka sebarang syafaat pertolongan (kalaulah ditakdirkan ada) sesiapa yang boleh memberikan syafaat itu. (Kalau demikianlah halnya orang-orang yang bersalah), maka mengapa mereka berpaling lari dari peringatan (Al-Quran)? Seolah-olah mereka sekawan keldai liar yang lari. Melarikan diri (ketakutan) dari singa!(al-Muddaththir: 45-51)

Melarikan diri dalam konteks semasa ialah tidak memberi dokongan dan sokongan moral kepada pihak-pihak yang ingin menegakkan kebenaran. Sebagai contoh menghalang program agama. Menghalang usaha-usaha amar makruf nahi mungkar.

Kulaih Maghrib, Ust. Kahirudin Aman Razali at-Takiri, Masjid Hasanah, Syeksen 9, Bandar Baru Bangi, 6 Dis 2011.