Malam yang malang itu kami merancang untuk duduk sebentar selepas Isyak membincang soal kerja. Itu hal biasa apabila dia menjadi pewaris kerja-kerja saya yang terbengkalai. Memang begitu adatnya apabila kita memiliki waktu terbatas untuk kerja yang menggunung. Maafkan aku. Bukan sengaja berbuat begitu, sahabatku.
Dalam perjalanan dia menelefon barangkali sudah tidak betah menunggu. Aku khabarkan keadaanku sedang memandu. Aku mengambil lorong sehala dan berhenti di gigi jalan setentang pejabat DBKL Cawangan Batu. Aku lihat dia meninjau kenderaan yang lewat di hadapannya. Aku berjalan menyusur gigi jalan di atas deretan penutup longkang. Dua tiga langkah menapak, dia belum perasan kehadiranku. Aku lambai ke arahnya layak sang pemimpin merai penyokong. Dua kali lambai, tiba-tiba… “Plump!!!”
Aku sudah berada di dalam longkang. Sepontan aku gagahkan diri naik semula seperti kadet tentera memanjat tembok. Dada sesak. Tulang keting kiri berdarah. Aku dapati dua sumber terbit darah. Kedua-dua seliparku lekat dalam longkang yang berlecak. Sahabatku dengan pantas meminjam lampu picit jaga DBKL yang berkawal di pintu utama pejabat. Dia menyuluh ke dalam longkang kemudian menaikkan seliparku dengan kayu batang penyapu yang entah dari mana diambilnya. Aku bangun dan duduk menstabilkan pernafasan. Darah terus mengalir. “Cuci kaki kemudian kita ke klinik.” Cadang sabahatku.
Aku hanya menapak ke klinik swasta tidak jauh dari tempat kejadian. Tidak jauh. 300 meter sahaja. Ramai pesakit sedang menunggu. Tetapi atas ihsan petugas klinik, aku dipanggil dahulu. Sewaktu itu mukaku pucat dan pernafasan tidak teratur. Semacam ada sesuatu yang berat berperang sebalik tulang dada kanan. Apabila di selak baju Melayu, bahagian dada itu lebam. “Surface injury.” Kata doktor Melayu yang menangani masalahku. Dia memeriksa pernafasan dan mengarah aku bernafas seperti biasa. Biasa bagaimana lagi? Aku tidak faham. Memang pernafasan biasa itu sudah jadi luar biasa. Aku diminta ke bilik kedua dan berbaring kemudian diberi gula-gula. “Ini gula-gula berglukosa. Kemam sampai habis. Nanti saya semak semula pernafasan kamu.” Sambil berbaring, misi membersih luka dan membalut kaki kiri.
Kira-kira setengah jam berbaring, baharulah rasa sesak dada hilang. Syukurlah. Saya jatuh dalam keadaan sedikit sahaja cederanya. Tiada tulang-tulang patah. Tiada perkara yang memudaratkan dalam lopak longkang. Tiada harta benda seperti dompet dan telefon bimbit serta kunci yang jatuh. Cuma saya bayangkan, betapa dalam keadaan genting itu, siapakah lagi yang menyelamatkan saya jika bukan DIA? Saya bukan Yusuf bin Yaakub alaihissalam yang disambut Jibril ketika dicampak oleh saudara-saudaranya yang bersepuluh (Bunyamin tiada dalam peristiwa itu) ke dalam perigi. Jika begitu, pasti saya hanya jatuh semata-mata tanpa sebarang kecederaan. “Syukur Ya Allah. Engkau mengenakan musibah kecil buat hambaMU sebagai kaffarah dosa-dosaku.” Tenungku kemudian.
Sahabatku atas dasar kasihan membatalkan perancangan asal berguru denganku pada malam itu. Sehingga saya menulis coretan ini, luka masih merah dan belum berkuping. Tasyahhud akhir saya pun tidak sempurna isti’latnya. Saya masih menyapu air madu sebagai memastikan kesembuhannya. Dan langkah masih lemah apalagi jika mahu berlari.
5 ulasan:
ya Allah Naim... alhamdulillah tiada yang teruk....
moga cepat sembuh...
PS: nanti kerja di trg?
salam ziarah kembali..
Zul MindRich,
MySTORMKiDS.com : Sebuah Portal Edutainmen untuk Kanak-kanak Muslim
http://www.mystormkids.blogspot.com/
Ini adalah artikel bagus untuk dibaca, terima kasih untuk berbagi.
Ida hanya tahu selepas abang balik.Perkara2 yang sebeginilah yang selalu merisaukan Ida dan menyebabkan hati ni terasa sangat berat setiap kali nak lepaskan abang pergi.
Walau apapun, semoga Allah selalu melindungi abang dimana pun abang berada...
insyaAllah. Amin.
Ida; terima kasih.
Fida: syarikat baru tempat saya kerja di UPM.
Zul, terima kasih. Saya lawat blog anda.
Annon: sama-sama.
Catat Ulasan